Saturday, July 12, 2014

Surat untuk Umar, Si Kecil Berfikiran Besar

Banyak perkara yang berlaku kebelakangan ini. Daddy minta maaf. Daddy tak banyak sembang dengan Umar. Daddy sedang cuba menyingkir cas-cas negatif dari badan daddy seperti yang Umar sarankan.

Umar suka La Sorbonne ya? La Sorbonne (sekarang merupakan sebahagian daripada Université de Paris) di bangunkan pada abad tahun 1257 oleh Robert de Sorbon.  Nama asal  La Sorbonne ialah Collège de Sorbonne. Lokasinya yang terletak di Left Bank Sungai Seine. La Sorbonne antara universiti terbaik di Paris dan merupakan universiti tertua di sini. Lihat saja koleksi buku yang terhimpun di perpustakaan ini – hampir mencecah 470 00 buah buku!

Di sini lahirnya ramai pemikir. Antara yang daddy ingat ialah Ali Shariati. Ali Shariati telah menulis beberapa buah buku yang mengesankan dunia. Antaranya ialah Ideologi Kaum Intelektual, Fatimah Az-Zahra dan Haji. La Sorbonne yang terletak di tepi sebelah kiri Sungai Seine merupakan tempat berhimpunannya siswa dan daerah ini di kenali sebagai Daerah Latin. Di gelar Daerah Latin kerana bahasa Latin di gunakan untuk pembelajaran secara meluas pada Abad Pertengahan.

Kehidupan di Daerah Latin banyak berpusat di sekitar Boulevard Saint Michel yang lebih mesra di panggil sebagai Boul’ Mich. Kedai-kedai di sini banyak di kunjungi oleh mahasiswa. Di sini juga merupakan tempat berkumpulnya mahasiswa untuk berbincang, berbahasa dan menjalankan aktiviti kemahasiswaan. Kelihatan dari Boul’ Mich ialah Palais du Lexembourg yang di bangunkan pada abad ke 17 oleh Marie de Medicis. Jardin du Luxembourg merupakan tempat mahasiswa melepaskan lelah (melepak) yang popular di sini. Taman yang cantik membuat sesiapa saja menyukainya.

Kita juga melatari Boulevard Saint-Germain yang tidak jauh dari Boul’ Mich. Nama jalan ini di ambil dari gereja tertua di Paris iaitu Saint-Germain-des-Prés yang di bangunkan pada abad ke 10. Gereja ini menempatkan beberapa orang terkemuka yang di kebumikan di sini. Antara yang terkenal ialah ahli falsafah abad ke 17 iaitu René Descartes.

Jalan-jalan di Left Bank memang menyenangkan. Terdapat rangkaian kedai barang antik, kedai buku dan muzium seni. Dari jauh kita melihat satu pemandangan yang cantik iaitu Panthéon di atas bukit Saint Genevieve. Bangunan ini di bangunkan untuk dipersembah kepada Genevieve iaitu pelindung kota Paris. Pada tahun 1789 setelah bangunan ini siap sepenuhnya, pemerintah mengambil keputusan untuk mengubahnya menjadi sebuah Panthéon (kuil suci).

Tokoh-tokoh Perancis yang terkenal di kebumikan di sini iaitu Voltaire, Jean Jacques Rousseau, Victor Hugo dan Emile Zola serta Louise Braille. Umar kenal Louise Braille? Louise Braille adalah individu yang bertanggungjawab memperkenalkan tulisan Braille bagi membolehkan golongan cacat penglihatan membaca dan menulis. Daddy ada sebuah buku bertulisan Braille. Daddy boleh baca tapi belum lancar.

Dari sini kita ke L'Hôtel national des Invalides yang di dirikan pada abad ke 17. Asalnya di bangunkan sebagai rumah untuk parajurit-parajurit cacat. Sekarang bangunan ini merupakan muzium ketenteraan terbesar di dunia. Bangunan ini terkenal sebagai tempat pengisytiharaan terakhir Napoleon sebelum mayatnya di bawa kembali dari Pulau St. Helena (sebuah pulau kecil di Atlantik Selatan) dan di kebumikan di sini pada tahun 1840.

Daddy akan menulis lagi di surat-surat yang akan datang. Semoga pengalaman kita di sini memberi banyak manfaat kepada Umar dalam membentuk sikap dan pemikiran di masa akan datang.


Daddy
20140708
Bouleverard des Italiens