Semalam, bila aku sampai office, staf terkejut. Mereka tahu puncanya. Aku bayar gaji yang tinggi dan aku harapkan prestasi yang terbaik. Malangnya, mereka tak perform. Di kebanyakan masa, kalau di cawangan lain, aku pecat sahaja staf yang gagal berikan kualiti kerja yang memuaskan. Motto aku mudah, kau tak perform — tak ada tempat di sini. Aku tawarkan insentif dan komisyen yang tinggi, tapi aku kejar masa. Time is everything. Fokus yang terlalu lama pada satu-satu projek akan memberikan impak kepada projek yang lain. Syarikat ini kecil — setiap bulan hanya kendalikan 3 projek sahaja. Staf pula cuma 20 orang. Ya, kecil saja.
Bila aku sampai, aku nampak mereka sudah burnout dan keletihan. Tak sampai hati pula nak marah walhal hati panas. Bagi aku, kerja menjual ini mudah tapi bagi sesetengah orang sangat susah. Aku semak data —patutlah lambat. Ada dalam kalangan staf tiada langsung closing sell — bukan seorang dua. Petangnya, selepas waktu pejabat, aku bawa mereka keluar makan. Sambil makan, aku tanya tentang prospek yang batalkan di saat akhir —tentang masalah yang mereka hadapi. Aku tanyakan juga tentang prospek yang berminat, tapi belum buat keputusan. Dalam pemasaran, produk bukanlah satu-satunya kayu ukur untuk lariskan jualan.
Usai makan, mereka pulang ke rumah masing-masing. Staf aku di sini masih muda. Majoritinya penghujung 20-an dan awal30-an. Aku tak mahu apabila mereka balik ke rumah, masalah di tempat kerja mempengaruhi kehidupan peribadi mereka. Aku tak mahu apabila mereka di marahi di tempat kerja — pasangan menjadi mangsa. Aku rasa, sebagai majikan, aku ada kuasa untuk mengubah keadaan dan tidak mengeruhkannya lagi. Masalah di tempat kerja selalunya memberi kesan yang mendalam kepada kehidupan peribadi seseorang. Sekurang-kurangnya, mereka balik ke rumah dalam keadaan tenang dan tidak rungsing.
Masalah di tempat kerja pernah mempengaruhi hubungan peribadi aku. Mungkin, hanya mungkin (dan tentunya terdapat faktor lain) tekanan di tempat kerja ibarat mental torture yang tak berkesudahan — aku yang menjadi mangsa. Aku menunggu seharian suntuk — dalam beberapa hari termanggu-manggu cuba memahami apa yang sedang berlaku walaupun jauh di sudut hati — aku tahu — ada lelaki lain. Aku diamkan saja — tunggu empunya diri yang buka cerita. Telahan aku betul. “When a man ignores you, he is focused on his mission. When a woman ignores you, she is already entertaining someone else.”
September 16, 2025
Bangalore, Kartanaka, India