Friday, December 13, 2024

Tangguh

Setiap hari aku berazam untuk menghubunginya, namun rasa itu aku tangguhkan. Aku rindu semuanya. Dia yang manis, putih bersih kulitnya. Merdu suara, jika ketawa terdengar riang. Rasa dan rindu ini aku pendam dalam-dalam. Kalau dulu, aku selalu memohon agar dia jadi milikku, tetapi kini tidak lagi. Kata Ustaz Zamrul Idrus, kita hanya boleh mohon di jodohkan dengan seseorang yang halal di nikahi. Dia isteri orang - haram untukku, hatta memohon untuk di satukan. Hati aku hancur luluh…

Aku tidak pernah berbohong. Rindu ini sakit. Melawan rasa rindu, pasrah akan takdir lebih menyakitkan. Aku masih menyimpan hasrat untuk menghubunginya atau sekadar menyambung silaturrahim melalui emel, tapi semuanya aku tangguhkan dari sehari ke sehari. Itulah cara aku menjalani hidup - memujuk hati yang sarat dengan air mata. Rindu ini untuknya, tapi Tuhan mentakdirkan dia bukan milikku. Setiap kali jam berdetik 9 pagi atau 10/11 malam - ingatan aku pantas berlari mengingat dia yang jauh di sana.

Aku rindu dia yang manis, tapi aku tahu rindu ini harus pupus. Kata sebuah petikan puisi dari Kita Yang Bercerita, 'Aku merindukan seseorang yang seharusnya kulupakan'. Ketika di Parque Central de Antigua pada 7 September lalu, Ara bertanya 'Tapi manusia suka dengan kenangan. Kenapa, abang?'. Jawabku, 'Kenangan kekal walau hati berubah. Kadang-kadang kita yang tak mahu melupakan, kita yang tak mahu sembuh.' Kataku lagi, 'It's like pain is the only connection between you and the memory'.

Ara membalas 'But it hurts, abang'. Ya, benar. 'If it’s worth it, people don’t mind suffering because it’s worth it'. Aku memetik kata-kata Haruki Murakami, 'I can bear any pain as long as it has meaning.' Ara menyambung pertanyaan 'Why do people pick pain for memories that hurt them?'. Aku tak punya jawapan yang tepat, tapi aku cuba jelaskan sesuatu. 'Maybe memories are treasures that we hold close to our hearts. The busyness of the world can't stop our thoughts from remembering all those bittersweet memories.'

Begitulah aku memberi jawapan sambil mataku memandang langit mengingat seseorang yang tak pernah lekang dari ingatan. Kesabaran itu kata Saidina Ali ada dua: Sabar atas sesuatu yang tidak kau ingini dan sabar menahan diri dari sesuatu yang kau ingini. Kesabaran itu bukan hanya sekadar menunggu, tetapi melibatkan cara kita mengawal diri dan emosi terhadap sesuatu yang berlaku. Sabar itu mudah di ucapkan, tetapi sukar di lakukan. Kata-kata yang ringkas tapi dalam maknanya.

Sekarang Ara berkerja di kampus. Setiap kali memikirkan hal itu, aku rasa tertekan. Barangkali aku membayangkan tanpa pengetahuanku, Ara mempunyai orang lain. Sesiapa pun akan terluka bila kesetiaan telah hilang. Aku dihimpit rasa bersalah. Hakikatnya, aku telah mengganggu rumah tangga orang. Aku mungkin telah hancurkan sebuah keluarga  yang bahagia kerana terlalu menurut kata hati kerana aku gagal mengawal diri. Memendam rindu tidak mudah ibarat menikam diri berkali-kali setiap hari.


Oktober 28, 2024