Wednesday, May 31, 2017

Tablun

Dalam Kitāb Perubatan Melayu: Al-Raḥmah fī al-Ṭibb wa al-Ḥikmah karya ‘Abbas Kuta Karang, terdapat sebuah bab yang menarik iaitu perihal sakit rindu dan tahap-tahapnya bagi kegunaan diagnosis penyakit jiwa. Syaikh ‘Abbas Kuta Karang merupakan seorang ‘ulama Aceh abad ke-18. Beliau memperincikan tahap-tahap kerinduan seperti berikut:- 

Al-Mālīkhūliyyāt: Rindu Dendam akan Suatu.


  • Dan tersebut dalam Kulliyāt, bermula mula-mula dikasih itu dinamai "hawa" iaitu cenderung nafsu akan suatu.

  • Dan jika bertambah-tambah kasih dan kuat ia maka jadi ‘ilāqah" iaitu kasih yang lazim bagi hati.

  • Dan jika bertambah-tambah daripadanya maka jadi akan "kalaf" iaitu kasih yang sangat-sangat dalam hati hingga tiada dapat lupa.

  • Dan jika bertambah-tambah daripadanya maka jadi akan "‘ishqun" iaitu sangat rindu dan sangat kasih dan dalam hati, dan adalah ‘ishqun pada ulama ahli al-tīb dinamai "mālīkhuliyyāt".

  • Dan jika bertambah-tambah daripadanya maka jadinya "shifaf" ya‘ni sangat kasih serta berbangkit hangat dalam hati dan tertununya serta didapat ladhat yang dikasihnya.

  • Dan jika bertambah-tambah daripadanya maka jadi "law‘ah" iaitu berbangkit-bangkit hawa yang sangat hangat dalam hati.

  • Dan jika bertambah daripadanya maka jadi akan "jawā" iaitu berbangkit hawa yang bāṭin daripada sangat rindu dendam hingga datang kedukaan.

  • Dan jika bertambah-tambah daripadanya maka jadi akan "tatayyam" iaitu rindu yang sangat hingga jadi hamba bagi yang dirindukan.

  • Dan jika bertambah-tambah daripadanya maka jadi akan "tablun", iaitu hawa yang sangat hingga jadi kesakitan tubuhnya.

  • Dan jika bertambah-tambah daripadanya maka jadi akan "al-walhu", iaitu rindu yang sangat yang jadi hilang akal dengan sebabnya.

  • Dan jika bertambah-tambah daripadanya maka jadi akan "hayyam", dan "hā’im" pun namanya, iaitu orang yang sangat rindu dendam hingga jadi hilang dan berjalan-jalan kepada barang ke mana-mana.

_

Saya masih belum baca laporan penuh yang telah di keluarkan oleh pihak hospital. Secara sepintas lalu, laporan menyebut saya gagal mengawal tekanan perasaan sebagai akibat pasangan berlaku curang. Tekanan yang tinggi boleh menyebabkan saya hilang kewarasan dan mampu bertindak di luar kawalan. Jadi saya perlu menjalani rawatan.

Walaupun sakit di hati masih pedih dan belum hilang sepenuhnya, saya masih merinduinya seperti masa-masa lepas. Saya cuba sedaya-upaya membendung hati supaya kasih sayang tidak bertukar menjadi benci dan dendam kerana kebencian lebih parah akibatnya. Kebencian yang tidak di bendung mendatangkan mudarat bukan saja pada saya tapi pada orang lain.

Saya sendiri kadang-kadang tidak pasti sama ada mahu ketawa atau menangis pabila mengingat hal-hal silam. Mungkin kerana cinta pertama, bekasnya sukar di padam. Masih bersemi di dalam hati walaupun beribu orang mengatakan hanya lelaki dayus mengasihi pasangan yang berlaku curang. Saya tak ada penjelasan yang rasional untuk menjawab pertanyaan mereka.

Cinta itu sangat indah dan mententeramkan. Ia cinta pandang pertama, cinta zaman remaja, cinta yang mahu di bawa mati. Kata Jalaluddin Rumi “Mabuk cintalah kerana cinta itu adalah apa sahaja yang ada”. Saya barangkali bukan hanya mabuk cinta tapi gila kerana cinta seperti kata Rumi “Cinta yang terlihat cuma selintas dapat menjatuhkan hidup kita”.

Entah berapa hari dari sekarang orang yang saya cintai akan mengikat tali kasih dengan insan lain dan saya masih di sini. Bukan saya tak mahu bergerak terus ke hadapan tapi saya tak mampu. Seringkali saya mencuba dan saya gagal. Bagaimana cinta sebesar ini boleh berada dalam diri saya, saya sendiri tak tahu. Saya tiada jawapan.

Cinta ini terlalu manis untuk di lepaskan. Semakin hari semakin membawa mudarat pada diri tapi saya masih enggan melepaskan ia pergi. Saya tak mahu membohongi diri. Sudah berkali saya cuba, hati saya tetap mahukan dia. Hati saya masih memilih dia seperti kata pujangga I choose you. And I'll choose you over and over and over. Without pause, without a doubt, in a heartbeat. I'll keep choosing you.

Dan saya tak pernah menyesal mencintai dia walaupun pada dirinya telah terpadam semua memori tentang saya. Dia tak akan mengingati saya. Katanya, kalau boleh dia mahu Tuhan hapuskan segala kenangan tentang saya. Saya lelaki yang malang sekali. Malang kerana hilang segala-galanya dalam sekelip mata dan kini semuanya hanya tinggal kenangan.


Kupu-kupu ku hantar
menghuni perutmu, lenyap, 
siapa telah datang mengusir mereka 
hingga tersenyap?

― Karl Agan

Tuesday, May 30, 2017

My heart aches with longing

I really loved her. We promised to be together forever. She was my orchid lady. This love that I had carried with me throughout my life was too painful.

Monday, May 29, 2017

H

Sudah 2 minggu saya tidak ke Kino. Minggu sebelum ini saya di masukkan ke wad psikiatri selama 4 hari. Minggu ini pula saya di hospital mental. Hari Selasa lepas saya ke Kino tapi mungkin kerana saya tiba lewat, awak sudah pun pulang.

Sejak dua tiga hari kebelakangan ini saya selalu memikirkan awak. Orang kata kalau kita selalu memikirkan seseorang, itu tandanya orang itu sedang mengingati kita. Saya tidak pasti sama ada awak memikirkan saya atau tidak.

Kita di perkenalkan dalam majlis perkahwinan di Subang Jaya oleh wali awak. Pertemuan yang tidak di jangka. Kita bertemu lagi di lot parkir kereta ketika saya membantu menukar tayar Nissan GTR awak yang pancit tayar belakang.

Saya barangkali risau jika awak milik seseorang dan saya menjadi orang ketiga. Saya tak mahu menjadi langau prngacau. Saya sungguh berhati-hati. Pengalaman lepas mengajar saya banyak perkara. Saya jadi takut mengambil langkah.

Sudah lebih dari 3 bulan kita bermain mata. Siapa tahu selepas ini kita bermain hati? Dunia menjadi lebih indah jika atom-atom kita saling berinteraksi. Sudikah kiranya berikan saya emel atau nombor telefon supaya mudah kita berhubung?

Di gurun pasir tanpa batas
aku kehilangan jiwaku
tapi kutemukan
bunga mawar ini.

(Jalaluddin Rumi)


Ikhlas,
TKE

.

Tak tahu bila dapat jumpa H lagi. 

Saturday, May 27, 2017

Hal-hal baik akan tumbuh

Lampu di tutup tepat jam 10.00 malam. Di wad ini tak ada nurse. Pelatih perempuan tak di benarkan bertugas di wad lelaki kerana wad ini bahaya. Hampir 89% pesakit mengidap schizophrenia dan semua orang tahu betapa bahayanya penyakit ini.

Di sini, malamnya tidak dapat tidur dengan tenang. Seringkali terdengar suara orang menangis, menjerit dan meraung. Terjaga jam 2.20 pagi bila terdengar suara orang meracau dari katil sebelah. Setelah di beri dos thioridazine, dia kembali tenang.

Tak dapat di bohongi, wad ini seram dan terdapat gangguan. Semalam bunyi kanak-kanak ketawa. Tadi pula bunyi guli melantun ke lantai. Di bilik mandi ternampak bayang tanpa kepala. Suasana di dalam hutan tidak seseram ini.

Hari ini minta izin dari staf untuk solat tarawih 20 rakaat bersama 3 witir. Perlu maklumkan pada staf kerana sebelum tidur perlu (wajib) makan ubat. Bila makan ubat selalunya cepat mengantuk. Tak mampu buat apa-apa kerja. Hendak membaca pun tak mampu buka mata.

Rugi rasanya kalau tak solat tarawih. Dari dulu tak pernah tinggal. Selesai solat tarawih rasa gembira di hati, rasa sedikit tenang sebelum terdengar suara orang meracau dengan kuat. Lepas makan 2 keping roti dan minum teh serta makan ubat mata mulai mengantuk.

. . .

Dia gugurkan dedaun kuning
dari hatimu,
agar daun-daun hijau segar dapat tumbuh di tempatnya
Dia cabut akar-akar busuk,
agar akar-akar baru
yang bersembunyi di bawah
akan tumbuh di tempat apa pun.
Yang kesedihan gugurkan dari hatimu,
hal-hal yang jauh lebih baik akan lahir di situ.


(Jalaluddin Rumi)

Friday, May 26, 2017

ECT

Menjalani rawatan electroconvulsive therapy atau lebih di kenali sebagai electroshock therapy. Rawatan yang paling di takuti kebanyakan pesakit mental.

Siyam

Penderitaan menurut Jalaluddin Rumi adalah hadiah. Di dalamnya tersembunyi kasih. Menurutnya lagi, Tuhan meletakkan kita dalam kesulitan supaya kita bersangka baik padanya. Apa yang menyakitimu, memberkatimu.

Anak-anak gusar. Mereka tamat sesi persekolahan antara jam 1.00 tengah hari hingga 2.00 petang. Perjalanan dari rumah kira-kira 310 kilometer dengan kelajuan minimum 120km/j, sampailah mereka di hospital dalam tempoh dua jam.

Tahun ini kali pertama berpuasa tanpa anak-anak; sahur dan berbuka tanpa mereka. Belum apa-apa, Huda sudah mengalirkan air mata mengenangkan tak dapat iftar bersama-sama selama dua minggu. Setelah di pujuk barulah berhenti menangis.

Waktu melawat adalah terhad. Isnin hingga Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga 7.00 petang kecuali Selasa jam 6.00 petang. Hari Sabtu dan Ahad pesakit tidak menerima pelawat. Waktu yang singkat untuk anak-anak datang melawat.

.

Lamalah sudah aku menunggu
Menunggu gelora beriak tenang
Menanti angin bertiup reda
Mengharap langit berbintang terang
Supaya perahu menepi pantai

Lamalah sudah aku rindu
Rindu duka bertukar girang
Mengharap senyum bertukar berang
Supaya bersama di alam permai

Tetapi ya Illahi Tuhan Semesta
Bukan rindu makin menjelma
Hanyalah gelombang meninggi gunung
Hanyalah mega bertambah suram

Hanyalah taufan makin membadai
Hanya badan bertambah sansai
Sehingga durja makin muram
Seperti luka di bubuhi asam

Yang demikian ya Illahi Tuhan Rabbana
Bukanlah hamba berputus asa
Terus mendoakan kepada-Mu sahaja
Supaya cita lekas menjelma


(Rindu...Majlis, 1936)

Thursday, May 25, 2017

Lunatic

Admitted for two weeks in a psychiatric hospital or better known as a mental hospital.

Sunday, May 21, 2017

Jangan bersedih

Syukur Alhamdulillah. Bila “mendapat berita” orang yang kita sayang akan berkahwin dan kita berjaya untuk tidak menangis walau pada awalnya emosi sedikit terganggu dan air mata hampir menitik. Harapnya dapat mengawal momentum emosi agar menjadi lebih baik dan positif untuk hari-hari mendatang. Kita tak ada pilihan kecuali cuba sedaya upaya untuk keluar dari zon rusuh. 

Kita harus meraikan fasa baru dalam hidup orang yang kita sayangi. Kita harus sedar bahawa hidup ini berjalan terus dan tidak menunggu. Hidup ini tidak pernah menunggu sesiapa. Masa terus berjalan dan ia tidak harus di isi dengan kesedihan yang berpanjangan seperti kata Indah Hanaco “Hidup tidak pernah menunggu orang yang berlama-lama dengan kesedihannya”.


Saya perlu belajar dari Boiling Frog Syndrome. Saya barangkali harus bangkit dan sedar bahawa nikmat yang Tuhan berikan pada saya amat banyak. Selain di berikan nikmat kesihatan setelah hampir 6 tahun bertarung dengan kanser dan penyakit lain, saya sembuh dan mampu menjalani hidup seperti sediakala. Nikmat kesihatan adalah antara nikmat Tuhan yang paling besar.

Saya terbelenggu terlalu lama mengenangkan kehilangan insan yang amat saya sayangi. Perginya dia dari hidup saya umpama hilang separuh dari nyawa. Saya terkapar-kapar, tak mampu bernafas dengan sendiri seperti kata John Keats dalam suratnya kepada Fanny Brawne “My love is selfish. I cannot breathe without you”. Saya hilang punca. Setiap hari saya menangis dan kesihatan saya semakin terjejas. 

Pagi ini saya bangun dengan senyuman. Saya berlari sejauh 30 kilometer bukan lagi untuk lari dari apa-apa tapi untuk melihat keindahan alam. Dulu, saya hampir buta kerana sel kanser yang cepat merebak. Mata adalah indera yang amat berharga. Tanpanya kita tidak mampu melihat apa-apa. Dunia menjadi gelap-gelita. Tuhan Maha Mengasihani. Dia pulangkan semula indera ini kepada saya. 

Mungkin kerana saya mempunyai trauma yang agak teruk ketika menjadi penyelam profesional satu masa dulu, saya selalu jauhkan diri dari air. Lewat kebelakangan ini, mungkin kerana desakan anak-anak, saya ikutkan juga ragam mereka - turun ke laut untuk menyelam. Petang tadi saya kira saya sudah selesa dengan air apabila saya habiskan 10 lap di kolam renang tanpa rasa gelisah. 

Seperti kata mereka, semua yang berlaku ada hikmahnya. Saya tidak lagi berdendam atau mempunyai rasa cemburu yang keterlaluan. Kata orang, jodoh yang Tuhan hantarkan lebih baik daripada pilihan kita sendiri. Itulah yang saya fikirkan sekarang bila tiba angin rindu datang menyapa. Saya berharap dia lebih bahagia, gembira dan maju kehadapan. Kebahagiaan itu, dia layak menerimanya. 

Life has knocked me down a few times. Its shown me things I never wanted to see. I've experienced sadness and failures. One thing is certain, I always get up! - Anonymous

Saturday, May 20, 2017

Permata jiwa

Abang di Cherating. Cadangnya nak bawa anak-anak ke Taman Negara Bako, Kuching tapi memandangkan cuma ada 3 hari untuk have fun, rasanya tak berbaloi. Jadi abang bawa anak-anak ke sini. Cherating tak ramai pengunjung seperti dulu. Umar ajak ke Redang tapi abang tak mahu. Pulau Redang terlalu ramai orang. Huda ajak ke Pulau Perhentian. Abang tak nak pergi sebab kali terakhir awak ke Pulau Perhentian kita sedang perang dingin, kita bergaduh. Awak pergi scuba tanpa beritahu abang. Mungkin awak sudah lupa. Tak apa, kisah lama.

Cherating tidak sibuk seperti dahulu. Pelancong tak ramai. Suasana tak lagi seperti dulu. Agaknya, Cherating juga seperti kita. Banyak perubahan yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Abang bawa anak-anak pusing pulau dengan bot. Kemudian bawa menyelam. Abang menyelam dengan Huda. Kalau awak ada, tentu lebih seronok. Umar belum dapat lesen scuba. Tahun depan baru cukup umur. Dia dan Adam, abang bawa pergi snorkeling. Bila semua sudah dapat lesen scuba, bolehlah pergi menyelam sama-sama. 

Seperti Cherating yang sunyi tanpa pengunjung, begitulah hidup abang sunyi tanpa awak. Awak mungkin sudah lama lupakan abang. Awak mungkin sudah jauh tinggalkan abang. Awak barangkali sedang menikmati detik-detik bahagia dengan insan tersayang. Tak, abang tak cemburu jauh sekali berdendam. Abang tentu sekali ingin awak bahagia. Kegembiraan awak satu kebahagiaan buat abang walaupun kita tak lagi berkongsi apa-apa. Abang tahu cerita kita sudah sampai pada noktah paling akhir dan abang sendiri tak berharap apa-apa.

Abang cuma mahu pulihkan diri. Dari 15 Mei yang lepas, selama empat hari abang menjalani rawatan psikiatri di wad mental. Abang tak sangka abang memerlukan rawatan psikiatri akibat putus kasih. Doktor kata abang mengalami depression di tahap kritikal dan memerlukan banyak rawatan susulan untuk pulih. Abang tak ada pilihan selain mengikuti jadual yang di berikan. Tahun lepas 5 minggu abang di masukkan ke wad. Tahun ini tak tahulah berapa lama. Mungkin lebih lama dari tahun lepas. Abang tak mahu jadi gila. Abang nak pulih seperti biasa.

Kehilangan awak meragut hampir keseluruhan hidup abang. Abang tak salahkan awak. Salah abang, abang tak hargai awak sebaiknya. Bila muncul orang lain, awak mudah terpaut hati. Cerita itu, walau kadang-kadang masih datang mengetuk memori, cuba abang singkirkan. Abang tak mahu di belenggu kisah lama. Kalau boleh abang mahu hidup seperti orang lain. Abang betul-betul mahukan sebuah kehidupan yang lebih baik dari sekarang. Abang tetap akan melawan sehabis daya untuk kembali menjalani hidup yang abang mahukan. 

Anak-anak sudah tidur. Agaknya terlalu penat. Cherating tak sediakan banyak aktiviti. Ketika di Tumpat tempoh hari, abang bawa anak-anak ke gelanggang sambung ayam. Ketika salah seekor ayam terkena taji dan berdarah, Huda menangis ketakutan. Agaknya, dia terlalu terkejut dan tak biasa. Saat ayam yang terkena taji itu berdarah dah jatuh, abang bayangkan itulah abang - di taji oleh lelaki lain dan jatuh, rebah, tersungku,r berdarah, dan tak mampu bangun semula. Abang kalah di gelanggang kasih. Satu kekalahan yang tak pernah abang jangkakan.

Abang juga bawa anak-anak melihat perlawanan tomoi (haram). Abang sebenarnya berminat hendak masuk satu pusingan tapi bila mengenangkan Huda akan melihat darah, lebam dan segala jenis permainan kotor, abang pendamkan saja. Mungkin lain kali. Ramai orang datang melihat pertandingan tomoi. Kebiasaannya untuk meletak wang pertaruhan. Abang sengaja bawa anak-anak melihat dunia lain. Dunia yang tak biasa mereka saksikan. Pengalaman sekali seumur hidup. Abang sedikit ralat kerana tak dapat menyaksikan upacara Main Puteri. Mungkin tak sesuai kerana abang bawa anak-anak. 

Abang berkira-kira dalam hujung tahun ini atau awal tahun depan ke Everest Base Camp. Abang nak daki Gunung Everest. Yuran pendakian kira-kira RM 48,000 untuk seorang pendaki. Dulu kita janji nak pergi mendaki sama-sama. Bulan November ini jika tiada aral abang akan daki Gunung Kinabalu. Kalau semuanya berjalan lancar dan tiada halangan sampailah abang di puncak gunung kesayangan orang Sabah. Sementara abang mendaki, anak-anak bercadang ke Tunku Abdul Rahman National Park dan Muzium Negeri Sabah. Selepas raya nanti abang akan ke Kundasang, Ranau, Pulau Gaya dan Semporna. 

.

“.. but life would move on. I wanted that, to move on, to forget, to start with a clean slate. I wanted to be able to breathe again.”

― Khaled Hosseini




Cherating, Pahang
11.09 pm

Friday, May 12, 2017

Sedingin embun

Abang di Janda Baik, Pahang. Treehouse dan kabin di Ipoh telah abang jual pertengahan Mac yang lepas. Abang ambil keputusan untuk pindah ke Bukit Tunku. Sengaja abang berpindah tanpa apa-apa sebab; sekadar untuk menukar angin dengan harapan segala rusuh di hati akan hilang. Huda masih bersekolah di Semenyih tapi tak lagi tinggal di asrama. Atas pilihan sendiri, Umar mengikuti aliran agama berkurikulumkan British. Adam pula mengikuti sekolah yang menggunakan kurikulum Jepun. 

Hampir dua bulan di Kenny Hills. Semuanya berjalan dengan baik. Setiap pagi abang hantar anak-anak ke sekolah. Kalau tiada kerja, abang ambil mereka dari sekolah. Huda balik jam 2 petang. Kadang-kadang jam 3. Umar balik pukul 1. Adam habis kelas pukul 12 tengah hari. Adam cakap dia suka sekolah di sekolah aliran Jepun. Sekolah Adam kecil, tak banyak prasarana. Mungkin kerana tak ramai murid. Kelas Adam cuma 11 orang. Guru-gurunya semua datang dari Jepun. 

Jumaat hingga Ahad biasanya abang bawa anak-anak keluar dari KL. Hujung bulan April ke Kota Kinabalu, sebelumnya, semasa mereka cuti semesta selama 17 hari abang bawa anak-anak ke Morocco. Morocco sangat cantik; menjelajahinya seminggu masih belum puas rasanya. Selesai berjalan di Morocco, abang bawa anak-anak mengikuti tour menaiki kereta api mengelilingi Switzerland selama 5 hari 4 malam. Swiss sangat cantik. 

Minggu lepas abang bawa anak-anak ke Kota Bahru. Anak-anak tak pernah sampai ke Kelantan. Di Kota Bahru ketika itu berlangsung Klate Folk Arts Festival (Festival Kelate Kito). Banyak juga acara yang dipersembahkan - mak yong, wayang kulit, menora dan rebana ubi. Agak lama sebenarnya abang tak menonton acara tradisional. Lepas juga rindu menonton wayang kulit. Abang beli Sri Rama dan Sita Dewi sebagai buah tangan. Esoknya pula abang ke Dataran Pantai Geting untuk melihat pertunjukan wau.

_

Abang bina sebuah glass house yang menyamai konsep deck house di Janda Baik. Rumah ini siap ketika kita berpisah. Konsep glass house sangat popular di Janda Baik. Abang tak terketinggalan membina sebuah rumah dengan konsep yang hampir sama untuk keluarga kita. Tujuan asal abang bina rumah ini untuk awak - sebagai getaway dari penat bekerja di wad. Hujung minggu atau bila-bila saja kita boleh datang ke sini melepaskan lelah dan mengeratkan hubungan yang mungkin ada cacat-cela di mana-mana. 

Hari ini abang jejakkan kaki di sini tanpa awak. Tak mengapa. Abang tahu awak selalu ada dengan abang cuma kita masing-masing tak mahu memulakan langkah, tak mahu menambah luka, tak mahu menjadi lebih sengsara. Glass house kita tak nampak dari jalan raya. Abang bina di dalam hutan dan agak terpencil sifatnya. Sifat yang sukar di buang - sejak di US hinggalah ke Ipoh membawa ke Janda Baik (suka benar nampaknya abang membuat rumah di dalam hutan). Malam di sini sejuk. Abang mencicip kopi berseorangan. 

Jam sudah 2.30 pagi. Abang mengantuk. Memandu dari KL tidaklah jauh. Dengan kelajuan melebihi 220km/j, pemanduan menjadi lebih singkat. Abang suka ke Pahang. Lebuh rayanya besar dan mempunyai banyak lorong. Abang boleh memandu dengan laju dan paling penting tiada kesesakkan lalu lintas. Biasanya kalau abang ingin hangat enjin kereta, abang ke sini. Boleh di katakan semua pemandu yang suka memandu laju hangat enjin kereta mereka di sini. KL sudah terlalu padat. Jangan mimpi hendak memandu seperti di litar.

Abang agaknya akan merindui awak sampai bila-bila. Awak yang manis, yang tak pernah gagal buat hati abang terhibur. Kita tak sehaluan dalam banyak perkara; hampir semua perkara, tapi ketidaksehaluan kita yang selalu abang rindui. Sejak awak tak ada, abang tak lagi dapat second opinion walaupun yang awak hujahkan kadang-kadang ekstrim, abang selalu takjub dengan awak cuma abang tak selalu, jarang sekali tunjukkannya. Setiap hari abang jatuh cinta dengan awak, sungguhpun kisah kita sudah tamat sejak tiga tahun lepas.

_


I wrote your name in my heart and forever it will stay.

— Rumi 







Janda Baik, Pahang
2.50am

Wednesday, May 10, 2017

TS

“Awak lelaki paling sedih yang pernah saya jumpa”
“Taklah. Saya biasa je”
“Mata tak pernah menipu”
“Dulu saya tak macam ni”
“Give your heart time to heal. You’ll be fine”
“Time doesn’t heal me. I don’t know what else to do”
“Don’t be rushed. You’ll heal soon”
“I missed a lot of things since my eyes blurred with tears”
“You’re decent men. You’ll heal. Trust me”
“Last time I trust a woman, she left me”

Saturday, May 06, 2017

Harum cinta

When was the last time you had butterflies in your stomach?


Sepatutnya abang sedang bercakap telefon dengan Tengku Sofia. Abang berjanji akan hubungi dia malam ini. Entah kenapa, saat abang mencari nama dia dalam phone book, yang terlintas ketika itu adalah awak. Kalau ada orang yang benar-benar abang ingin hubungi saat ini, orang itu adalah awak. Abang teringat kali pertama kita bercakap telefon bertahun dulu. 

Abang call awak jam 3.15 pagi. Itu pun setelah “di desak” banyak kali secara halus. Abang tak pernah lupa gemuruh waktu itu. Abang sangat-sangat gemuruh. Tak pernah dalam hidup, abang segemuruh itu. Abang muntah, sakit perut - semua ada. Semuanya beransur-ansur hilang bila abang dengar suara awak. Suara yang paling abang rindui saat ini. Tiga tahun tanpa merdu suara awak, hidup abang sungguh sepi.

Abang tak call Tengku Sofia. Abang takut terlajak kata memandangkan seluruh fikiran abang tertumpu pada awak. Abang takut tersalah cakap. Abang teringin sangat hendak berbual dengan awak. Abang takut nanti kalau tersalah cakap, jadi perkara lain. Bila fikiran kita melayang, kita tak sedar apa yang berlaku di sekeliling kita. Abang takut kalau tersalah kata. Saat ini abang hanya ingin berbual dengan awak sahaja. 

Agaknya memang susah untuk abang lupakan awak. Abang tak kuat untuk lepaskan awak pergi. Ingatan terhadap awak sungguh kuat. Sungguhpun ia hanya tinggal memori, abang masih tak mahu lupakan memori yang abang ada. Ia sangat berharga buat abang. Ia sungguh bermakna. Hanya itu yang abang ada. Tak ada apa lagi yang tinggal sejak awak serahkan hati awak pada orang lain. Yang ada cuma memori…

Dan abang tak tahu sampai bila abang akan hidup dengan memori ini. Ia manis tapi menyesakkan dada. Ia menyakitkan, sangat perit untuk di telan. Hidup dengan memori tak membuat kita bahagia. Abang tak marah awak cuma kadang-kadang bila teringat hati abang rasa sakit sangat. Sakit yang abang cuba lupa tapi tak mahu lupus dari ingat. Sakit yang masih membekas. Sakit yang susah di ungkapkan.

-

From the beginning to the end no one but you. 

― Rumi




Tumpat - Ipoh - KL

Wednesday, May 03, 2017

Acah-acah hot

Umar: Bukan dia daddy
Daddy: Habis siapa?
Umar: Yang bawah pokok tu daddy. Yang tadi dia acah-acah hot
Daddy: Hahahahaha kemain mengata orang
Umar: Betul daddy. Dia acah-acah hot je

Tuesday, May 02, 2017

Learn how to let go

Orang kata pilihan hidup berada di tangan kita. Kita yang menentukan corak warna yang kita mahukan dalam hidup - masalah timbul apabila kita gagal mencorakkan apa yang kita benar-benar inginkan. Tersekat di lohong hitam masa lepas dan seakan masih struggle untuk melepaskan diri. Dalam masa yang sama seseorang datang ingin mewarnai hidup kita dengan seikhlas hati. Masalahnya, mampukah kita meneruskan babak seterusnya tanpa menoleh masa lepas?

Apakah diri kita benar-benar sudah bersedia memulakan langkah ke hadapan tanpa menoleh ke belakang? Apakah kita benar-benar kuat untuk tidak menoleh ke belakang? Orang kata jangan terlalu memaksa diri. Biar kita lupa kisah silam kita secara natural. Memaksa diri melupakan tak akan bawa ke mana-mana. Masa, kata mereka akan menyembuhkan luka tapi sebenarnya tidak. Kata Roy Bennett, “Time doesn't heal emotional pain, you need to learn how to let go”.

Kata mereka, kita masih enggan melepaskan hal-hal indah di waktu silam kerana jauh di sudut hati - kita masih berharap. Berharap dia kembali dan menjalani kehidupan seperti dahulu kala. Tapi semua orang tahu yang masa lepas tak akan kembali walau apa pun yang kita gadaikan. Masa adalah satu-satunya yang tak dapat di tukar ganti. Masa terus bergerak dan berganti; hari demi hari, bulan demi bulan, tahun berganti tahun. Lihat saja masa berdetik pantas - sudah masuk tahun ketiga dan masih terasa seksa.