Sunday, September 30, 2012

3.53 pagi


1.

Entah kenapa saya gagahkan diri untuk bangun. Mungkin sebab mata degil tak mahu tidur dan kepala rasa sakit. Saat ini semua orang enak lelapkan mata. Jam masih awal kecuali untuk sesetengah orang yang perlu bangun seawal begini untuk mencari nafkah seperti nelayan dan penoreh getah.

Tiga hari berturut-turut saya membuat refleksi diri. Saya dapati diri saya masih ragu-ragu dengan kebolehan diri. Tahap keyakinan diri makin rendah – saya hampir tak keluar rumah jika tidak mempunyai urusan. Saya ke masjid hanya untuk solat Subuh. Dengan alasan waktu itu tidak ramai jemaah maka saya hadirkan diri ke masjid.

Saya masih berfikir banyak perkara. Saya sudah melalui banyak perkara tetapi kenapa saya masih lemah dan cepat berputus asa bila di turunkan ujian yang berat sedikit dari ujian-ujian sebelumnya. Kenapa saya masih gagal membina imej positif dalam diri saya? Kenapa saya masih tak percaya dengan setiap perkara yang saya usahakan?

Paling penting saya selalu seolah-olah berputus asa dengan Tuhan. Saya tahu sikap saya amat berdosa bila saya putuskan untuk tidak mahu berdoa lagi. Saya tak mahu berdoa untuk apa-apa. Saya tak mahu meminta kerana saya sudah cukup terluka dengan kekecewaan. Saya putus harap dengan Tuhan.

Benar, manusia akan menjadi kufur bila di timpa bencana/musibah dan saya salah seorang darinya. Dalam saya berputus harap dengan Tuhan sebenarnya saya masih diam-diam berharap agar Tuhan dengar bisik hati saya, dengar doa-doa saya. Saya berharap dalam diam-diam.


2.

“Sekurang-kurangnya abang masih boleh makan”

Betul. Saya terlupa dengan nikmat yang Tuhan pinjamkan. Saya masih mampu makan sekurang-kurangnya melalui tiub. Saya terlupa nikmat itu. Tuhan masih berikan. Terima kasih sayang atas ingatan yang ikhlas.

Saya menjadi sebegini kesal kerana banyak doa/harapan yang tidak menjadi kenyataan. Banyak perkara yang saya harap/idam-idamkan tak mampu saya genggam. Salah saya. Saya terlalu melihat benda/perkara yang tak mampu saya miliki. Saya tidak pun  menoleh perkara-perkara yang saya tak minta tapi di beri.

Saya gagal melihat perkara-perkara yang saya miliki. Saya terlampau sibuk memikirkan perkara-perkara yang tak dapat saya genggam. Mungkin sifat manusia yang tamak haloba dan tak pernah puas buatkan saya jadi begini. Saya seharusnya belajar bersyukur dengan apa yang saya miliki. Lupakan perkara-perkara yang tak mampu saya gapai. Saya harus mendidik diri agar memandang dengan rasa bersyukur dengan setiap perkara yang saya ada.

Saya ada rumah sempurna untuk di diami, saya ada kenderaan, saya ada anak-anak yang comel lagi bijak. Kenapa saya buta dan sibuk memikirkan untuk mencapai sesuatu yang Tuhan telah tetapkan bukan untuk saya? Walau sehabis daya saya cuba, saya tak akan mampu memilikinya. Saya masih manusia bongkak yang tak pernah cuba bersyukur, menerima seadanya takdir yang di tulis.

Menerima takdir sesuatu yang amat pedih. Kita tak boleh memilih takdir hidup kita walaupun kita sentiasa ada dua pilihan. Takdir tidak selalu menyebelahi kita. Selalunya, perkara yang kita paling benci kita akan dapat. Perkara yang paling kita idam-idamkan tak di berikan Tuhan. Tuhan punya agenda untuk kita. DIA mencorak warnakan hidup kita dengan penuh misteri dan makna tersembunyi.


3.

Takdir tak pernah menjadi mudah untuk kita. Kegembiraan/kebahagiaan orang lain sering membuat kita terhiris. Kita mudah patah semangat. Kita mudah tertekan dengan persekitaran. Tekanan yang tidak terkawal boleh membuat kita jadi gila. Saya pernah cuba membunuh diri kerana tertekan. Saat itu saya tak langsung memikirkan bahawa orang yang bunuh diri tiada tempat di sisi Tuhan. Saya hanya fikirkan saya bebas dari kesakitan dunia, bebas dari segala masalah.

“Masalah tak akan selesai selepas kita mati. Lepas mati kita adalah masalah lain”. Saya catat dalam buku nota. Saya baca berulang-ulang kali bila saya rasa tertekan. Saya cuba kuatkan diri, tabahkan hati. Saya terlalu mencuba hingga saya hampir membunuh diri. Terima kasih atas ingatan itu, sayang. Saya ingat sampai hari ini.

Bunuh diri antara 10 penyebab kematian di kebanyakan negara. Di Malaysia, menurut National Suicidal Registry Malaysia (NSRM) sebanyak 425 kes bunuh diri di laporkan dari Januari hingga Ogos 2010. Secara puratanya 60 kes sebulan. Kaum Cina adalah antara golongan paling tinggi iaitu 48% di ikuti India 21% dan Melayu 18%. Nampaknya orang Melayu (yang saya andaikan Islam) sudah menampakan trend bunuh diri (perbuatan yang paling di cegah agama).

Data NSRM juga mendapati bahawa kaum lelaki merupakan golongan paling banyak bunuh diri. Jika di nisbahkan, 3 lelaki 1 perempuan.

Kebiasaannya, anda akan di syorkan berjumpa psikoterapi untuk menjadi terapi yang di panggil ECT atau electroconvulsive therapy atau mengambil ubat anti-depresi. Tekanan bukan suatu perkara yang boleh di pandang remeh. Sokongan keluarga, menjalani terapi, mengubah persekitaran, pengambilan ubat dan belajar menyelesaikan masalah dengan cara yang betul antara cara terbaik untuk mengatasi tekanan.

Mujurlah saya tak termasuk dalam statistik bunuh diri. 


4.

Saya simpulkan refleksi diri kali ini ialah saya gagal menerima takdir dengan penuh redha. Saya masih belum redha dengan keadaan sekarang. Saya perlu lupakan kehidupan yang lepas kerana saya tak mungkin mendapatkannya kembali. Saya perlu hidup dengan cara hari ini. Saya juga perlu luaskan pandangan dan banyak bersyukur atas setiap nikmat/rahmat yang Tuhan pinjamkan.

Saya perlu berusaha untuk bekerja dan mengumpul duit. Dadah yang saya ambil untuk mengawal pembiakan sel kanser berjumlah RM 8 ribu sebulan. Semalam, saya di beritahu kos telah meningkat ke RM 12 ribu. Kos dialisis sekitar RM 3000 sebulan atau RM 750 seminggu. Ini belum termasuk kos untuk makanan tambahan, ubat-ubat untuk rawatan psikiatri, kos radioterapi, kimoterapi dan lain-lain.

Walau apa pun ubat yang saya ambil, kanser sememangnya tidak boleh di rawat hingga sembuh walau pun menjalani kimoterapi.

*Mengikut:

Clinical Oncology (2004) 16:549-506: Overall, chemotherapy contributes just over 2% to improved survival in cancer patients in Australia and the US, eight years later, the conclusion has not been refuted.
Journal of the National Cancer Institute of NIH (USA), Sept 1993: Chemotherapy helped only 7% of patients in terms of “durable response” and prolonging survival.
Lancer, 1991, Vol. 337, p. 901: “Many oncologists recommed chemotherapy for almost any type of cancer, with a faith that is unshaken by the almost constant failures” – Dr. Albert Braverman, Medical Oncology in the 90’s



**Sumber: Dr. Amir Farid




Jaga kesihatan dan syukuri nikmat Tuhan.

Saturday, September 29, 2012

[8]


1.

Sejak awak ada di rumah saya rasa berat nak pergi mana-mana. Saya rasa macam nak duduk dengan awak 24/7. Rasa macam tengah bercinta lagi. Saya rasa esok nak ponteng dialisis. Biasanya pagi mesti hujan. Saya tak nak bangun dari katil.

Saya dah jumpa tempat dialisis baru. Memang saya cadang nak cari tempat dialisis yang dekat dengan rumah. Saya dapat jimatkan masa & petrol.

Saya harap tempat dialisis baru tak ada ramai orang.


2.

Umar nampaknya boleh terima bahawa dia sudah ada adik. Umar semakin pandai urus masa. Bangun pagi pergi masjid untuk solat Subuh kemudian sarapan dan mula mengulang kaji sekitar jam 7.30 -10.30 pagi.

Selepas itu, dia akan habiskan masa bermain sambil membebel bermacam-macam perkara pada Adam. Kalau dulu dia akan bangunkan Adam (dengan alasan tak elok tidur lama-lama lepas Subuh), sekarang tak lagi.

Umar tak tahu budak kecil perlukan tidur yang lebih lama. Sekarang Umar dah tahu. Lepas Adam dah bangun, Umar tak boleh pegang buku. Adam akan kacau dia, ajak dia main. Adam pandai minta Umar pasangkan lagu Maher Zain.


3.

Hubungan Huda & Adam belum akrab. Huda sememangnya tak ada masalah untuk terima Adam. Semalam, Adam dengan Huda. Dia tak kacau Umar. Umar jadi pelik sebab Adam ajak Huda main. Okey, Umar mula sayangkan Adam.

Sejak Adam pandai guna walker, memang dia aktif sangat. Semua tempat dia nak pergi, semua benda dia nak capai/pegang.

Harap-harap Adam tak akan ke mana-mana.


4.

Huda sibuk dengan lukisan dan kebun. Kebun tak berapa menjadi sebab hujan tak henti-henti. Cuaca tak begitu baik. Huda banyak habiskan masa dalam studio. Kadang-kadang Umar pun buat kerja dalam studio. Tak tahulah Umar buat kerja apa.

Umar sentiasa sibuk. Umar memang jarang duduk diam. Agaknya bila Adam dah pandai berjalan nanti mesti Umar bawa dia ke mana-mana.

Friday, September 28, 2012

[7]


1.

Beberapa hari lepas ke MPH, Kinta City. Setepatnya ke Jusco. Kalau ikut perancangan awal pergi ke Perpustakaan Tun Razak untuk mencari Hikayat Abdullah. Umar nak sangat tahu tentang kisah yang di tulis oleh Munsyi Abdullah.

Cuaca tak mengizinkan. Selepas habis dialisis terus ke Masjid Sultan Idris untuk tunaikan Zuhur. Kemudian ke MPH. Di MPH, Umar dan Huda masing-masing beli 3 buah buku.

Salah satu buku yang Umar beli adalah tentang bayi!

“Adik nak tahu tentang adik tecik-tecik. Nanti [s]tenang nak jaga dia”

Umar sangat sweet. Umar nak belajar tentang psikologi dan proses perkembangan/ pertumbuhan seorang manusia. Modelnya adalah Adam.


2.

Di Jusco, Adam merengek nak ‘berjalan’. Nasiblah bawa walker. Mungkin Adam satu-satunya kanak-kanak yang pernah guna walker di Jusco. Habis semua kedai dia nak masuk. Mujurlah orang tak ramai. Jadi, beranilah beri dia guna walker.

Huda belikan Adam sebuah buku tentang haiwan.  Adam nampak suka. Pegang buku tak lepas-lepas. Mujur juga tak ada staf MPH yang tegur Adam guna walker. MPH di Kinta City kecil.

Huda beli novel remaja. Novel cinta rasanya.

Umar: Kakak mana boleh baca buku tu. Kakak tecik lagi.
Huda: Daddy bagi. Adik jealous ye.


3.

Sengaja belikan Umar karya Faisal Tehrani. Nama Beta Sultan Alauddin tajuknya. Sebagai ayah, saya tak mahu terlalu mengesa Umar membacanya. Tapi, jika dia boleh hadamkan novel tersebut – Alhamdullilah.

Dulu Huda lebih banyak baca komik. Sekarang beransur-ansur membaca novel. Umar masih dengan komik. Ada juga dia membaca novel Inggeris. Sekarang dia mula baca bahan bacaan dalam bahasa Arab untuk memantapkan penguasaan bahasa yang di pelajarinya

Ada beberapa kali saya lihat dia bacakan kisah nabi untuk Adam.


4.

Saya beli 4 buku. Tiga buku politik dan senaskah buku motivasi. Buku politik tentang Anwar. Mesti awak rasa tak selesa, kan sayang? Saya beli Ampun Tunku, The Trail of Anwar Ibrahim, The End of Barisan Nasional: Malaysian Political Issue dan Unstoppable: The Incredible Power of Faith in Action

Saya mahu beli banyak buku lagi tapi malangnya kebanyakan buku menggunakan font yang kecil. Saya tak mampu lagi baca dengan font sedemikian.

Mulai 27/9 ini  MPH akan mengadakan sale. Saya pergi sehari sebelum promosi di jalankan. Saya tak begitu kisah jika tak dapat beli dengan potongan harga kerana sewajarnya ilmu perlu mempunyai harga yang baik.


5.

Ipoh semakin sunyi. Tidak semeriah dulu. Kawasan Jalan Tokong sudah banyak kedai di tutup. Begitu juga  dengan beberapa kawasan lain. Krisis ekonomi memberi impak yang tinggi kepada peniaga. Mungkin peniaga banyak yang gulung tikar atau berpindah ke negeri lain untuk mencari pasaran baru. Suasana malam di Ipoh tidak lagi seperti dulu.

Ipoh adalah bandar merbahaya untuk pemandu kerana pemandu Ipoh kebanyakanya memandu secara samseng. Jika anda takut-takut ketika memandu, sampai bila-bilalah anda tak dapat keluar simpang (misalnya)

Meletak kereta di Ipoh juga perlu berhati-hati. Anda akan di saman jika gagal meletakan kupon. Lewat 14 hari pembayaran dari tarikh saman perlu membayar RM 20. Jika melebihi 14 hari perlu bayar RM 30.

Kaunter di buka dari jam 7.45 pagi hingga 3.30 petang. Jika anda pergi sekitar jam 2.45, semua kaunter telah kosong malah di pintu masuk di paparkan papan tanda “Tutup”.


6.

Saya musykil. Kerajaan sediakan perkhidmatan meletak kereta dan kita perlu bayar untuk menggunakannya? Ini adalah salah satu cara  pihak Majlis Perbandaran/Bandaraya mencari duit.

Dari apa yang saya dengar, setiap saman yang di keluarkan (letak kereta tanpa kupon) dan apabila kita pergi membayarnya, pihak petugas (pekerja Majlis Perbandaran) yang mendapat wang tersebut. Begitu juga dengan sewa tapak pasar malam. Semuanya masuk ke poket mereka.

Malah, ada kawan yang pernah menaiki ETS mengatakan bahawa setiap denda lebihan berat beg yang di kenakan adalah menjadi milik petugas yang menyaman kita.

Katanya lagi – ini adalah undang-undang cara Malaysia. 

Benarkah?

Tuesday, September 25, 2012

[6]

You're the rainbow in my life...
and I love you so much!


Hujan lebat. Awak dapat tidur dengan lena. Saya cemburu.


1.

Saya rasa macam kelakar/tak percaya saya boleh rasa marah/bengang sebab awak tak nak timbang berat. Rasa lucu sangat. Pasal timbang berat, kalau pasal perkara lain tak apalah juga. Mungkin saya emosional sebab awak tak dengar cakap saya.

Saya rasa benda simple dan awak tak nak buat.

Awak pula nak bergurau tapi tersalah tempat.

Saya minta maaf. Saya tahu awak menangis sepanjang malam.


2.

Selalunya bulan September bukan musim hujan. Tapi sekarang hujan dari pagi sampai malam. Bila hujan malam tak dapatlah tidur sebab sejuk sangat. Tak pasang air cond/kipas pun masih sejuk.

Mujur awak ada :)

Sejak hujan sepanjang hari badan saya cramp dan sesak nafas menjadi-jadi.

Sejak semalam perut sakit. Tak tahulah kenapa. Gusi berdarah.


3.

Terima kasih untuk dua tiga malam awak teman saya tidur. Walaupun saya tak tidur lena tapi saya rasa selesa. Awak korbankan waktu tidur awak untuk saya.

Saya tahu, saya tak dapat lagi sembunyi rasa sakit saya yang semakin menjadi-jadi. Saya tak dapat bohong awak lagi walaupun saya cuba banyak kali.

Berkongsi rasa sakit dengan awak buat saya rasa lega tapi saya masih tak selesa.


4.

Kalau Aiman masih berkeras nak ambil Adam, saya tak fikir nak lawan Aiman. Saya tak nak Adam jadi mangsa. Mesti nanti Umar sunyi bila Adam tak ada.

Saya mesti rindukan Adam.

Mungkin Aiman betul-betul sayang Adam & tak tinggalkan Adam lagi. Mungkin Aiman boleh jadi ayah yang lebih baik dari saya.


Hujan lebat. Awak dapat tidur dengan lena. Saya cemburu. 

Tuesday, September 18, 2012

[5]


1.

Saya rasa ayam masak rendang yang buat saya sakit perut sampai dua hari. Saya bukan makan banyak pun – secarik dua. Mungkin perut saya sensitif.

Sambal belacan tak pedas yang Mak Cik Siti beli memang sedap. Rasa-rasanya makan nasi dengan sambal belacan pun dah cukup. Tapi Umar tak suka sebab tak pedas.

Rasa loya-loya lagi. Serik nak makan ayam rendang.


2.

Awak...saya tak nak pergi dialisis seminggu 3 kali boleh tak? Saya rasa macam tak selesa jumpa orang. Saya nak cari tempat dialisis tak ada orang. Saya tak suka orang pandang saya.

Nanti bila awak dah masuk kerja, kerja baik-baik. Saya harap awak kerja seikhlas hati. Jangan marah-marah, banyak senyum. Orang sakit pergi hospital jadi bertambah sakit – sakit hati.

Idea buka klinik sendiri tak best eh?

Okey.


3.

Banyaknya awak makan. Makan tengah malam pula tu. Selalu diet bukan main lagi. Kenapa saya tak tahu perempuan bila nak datang bulan akan makan dengan banyak?

Dalam-kes-perempuan-bila-nak-datang-bulan-makan-dengan-banyak-meliputi-semua-perempuan-ke-awak-seorang-saja?

Seronok tengok awak makan – macam semua benda sedap!

Awak pun sedap (meow)


4.

Awak memang cepat cair kalau kena pujuk - saya berjaya pujuk awak tidur dan tak temankan saya. Awak tak temankan pun saya tak kisah. Saya tahu awak penat.

Lagipun saya memang tak nak awak tengok saya sakit. Nanti awak menangis. Saya tak suka tengok awak menangis. Saya rela tanggung sakit seorang diri janji awak tak nampak.

Terima kasih temankan saya selalu.


5.

Awak sangat sweet. Awak sayang saya & nak simpan organ awak dalam badan saya. Saya nak tapi saya risau nanti ada kesan-kesan negatif pada awak.

Awak jaga organ awak baik-baik. Saya cuma seorang kekasih sedangkan ada beratus pesakit perlukan perkhidmatan awak.

Awak kena sihat supaya dapat sembuhkan ramai orang. Awak bantu orang sakit sama macam awak bantu sembuhkan penyakit saya.

Ingat selalu.


6.

Selamat malam sayang. Moga lena di buai mimpi.

xoxo

Saturday, September 15, 2012

[4]


 1.

Saya suka Istanbul. Istanbul cantik. Wanita Istanbul pun cantik belaka tapi merbahaya. Pak Arab memang teruk. Saya geram dengan Pak Arab yang cuba pegang-pegang awak. Macam nak cabul pun ada.

Agaknya sebab orang Arab gasarlah, Tuhan suruh Nabi Muhammad didik orang Arab menjadi lebih beradab. Semua orang tahu masyarakat Arab lebih teruk dari bangsa Eropah. Saya lebih senang ke Eropah dari ke Tanah Arab.


2.

Jujurnya saya belum fikir sepenuhnya mengenai pembedahan buah pinggang. Masih perlu cari penderma. Sains semakin maju. Kumpulan darah(?) yang tak sama pun masih boleh buat pembedahan – cuma perlu asingkan antibodi. Sekali 'cuci' untuk asingkan antibodi perlu bayar RM 9 ribu.

Harapan baru.


3.

Saya terharu awak nak dermakan kedua-dua mata dan buah pinggang untuk saya. Tapi...bukan itu yang saya mahu. Awak tahu, saya tak nak tengok awak yang derita, sakit. Saya tak boleh tengok awak dalam keadaan macam tu. Biarlah saya tanggung sakit. Asalkan awak ada dengan saya – saya okey.

Kasih sayang awak buat saya jadi kuat.


4.

Awak makan udang sambil fikirkan saya, kan? Eheeeeeeee masuk bilik cepat!




xoxo

Kasih



Saya sayang awak. Moga  rasa kasih saya pada awak tak akan padam sampai bila-bila. Moga ingatan saya tentang awak tak akan luput sampai saya menutup mata. 






Sayang selalu,
Abang

Sunday, September 09, 2012

Sinar


Abang baru habis sesi dengan psikiatri. Rasanya untuk 2-3 minggu tak akan ke mana-manalah. Memang tak ada hati nak ke mana-mana pun. Urusan dekat NY, Rasad boleh uruskan.

Pukul 2 petang nanti kena pergi hospital. Kena buat kimo. Doktor cakap sel barah dah merebak semula. Kalau buat treatment/makan ubat untuk kawal sel barah dari merebak dengan cepat. Masa waktu raya abang tak buat treatment. Ada sekali dua lupa makan ubat.

Masalah mata makin serius. Doktor suruh fikir lagi nak bedah ke tak. Kalau bedah, mata okey abang akan buta. Kalau tak bedah, mata sakit tapi lama-lama jadi buta juga. Sekarang pun mata selalu pedih. Abang makin susah nak membaca. Kebarangkalian abang akan jadi buta memang tinggi...

Minggu ni kelam-kabut sebab banyak benda abang ‘hilang’. Buku nota, jadual treatment, ubat, kaca mata, novel, fail – semua abang tak ingat letak mana. Padahal abang letak tempat yang sama. Abang terpaksa minta tolong Huda rekod/tulis dekat mana abang letak benda-benda tu. Bilik kerja dah penuh dengan label. Huda letakkan supaya tak lupa lagi.

Mungkin lepas ni abang kena buat dialisis makin kerap. Badan abang tak boleh lawan lagi agaknya. Nanti kita boleh bincang pasal pembedahan/pertukaran buah pinggang. Hari itu tak sempat nak bincang. Kos untuk dialisis meningkat. Tak tahulah kenapa. Ramai orang merungut. Dekat hospital mesin dialisis tak cukup. Umar cakap dia nak cari dana. Dia nak beli mesin dialisis letak dekat hospital.

Abang minatlah rumah dekat Meru Hills/The Thompson. Okey, abang lagi minat Vasana. Abang cuma minat. Belum bercadang nak beli. Jumaat/Sabtu lepas ada rompakan dekat kawasan rumah. Empat perompak, semua orang Indonesia. Semua perompak mati kena tembak.

Hari ini Pak Mad yang bawa abang. Don pergi interview.

xoxo

Sunyi


Saya tahu awak marah dengan saya. Dari semalam saya belum dapat satu e-mel pun. Mungkin awak tak ada internet. Tak apalah. Saya tak marah. Mungkin saya silap...

Saya minta maaf kalau saya buat awak terasa. Saya minta maaf kalau buat awak rasa cemburu/ada saingan. Saya cuma berkawan dengan dia. Saya cuma kenal dia melalui forum. Saya minta nombor dia untuk simpanan. Ada sekali dua dia hubungi saya bertanya khabar. Ada sekali dua dia ajak saya YM. Mungkin untuk bincangkan beberapa hal.

Saya tahu batas saya. Saya tahu saya tak patut SMS orang perempuan tengah malam. Cuma sekali itulah. Kebetulan masa dia ajak saya online saya sakit kepala. Dua kali saya terpaksa menolak. Kelmarin saya rasa lapang dan kepala tak sakit. Jadi saya ajak dia online. Sambil borak-borak saya boleh siapkan kerja. Saya taklah cari dia untuk temankan saya siapkan kerja. Itu cuma selingan. Saya cuma berbasa-basi mengajak online lepas dua kali saya menolak. Itu saja.

Mungkin saya rasa sunyi... Saya cuma ada awak. Awak satu-satunya kawan yang saya ada. Awak juga sebahagian dari kehidupan saya. Saya ada awak untuk bergaduh, berdebat dan mengusik. Saya rasa awak pergi lama sangat. Saya rasa sunyi. Saya kena cari kerja untuk isi masa lapang saya. Saya tak nak selalu ingat awak sebab saya tak nak ganggu awak dekat sana. Kadang-kadang saya rasa selfish. Memang orang lelaki tak boleh di tinggalkan lama-lama. Orang lelaki bila sunyi dia akan cari pengganti untuk hiburkan hati.

Orang lelaki mudah jatuh hati lebih-lebih lagi bila dia kesunyian. Saya tak jatuh hati pada mana-mana perempuan. Saya ada awak. Saya ada awak untuk melengkapi keseluruhan hidup saya. Saya tak perlukan sesiapa selain awak.

Saya minta maaf untuk kesekian kalinya...

xoxo

Friday, September 07, 2012

Lagi 4 Hari


Hai sayang,

1

Tak banyak benda yang abang buat. Tak sempat pergi dialisis pagi tadi. Abang tidur lambat. Adam tidur pukul 4.30 pagi. Kemudian pukul 5.15 Umar bangunkan abang. Kena mandi, pergi masjid – dengar tazkirah. Nasiblah Umar tak bangunkan Adam. Kalau tak lagilah abang kelam-kabut.

Adam macam Umar juga suka berjaga malam. Tengok kartun, bacakan dia buku cerita, ajak main baru dia nak tidur. Umar cakap Adam nakal tak macam dia waktu kecil. Tapi abang rasa macam Umar lagi aktif. Umar tak nak mengaku dia dah besar. Masih bahasakan diri “adik”.

Huda pun panggil dia adik juga lagi.

Erm...Aiman minta Adam semula. Dia cakap dia rindukan Adam. Dia rasa tak seronok Adam tak ada dengan dia. Dia rasa macam ada yang tak kena. Abang pun tak tahu nak respon macam mana. Abang kesian dekat Adam. Macam bola kena tendang sana sini. Hak penjagaan pun dah dapat.

Umar macam tak seronok dengan pasal Aiman nak ambil Adam semula. Mungkin dia dah selesa dengan Adam. Dia ada kawan nak main, nak gaduh. Sekarang bila petang tak keluar pergi taman. Main dekat rumah. Umar tak nak Adam cedera kalau pergi taman. Dahsyat Umar jaga si Adam tu.

Minggu ni pagi sampai petang dengar lagu Maher Zain. Umar dah ada geng. Bila vote lawan Kakak, dia gunakan “vote” Adam yang kononnya menyebelahi dia. “ Adam cakap dia nak dengar lagu Maher Zain”. Jadi Kakak dengan Daddy terpaksalah akur. Tak boleh dengar lagu lain.


2

Kalau Aiman nak semula Adam macam mana, sayang?

3

Awak cemburu sayang? Haih...mana ada abang mengorat. Well, abang tahu abang handsome, kacak lagi bergaya tapi abang tak ambil kesempatan walaupun abang ada mulut manis. Jadi, janganlah cemburu. Hee...marah/merajuk sungguh ye?

Haa...siapa suruh awak tinggal saya lama sangat?

*seronoktengokawakcemburu*


xoxo

Sunday, September 02, 2012

Istanbul


Hai sayang,

1

Curi-curi nak menulis. Kerja banyak sangat tapi sempat tengok kalender. Lagi 9 hari awak balik. Okey, saya pangkah tarikh-tarikh dekat kalender tu. Saya harap semua dah okey. Serbia memang kena pakai visa. Nasiblah tak kena halau dari train. Kalau tak, saya lagi susah hati. Kesian awak, tak dapat lawat Sarajevo & Bosnia. Pelan asal dah lari, bajet, tempat penginapan pun kena cari lain.

Nasib juga bawa duit lebih. Bila jadi macam ini lagi banyak duit keluar. Nak jimat pun susah. Tak pasal-pasal kena keluar duit lebih beli tiket, sewa tempat penginapan. Saya patut puji laluan alternatif yang awak pilih. Alternatif pergi Istanbul nak train memang sebaiknya. Lepas tu ambil flight pergi Dubrovnik kemudian ke Zagreb naik bas. Kemudian, macam awak cakap,  boleh teruskan perjalanan ikut yang di rancangankan.

Istanbul memang cantik - ada Blue Mosque, Hagia Sophia, Topkapi Palace. Rasanya 3 tempat yang wajib di lawatilah. Saya rasa macam nak bawa anak-anak lawat Turki/India/Mesir. Tapi sekarang kerja banyak.


2

Lepas membeli-sampai-tak-ingat-dunia di BookXcess, Ocio ajak konvoi pergi Johor esoknya. Memang kerja gila. Rasanya lebih kurang 7/8 jam perjalanan. Habis sakit badan duduk lama sangat dalam bas. Adam pun merengek  sepanjang perjalanan -  dia nak main dengan Umar tapi tak boleh. Tapi Umar pandai! Dia guna iPhone Pak Long ajar Adam main game . Lepas itu Adam tak lepas-lepas pegang iPhone Pak Long.

Sampai Johor terus lawat kubur Mak. Tidur sana satu malam. Ada yang tidur merempat dalam bas sebab hotel penuh. Rumah Mak tak muat menampung semua orang. Kemudian pergi Singapore jalan-jalan. Malam terus balik KL.

Rancangan nak tengok sambutan hari kemerdekaan tak jadi. Malam merdeka, Ocio baca doa kesyukuran. Kemudian Ocio ajak semua orang berselawat. Sambutan yang ringkas.

Hari Sabtu pergi berkelah – Lata Kinjang! Umar takut nak mandi. Air sungai sejuk katanya. Adam asyik nak terjun masuk sungai. Lepas tu Umar gatal-gatal renjis Adam. Adam tak nak duduk diam dah.


3

Seronok rindu-rindu awak dari jauh. Jaga diri sayang.


xoxo