Hari ini, Im buka semula folder di telefon bimbit. Sejak dahulu, Ara sering berkongsi pelbagai maklumat, khususnya berkaitan isu jenayah. Malangnya, Im tidak pernah terfikir untuk menyimpan atau memuat naik ke blog peribadi sebagai tanda kenangan. Tahun lepas, ketika perempuan dari masa silam muncul kembali, Im menyimpan segala gambar yang di hantarnya, meskipun ada yang tidak begitu penting kerana kenangan harus diabadikan. Ketika itu Im tersedar, Im tidak berusaha mencatat kenangan bersama Ara.
Ara yang banyak mengambil berat, sentiasa setia di sisi. Penyesalan itu tidak mampu mengubah apa-apa. Sejak hari itu, apa sahaja gambar, video atau infografik—kerana Ara maklum minat Im terhadap rajah dan diagram—yang Ara hantar, Im akan simpan. Sebahagiannya di muat naik ke blog. Di tengah jadual harian yang padat, Im tetap mencuri ruang untuk membaca setiap siaran media atau dokumen yang Ara kongsikan. Ummi tentu tahu, Im tidak begitu meminati bidang guaman, justeru tidak memberi banyak perhatian.
Esok, 14 Ogos 2025, merupakan tarikh rayuan terakhir Siti Bainun Ahd Razali di Mahkamah Rayuan. Sekiranya gagal, dia akan menjalani hukuman penjara selama 12 tahun. Difahamkan, sehingga kini dia menanggung hutang kira-kira RM200,000 meliputi kos guaman, sewa rumah, bayaran kereta, utiliti, serta kerugian Rumah Bonda. Sejak kes Bella mendapat perhatian ramai, komuniti guaman di Malaysia seolah-olah terbahagi kepada dua kumpulan. Ara banyak berkongsi kisah tentang mereka—dan tidak semuanya sedap didengar.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila laporan polis oleh Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan, mengaitkan nama Siti Bainun. Menurut dakwaan, Ismanira diperkenalkan kepada Siti Bainun oleh Mona Din ketika membantu keluarga mencari pelaku pembunuhan namun selepas itu nama Siti Bainun muncul dalam aduan rasmi. Hal ini mencetuskan spekulasi baharu serta persepsi negatif di media sosial, yang berpotensi mempengaruhi prosiding rayuan dan menambah tekanan terhadap pihak pembelaan.
Dalam salah satu hantaran bertarikh 11 Ogos 2025, jam 8:34 malam, sebuah catatan telah di muat naik yang menimbulkan persoalan serius. Nama Siti Bainun di laporkan muncul dalam dokumen rasmi (laporan polis) meskipun beliau tidak pernah mengenali Ismanira Abdul Manaf. Persoalan utama yang timbul adalah sama ada wajar, atau pernah berlaku, seorang peguam menasihatkan anak guamnya supaya membuat pengakuan bersalah terhadap kesalahan berat seperti pembunuhan semata-mata bagi meredakan tekanan masyarakat.
Jika pendedahan ini benar, bukan sahaja mengejutkan malah membongkar sisi gelap yang jarang terlihat dalam proses perundangan negara. Ia mendedahkan individu yang sepatutnya menjadi penggerak keadilan turut terlibat, sekali gus menandakan wujudnya defisit keyakinan awam yang kian meruncing. Jika tidak ditangani secara tuntas dan berkesan, keadaan ini berpotensi menghakis integriti institusi kehakiman sekaligus melunturkan kepercayaan terhadap keluhuran undang-undang dan keadilan tinggal sekadar retorik murahan.
Ogos 13, 2025