Wednesday, May 23, 2018

Cabaran sebenar bermula

Umum mengetahui saya tidak begitu sukakan Tun Dr. Mahathir atas beberapa faktor terutama berkaitan kronisme yang membarah dalam pemerintah sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri ke 4 kira-kira 15 tahun lepas. Hari ini Tun Dr. Mahathir hadir kembali dalam kancah politik negara dengan gagah perkasa menumbangkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Pilihan Raya ke 14 pada 9 Mei lepas. Beliau menggembeling tenaga bersama pasukan pembangkang sejak berlangsungnya Bersih 5 menyusun strategi untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri Malaysia yang di sifatkan oleh New York Times sebagai “Man of Steal”. Nama Malaysia semakin merundum di mata dunia sejak di pimpin oleh barisan pemimpin kleptokrasi.

Keangkuhan Barisan Nasional tersungkur ketika kiraan undi di kuasai oleh Pakatan Harapan. Bermula rebahnya kubu terkuat UMNO di Johor, satu persatu negeri jatuh ke tangan Pakatan Harapan. Tidak ada penganalisis yang menjangkakan peralihan kuasa ini akan berlaku. Bersama Pakatan Harapan, mereka menjanjikan sebuah Malaysia baru dengan nafas dan ideaologi yang segar walau saat ini rakyat gegak-gempitakan dengan bebanan hutang negara yang sudah melebihi RM 1 trillion (saya kira lebih kurang RM800 billion). Mengikut data Trading Economics, pendapatan negara pada suku ke empat 2017 meningkat dari RM 58716.20 kepada RM 64614.10. Pada 2017, kadar KDNK ialah 50.90% menurun dari 52.70% dan bebanan hutang pada tahun 2017 ialah RM 685 billion. 

Statistik ini menunjukkan banyak perbezaan dengan statistik yang di berikan oleh Tun Dr. Mahathir semasa sidang media semalam. Statistik terkini menunjukkan kadar hutang negara adalah RM 1 trillion dengan kadar hutang melebihi KDNK sebanyak 65%. Secara teorinya, kadar hutang negara tidak boleh melepasi paras KDNK. Malangnya, menurut Tun Dr. Mahathir, Malaysia sedang menghadapi masalah ini. Selain projek mega ECRL dan HSR (KL-Singapura), 1MDB menjadi punca utama Malaysia mengutip hutang dengan banyak sekali. Pakar ekonomi beranggapan Malaysia tidak akan muflis tetapi bakal bergelut untuk membayar kos pembayaran faedah sekitar 13.2% mengikut perbelanjaan operasi. Atas sebab ini negara memperkenalkan pelbagai jenis cukai untuk menampung pembayaran. 

Kerugian akibat bencana 1MDB di anggarkan sebanyak RM 42 billion. Ini merupakan skandal kewangan terbesar selepas era Tun Dr. Mahathir. Pada era beliau, skandal kewangan akibat Forex di anggarkan sekitar RM 30 billion. Skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) di katakan berjumlah RM 20 billion. Ini belum lagi termasuk kes kerugian Perwaja. Jumlah keseluruhan kerugian semasa era Tun Dr. Mahathir  kira-kira RM 100 billion. Oleh sebab tiada bukti kukuh dan RCI tidak dapat menyiasat hingga ke akar umbi, skandal ini hanya tinggal halwa telinga tanpa dapat di bawa ke muka pengadilan. Pada zaman ini, di katakan manusia terkaya di Malaysia ialah Tun Daim Zainuddin melalui pemilikan 14 buah bank di seluruh dunia. Aset beliau di anggarkan bernilai RM 65 billion. 

Jadi, tidak hairanlah jika ada pihak mengatakan Tun Dr. Mahathir menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Democratic Action Party (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah) dan membentuk partinya sendiri untuk bergabung dan membentuk perikatan baru yang di namakan Pakatan Harapan. Beliau mungkin sahaja khuatir jika puak pembangkang menang, beliau akan di seret dan di penjarakan atas dosa-dosa silam. Satu-satunya jalan keluar yang ada ialah menyertai ‘musuh’ dan menyakinkan mereka untuk meraih kuasa pentadbiran. Menggunakan kebijaksanaan strategi, di samping bantuan PACA - berdiri megahlah Tun Dr. Mahathir pada hari ini. Beliau kembali memegang tampuk kuasa dan segala-galanya dalam kawalan beliau! Beliau membuktikan dalam politik tidak ada kawan dan musuh kekal.

Tidak dapat di nafikan, ini adalah kejayaan besar buat sebuah parti yang sekian lama berjuang untuk menumbangkan kerajaan. Pada 9 Mei 2018, kita melihat Tun Dr. Mahathir menang bergaya menumbangkan regim yang telah berkuasa selama 61 tahun! Berita kemenangan ini tersebar ke seluruh dunia. Dunia sedang melihat Tun Dr. Mahathir membuat percaturan politik baru  buat Malaysia. Menurut Dr. Amran Muhammad (Ketua Pegawai Eksekutif ISIS), Ibnu Khaldun telah menulis hal ini kira-kira 600 tahun dahulu. Menurut Ibnu Khaldun “Setiap regim/dinasti politik hanya boleh bertahan selama tidak lebih dari tiga generasi sahaja. Hal ini berlaku kerana lazimnya generasi selepas generasi pertama akan berasa selesa hasil dari susah-payah pencapaian generasi awal”. 

Malangnya, kemenangan ini “di cemari” apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim yang di bebaskan melalui pengampunan penuh Yang Di Pertuan Agong tidak mematuhi saluran pengampunan yang betul. Ini adalah kerana proses pengampunan haruslah di buat melalui Peguam Negara kemudian di usulkan kepada Lembaga Pengampunan. Setelah Lembaga Pengampunan bersidang barulah usul ini di bawa kepada Yang Di Pertuan Agong untuk diperkenankan. Malangnya kita semua tahu Peguam Negara di berikan cuti selama 30 hari dan Lembaga Pengampunan tidak bersidang. Pencabulan kuasa seperti ini harus di hentika jika negara kita ingin maju ke hadapan. Begitu juga dengan perlantikan Saudara Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan yang terpalit dengan skandal rasuah di Pulau Pinang. 

Hal-hal perlulah di ambil peduli untuk membezakan Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional Pakatan Harapan membawa slogan politik era baru yang lebih telus dan jujur seperti yang selalu di laung-laungkan. Janganlah apabila sudah berada di tampuk kuasa, semua itu hilang bagai debu di bawa angin. Dr. Amran Muhammad juga mengingatkan bahawa cabaran terpenting adalah membuat perubahan hakiki iaitu “Perubahan yang merubah kerangka dan kaedah berfikir masyarakat ke arah yang lebih baik”. Di sinilah bermulanya cabaran sebenar pemerintah. Pemerintah juga di harap tidak hanya melaungkan slogan telus dan amanah sekiranya tidak memiliki sepenuh jiwa nurani untuk melakukannya. Inilah masanya untuk mereka walk the talk.

Monday, May 21, 2018

1.35 am


Only the soul knows what love is. — Rumi

Sunday, May 20, 2018

Ramadan 2018

Ramadan tahun ini anak-anak merengek hendak berniaga di bazar. Kali pertama dan terakhir mereka berniaga di bulan Ramadan adalah sewaktu menetap di Ipoh dahulu. Saya mengatakan tidak kerana tak mahu mereka keletihan. Berniaga di bazar walaupun nampak mudah sebenarnya amat memenatkan. Mereka tetap memujuk dan akhirnya saya mengalah. Dalam kesibukan menguruskan beberapa tawaran baru, memantau projek pembangunan sedia ada serta membaik-pulih struktur syarikat yang baru di ambil alih, saya perlu korbankan masa dan tenaga untuk turut berada di bazar menjual makanan.

Saya berasa amat tertekan pada mulanya kerana begitu banyak kertas kerja yang perlukan penelitian serta laporan kemas kini yang perlu di pantau setiap masa. Ini belum termasuk menghabiskan bacaan jurnal dan buku-buku ilmiah untuk kursus atas talian yang saya ikuti. Tentu sahaja, buat masa ini hal bersangkut-paut berkaitan persediaan perkahwinan saya letakkan ke tepi dahulu. Mujurlah Hara banyak membantu memudahkan urusan. Mengikut jadual kerja, bulan ini seharusnya tidak banyak kerja yang perlu di buat. Rezeki yang datang tanpa di duga, bulan ini begitu banyak tawaran kerja yang masuk. 

Tuntutan kerja selalu membuat saya leka dan alpa. Tiga hari pertama Ramadan saya hanya bersolat terawih tanpa membaca walau sebaris ayat al-Quran. Semalam, usai menunaikan solat maghrib, saya teruskan bacaan yang terhenti beberapa hari sebelum bermulanya puasa. Setiap kali tiba Ramadan, saya berhasrat untuk membaca sekurang-kurang dua halaman al-Quran Belum pun memasuki pertengahan Ramadan, saya sudahpun tergelincir dari landasan kerana terlalu memberi fokus pada lambakan kerja hingga terlupa - lambakan kerja itu datangnya atas rezeki yang di izinkan-Nya. 

Saya tidak lagi tertekan dan marah-marah kerana terpaksa mengikut kehendak anak-anak berniaga di bazar. Berada di bazar, dalam lautan manusia membuatkan saya insaf dan merenung diri serta kesenangan yang saya miliki. Dua hari lepas, bazar menjadi kecoh apabila seorang pelanggan yang membeli nasi campur naik angin dengan mendakwa peniaga mengenakan harga yang mahal ke atasnya. Petang itu dia membeli sebungkus nasi bersama 2 ketul nugget, 2 ekor sotong, sepotong telur dadar dan sayur kangkung. Harga yang di kenakan adalah RM 10. 

Anak-anak mula membuka jualan jam 4.15 petang hingga 6.30 petang. Mereka menjual cookies, agar-agar, pudding, dan kek. Tentu sahaja hasil jualan membuat mereka lebih bersemangat. Manakan tidak, pada Ramadan pertama mereka berjaya membawa pulang RM 300. Walaupun nilai ini sama dengan wang belanja sekolah selama 3 hari, namun ia memberi lebih erti kerana mereka berpenat lelah mencarinya. Ketika inilah saya melihat sikap toleransi, bekerjasama dan sepakat membawa berkat yang ada pada diri mereka walaupun tetap perselisihan/pergaduhan kecil masih ada.