Wednesday, April 30, 2025

Kelelahan

Semalam, kawan aku mengadu tentang isteri dan anak-anak dia. Aku dengar sahaja. Aku tahu dia terlampau stres. Dia nampak serabut sangat. Aku ajak dia ke masjid. Selesai solat, kami pergi makan. Dia bercerita tentang isterinya yang balik kerja tapi tak mandi. Mandi hanya sekali sehari. Bila ingin bersama, dia rasa tak selesa. Dia jauhkan diri. Sudah hampir setahun mereka tak bersama. Katanya lagi, isteri dia baik. Rajin memasak, sedap pula. Mengemas tak begitu pandai. Dia yang buat.

Anak-anak pun ada masalah. Bila suami isteri bekerja, anak-anak kurang di beri perhatian. Satu hari, ketika dia melihat handphone anak sulungnya, dia terkejut. Anaknya yang berusia 14 tahun sudah ketagih pornografi dan masturbasi. Apabila di soal siasat, dua anak yang lain turut terjebak. Dia mengucap panjang. Aku sarankan dia memasang DNS pada router di rumah. Jika dapat di pintas, pasang Firewall pula. Ketagihan pornografi yang melampau akan merosakkan masa depan. 

Bila dia minta pendapat, aku beri beberapa cadangan. Pada aku isterinya bukan tak mahu mandi. Mungkin dia terlalu penat. Balik dari kerja perlu memasak. Kemudian mengemas sambil mencuci pakaian. Mungkin kerana keletihan yang amat, dia mengabaikan kebersihan dan kesihatan diri. Dia masak setiap hari menandakan dia pentingkan perut isi rumah. Mungkin kerana tak ada yang membantu, tugas di rumah menjadi satu beban. Kalau sama-sama ringan tulang,  pasti lebih mudah. 

Aku cadangkan, sekiranya dia mampu, dukunglah isteri ke bilik air. Mandikan isteri atau mandi bersama. Ada waktunya kita terlalu letih untuk mengurus diri sendiri. Waktu inilah pasangan memainkan peranan. Katanya, dia berulang-kali menyuruh isterinya mandi, tetapi selalu di jawab "Sekejab" lalu tertidur di katil. Katanya lagi, cadar, selimut dan bantal semuanya berbau. Aku syorkan dia ubah suai perabot di dalam bilik, cat jika perlu. Letak *pokok hiasan, pasang pewangi. Buang yang tak perlu.

Aku beritahu dia nafkah batin bukan hanya hubungan badan semata-mata tapi sentuhan-sentuhan kecil yang buat dia gembira.  Mungkin dia perlukan sokongan emosi kerana sudah burnout menguruskan kerja dan rumah tangga. Aku juga minta dia rapikan diri - potong rambut dengan gaya baru, trim bulu di muka. Perempuan suka lelaki kemas, bersih, wangi - selalu gosok gigi, jaga bau nafas dan bau badan. Aku juga syorkan dia bersenam untuk kurangkan stres. Bersenam baik untuk tubuh badan.

Dia nampak lega. Aku sarankan, jika boleh selalulah buat aktiviti bersama seperti memasak, bersenam dan terutama sekali solat jemaah. Aku Google beberapa judul buku terbitan AJM untuk di baca sebagai panduan terutama *Koleksi Rumah Tangga Jawi. Buku-buku ini aku baca sebelum berkahwin. Aku turut belikan untuk Ara. Sebenarnya, sebelum berkahwin lagi aku sudah mendidik dan melentur Ara. Bukan untuk mengikut kehendak aku tapi lebih kepada persiapan menghadapi badai rumah tangga.


Pokok hiasan dalaman


Ruang Tamu
  • Palma Areca (Areca Palm) — Dypsis lutescens
  • ZZ (ZZ Plant) — Zamioculcas zamiifolia
  • Pokok Getah (Rubber fig) — Ficus elastica
  • Monstera (Monstera) — Monstera deliciosa

Dapur
  • Lidah Buaya (Aloe Vera) — Aloe barbadensis miller
  • Rosemary (Rosemary) — Salvia rosmarinus (sebelum ini dikenali sebagai Rosmarinus officinalis)
  • Pokok Duit-Duit (Pothos) — Epipremnum aureum

Bilik Tidur
  • Lidah Mak Mertua (Snake Plant) — Sansevieria trifasciata (kini diklasifikasikan sebagai Dracaena trifasciata)
  • Bunga Peace Lily (Peace Lily) — Spathiphyllum wallisii
  • Lavender (Lavender) — Lavandula angustifolia

Bilik Air

  • Pokok Labah-Labah (Spider Plant) — Chlorophytum comosum
  • Pokok Buluh (Lucky Bamboo) — Dracaena sanderiana
  • Paku Boston (Boston Fern) — Nephrolepis exaltata
  • Daun Kayu Putih Tergantung (Eucalyptus Leaves) — Eucalyptus globulus (mengeluarkan pati minyak  yang menyegarkan, melegakan resdung dan merehatkan minda apabila terkena wap panas)

Koleksi Rumah Tangga Jawi

  • Kitab Adab Perempuan
  • Kitab Adab Perempuan Juz Pertama
  • Risalah Seruan Kepada Jenis Yang Lembut: Perempuan²
  • Kitab ‘Alam Perempuan
  • Risalah Pergaulan Di Antara Pemuda-Pemuda Dan Pemudi
  • Haq-Haq Laki Bini
  • Rahsia Pengantin Baharu
  • Kitab Dunia Ibu


Selasa, 29 April 2025
Mumbai, India