Sebaik sahaja pulang dari masjid, aku terus ke dapur. Aku lihat Ara sedang menggoreng ayam. Minyak terpercik di serata tempat, termasuklah di atas lantai. Peralatan yang berhampiran semuanya berminyak. Aku menarik nafas dalam-dalam, cuba mengawal emosi dan ekspresi wajah.
“Goreng apa tu?” tanyaku, walaupun aku sudah tahu jawapannya.
“Ayam,” jawabnya ringkas.
“Kenapa tak guna air fryer?”
“Lupa,” jawab Ara.
“Oven pun ada. Alat pemanggang pun boleh guna. Taklah minyak merecik sampai ke lantai. Anak jalan sampai sana lantai melekit”
Aku berkata dalam satu nafas, bersedia sekiranya berlaku perbalahan.
“Sorry, next time kita tak buat dah,” jawab Ara spontan.
Aku tak jadi marah. “Tak apa. Nanti abang mop lantai”
Kami tidak bergaduh. Syukur, alhamdulillah. Ada waktunya, kalau tersalah tegur memang boleh jadi perang, seperti hari pertama puasa. Puncanya? Aku tegur ada sesuatu di atas lantai.
“Benda apa tu?” Soalku pendek dan ringkas, tetapi dia melenting. Betul-betul melenting.
“Lantai kotor aje salahkan Ara. Penatlah!”
Dia bercakap seolah-olah aku menuduh dia yang mengotorkan lantai, sedangkan aku sekadar bertanya.
“Benda simple. Dah kotor, mop. Tu je.”
Aku pun tak mahu mengalah. Kami bergaduh besar—jam 10 malam.
Malam itu, selepas peristiwa di dapur, Ara mengambil kunci kereta dan keluar rumah. Dia tidak berkata apa-apa. Aku hanya memerhati. Dia pulang selepas satu jam tiga puluh lima minit. Ketika dia melangkah masuk, aku menegurnya. Namun, dalam masa yang sama, kedengaran Luqman menangis dari atas. Aku naik ke tingkat atas untuk mengambil Luqman. Bila aku turun semula, kereta Ara sudah tiada. Aku tidurkan Luqman kembali. Kemudian, aku duduk menunggu Ara.
Hati risau—tak tentu arah. Macam-macam perkara berlegar dalam fikiran. Dia pulang kira-kira lima belas minit sebelum pukul dua pagi. Aku benar-benar lega. Kali ini aku tak menegurnya. Dia melangkah masuk ke rumah. Aku pula terus naik ke atas. Malam itu, kami tidur di bilik berasingan. Aku tetap bangun seperti biasa, menyiapkan sahur tetapi Ara tidak turun makan. Mungkin merajuk. Keesokan harinya, kami kembali bercakap seperti biasa. Seolah-olah tiada apa yang berlaku malam sebelumnya.
Makan malam sudah tersedia tapi Ara tetap mahu memasak. Aku tak mahu rosakkan mood, dia pasti penat. Selesai makan, aku mop lantai sambil berzikir supaya hati aku tenang dan tak merungut. Hampir sejam lebih selesailah semuanya. Aku naik ke tingkat atas, Ara sudah pun tidur — gembira mendapat 4 kuntum bunga ros dari kembar ketika di lapangan terbang. Aku tak bawa jambangan; hanya sekuntum aku berikan bersama sebatang pen dan satu set novel bersiri yang aku letakkan di atas meja.
April 18, 2025