Sunday, March 30, 2025

Yang pergi jangan di nanti

Lama saya ambil masa untuk jelaskan kepada anak-anak. Bukan mudah untuk menyakinkan mereka. Mereka meminta saya menunggu, kalau-kalau ada khabar baik. Kalau-kalau yang pergi akan kembali. Saya tahu yang pergi tidak akan kembali, walau hati masih menanti. Saya berpegang pada prinsip 去る者は追わず. Saya beritahu anak-anak, apabila seseorang meninggalkan kita, itu bukan bererti dia membenci atau mementingkan diri. Kadang-kadang, jalan menuju bahagia adalah meninggalkan.

Waktu itu, separuh hati saya masih menginginkan dia, separuh lagi mahu melangkah pergi. Saya sudah cuba menerima dia kembali, namun saya tahu — hati saya terlalu hancur untuk memulakan semula. Satu petikan dalam filem Mann yang saya masih ingat — "Amat mudah untuk meruntuhkan sebuah kepercayaan daripada membinanya semula." Cinta? Mungkin yang tinggal hanya rindu yang bersandarkan kenangan. Saya tak mampu menyintai seorang wanita yang mencintai lelaki lain.

Saya bertahan sehingga saya tidak lagi diperlukan. Tiada apa yang perlu dipertahankan, lalu saya memilih untuk mundur. Hati saya hancur. Setiap hari ditemani air mata. Setiap hari mengingat dia. Saya ikhlaskan dia pergi kerana cinta yang mendalam. Sukar, tetapi saya relakan. Mencintainya mengajar saya banyak perkara. Barangkali, itulah hakikat cinta — kita belajar tentang kehidupan. Saya tak pernah berdendam, malah sentiasa mendoakan agar hidupnya dilimpahi kegembiraan.

Malam itu, saya duduk sendirian di dapur. Umar turun dari bilik untuk mengisi botol air. Setiap malam sebelum tidur, dia akan ke dapur mengambil air — tabiat yang tidak pernah berubah sejak kecil. Dia mewarisi kebiasaan itu daripada seseorang. Dia tidak lagi bertanya. Mungkin sudah lupa. Lebih baik dia lupa daripada mengingat kisah silam. Kali terakhir dia bertanya, "Daddy, Mama dah kahwin? Mesti Mama lupa adik." Sejak itu, dia belajar melupakan. La vida va avanti.

Saya mohon agar Ara rahsiakan komunikasi saya dengan orang lama daripada pengetahuan mereka, agar nostalgia kekal sebagai nostalgia. Kebahagiaan yang ada sudah cukup. Saya tidak mahu ia hilang hanya kerana mengejar bayangan masa silam yang telah lama berlalu. Saya juga tidak mahu menjadi contoh yang buruk kepada anak-anak dengan terus berhubung dengan seseorang yang sepatutnya saya lepaskan. Biarlah ia kekal di luar pengetahuan mereka. Itu lebih baik.


Entah sudah berapa lama kita berpisah;
ratusan hari, ribuan hari,
aku tidak tahu pasti.
Yang aku tahu adalah:

tidak pernah ada waktu yang tepat untuk melupakanmu.

(patahan.ranting)




Mac 26, 2025