Saturday, July 12, 2014

A Final Goodbye

Saya terjaga jam 2.40 pagi. Saya mimpi awak pujuk saya. Sepanjang kita bersama, awak tak pernah pujuk saya hinggalah saat saya ingin tinggalkan awak. Awak tak pandai pujuk atau awak tak mahu pujuk saya – itu saya tak pasti. Walaupun cuma dalam mimpi, saya masih boleh tersenyum. Saya kata dalam hati “Akhirnya awak pujuk saya”. Tapi itu cuma mimpi...

Saya padam semua SMS awak. Walaupun ada antaranya saya suka baca berulang kali. Saya padam semuanya. Saya simpan buku pantun. Saya mahu move on. Saya tak mahu hidup saya di belenggu dengan cinta kita. Semua memori, saya cuba letak di satu sudut dan kuncinya rapat-rapat. Sungguh-sungguh saya mahu teruskan hidup tanpa bayangan awak. Walau saya rindu awak setinggi mana pun, saya tak mahu hubungi awak.

Saya tak pernah menyesal mencintai awak sedalam ini. Saya tak mampu buang awak dari hidup saya sebab awak pernah jadi sebahagian dari saya. Saya cuma ralat sedikit bila kita gaduh sebab awak marah saya delete blog kita. Bukankah saya yang patut marah awak begitu teruk sebab awak curang di belakang saya? Kalau awak cuba pertahankan yang awak tak curang di belakang saya, awak tak akan cakap “Someone caught my attention...”. Awak juga mengaku dia berjaya menarik perhatian awak.

Itu namanya jatuh cinta. Sungguhpun awak kata awak tak pasti apa perasaan awak pada dia – itulah perasaannya. Hanya orang yang jatuh cinta akan bincang di mana mahu beli rumah, tentang hati dan perasaan dan “Saya kenal dia sehari macam kenal dia berbulan-bulan...”. Kalau kita tak ada apa-apa perasaan, kita tak perlu dan tak akan bincang tentang semua ini. Cinta melibatkan dua hati yang setuju untuk hidup bersama.

Saya tak ralat tinggalkan awak. Saya percaya saya telah sehabis baik menjaga awak, memberi awak segala kasih sayang, perhatian yang tak berbelah bahagi dan bila awak perlukan saya – saya ada dengan awak. Atas segala kelemahan dan kekurangan diri, saya telah cuba jadi seorang lelaki yang terbaik untuk awak. Itu di pihak saya. Mungkin di pihak awak masih banyak perkara yang awak tak puas hati dengan saya.

Saya nak move on. Tak ada apa-apa lagi antara kita. Yang ada cuma kenangan. Saya minta angin bawa rasa cinta ini pergi jauh-jauh. Bebaskan hidup saya dari semua beban hati dan perasaan, perasaan resah yang tak berkesudahan, perasaan rindu yang tak berpenghujung. Saya tak mahu terpaku di sini, di pintu cinta kita untuk masa yang lama. Tiga belas tahun sudah cukup lama. Saya mahu hidup bebas tanpanya. Selagi saya berpegang pada cinta kita, selagi itu saya tak boleh move on.

Jatuh cinta dengan awak merupakan momen yang sangat indah dalam hidup saya. Dan bila awak balas cinta saya, cinta itu menjadi lebih indah. Saya ada awak dan awak ada saya. Apa yang telah berlaku tak sedikit pun dapat mengubah rasa cinta saya pada awak. Cuma saya tak boleh lagi terpaku terlalu lama di situ. Saya perlu teruskan hidup.

Terima kasih atas tahun-tahun yang indah dalam hidup saya yang awak penuhi dengan cinta Terima kasih atas kesetiaan awak selama kita bersama. Terima kasih atas segala pahit manis, ketawa riang yang kita kongsikan. Terima kasih atas semangat yang tak putus-putus awak berikan. Terima kasih kerana percaya cinta kita cinta sesungguhnya. Dan terakhir, terima kasih kerana beri peluang pada lelaki yang serba kekurangan ini mencintai dan mengasihi awak.

Some people are meant to fall in love with each other but not meant to be together.




Sahabat, Kekasih dan Segalanya,
  Imran
The City of Light