Friday, February 11, 2022

Suatu ketika dahulu

Hari ini ketika mengemas rumah saya teringat sewaktu anak-anak masih kecil. Berkerja di rumah dan menguruskan anak-anak dalam satu masa yang sama bukanlah tugas yang mudah. Mereka kecil dan tak tahu apa-apa - hanya tahu menangis. Cabaran utama menyiapkan kerja adalah memberikan tumpuan. Sekejab-sekejab perlu bangun, anak menangis - mulanya mahukan susu, kemudian tukar lampin. Tiba-tiba menangis lagi. Aduh! Apa pula kali ini? Setelah di selidik - Oh! perut kembung rupanya. Patutlah menangis. Anak-anak menangis bukan semata-mata kerana lapar.

Apabila sudah besar sedikit, mereka bukan sahaja menangis malah menjerit. Bunyi tangisan dan jeritan silih berganti tambah-tambah ada yang suka mengusik. Apa yang si adik tidak suka, itulah yang dia suka buat. Datanglah si adik mengadu - abang menyamar jadi hantu, abang sorok baju Spiderman, abang tak nak kongsi mainan. Saya berhenti membuat kerja dan memujuk. Dia berhenti menangis, si abang sambung menyakat lagi. Begitulah sehari-hari dari awal pagi hingga malam. Selagi tidak di rotan, selagi itulah tidak berhenti.

Saya suka rumah yang bersih dan kemas. Bila ada anak kecil, tak sampai 10 minit mainan di simpan di dalam kotak, dia ambil semula. Sepahkan di atas lantai. Entah berapa ratus kali kaki terpijak mainan. Sakitnya bukan kepalang! Kadang-kadang bila naik angin, saya sepakkan saja ke tepi atau buangkan di dalam tong sampah. Esoknya, anak menangis mencari mainan kegemarannya tak jumpa. Terpaksa beli baru. Cari di kedai tak ada yang sama - dia mula menangis. Mahu yang itu juga, yang sama, yang serupa, seperti mainannya. Allahu!

Bila anak-anak minta mandi kolam, saya susah hati. Terpekik-pekik saya panggil, dia jawab “Sekejab daddy, sekejab”. Sekejab bersamaan tambahan satu jam tiga puluh minit. Akhirnya, terpaksa masuk ke dalam kolam. Ambil si adik naik ke atas, turun semula ke kolam untuk ambil si abang, si adik sudah terjun semula ke dalam kolam. Terpaksalah bawa naik kedua-duanya sekali dan mereka menangis serentak! Masih mahu bermain air. Belum puas lagi. Hendak memujuk mereka bukanlah mudah. Mujur ada anak perempuan yang banyak membantu.

Itu belum cerita anak bongsu yang suka menggigit kerja dan buku. Habis semua kerja kerja saya di gigitnya padahal saya tinggalkan sebentar saja untuk mengambil air di dapur. Bukan buku saya saja yang menjadi mangsa, buku abang dan kakaknya juga habis di gigit hingga jadi cebisan. Menunggu dia membesar terasa amat panjang. Semua kerja, buku, mahupun surat khabar perlu di letakkan di tempat yang tinggi agar tidak mudah di capai. Jika tidak, habis semuanya! Mujurlah setelah besar dia berhenti menggigit kertas.

Thursday, February 10, 2022

Senyum pun salah

“Tak ada apa yang abang nak kejarkan. Kan abang ada depan Hara ni”
“Ye la tu”
“Kenapa Hara susah nak percayakan abang?”
“Ara bukan tak percayakan abang”
“Habis tu? Apa dia?”
“Tak ada apa”
“Cakaplah”
“Tadi abang senyum. Ara tanya abang tak nak jawab. Alah Ara tahu sebab apa abang senyum”
“Dah pandai sangat. Sebab apa?”
“Eleh pura-pura tanya”
“Ya Rabbi. Apa masalah Hara ni?”
“Apa pula Ara. Abang yang senyum”
“Abang senyum pun salah”
“Ye la tapi kenapa senyum. Ara nak tahu”
“Kenapa?”
“Kenapa abang tak nak bagitahu?. Kalau hal lama pun cakap ajelah. Nak sembunyi apa”
“Boleh tak jangan bersangka-sangka. Tak baik perangai macam tu”
“Tak boleh husnozon. Dengar lagu macam tu pulak. Lagilah”
“Sampai lagu abang dengar pun jadi isu ke?”
“Mestilah”
“Mana ada ingat benda lama. Abang baca balik nota-nota perbualan lama kita. Tu sebab abang senyum. Ada sekali tu masa Hara cakap abang best
“Eleh sembang”
“Betul la”
“Tengok mana nota tu”
“Ni ha”
“Oh…oh..hehe sorry la bang. Ter jealous tak sengaja”
“Hmmm………”
“Abang tulis dekat mana? Nak baca”
“Dalam notepad je”
“Nak baca jugak”
“Tak boleh”
“Sebab?”
“Ada banyak benda lucah hahahahaha”
“Eeeeeeee tok sey baco”
“Tok sey bia”

Monday, February 07, 2022

WFH

Tahun ini saya bermastautin di Tehran, Republik Islam Iran. Pada 1 Februari 2022 saya telah mengambil cuti selama setahun. Selama bekerja, inilah kali pertama saya mengambil cuti yang panjang. Hajat hati ingin berehat sambil merasai makanan dan pemandangan yang indah di Iran. Iran merupakan sebuah negara yang sangat cantik. Keindahan Iran terlindung di sebalik momokkan dan kecaman ke atas mazhab yang di anuti di sini. Dunia yang di kawal oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat telah sebaik mungkin memburuk-burukkan Iran sehingga manusia seagama menjadi teramat benci kepada mereka.

Saya tidak pernah ada sebarang rencana untuk tinggal di Iran. Entah bagaimana, Allah Yang Maha Besar mengerakkan hati saya ke sini. Cadangan awalnya saya ingin bermusafir di negeri lain namun Allah adalah sebaik-baik perancang. Iran masih di litupi putih-putih salji di atas gunung. Suasana yang mendamaikan. Orang-orang di sini juga baik-baik belaka dan peramah. Sentiasa senyum jika berselisihan. Janganlah percaya dengan berita mereka ini seperti orang gasar. Mereka sama seperti kita. Oleh sebab media telah di kawal, semua perkara yang baik-baik di Iran di gelapkan begitu sahaja.

Sebelum menetap di satu-satu kawasan, saya akan pastikan masjid tidak jauh dari penginapan supaya mudah untuk saya solat berjemaah. Biasanya waktu Subuh dan Asar saya ke masjid. Waktu lain solat berjemaah di rumah. Setiap dua kali seminggu, saya bawa anak dan isteri ke masjid untuk solat Maghrib dan Isyak serta mendengar kuliah agama. Namun, sejak dua tahun kebelakangan ini, saya sangat sibuk. Sudah jarang solat bersama anak isteri di rumah. Jarang juga bawa mereka ke masjid.. Atas sebab itulah saya mengambil cuti yang panjang. Saya tak mahu anak isteri jauh dari Tuhan.

Pada usia awal 20-an, setelah tamat pengajian di universiti saya membuka sebuah perniagaan. Berbekalkan pengalaman bekerja secara sambilan sejak di Tahun 1, saya mula mengorak langkah. Sungguhpun mempunyai perniagaan sendiri, saya masih lagi bekerja dengan syarikat lain untuk mendapatkan lebih banyak pengetahuan dan pengalaman. Saya membuat 7-8 kerja sehari. Sebenarnya, sehingga hari ini saya memiliki 8 jenis pekerjaan yang berbeza. Kekayaan tidak dapat di jana dengan satu jenis perniagaan sahaja, Perlu pelbagaikan sumber kewangan untuk menjana lebih banyak pendapatan.

Pada ketika itu, saya bekerja dari rumah dan hanya ke pejabat 2 atau 3 kali sahaja dalam setahun. Saya lebih selesa bekerja dari rumah. Semua urusan menggunakan internet walaupun pada ketika itu penggunaannya amat terhad dan tidak begitu luas capaiannya. Ledakan internet dan penciptaan pelbagai jenis teknologi benar-benar mengubah dunia. Sejak pandemik Covid-19 berlaku, pekerja tidak perlu lagi datang ke pejabat kerana trend Work From Home (WFH) sudah meningkat. Mesyuarat tidak lagi perlu bersemuka kerana sudah banyak aplikasi seperti Zoom. Semuanya mudah dah pantas.

Kajian di Malaysia mendapati ramai pekerja memilih bekerja di pejabat berbanding di rumah. Bekerja di rumah memerlukan disiplin yang tinggi untuk menghindar gangguan dan mengawal tekanan kerana perlu menyiapkan tugasan dalam tempoh yang di tetapkan. Dalam masa yang sama, tugas hakiki sebagai suami isteri / ibu bapa tidak boleh diabaikan, Manusia sememangnya sukar beradaptasi dengan persekitaran baru kerana mereka lebih selesa dengan gaya hidup konvensional dan kekal di zon selesa. Ini adalah punca utama ketidakberkesanan WFH dalam kalangan pekerja.

Di saat ramai memilih atau terpaksa bekerja di rumah, saya menongkah arus. Saya pula memilih keluar bertemu pelanggan, menyantuni para pelabur dan berkenal-kenal dengan staf yang berada di syarikat. Hari ini, saya kenal kesemua staf yang bekerja di syarikat saya. Saya ambil tahu masalah mereka di pejabat mahupun di rumah, bantuan yang mereka perlukan atau apa sahaja. Saya cuba mengubah diri saya yang lama, yang tak mahu ambil pusing perihal pekerja. Saya mahu menjaga hati pelanggan, mengukuhkan kepercayaan pelabur dan memastikan pekerja saya sentiasa terjaga kebajikannya.

Atas sebab itulah saya tidak banyak masa bersama keluarga termasuklah pada hujung minggu. Saban hari saya keluar rumah jam 6:45 pagi dan pulang ke rumah sekitar 8:45 malam. Langsung selepas makan dan bersihkan diri terus ke bilik kerja hingga 12:00 malam dan bangun semula 3:15 pagi. Ada waktunya saya merindui suasana bekerja di rumah. Sewaktu anak-anak membesar, saya sentiasa ada di rumah menguruskan makan, pakai mereka sambil menyiapkan kerja. Tentulah banyak gangguan apabila perlu bekerja sambil menjaga anak. Semua itu kini tinggal kenangan paling manis sekali dalam hidup ini.