1.
Dapat panggilan
dari orang media. Katanya nak buat temubual dan masuk tivi. Kena cerita tentang
latar belakang, kanser, orang-orang penguat semangat dan sebagainya. Saya
jadi marah. Marah sebab kanser yang saya alami di jadikan bahan untuk tarik
perhatian penonton. Sesetengah orang agak terbuka bila bercakap tentang
penyakit yang mereka alami. Sesetengah orang terbuka berkongsi kisah menjaga
isteri/suami yang menderita sakit.
Kalangan ini
memang wujud. Media suka menjual cerita begini. Tak kiralah media cetak atau
media massa. Semuanya bermotifkan meraihkan simpati dan mahukan rating tinggi.
Itu memang kerja media. Program Bersamamu memaparkan kemiskinan orang Melayu.
Kemiskinan dan keterpinggiran yang terbiar dan tak terbela dan kita
menyukainya. Melihat orang miskin menghiburkan. Masakan tidak.
Program ini mendapat liputan yang meluas. Tanpa program ini pun, kerja amal
masih boleh di jalankan. Media hanya sebagai penyebar maklumat bukan peraih
simpati.
2.
Ada beratus ribu
orang mengidap kanser. Ada berjuta orang kebuluran. Ada berpuluh ribu orang di
tindas. Zack menghantar video, pak-pak Arab dari Jordan, Qatar dan Saudi membeli (menculik)
gadis yang masih kecil di Kem Pelarian Syria untuk di kahwini. Video ini
sudahpun tersebar. Saya tak dapat menontonnya hingga habis. Apa sahaja yang
kita mampu lakukan? Seseorang/sekumpulan manusia harus lakukan sesuatu jika
kita mahukan perubahan. Perubahan tak akan datang jika kita berpeluk tubuh dan
mengharap orang lain melakukannya. Gadis-gadis remaja ini tidak berani hatta ke
tandas bila matahari sudah terbenam. Bayangkan sahaja betapa mereka dalam
ketakutan.
Khabarnya Boboy
cedera ketika memberi bantuan. Anak kecil ini memberi sepenuh tenaga membantu
orang yang memerlukan. Saya masih ingat dia membuat kempen USD1 di kawasan
kediaman, sekolah, badan kerajaan untuk membantu orang Afrika mendapatkan air
menerusi sistem saliran. Ketika itu dia hanya berusia 5 tahun. Ketika
kanak-kanak lain sibuk bermain di padang permainan, dia di Afrika membantu Zack
memberi bantuan makanan dan perubatan. Masanya banyak di habiskan di kem
pelarian. Kerana itulah sifatnya amat berlainan sekali. Dia jadi begitu peduli
dengan nasib orang terbiar dan terpinggir. Dia mahu lakukan perubahan dan dia
tak menunggu orang lain melakukannya.
3.
Saya tidak akan
menerima apa-apa temubual dari mana-mana pihak pun. Saya selalu prejudis dengan
media kerana media gemar memperguna manusia. Media gemar bermain dengan emosi
kita dan selalunya kita terpedaya. Jika kita ingin membantu manusia lain, bantulah
secara bermaruah bukan memperguna mereka untuk kepentingan diri. Janganlah memperlihat
manusia lain sebagai badut untuk di sarkaskan di depan televisyen. Ia sesuatu
yang tidak bertamadun. Manusia yang bertamadun akan menjaga adab dengan manusia
lain, tidak memperbodoh atau memperlihatkan bahawa manusia itu sangat inginkan
simpati dan belas kasihan.