Perhatian dunia kini tertumpu kepada tindakan Amerika Syarikat yang diketuai oleh Donald Trump dalam menaikkan tarif terhadap pelbagai negara. Langkah ini dilihat sebagai permulaan kepada satu era baharu dalam perang perdagangan global. Ekonomi dunia dijangka akan mengalami kejutan yang hebat, dengan kemungkinan berlakunya kegawatan ekonomi yang tidak dapat di elakkan. Keadaan ini pastinya akan memberi kesan besar kepada golongan pekerja, sama ada yang berkemahiran tinggi mahupun yang bekerja di peringkat bawahan. Sebagai tindak balas, China telah mengenakan tarif balas sebanyak 34 peratus terhadap Amerika Syarikat. Dalam satu kenyataan rasmi, China turut mengumumkan sekatan eksport terhadap unsur nadir bumi, iaitu sekumpulan 17 unsur kimia dalam jadual berkala — termasuk lantanida, skandium, dan yttrium — yang amat penting dalam penghasilan teknologi moden seperti bateri kereta elektrik, telefon pintar, skrin LED, sistem pertahanan, dan peluru berpandu.
Tindakan China mengawal bekalan unsur nadir bumi dilihat sebagai strategi yang sangat berpengaruh dalam konteks geopolitik kerana Amerika Syarikat sangat bergantung kepada China, yang merangkumi hampir 80 peratus daripada keseluruhan importnya. Unsur ini penting dalam pelbagai sektor, termasuk teknologi maju, pertahanan, dan pengeluaran produk elektronik. Sekatan yang dikenakan oleh China berpotensi menjejaskan rantaian bekalan global secara besar-besaran. Langkah agresif dalam menaikkan tarif perdagangan terhadap China telah mencetuskan ketegangan ekonomi yang meluas. Perang dagangan antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia ini akan menyebabkan kesan yang meruncing kepada ekonomi dunia tidak hanya terhad kepada Amerika Syarikat, malah seluruh dunia. Perubahan besar pasti berlaku bukan sahaja kepada pasaran ekonomi dunia malah mempengaruhi hubungan antarabangsa dan kestabilan politik di seluruh negara akibat keangkuhan Presiden AS itu.