Thursday, May 30, 2013

Anak-Anak Syurga



1.

Huda masih sibuk dengan lukisan dan kebun. Bila petang, dia akan mencuba resepi baru. Huda suka masak dan Umar suka makan (dengan sedikit bebelan tak sedap, hangit tapi habis juga makan). Sekarang Huda ada pembantu baru iaitu Adam. Adam suka ke dapur tolong Huda. Kadang-kadang muka penuh tompok-tompok tepung, baju comot. Umar akan bising. 

Huda akan menyertai pameran lukisan bulan Jun ini di Jerman. Persiapan tinggal sedikit sahaja lagi. Lukisan hampir 80% sudah siap. Kerja kraf di tinggal sekejab untuk beri tumpuan pada lukisan. Bila Huda ke Jerman nanti mesti Umar akan demam lagi. Umar tak boleh berjauhan dengan kakak dia. Mesti Adam pun akan rindu Huda.

Hari ini Huda tak menjual sayur. Sayur yang baru di petik Huda sedekahkan kepada beberapa buah badan kebajikan sekitar Ipoh. Hari ini si comel Adam turut serta. Dengan topi koboi (yang besar) dan kasut boot ala Phua Chu Kang Adam turun membantu Huda. Umar seperti biasa (buat-buat) sibuk.


2.

Adam semakin aktif. Sudah pandai bertutur dalam ayat pendek-pendek. Subuh lagi ke masjid kemudian ke taman bertaici. Pukul 8.30 pagi ke pasar membeli ikan dengan Mak Cik Siti. Adam suka ke pasar. Kalau tak ke pasar dia akan ikut Huda ke kebun. Huda akan bagi upah sebanyak RM 5.00 sehari. Lepas beli ais krim, baki, dia akan simpan dalam tabung. 

Berbanding Umar, Adam suka dengar dan tonton kisah fairy tale. Tiga kali dalam seminggu, saya akan bacakan dia kisah-kisah Nabi. Dan, yang paling berbeza, Adam suka tengok cerita cinta. Sekarang Adam tak tengok cerita Adam & Hawa lagi (syukur). Agaknya cerita semakin lewah dan Adam jemu menontonnya (daddy terheret sama menonton kerana kena teman Adam).

Ambil kesempatan perkenalkan beberapa cerita cinta dengan tema yang pelbagai – kemanusiaan, alam sekitar, pendidikan dll. Semalam menonton Laskar Pelangi. Adam suka. Biasanya, bila Adam bangun untuk  minum susu sekitar jam 2.00 pagi – dia tak mahu sambung tidur. Jadi, kami akan menonton beberapa drama antaranya Demi Tuhan Ku Izinkan, Cinta dari Kaabah, Kau Bukan Maryam.

Adam suka sesuatu yang kompleks. Dia suka peta dan rumus fizik. Pernah Adam menyusun buku (seperti bantal) dan tidur di atasnya.


3.

Umar tak suka pergi kebun sebab panas. Dia lebih selesa duduk-duduk di balkoni dan baca buku sambil dengar lagu dan minum teh tarik. Umar semakin banyak pertanyaan dan inginkan jawapan. Umar jarang buang masa menonton tivi. Dia hanya menonton saluran yang di minati seperti History Channel, Discovery, National Geography, CSI, NCIS, Hawaii Five – O, Medium, The Mentalist, Criminal Minds, Law & Order, The Chicago Code, Sherlock dan rancangan berteraskan penyiasatan. 

Dalam usia yang masih kecil memang banyak persoalan yang dia mahukan jawapan. Beberapa kali saya di asak dengan pertanyaan tentang kebuluran, penindasan, hak asasi manusia, politik perkauman dan bermacam hal lagi. Dia juga mahukan jawapan tentang dunia yang wujud ribuan tahun dulu. Dia ingin tahu tentang dinasor, Kaum Nabi Lut, dan perkara-perkara mengenai sejarah manusia.

Sudah beberapa bulan, sebelum dia tidur, dia akan katakan:

Umar: Daddy, adik ada buat daddy tecik hati tak?
Daddy: Tak ada. Umar kan good boy.
Umar: Kalau adik ada buat daddy tecik hati adik minta maaf. Adik tak nak jadi anak delhake. Adik tak nak masuk nelake.

Dua hari lepas, sebelum tidur dia bacakan saya surah Al-Baqarah 2:155 yang bermaksud:


“And We will surely test you with something of fear and hunger and loss of wealth and lives and fruits, but give glad tidings to the patient”