Wednesday, February 06, 2019

Sebuah dunia

Hara masih merajuk dengan abang? Abang tak ada pilihan. Dalam rundingan perniagaan, semua ini perkara biasa sahaja - tak melibatkan hati dan perasaan. Kalaupun abang bukan seorang lelaki yang baik, belum pernah abang hinggap di sarang larangan. Usai sahaja rundingan, mereka mengajak abang menghadiri dinner. Abang pergi atas tuntutan kerja. Memanglah dalam apa-apa urusan baik politik mahupun perniagaan; perempuan dan arak wajib ada. Semalam abang disajikan dengan tarian gelek padang pasir. 

Begitulah dunia ini berputar. Hatta di dunia Islam, tak pernah ada rundingan di buat di masjid. Dunia tak pernah berputar mengikut citarasa kita. Untuk terus bertapak, kita yang harus mengikut rentak dunia. Abang punya prinsip dan abang memegangnya dengan erat. Ada orang kata, prinsip tak akan bawa kita pergi jauh; sekali-sekala kita perlu menggadaikannya. Abang di asuh supaya berpegang pada prinsip dan mempertahankanya walaupun kadang-kadang kerana prinsip kita mengalami kerugian dan di ketepikan. 

Lumrah dunia tak akan ada yang setia dengan kita selamanya baik isteri, kawan-kawan, keluarga mahupun saudara. Beruntunglah jika kita punya seseorang yang kekal setia menempuh segala ranjau dunia. Abang punya kawan yang pernah kesempitan wang, bakal di isytihar bankrap jika gagal membayar pinjaman bank. Dia meminta pertolongan dari kawan baiknya kira-kira RM 140,000. Hara tahu berapa yang perlu dibayar setiap bulan kepada kawannya itu? RM 12,000 untuk 9 tahun! 

Kawan baiknya mengaut keuntungan. Ketika kita dalam keadaan terdesak, kesempitan, waktu itulah orang di sekeliling kita akan mengambil kesempatan. Kawan abang tak punya pilihan kerana dia telah rugi RM 4.7 juta jadi mahu tak mahu dia terpaksa juga bersetuju untuk mengelakkan diri dari di isytihar muflis. Beginilah dunia ini berputar. Dunia ini dipenuhi manusia kejam yang tak berhati perut. Orang-orang yang rapat dengan kitalah yang selalu berbuat jahat kepada kita. Mereka jugalah yang selalu membuat onar.

Dunia perniagaan adalah sebuah dunia yang kejam penuh dengan hasad dengki dan iri hati. Kita tak boleh mengambil pusing tentang semua perkara. Ada perkara-perkara yang perlu kita kesampingkan. Dalam perniagaan, menjaga hubungan baik dengan semua orang adalah perlu. Kita berniaga, kita mencari kawan bukan lawan. Kita punya beribu kenalan dengan bermacam-macam watak lakonan. Tentu sahaja kita tak boleh layan semuanya. Kita harus bijak menyaring kenalan, kawan, rakan kongsi untuk membina jaringan. 

Hara harus tahu arena perniagaan di penuhi dengan manusia yang suka mengambil kesempatan, menikam dari belakang, memijak orang lain untuk maju ke depan, tak jujur dan amanah. Bila-bila masa sahaja kita boleh dipijak hingga mati. Mereka tak punya belas kasihan kerana perniagaan adalah wang sungguhpun kita telah lama mengenali dan menjadi kawan baik mereka. Atas sebab inilah abang tak punya ramai kawan. Abang punya lingkungan kawan yang kecil. Agaknya abang sudah malas melayan kerenah orang. 

Jumpa hari Jumaat, sayang!






Sheikh Zayed Mosque, Abu Dhabi, United Arab Emirates
10.01 pagi, 6 Februari 2019

Tuesday, February 05, 2019

Cleopatra

Sayangku Cleopatra,
tahukah engkau
dalam setiap hela nafasku
yang ku mahu
hanya harum
tubuhmu.






Tbilisi, Georgia - Abu Dhabi, UAE
8.30 pagi, 5 Feb 2019






PS: دايب فيك

Monday, February 04, 2019

Secangkir teh panas

Sayangku, Lambchop

Abang masih di Tbilisi. Semalam abang jalan-jalan di kota. Kota Tbilisi merupakan ibu negeri Georgia. Reka bentuk bangunannya banyak dipengaruhi seni bina Asia Tengah, Era Stalin, Neo-Klasik dan Zaman Pertengahan. Kota ini wujud sejak kurun ke 5. Banyak tempat menarik untuk di lawati. Abang memilih ke Prospero’s Books and Caliban’s Coffeehouse. Di sana abang beli beberapa buah buku antaranya The Philosophy Book (Gregory Bassham), Caucasian Battlefields: A History of the Wars on The Turco-Caucasian Border 1828-1921(William Edward David Allen Paul Muratoff), Asia Minor Syria and Armenia (Richard Evans), The Oil and The Glory: The Pursuit of Empire and Fortune on the Caspian Sea (Steve Levine), Stalin and His Hangmen (Donald Rayfield), The House of the Dead: Siberian Exile Under The Tsars (Daniel Beer) dan Georgian Script & Typography

Kedai buku ini mempunyai sebuah kafe yang menyajikan aneka kopi yang terdapat dalam pelbagai campuran antaranya biji kopi dari Haiti, Brazil, Columbia, Indonesia, dan Kenya. Kafe ini turut menghidangkan aroma teh yang di import dari serata dunia. Antara yang menarik perhatian ialah Madagascar Coconut White Tea, Moroccan Mint Green Tea, Ceylon Supreme Black, dan Apricot Rooibos Herbal Tea. Sepanjang berada di kafe ini abang membayangkan kita berdua menikmati kopi dan teh panas sambil memilih buku. Oleh sebab itu, abang telah menempah beberapa gram daun teh yang telah di proses (sebahagianya dalam bentuk serbuk) untuk di bawa pulang supaya kita dapat menikmatinya bersama-sama. Makna kebahagiaan yang sebenarnya adalah berkongsi apa sahaja dengan orang yang kita cintai, umpamanya secangkir teh panas.

Abang rindu Hara. 





Sayang sepenuh jiwa,
Marshmallow











Tbilisi, Georgia
3 Feb 2019, 8.40 malam

Friday, February 01, 2019

Futuhul Ghaib

Hai Hara!

Abang selamat tiba di bumi Georgia... Kerja berjalan dengan baik. Cuaca juga amat menyenangkan. Sebelum abang terlupa, terima kasih siapkan keperluan abang. Semua suit yang Hara pilih ternyata amat berpadanan dengan acara yang akan abang hadiri. Tentulah abang teruja kerana ini adalah kali pertama Hara siapkan beg pakaian abang.

Maafkan abang atas jadual kerja yang padat. Abang tak dapat luangkan banyak masa bersama Hara dan anak-anak. Abang harap Hara faham. Tugas dan tanggungjawab yang abang pikul selalu memaksa abang bekerja lebih masa di luar negara. Mudah-mudahan Hara dapat sesuaikan diri dan menerima jadual kerja abang seadanya. 

Hara sedang buat apa? Abang menyambung bacaan kitab Futuhul Ghaib karya Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani. Abang suka kitab karangan beliau - mudah di fahami walaupun kadang-kala abang terpaksa merangkak membacanya. Karya-karya beliau sungguh baik untuk di tekuni. Kitab ini akan selalu bersama abang untuk jangka masa panjang. 

Abang rindu Hara, rindu banyak sangat. Abang suka merindu dari jauh. Kata orang, merindu dari jauh lebih intim dan nikmat. Bagi abang pula, merindu dari jauh sesuatu yang manis kerana kita tak sabar-sabar ingin pulang ke pangkuan orang yang kita sayang. Abang rindu Hara sedalam-dalamnya. Jaga diri baik-baik sayang. Rehat secukupnya. 

I feel you
in the sunsets I watch
in the road trips I take
in the books I read
in the songs I hear
in the breeze I feel.

I feel you -
in the things
that make me
the happiest.


Tanpa Nama






Lelaki di sudut hatimu,
Abang




Tbilisi, Georgia
31 Januari 2019, 8.30 malam