Thursday, May 30, 2013

0:31



1.

Dapat panggilan dari orang media. Katanya nak buat temubual dan masuk tivi. Kena cerita tentang latar belakang, kanser, orang-orang penguat semangat dan sebagainya. Saya jadi marah. Marah sebab kanser yang saya alami di jadikan bahan untuk tarik perhatian penonton. Sesetengah orang agak terbuka bila bercakap tentang penyakit yang mereka alami. Sesetengah orang terbuka berkongsi kisah menjaga isteri/suami yang menderita sakit.

Kalangan ini memang wujud. Media suka menjual cerita begini. Tak kiralah media cetak atau media massa. Semuanya bermotifkan meraihkan simpati dan mahukan rating tinggi. Itu memang kerja media. Program Bersamamu memaparkan kemiskinan orang Melayu. Kemiskinan dan keterpinggiran yang terbiar dan tak terbela dan kita menyukainya. Melihat orang miskin menghiburkan. Masakan tidak. Program ini mendapat liputan yang meluas. Tanpa program ini pun, kerja amal masih boleh di jalankan. Media hanya sebagai penyebar maklumat bukan peraih simpati.


2.



Ada beratus ribu orang mengidap kanser. Ada berjuta orang kebuluran. Ada berpuluh ribu orang di tindas. Zack menghantar video, pak-pak Arab dari Jordan, Qatar dan Saudi membeli (menculik) gadis yang masih kecil di Kem Pelarian Syria untuk di kahwini. Video ini sudahpun tersebar. Saya tak dapat menontonnya hingga habis. Apa sahaja yang kita mampu lakukan? Seseorang/sekumpulan manusia harus lakukan sesuatu jika kita mahukan perubahan. Perubahan tak akan datang jika kita berpeluk tubuh dan mengharap orang lain melakukannya. Gadis-gadis remaja ini tidak berani hatta ke tandas bila matahari sudah terbenam. Bayangkan sahaja betapa mereka dalam ketakutan.

Khabarnya Boboy cedera ketika memberi bantuan. Anak kecil ini memberi sepenuh tenaga membantu orang yang memerlukan. Saya masih ingat dia membuat kempen USD1 di kawasan kediaman, sekolah, badan kerajaan untuk membantu orang Afrika mendapatkan air menerusi sistem saliran. Ketika itu dia hanya berusia 5 tahun. Ketika kanak-kanak lain sibuk bermain di padang permainan, dia di Afrika membantu Zack memberi bantuan makanan dan perubatan. Masanya banyak di habiskan di kem pelarian. Kerana itulah sifatnya amat berlainan sekali. Dia jadi begitu peduli dengan nasib orang terbiar dan terpinggir. Dia mahu lakukan perubahan dan dia tak menunggu orang lain melakukannya.


3.

Saya tidak akan menerima apa-apa temubual dari mana-mana pihak pun. Saya selalu prejudis dengan media kerana media gemar memperguna manusia. Media gemar bermain dengan emosi kita dan selalunya kita terpedaya. Jika kita ingin membantu manusia lain, bantulah secara bermaruah bukan memperguna mereka untuk kepentingan diri. Janganlah memperlihat manusia lain sebagai badut untuk di sarkaskan di depan televisyen. Ia sesuatu yang tidak bertamadun. Manusia yang bertamadun akan menjaga adab dengan manusia lain, tidak memperbodoh atau memperlihatkan bahawa manusia itu sangat inginkan simpati dan belas kasihan.

Anak-Anak Syurga



1.

Huda masih sibuk dengan lukisan dan kebun. Bila petang, dia akan mencuba resepi baru. Huda suka masak dan Umar suka makan (dengan sedikit bebelan tak sedap, hangit tapi habis juga makan). Sekarang Huda ada pembantu baru iaitu Adam. Adam suka ke dapur tolong Huda. Kadang-kadang muka penuh tompok-tompok tepung, baju comot. Umar akan bising. 

Huda akan menyertai pameran lukisan bulan Jun ini di Jerman. Persiapan tinggal sedikit sahaja lagi. Lukisan hampir 80% sudah siap. Kerja kraf di tinggal sekejab untuk beri tumpuan pada lukisan. Bila Huda ke Jerman nanti mesti Umar akan demam lagi. Umar tak boleh berjauhan dengan kakak dia. Mesti Adam pun akan rindu Huda.

Hari ini Huda tak menjual sayur. Sayur yang baru di petik Huda sedekahkan kepada beberapa buah badan kebajikan sekitar Ipoh. Hari ini si comel Adam turut serta. Dengan topi koboi (yang besar) dan kasut boot ala Phua Chu Kang Adam turun membantu Huda. Umar seperti biasa (buat-buat) sibuk.


2.

Adam semakin aktif. Sudah pandai bertutur dalam ayat pendek-pendek. Subuh lagi ke masjid kemudian ke taman bertaici. Pukul 8.30 pagi ke pasar membeli ikan dengan Mak Cik Siti. Adam suka ke pasar. Kalau tak ke pasar dia akan ikut Huda ke kebun. Huda akan bagi upah sebanyak RM 5.00 sehari. Lepas beli ais krim, baki, dia akan simpan dalam tabung. 

Berbanding Umar, Adam suka dengar dan tonton kisah fairy tale. Tiga kali dalam seminggu, saya akan bacakan dia kisah-kisah Nabi. Dan, yang paling berbeza, Adam suka tengok cerita cinta. Sekarang Adam tak tengok cerita Adam & Hawa lagi (syukur). Agaknya cerita semakin lewah dan Adam jemu menontonnya (daddy terheret sama menonton kerana kena teman Adam).

Ambil kesempatan perkenalkan beberapa cerita cinta dengan tema yang pelbagai – kemanusiaan, alam sekitar, pendidikan dll. Semalam menonton Laskar Pelangi. Adam suka. Biasanya, bila Adam bangun untuk  minum susu sekitar jam 2.00 pagi – dia tak mahu sambung tidur. Jadi, kami akan menonton beberapa drama antaranya Demi Tuhan Ku Izinkan, Cinta dari Kaabah, Kau Bukan Maryam.

Adam suka sesuatu yang kompleks. Dia suka peta dan rumus fizik. Pernah Adam menyusun buku (seperti bantal) dan tidur di atasnya.


3.

Umar tak suka pergi kebun sebab panas. Dia lebih selesa duduk-duduk di balkoni dan baca buku sambil dengar lagu dan minum teh tarik. Umar semakin banyak pertanyaan dan inginkan jawapan. Umar jarang buang masa menonton tivi. Dia hanya menonton saluran yang di minati seperti History Channel, Discovery, National Geography, CSI, NCIS, Hawaii Five – O, Medium, The Mentalist, Criminal Minds, Law & Order, The Chicago Code, Sherlock dan rancangan berteraskan penyiasatan. 

Dalam usia yang masih kecil memang banyak persoalan yang dia mahukan jawapan. Beberapa kali saya di asak dengan pertanyaan tentang kebuluran, penindasan, hak asasi manusia, politik perkauman dan bermacam hal lagi. Dia juga mahukan jawapan tentang dunia yang wujud ribuan tahun dulu. Dia ingin tahu tentang dinasor, Kaum Nabi Lut, dan perkara-perkara mengenai sejarah manusia.

Sudah beberapa bulan, sebelum dia tidur, dia akan katakan:

Umar: Daddy, adik ada buat daddy tecik hati tak?
Daddy: Tak ada. Umar kan good boy.
Umar: Kalau adik ada buat daddy tecik hati adik minta maaf. Adik tak nak jadi anak delhake. Adik tak nak masuk nelake.

Dua hari lepas, sebelum tidur dia bacakan saya surah Al-Baqarah 2:155 yang bermaksud:


“And We will surely test you with something of fear and hunger and loss of wealth and lives and fruits, but give glad tidings to the patient”

Wednesday, May 29, 2013

Harapan

1.

Pemilik bangunan telah pulangkan RM 20,000.00. Dia cuma ambil RM 2000.00. Katanya saya lebih perlukan wang ini. Syukur. Ini bukan rezeki saya. Ini rezeki kanak-kanak yang saya ingin berikan pendidikan percuma.

Saya masih belum jumpa rumah yang sesuai. Rumah yang ada kelihatan terlalu elit. Kanak-kanak dan pelajar sekolah pasti menghadapi masalah dengan pengawal keselamatan. Kawasannya juga tidak begitu sesuai.

Buat masa ini saya masih mengajar di Taman D.R. Masih berteduh di bawah pokok sambil mengajar ABC. Kadang-kadang berkongsi cerita tentang banyak perkara. Saya mengajar mereka selama sejam.


2.

Saya tidak akan menggunakan apa-apa kurikulum untuk pusat komuniti ini. Tapi saya fikir elok juga saya mengajar mereka subjek asas yang di ajarkan di sekolah. Saya ingin mereka menduduki UPSR walaupun saya tidak begitu setuju dengan peperiksaan ini di jalankan di peringkat sekolah rendah.

Saya bercadang untuk mengajar subjek Sejarah dan Peradaban, Kesasteraan dan Astronomi. Subjek ini saya kira penting untuk menjadikan kanak-kanak ini berdaya saing, bersahsiah dan berfikir di luar kotak. 

Saya mahu mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Oleh itu, saya bercadang mewujudkan sesi bercerita setiap dua minggu.


3.

Untuk remaja sekolah menengah pula saya bercadang memperkenalkan kelas bahasa asing. Sudah ada dua orang guru yang sedia memberi kelas secara percuma kepada remaja ini. Saya memilih bahasa Mandrin.

Selain itu, saya turut bercadang memanggil guru muzik untuk melatih pelajar sekolah yang berminat bermain alat muzik. Saya akan sediakan sebuah studio khas untuk jamming. Jadi, tak perlulah mereka membazir wang menyewa studio di luar.

Studio itu perlu di buat kalis bunyi supaya tidak menganggu sesi  pembelajaran yang lain. Setiap hari Khamis, seorang ustaz akan datang mengajar Quran dan memberi penerangan berkaitan agama kepada pelajar sekolah dan kanak-kanak yang terpinggir ini.

Saya tahu sesetengah pelajar tidak begitu minat belajar. Mereka meminati bidang kemahiran. Jadi, saya bercadang untuk  menghantar mereka menghadiri kelas membuat cup cake, mendandan rambut dan kelas solekan. Saya tak mahu mereka terus di labelkan sebagai pelajar kelas tercorot yang tak mempunyai harapan. 

Tuesday, May 28, 2013

Pelukan Paling Hangat


1.

Jurnal banyak yang perlu di baca. Kertas kerja juga banyak. Buku lagilah banyak. Semuanya tak boleh di baca kerana font yang kecil. Cermin mata tak banyak membantu. Bertukar cermin mata beberapa kali tapi masih sukar membaca.

Guna kanta juga agak susah kerana perlu pegang kanta. Tangan cuma ada satu. Itulah tangan untuk mencatat dan menulis. Setiap kali pensil/pen terlepas dari tangan perlu panggil Umar/Huda ambilkan dan letakkan di tangan. Jari semakin sukar di genggam.

Pagi semalam hantar beberapa ratus kertas kerja dan jurnal untuk di fotokopi. Minta juga pemilik kedai besarkan font bila di fotokopi nanti. Esok baru boleh lihat hasilnya. Harapan tinggi supaya dapat terus membaca.


2.

Saya masih lagi menjadi perhatian bila ke tempat umum seperti taman permainan. Kalau ada yang cuba lambai dari jauh atau senyum memang saya tak balas kerana jarak penglihatan saya semakin pendek. Tambahan pula mata semakin kabur dan pedih.

Ada yang kata saya sombong. Lalu saya perlu jelaskan kepada beberapa orang yang saya kenal bahawa saya tidak dapat melihat mereka dari jarak jauh. Saya juga katakan jangan panggil nama saya kerana pendengaran saya kurang baik.

Saya rasa lepas ini saya mahu letak kad dan tulis sebesar mungkin “Saya manusia bukan alien”. Mungkin orang ramai pelik melihat saya berbaju sejuk tebal di tengah matahari terik. Walaupun matahari terik – badan saya merasa sejuk.


3.

Hari ini hari ke 19 bulan Rejab. Saya berpuasa baru  7 hari. Berbuka dengan sup – sup cendawan, sup ayam, sup daging, sup sayur. Teringin nak makan macam-macam. Doktor suruh saya belajar makan kanji/bubur. Setiap kali makan saya pasti muntah. Saya tak suka. Mungkin saya perasan sihat. Makan sup, kata doktor tak berikan saya cukup tenaga.

Anak-anak jarang makan popia, roti jala, ikan bakar, ayam panggang, atau apa sahaja depan saya. Mereka cuba menjaga hati saya. Mereka tahu saya teringin. Kadang-kadang Huda akan letak secubit ayam panggang (yang telah hancur) di lidah saya. Sayangnya, saya tak merasa apa-apa. 

Semalam hujan lebat. Hujan atau tidak sebenarnya sama sahaja. Saya akan tidur dengan memakai 4 helai baju sejuk, 3 helai selimut. Stokin juga perlu. Tapi itu semua masih tak dapat kurangkan kesejukan. Tapi saya bertuah apabila selalu di panaskan dengan pelukan paling hangat dari si dia.

Dengan adanya cinta, kita pasti berjaya.



1.

Saya tak suka bila awak balik dalam keadaan yang tak okey. Bila saya tanya, awak mula sedih dan kemudian menangis. Saya memang tak suka lihat awak menangis.

Abang harap sayang boleh bersabar untuk tempoh setahun dan lima bulan dari sekarang. Sayang kena kuat. Environment kerja dengan kampus memang berlainan. Orang-orang atasan selalu bunuh keghairahan bekerja. Belajar untuk jadi lebih kuat. Orang-orang atasan perangainya tipikal. Lebih tipikal kalau perempuan di hujung usia yang masih bujang.


2.

Abang juga kena jadi lebih kuat. Abang tak nak biarkan sayang lalui semua kepahitan ini seorang diri. Belajar tinggalkan hal kerja di tempat kerja. Jangan bawa balik ke rumah, ke bilik tidur kita. Kalau tak, rumah dan tempat kerja tak ada bezanya. 

Seperti bercinta, bekerja juga mempunyai banyak fasa. Sayang sedang melalui fasa-fasa pertama dalam kerjaya. Fasa yang menuntut kesabaran yang tinggi bila berdepan birokrasi. Memang, kitalah yang selalu menjadi mangsa walaupun di kebanyakan masa kita tak bersalah.

Stres di tempat kerja selalu membunuh keinginan kita untuk bekerja. Bekerja dalam keadaan stress tidak bahagia.


3.

Bersabar untuk setahun dan lima bulan lagi. Semua yang berlaku akan membentuk character sayang di masa hadapan. Kita tak boleh selalu berada dalam comfort zone. Percayalah, saat getir ini akan banyak memberi pedoman dan pengajaran bila kita berada di puncak yang lebih tinggi. 

Bila habis tempoh houseman nanti, sayang boleh ke mana saja untuk berkhidmat. Ke Papua New Guinea, Palestin, Afrika atau ke mana sahaja yang memerlukan khidmat doktor. Boleh sahaja berkhidmat sebagai doktor, boleh juga sebagai sukarelawan. 

Sayang kan suka jadi sukarelawan?


4.

Apa pun yang kita buat, bawalah cinta dalam hati kita ke mana sahaja. Dengan adanya cinta, kita pasti berjaya. 

Tidurlah, abang akan teman sampai pagi. Tidur lena, sayang.

Monday, May 27, 2013

Terima kasih kerana tak pernah jemu menyayangi saya seadanya

1.

Bila saya mula rasa kesepian saya akan cuba mengingat perkara manis tentang kita. Perkara manis yang  membuatkan saya tersenyum. Kadang-kadang saya selalu juga teringat perkara-perkara pahit yang berlaku antara kita.

Saya tahu, muka saya lebih tebal dari tembok. Sejak mula kenal, awak tak pernah sukakan saya. Awak suka menguji saya. Awak suka buat saya down. Beribu kali saya cuba dekatkan diri, berpuluh ribu kali saya di tolak ke tepi.

Sampailah saya rasa saya tak mahu dekat dengan awak lagi. Saya tak mahu terluka lagi. Saya tak mahu buat muka tak malu lagi. Tapi hati saya degil. Berpuluh kali awak menolak, saya tetap nak mencuba. Percubaan saya berhasil di hujung-hujung usaha.

Saat saya hampir mengangkat bendera putih tanda mengalah barulah cinta saya bersambut. Barulah saya rasa lega. Tapi itu bukan pengakhiranya. Selepas itu cabarannya lebih besar. Banyak yang kita lalui bersama.


2.

Saya harap masa tidaklah terlalu pendek. Saya harap sangat masa tidak terlalu kejam. Saya tak mahu pergi tanpa ucap selamat tinggal. Doktor tak boleh buat apa-apa lagi. Sebenarnya memang tak ada apa-apa rawatan lagi. Saya tahu, saya tak akan sembuh.

Saya rasa saya pentingkan diri. Saya nak tengok awak lebih bahagia. Kalau awak ada orang lain pun saya tak marah. Asalkan orang itu dapat buat awak bahagia, penuhi impian dan keperluan awak yang tak dapat saya buat.

Syarat yang awak berikan memang berat. Tentu sukar untuk saya penuhi. Mana mungkin saya dapat carikan orang lain untuk jaga awak. Saya tahu awak sengaja berikan syarat tersebut.  Saya sedang memikir calon yang sesuai. Tapi saya tak tahu sama ada nanti saya mampu lihat awak dengan orang lain atau tidak.

Saya tak dapat tipu diri sendiri. Saya tak percaya orang lain dapat jaga awak seperti mana saya jaga awak. Saya berada antara dua persimpangan.


3.

Saya minta maaf. Saya tahu kebelakangan ini saya selalu marah-marah, saya selalu naik angin. Terima kasih kerana selalu bersabar dengan saya. Terima kasih kerana selalu ada dengan saya. Terima kasih kerana selalu jadi penenang paling mujarab buat saya.

Terima kasih kerana tak pernah jemu menyayangi saya seadanya.