1.
Jurnal banyak
yang perlu di baca. Kertas kerja juga banyak. Buku lagilah banyak. Semuanya tak
boleh di baca kerana font yang kecil. Cermin mata tak banyak membantu. Bertukar
cermin mata beberapa kali tapi masih sukar membaca.
Guna kanta juga
agak susah kerana perlu pegang kanta. Tangan cuma ada satu. Itulah tangan
untuk mencatat dan menulis. Setiap kali pensil/pen terlepas dari tangan perlu
panggil Umar/Huda ambilkan dan letakkan di tangan. Jari semakin sukar di
genggam.
Pagi semalam
hantar beberapa ratus kertas kerja dan jurnal untuk di fotokopi. Minta juga
pemilik kedai besarkan font bila di fotokopi nanti. Esok baru boleh lihat
hasilnya. Harapan tinggi supaya dapat terus membaca.
2.
Saya masih lagi
menjadi perhatian bila ke tempat umum seperti taman permainan. Kalau ada yang
cuba lambai dari jauh atau senyum memang saya tak balas kerana jarak
penglihatan saya semakin pendek. Tambahan pula mata semakin kabur dan pedih.
Ada yang kata
saya sombong. Lalu saya perlu jelaskan kepada beberapa orang yang saya kenal
bahawa saya tidak dapat melihat mereka dari jarak jauh. Saya juga katakan
jangan panggil nama saya kerana pendengaran saya kurang baik.
Saya rasa lepas
ini saya mahu letak kad dan tulis sebesar mungkin “Saya manusia bukan alien”.
Mungkin orang ramai pelik melihat saya berbaju sejuk tebal di tengah matahari
terik. Walaupun matahari terik – badan saya merasa sejuk.
3.
Hari ini hari ke
19 bulan Rejab. Saya berpuasa baru 7 hari. Berbuka dengan sup – sup cendawan,
sup ayam, sup daging, sup sayur. Teringin nak makan macam-macam. Doktor suruh
saya belajar makan kanji/bubur. Setiap kali makan saya pasti muntah. Saya tak
suka. Mungkin saya perasan sihat. Makan sup, kata doktor tak berikan saya cukup
tenaga.
Anak-anak jarang
makan popia, roti jala, ikan bakar, ayam panggang, atau apa sahaja depan saya.
Mereka cuba menjaga hati saya. Mereka tahu saya teringin. Kadang-kadang Huda akan
letak secubit ayam panggang (yang telah hancur) di lidah saya. Sayangnya, saya
tak merasa apa-apa.
Semalam hujan
lebat. Hujan atau tidak sebenarnya sama sahaja. Saya akan tidur dengan memakai
4 helai baju sejuk, 3 helai selimut. Stokin juga perlu. Tapi itu semua masih
tak dapat kurangkan kesejukan. Tapi saya bertuah apabila selalu di panaskan
dengan pelukan paling hangat dari si dia.