Nabi ﷺ bersabda:"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, maka janganlah dia membiarkan isterinya masuk ke Hammam (tempat mandi umum). Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, maka janganlah dia masuk ke Hammam tanpa mengenakan Izar (kain penutup aurat)."Jami' at-Tirmidzi (no. 2801)
Masih terdapat segelintir suami yang membiarkan isteri mereka mandi-manda di tempat awam seperti di laut, sungai, menyertai aktiviti selam skuba atau snorkeling, beriadah di kolam renang awam, atau taman tema. Tidak di nafikan, ada yang bertudung dan menutup aurat, tetapi apabila basah, aurat tetap kelihatan.
Lelaki adalah imam dan ketua keluarga. Menjadi tanggungjawab suami membimbing isteri agar maruah dan aurat mereka terpelihara dengan sempurna. Kata Buya Hamka, “Lelaki menjadi pemimpin kaum wanita bukanlah untuk memeras atau memaksa, melainkan untuk mendidik, menjaga, dan melindungi.”
Setiap suami yang menyayangi isteri wajib menegur dan memberi nasihat dengan hikmah. Pepatah Melayu ada menyebut, “Seorang lelaki tidak akan menegur atau menasihati seorang wanita yang tidak penting baginya. Maka ketahuilah, jika dia menasihati, itu tanda dia sangat mencintai.”
Tidak semua lelaki beruntung dikurniakan isteri yang baik akhlaknya, mudah dilentur dan dididik. Ada wanita yang sukar di tegur, apatah lagi mendengar kata. Jika seorang suami memiliki isteri yang baik budi pekerti, ketahuilah bahawa itulah sebaik-baik anugerah dalam kehidupan seorang lelaki.