Kempen merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini menjadi fokus nasional, menyaksikan pertembungan antara Dato' Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar. Namun, perkara asas yang lebih penting ialah persoalan kelayakan Nurul Izzah, anak kepada Perdana Menteri, untuk bertanding jawatan ini, khususnya selepas kekalahan beliau dalam PRU DUN Permatang Pauh kepada Muhammad Fawwaz Mohamad Jan. Dalam konteks ini, terdapat banyak tokoh lain yang mempunyai rekod lebih kompeten dan kredibel. Kegagalan ini mencerminkan kemandulan politik dalaman parti dalam melahirkan kepimpinan yang berwibawa. Ia menimbulkan persoalan tentang budaya politik pewarisan yang terus membelenggu struktur kepimpinan PKR.
Kita perlu menerima hakikat bahawa kesinambungan dan ketahanan PKR dalam era pasca-Anwar Ibrahim adalah sangat rapuh. Parti ini terlalu bergantung kepada karisma peribadi Presiden, yang membentuk kebergantungan karismatik — kekuatan parti tidak bertunjangkan institusi tetapi individu. Karisma Anwar menjadi faktor utama yang menyatukan pelbagai ideologi dalam PKR, dari reformis Islamis, aktivis sivil kiri, buruh marhaen hinggalah teknokrat bandar progresif. Ketiadaan sosok setara yang mampu memainkan peranan penyatu ini bakal mengundang fragmentasi dalaman yang mendalam. Ini menimbulkan keperluan mendesak untuk membina struktur kepimpinan yang berlandaskan sistem, bukan lagi persona.
Pemilihan jawatan Timbalan Presiden bukan sekadar kompetisi dalaman, tetapi merupakan indikator kepada hala tuju masa depan parti. Ketiadaan pelan peralihan kuasa yang jelas mahupun institusi pembangunan kepimpinan yang mantap menunjukkan kelemahan struktur dalaman PKR. Situasi ini memperlihatkan ketandusan pelapis yang mampu mendapat penerimaan konsensus akar umbi. Lebih membimbangkan, perlantikan berdasarkan hubungan kekeluargaan berbanding merit mengundang rasa skeptikal dalam kalangan anggota. Jika amalan ini diteruskan, ia akan menghakis kredibiliti PKR sebagai parti reformasi dan mempercepatkan proses disintegrasi dalaman. Akhirnya, parti bakal kehilangan legitimasi di mata rakyat.
Peristiwa “Langkah Sheraton” telah membuktikan PKR kekal sebagai entiti politik yang mudah tergugat apabila berlaku perbezaan strategik atau ketidakpuasan dalaman. Parti ini jelas kekurangan daya tahan institusi apabila diuji oleh konflik kepimpinan dan cabaran kuasa. Tanpa penyusunan semula struktur akar umbi dan pembaharuan ideologi yang menyeluruh, PKR akan terus kehilangan daya tarikan politik, khususnya dalam kalangan generasi muda dan kelas menengah bandar. Generasi ini tidak lagi terikat pada emosi politik, tetapi menilai prestasi berdasarkan prinsip tadbir urus dan kecekapan pentadbiran. Maka, penyusunan naratif dan sistem kepimpinan baharu perlu digerakkan segera untuk mengekalkan kepercayaan pengundi.
Sudah tiba masanya untuk PKR membina sebuah Model Transisi Kepimpinan Ideal yang mampu menangani jurang antara idealisme reformasi dan realiti politik kontemporari. Model ini mesti dirangka dengan pendekatan sistematik yang menumpukan kepada institusionalisasi kepimpinan, dengan penekanan kepada kelayakan sebenar, bukan keturunan politik. Pemilihan pemimpin perlu berasaskan rekod integriti, keupayaan rentas kaum dan ideologi serta kompetensi dalam tadbir urus. Audit prestasi secara berkala dan pemilihan terbuka harus dijadikan amalan tetap. Pada masa sama, think tank bebas perlu digerakkan untuk melatih pelapis melalui kurikulum strategik dalam dasar awam, etika, komunikasi politik dan kepimpinan akar umbi.
Kita wajar mengambil pelajaran daripada pemikiran agung Ibnu Khaldun dalam karya klasik Muqaddimah, yang menggariskan lima fasa kejatuhan sesebuah pemerintahan: (1) Penaklukan dan kejayaan; (2) Kestabilan dan pemuliaan diri; (3) Kemakmuran dan kesenangan; (4) Kepuasan dan kompromi; (5) Pembaziran dan dekadensi. Dalam fasa kelima, beliau menulis: “Pemerintah hidup dalam kemewahan melampau dan membazir kekayaan yang dihimpun. Urusan penting negara diserahkan kepada yang tidak layak. Pengampu diangkat, pengkritik jujur dihina. Kadar cukai meningkat, hasil menurun. Ekonomi lumpuh dan sistem sosial tergugat. Kerajaan menjadi sakit yang tidak mampu dirawat.” Analogi ini sangat relevan dalam menilai kejatuhan sebuah negara.
PKR perlu segera beralih daripada pendekatan kepimpinan berasaskan warisan kepada sistem yang memartabatkan meritokrasi dan kecekapan. Kegagalan untuk merangka pelan transisi yang sistematik hanya akan mempercepatkan proses delegitimasi politik parti. Pembinaan struktur kepimpinan masa depan harus menekankan kecekapan teknokratik, kejelasan visi, serta keupayaan untuk menyatukan fraksi parti secara rasional dan inklusif. Sekiranya model ini tidak dibina segera, PKR akan terus terperangkap dalam krisis kepimpinan yang kronik dan kehilangan fungsi sebagai agen perubahan dalam landskap politik Malaysia seterusnya menyebabkan parti kehilangan daya saing dalam menghadapi realiti politik yang semakin kompleks dan mencabar.
12/5