Hai Ummi,
Hari ini Im bawa penghuni asrama anak yatim keluar untuk beli keperluan sekolah. Bermula dari pakaian sekolah, beg, kasut, stokin hingga alat tulis. Semuanya sudah lengkap. Banyak kenangan yang datang terutama ketika membeli alat tulis. Im teringin pensel warna Staedtler dengan 48 pilihan warna. Ummi belikan untuk Im pensel warna Stabilo dan Im tetap gembira.
Kawan-kawan sekelas ramai menggunakan Faber-Castell dan cat air (water color) pula daripada jenama Buncho. Im tak ingat jenama water color yang pernah Im guna — kecil sahaja, sekali guna sudah kering. Harganya murah. Tadi Im beli Faber‑Castell Polychromos 120 set warna untuk penghuni berusia 16-17 tahun kerana ramai antara mereka mengambil subjek Pendidikan Seni Visual.
Harganya sedikit mahal tapi warnanya cantik. Huda suka jenama ini berbanding Caran d’Ache. Anak-anak berusia 13-15 tahun pula Im belikan Staedtler 72 Design Journey Colouring Pencils. Adam selalu gunakan jenama ini kerana warnanya terang dan sekata. Bagi penghuni 10-12 tahun, Im belikan Staedtler 48. Terakhir, STABILO Swan 30 untuk anak-anak berusia 7-9 tahun.
Selesai beli pensel warna (lama juga sebab Im baca label setiap satunya), Im ke bahagian pensel dan pen. Im borong berkotak-kotak pensel dari pelbagai jenama. Ada banyak warna. Tak pernah jumpa pensel berwarna merah jambu, biru, hijau dan ungu. Im beli Jumbo, Noris dan beberapa jenis lagi daripada HB hinggalah 8B.Rupanya pensel Noris 2B menggunakan kayu kitar semula. Baru tahu.
5 Januari 2026