Ara sudah tidur jam 8:45 malam. Anak-anak yang besar tiada di rumah. Cuti sekolah seminggu. Umar menyertai kem matematik di Canada. Adam ke Mexico City bagi mengikuti kem seni lukis di sana. Huda pula sudah berlepas ke Amerika Syarikat untuk memulakan pengajian peringkat ijazah. Rumah sunyi kata Ara.
Ara menghabiskan masa dengan kembar selain membaca dan berkebun. Makanan kembar tukang masak yang sediakan. Ara punya banyak masa untuk diri sendiri. Saya sering ingatkan dia untuk menjaga kesihatan diri dengan mengambil makanan berkhasiat, kerap bersenam dan minum air secukupnya.
Saya bawa keluarga ke Guatemala untuk menghabiskan masa bersama. Tak banyak tempat yang kami lawati. Saya suka gunung berapi jadi saya bawa keluarga ke Pacaya Volcano. Gunung berapi ini masih aktif. Pemanduan dari Antigua mengambil masa dua jam. Pagi itu kami bertuah kerana dapat melihat lawa terapung.
Petangnya kami bersiar-siar di Parque Central de Antigua. Saya menemani Ara melihat matahari terbenam. Berbual-bual tentang perkara sederhana berat. Ara bertanya tentang bahagia dengan yang baru atau bahagia dengan masa lalu; petikan dari sebuah blurb novel katanya. Saya menjawab dengan jujur dan teliti.
Esoknya kami ke Lake Atitlan. Tasik ini merupakan antara tasik tercantik di dunia. Pemanduan dari Antigua kira-kira tiga jam. Kami menyewa bot menelusuri tasik melihat panorama yang indah. Sesekali jari kami bertaut seketika seperti tidak ingin melepaskan lalu kami berbalas pandangan. Hati berbunga riang.
Kami melawat Panajachel, salah satu di antara 3 perkampungan berhampiran Lake Atitlan. Kampung lain yang berdekatan ialah San Juan La Laguna dan Santiago Atitlan tetapi tidak sempat di lawati. Perjalanan kali ini santai-santai sahaja. Kami tidak melawat muzium dan tempat bersejarah yang lain.
Sabtu petang, saya bercadang ingin melihat rembang mentari dari kaki bukit Cerro de la Cruz. Malangnya, tempat ini tutup sebelum matahari terbenam. Ahad pula tak bercadang untuk mendaki Indian Nose kerana kesuntukan masa. Saya lebih berminat untuk bermalam di Volcan de Fuego.
Pulang dari Guatemala, seperti biasa saya mengambil pakaian Ara untuk di cuci. Esoknya dia tidak bertanya apa-apa malah mengucapkan terima kasih kerana selalu mencuci bajunya. Dia tak lagi marah-marah atau bad mood. Sambil memilih pakaian, dia memuji kekemasan saya menyusun pakaiannya.