Tuesday, May 13, 2025

Pemilihan TP PKR

Kenyataan terbuka Dato’ Seri Rafizi Ramli yang secara terang-terangan menggesa perwakilan menyokong Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR telah menzahirkan satu isyarat politik yang tidak lagi berselindung. Beliau membayangkan bahawa di sebalik pencalonan Nurul Izzah wujud sokongan langsung daripada Presiden parti. Ini menampakkan satu bentuk subterranean influence structure yang jelas bukan hanya soal pemilihan, tetapi pendedahan kepada corak perancangan kuasa dalaman parti. Realiti ini mencerminkan bahawa keputusan parti ditentukan bukan melalui proses meritokratik, tetapi melalui rangkaian pengaruh tidak rasmi.

Pertembungan antara Rafizi dan Anwar Ibrahim bukanlah episod baru dalam sejarah dinamik PKR. Konflik ini sering dizahirkan menerusi ketidaksefahaman dalam pendekatan strategik dan tafsiran terhadap prinsip reformasi. Rafizi telah lama tampil sebagai suara kontra terhadap dominasi Presiden, melambangkan jurang antara idealisme dan pragmatisme politik. Maka, pemilihan ini menjadi medan pertembungan naratif, antara kesetiaan terhadap institusi atau persona. Situasi ini menghidupkan kembali hipotesis realpolitik (realpolitik hypothesis) — bahawa kuasa sejati tidak semestinya terletak pada jawatan, tetapi pada kawalan terhadap naratif dan sumber.

Dalam konteks ini, Nurul Izzah dilihat oleh sebahagian akar umbi sebagai proksi kepada kem Presiden dan bukan sebagai calon berdiri sendiri. Undi terhadap Rafizi dianggap sebagai manifestasi penolakan terhadap kuasa bayangan yang mengelilingi pencalonan tersebut. Wujud pandangan sinis bahawa pemilihan ini sekadar ritual simbolik, kerana jawatan Timbalan Presiden memerlukan restu Presiden. Di sinilah munculnya “Tiga F” — tiga figura utama yang memainkan peranan sebagai operator politik (political operators). Mereka beroperasi dalam tiga medan kuasa yang saling melengkapi tetapi berasingan secara struktur. Beberapa nama telah di kenal pasti.

F pertama merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Presiden dan kini mengetuai beberapa syarikat tersenarai seperti Apex Equity Holdings Bhd, 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd dan lain-lain. Beliau pernah menguasai HeiTech Padu Bhd melalui Rosetta Partners Sdn Bhd, dan dikaitkan dengan projek kerajaan seperti NIISe bernilai lebih RM1 bilion. Peranannya dalam political-commercial hybrid menjadikan beliau pemain utama dalam penyusunan semula rangkaian ekonomi strategik. Individu ini menghubungkan sumber kapital swasta dengan akses politik dalaman. Beliau berfungsi sebagai pengendali sumber dan bukan sekadar ahli perniagaan.

F kedua pula ialah perancang utama dalam pembentukan imej serta pengaruh antarabangsa melalui jaringan pembinaan naratif strategik (narrative building). Dengan hubungan rapat bersama kedutaan, think tank, dan agensi global, beliau membina naratif teknokrat yang kononnya “reform-friendly”. Peranannya memperkukuh legitimasi antarabangsa terhadap kelompok tertentu dalam parti. Melalui diplomasi wacana dan penyelarasan imej, beliau menyalurkan isyarat strategik kepada aktor luar negara. Peranan ini penting dalam menjustifikasi agenda dalaman di peringkat global. Pembinaan karakter yang baik amat perlu untuk membina imej bersih di mata dunia. 

F ketiga ialah pemain senyap dalam penguasaan aset strategik negara, yang memiliki pengaruh senyap (silent leverage) dalam entiti seperti Khazanah Nasional atau sovereign fund yang bertindak sebagai penjaga fiskal (fiscal gatekeeper). Beliau menyusun aliran kapital negara untuk memperkukuh agenda kelompok tertentu. Individu ini bukan sekadar pentadbir teknokrat, tetapi pemegang pengaruh yang beroperasi di luar tatacara rasmi. Fungsi utamanya sebagai pemudahcara ekonomi (facilitator) menjadikan beliau penting dalam perencanaan semula struktur ekonomi pasca-reformasi. Keupayaan mengawal pelaburan menjadikan beliau aset strategik kepada Presiden.

Tiga individu ini bersama-sama membentuk soft agency dan distributed intelligence, strategi pasca-moden yang melangkaui kuasa formal. Mereka mengamalkan pendekatan segitiga kuasa (triangulate power) melalui tiga medan dominan: politik massa, legitimasi antarabangsa dan penguasaan ekonomi. Ia adalah pengulangan taktik Machiavellian moden yang tidak bergantung pada struktur rasmi tetapi melalui manipulasi persepsi dan rangkaian. Mereka mengukuhkan kedudukan melalui kawalan ke atas naratif, sumber dan pengaruh antarabangsa. Akhirnya, sistem ini mewujudkan hegemoni kuasa yang tersusun tanpa perlu diumumkan secara rasmi.

Isu utama di sini bukanlah berkaitan Timbalan Presiden yang bakal memenangi pemilihan parti, tetapi mentafsir kuasa sebenar di susun dan di pusatkan. Jika PKR terus bergantung kepada struktur tidak rasmi ini, maka naratif reformasi hanya akan menjadi topeng kepada pemusatan kuasa baharu. Pemilihan harus bersandarkan kepada kelayakan, integriti dan kapasiti memimpin, bukan hubungan peribadi atau warisan politik. Tanpa pelan transisi kepimpinan yang berasaskan sistem merit dan institusi, parti akan terus terperangkap dalam krisis legitimasi. Justeru, pembaharuan struktur mesti di mulakan segera untuk memastikan kelangsungan dan relavansi perjuangan yang lebih kukuh.


13/5