Wednesday, May 29, 2013

Harapan

1.

Pemilik bangunan telah pulangkan RM 20,000.00. Dia cuma ambil RM 2000.00. Katanya saya lebih perlukan wang ini. Syukur. Ini bukan rezeki saya. Ini rezeki kanak-kanak yang saya ingin berikan pendidikan percuma.

Saya masih belum jumpa rumah yang sesuai. Rumah yang ada kelihatan terlalu elit. Kanak-kanak dan pelajar sekolah pasti menghadapi masalah dengan pengawal keselamatan. Kawasannya juga tidak begitu sesuai.

Buat masa ini saya masih mengajar di Taman D.R. Masih berteduh di bawah pokok sambil mengajar ABC. Kadang-kadang berkongsi cerita tentang banyak perkara. Saya mengajar mereka selama sejam.


2.

Saya tidak akan menggunakan apa-apa kurikulum untuk pusat komuniti ini. Tapi saya fikir elok juga saya mengajar mereka subjek asas yang di ajarkan di sekolah. Saya ingin mereka menduduki UPSR walaupun saya tidak begitu setuju dengan peperiksaan ini di jalankan di peringkat sekolah rendah.

Saya bercadang untuk mengajar subjek Sejarah dan Peradaban, Kesasteraan dan Astronomi. Subjek ini saya kira penting untuk menjadikan kanak-kanak ini berdaya saing, bersahsiah dan berfikir di luar kotak. 

Saya mahu mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Oleh itu, saya bercadang mewujudkan sesi bercerita setiap dua minggu.


3.

Untuk remaja sekolah menengah pula saya bercadang memperkenalkan kelas bahasa asing. Sudah ada dua orang guru yang sedia memberi kelas secara percuma kepada remaja ini. Saya memilih bahasa Mandrin.

Selain itu, saya turut bercadang memanggil guru muzik untuk melatih pelajar sekolah yang berminat bermain alat muzik. Saya akan sediakan sebuah studio khas untuk jamming. Jadi, tak perlulah mereka membazir wang menyewa studio di luar.

Studio itu perlu di buat kalis bunyi supaya tidak menganggu sesi  pembelajaran yang lain. Setiap hari Khamis, seorang ustaz akan datang mengajar Quran dan memberi penerangan berkaitan agama kepada pelajar sekolah dan kanak-kanak yang terpinggir ini.

Saya tahu sesetengah pelajar tidak begitu minat belajar. Mereka meminati bidang kemahiran. Jadi, saya bercadang untuk  menghantar mereka menghadiri kelas membuat cup cake, mendandan rambut dan kelas solekan. Saya tak mahu mereka terus di labelkan sebagai pelajar kelas tercorot yang tak mempunyai harapan.