Tuesday, May 20, 2025

Hati berbunga

Ara selamat tiba di Cyprus pagi Sabtu. Aku telah menunda jadual penerbangan ke hari Selasa, yang asalnya dijadualkan berlepas pada petang Ahad. Aku maklum bahawa Ara masih keletihan; biarlah dia berehat sehari dua sebelum mengambil alih tanggungjawab menjaga kembar. Menjaga empat orang anak kecil sememangnya bukan tugas yang mudah.

Aku menyambut ketibaan Ara di lapangan terbang. Sebaik sahaja pulang ke rumah, aku telah siapkan mandian limau purut sebagai bilasan terakhir selepas mandi — bertujuan memulihkan tenaga serta menyegarkan badan dan minda. Sebelumnya, aku siapkan juga air rendaman daun bawang untuk tujuan refleksologi. Usai mandi, Ara tidur lena hingga masuk waktu Asar.

Malamnya, setelah makan malam, kami meluangkan masa membaca buku bersama anak-anak. Kembar turut serta, memilih buku bergambar karya Robert Sabuda — antara penulis buku kanak-kanak pilihan ramai ibu bapa. Ilustrasinya yang kreatif dalam bentuk pop-up berjaya menarik minat anak kecil mendekati dunia pembacaan dan meminati buku. 

Selesai sesi membaca, Ara tidurkan kembar. Aku juga masuk tidur lebih awal malam itu. Hati terasa sungguh bahagia — aku menerima sebuah hadiah: kereta mainan, berupa trak 4WD dan lori kontena. Aku letakkannya di atas meja di sisi katil. Hadiah itu sangat bermakna. Sepanjang hari aku tersenyum — hati berbunga-bunga. Sukar digambarkan dengan kata-kata. 


19/5