Sunday, July 07, 2013

Setiap detik bersama awak, saya rasa bahagia.



1.

Saya jatuh cinta lagi. Berkali-kali setiap hari. Beberapa hari awak berada di rumah dan menemani saya sentiasa – setiap detik dan saat, dari buka mata ketika matahari belum bersinar hingga tutup mata ketika saya mahu tidur. Ia sesuatu yang indah. Saya kira jatuh cinta kali ini sangat berbeza. Saya merasa kelainannya.

Jadual kerja saya “kucar-kacir” sejak awak ada dengan saya, sejak awak “bercuti”. Tak, saya tak maksudkan awak menggangu kerja saya. Jauh sekali. Saya yang tak mampu uruskan jadual harian saya. Saya rasa kali ini saya gagal mengatur hidup (jadual) – sebabnya; saya tak mahu berjauhan dari awak. Beberapa kali saya ponteng dialisis dan kerja saya yang berminggu-minggu masih belum siap sepenuhnya. 

Saya tak pernah tangguhkan kerja sebegini lama. Saya tak pernah rasa malas sebegini rupa. Saya tak pernah biarkan diri saya betul-betul hanyut dalam arus cinta awak meskipun seawal perkenalan kita dulu. Sekarang saya percaya cinta mampu membuatkan manusia gila dalam kecintaannya.


2.

Saya rasa sukar untuk mengungkapkan segala-galanya. Sukar untuk menulis perasaan sendiri. Sukar hingga saya rasa kehilangan patah perkataan untuk menulis. Sukar hingga saya rasa semuanya saya mahu simpan sendiri. Merasainya sendiri tanpa mahu berkongsi dengan sesiapa kecuali awak. Ia sesuatu perasaan yang amat peribadi. Sesuatu yang hanya saya dan awak sahaja yang tahu. Saya mahu kekal begitu.

Menyintai awak buat saya sungguh bahagia. Awak segala-galanya buat saya. Mujurlah awak bekerja. Kalau tidak tentu saja saya tak mahu buat apa-apa kecuali peluk awak erat-erat dan baring diam-diam. Baring diam-diam dan pandang awak yang nakal dan manja yang selalunya menggoda. Pasti kita punya anak yang ramai, satu team bola sepak. Pasti. Dan seperti kata awak, kita akan makan pasir dan batu kerana masing-masing malas bekerja. 

Saya gembira melihat awak seperti sediakala. Awak yang comel, manis, manja dan kadangkala menggoda. Saya gembira melihat awak tak lagi tertekan dengan kerja, tak lagi sedih. Saya harap semangat awak kembali pulih.


3.

Seperti yang saya janjikan, hari ini saya akan siapkan kerja. Bila kerja sudah siap, saya boleh duduk diam-diam dengan awak sehari suntuk. Saya tak rasa jemu. Saya jadi rindu (walaupun awak hanya ke dapur untuk masak). Saya tahu saya anggau (yang agak kritikal) terutama beberapa minggu awal. Saya mengaku saya jatuh cinta lagi dengan awak.

Setiap detik bersama awak, saya rasa bahagia.