1.
Beberapa minggu
lepas saya memang nak tanya tentang blog kita. Saya tak dapat akses. Saya tak
ingat e-mel dan password yang saya
gunakan untuk akses. Awak cakap awak nak delete
blog kita. Awak delete tak? Saya rasa
tak (sebab awak suka simpan benda-benda nostalgia). Saya nak akses guna e-mel awak boleh tak?
Saya bosan. Wad
tak pernah mengembirakan. Saya tak ada mood nak baca novel. Saya tak ada mood
nak baca akhbar. Saya tak ada mood nak buat apa-apa pun. Doktor belum benarkan
saya balik. Awak...saya nak lari dari wad macam selalu boleh tak?
Doktor psikiatri peribadi datang pagi tadi. Dia cakap esok dia akan pindahkan saya ke wad Psikiatri dan
Kesihatan Mental. Saya tak nak. Saya nak balik rumah. Saya tak cederakan orang pun.
Macam mana saya nak cederakan orang pun. Saya cuma ada sebelah mata yang kabur dan sebelah tangan yang tergetar-getar. Dari pinggang sampai bawah langsung tak boleh bergerak. Cederakan diri sendiri pun saya tak mampu. Saya tahu saya berada di bawah pemerhatian sekarang.
2.
Awak...terima
kasih temankan saya malam tadi. Saya tak tidur. Saya tengok awak tidur. Mesti
awak penat seharian di wad. Saya minta maaf. Saya tak patut minta awak temankan
saya setiap malam sedangkan saya tahu awak keletihan. Sebahagian dari diri saya
mahu awak temankan saya. Mungkin kerana awak mampu hapuskan kesunyian saya.
Saya minta maaf
kerana masih gagal memahami kerjaya awak. Saya tak mahu jadi seperti Afiq. Afiq
sudah bercerai. Afiq cakap dia tak boleh lagi nak teruskan. Afiq merungut sebab
kadang-kadang hampir 2 minggu dia tak dapat jumpa isteri dia. Bila dia cuti,
isteri dia kerja. Bila isteri dia kerja, dia cuti. Afiq bercerai bukan sebab
dia ada orang lain. Dia cuma tak nak hidup macam orang asing dalam sebuah
keluarga.
Kamal tak macam
Afiq. Kamal ada perempuan lain. Kamal tak bercerai. Isteri dia pun doktor juga.
Kamal cakap dia sunyi. Dia cuma main-main mata dengan seorang perempuan dan
akhirnya dia terjerat. Kamal kata dia bukan sayang sangat dengan perempuan itu –sekadar
tempat menghilangkan kesunyian. Tapi ya, Kamal tetap ada perempuan lain di
belakang.
3.
Saya harap saya
dapat jadi seperti Daddy yang sentiasa menjadi pendorong paling setia di sisi
Ummi. Saya tak pernah dengar Daddy merungut kalau setiap hujung minggu Ummi tak
ada di rumah. Saya tak pernah dengar Daddy bermasam muka tentang kerjaya Ummi.
Sangkaan saya
meleset. Daddy walaupun bukan ayah yang terbaik untuk saya masih lagi seorang
suami yang baik untuk Ummi. Tak hairanlah kalau Ummi amat menyayangi Daddy
walaupun saya selalu meraguinya.
Betapa saya merindui mereka...