Friday, February 11, 2022

Suatu ketika dahulu

Hari ini ketika mengemas rumah saya teringat sewaktu anak-anak masih kecil. Berkerja di rumah dan menguruskan anak-anak dalam satu masa yang sama bukanlah tugas yang mudah. Mereka kecil dan tak tahu apa-apa - hanya tahu menangis. Cabaran utama menyiapkan kerja adalah memberikan tumpuan. Sekejab-sekejab perlu bangun, anak menangis - mulanya mahukan susu, kemudian tukar lampin. Tiba-tiba menangis lagi. Aduh! Apa pula kali ini? Setelah di selidik - Oh! perut kembung rupanya. Patutlah menangis. Anak-anak menangis bukan semata-mata kerana lapar.

Apabila sudah besar sedikit, mereka bukan sahaja menangis malah menjerit. Bunyi tangisan dan jeritan silih berganti tambah-tambah ada yang suka mengusik. Apa yang si adik tidak suka, itulah yang dia suka buat. Datanglah si adik mengadu - abang menyamar jadi hantu, abang sorok baju Spiderman, abang tak nak kongsi mainan. Saya berhenti membuat kerja dan memujuk. Dia berhenti menangis, si abang sambung menyakat lagi. Begitulah sehari-hari dari awal pagi hingga malam. Selagi tidak di rotan, selagi itulah tidak berhenti.

Saya suka rumah yang bersih dan kemas. Bila ada anak kecil, tak sampai 10 minit mainan di simpan di dalam kotak, dia ambil semula. Sepahkan di atas lantai. Entah berapa ratus kali kaki terpijak mainan. Sakitnya bukan kepalang! Kadang-kadang bila naik angin, saya sepakkan saja ke tepi atau buangkan di dalam tong sampah. Esoknya, anak menangis mencari mainan kegemarannya tak jumpa. Terpaksa beli baru. Cari di kedai tak ada yang sama - dia mula menangis. Mahu yang itu juga, yang sama, yang serupa, seperti mainannya. Allahu!

Bila anak-anak minta mandi kolam, saya susah hati. Terpekik-pekik saya panggil, dia jawab “Sekejab daddy, sekejab”. Sekejab bersamaan tambahan satu jam tiga puluh minit. Akhirnya, terpaksa masuk ke dalam kolam. Ambil si adik naik ke atas, turun semula ke kolam untuk ambil si abang, si adik sudah terjun semula ke dalam kolam. Terpaksalah bawa naik kedua-duanya sekali dan mereka menangis serentak! Masih mahu bermain air. Belum puas lagi. Hendak memujuk mereka bukanlah mudah. Mujur ada anak perempuan yang banyak membantu.

Itu belum cerita anak bongsu yang suka menggigit kerja dan buku. Habis semua kerja kerja saya di gigitnya padahal saya tinggalkan sebentar saja untuk mengambil air di dapur. Bukan buku saya saja yang menjadi mangsa, buku abang dan kakaknya juga habis di gigit hingga jadi cebisan. Menunggu dia membesar terasa amat panjang. Semua kerja, buku, mahupun surat khabar perlu di letakkan di tempat yang tinggi agar tidak mudah di capai. Jika tidak, habis semuanya! Mujurlah setelah besar dia berhenti menggigit kertas.