Al-Ghazali menegaskan bahawa qadar Ilahi merupakan ketentuan yang sarat dengan hikmah, tanpa sebarang kejadian berlaku secara sia-sia. Setiap peristiwa yang menggembirakan adalah ni‘mah (nikmat) yang menuntut syukr (kesyukuran), manakala setiap peristiwa yang menyakitkan adalah bala (ujian) yang menuntut sabr (kesabaran). Dalam Iḥyaʾ ʿUlum al-Din, khususnya Kitab al-Ṣabr wa al-Shukr, beliau menekankan bahawa nikmat dan musibah merupakan dua sisi daripada satu ketetapan Ilahi. Kedua-duanya berfungsi sebagai jalan untuk penyucian jiwa dan pendidikan rohani, agar hati manusia sentiasa kembali kepada Allah.
Al-Ghazali menyatakan “Seorang hamba tidak terlepas daripada dua keadaan; sama ada nikmat atau bala. Jika berada dalam nikmat, maka kewajipan ke atasnya adalah bersyukur. Jika berada dalam bala, maka kewajipan ke atasnya adalah bersabar. Dengan demikian, setiap keadaan merupakan peluang untuk mentaati Allah.” Menurut al-Ghazali, kesyukuran terhadap nikmat bukan sekadar pengakuan lisan, tetapi penerimaan hakikat bahawa nikmat tersebut adalah anugerah Allah yang mesti digunakan pada jalan ketaatan. Kesabaran terhadap musibah bukan sekadar menahan keluhan, tetapi menyedari ia jalan Allah menghapus dosa dan meninggikan darjat.
Toronto, Canada
September, 2025