Sunday, April 29, 2018

Memeterai janji

Terdapat 5 peringkat dalam adat istiadat perkahwinan orang Melayu iaitu adat merisik, adat meminang, adat menghantar belanja dan mas kahwin, akad nikah dan adat bersanding. Dua adat yang pertama telah berlangsung tahun lepas. Minggu hadapan tanggal 4 Mei 2018 keluarga saya akan ke rumah Hara untuk melangsungkan adat menghantar belanja dan mas kahwin. Setelah majlis ini selesai, peringkat yang tinggal hanya akad nikah dan adat bersanding. Harapnya segala persiapan berjalan dengan baik. 

Minggu lepas, setelah saya benar-benar bersedia, saya bertemu Hara untuk memeterai hal seputar majlis perkahwinan kami. Semuanya telah di pilih dan atur dengan baik setelah berbincang hampir 3 jam. Saya telah memberi Hara ruang seluas-luasnya untuk mengatur segala keperluan - tetap jua dia mahu saya sendiri yang memilih tarikh. Jadi, saya tanpa ragu-ragu telah membuka sebuah kitab karangan Ali Zulfakar sebagai panduan. Mungkin menyangkakan saya hanya bergurau, Hara kemudiannya ketawa kecil.

Tawa Hara kian hilang bila dia melihat saya membuat rujuk silang pada kalendar. Tahulah dia bahawa saya tidak bergurau dan benar-benar serius mencari tarikh yang sesuai berpandukan kitab Ali Zulfakar. Kata Hara, dia tahu saya seorang tradisionalis tapi tidak menjangkakan saya se-tradisionalis itu. Saya kira, saya tidaklah begitu tradisionalis. Mungkin sahaja Hara masih belum kenali diri saya yang sebenar-benarnya. Atas sebab itu dia terkejut bila melihat saya merujuk kitab sebelum membuat keputusan. 

Menurut Ali Zulfakar, memilih tarikh yang sesuai sebelum melakukan sesuatu pekerjaan adalah penting dan ia adalah penentu awal ke arah jalan yang bakal kita tempuhi pada masa akan datang. Tarikh-tarikh ini hanyalah panduan semata-mata kerana apa sahaja yang terjadi di muka bumi ini adalah di bawah kehendak dan kekuasaan Allah. Kita sebagai manusia hanya mampu merancang dan berdoa agar segala yang kita aturkan dengan teliti terjadi sebagaimana yang kita kehendaki.


Tarikh
Perkara
1
• Mengadap raja-raja
• Jumpa orang besar
• Bercucuk tanam
2
• Belayar
• Melangkah keluar
• Menuntut apa-apa hajat
3
• Jangan buat apa-apa pekerjaan. Tidak berjaya / tidak menjadi
4
• Meminang
• Membuat pekerjaan kahwin
• Berakad nikah
5
• Jangan berbuat apa-apa pekerjaan - ada nahas
6
• Berakad nikah
• Kahwin
• Menuntut hajat
7
• Buat apa-apa pekerjaan. Semua berjaya dan berkat
8
• Boleh menuntut hajat
• Tidak boleh membuat pelayaran
9
• Mendapat rezeki
• Berkebajikan berkat
10
• Hajat terlaksana
• Jangan mengadap raja
• Kehilangan akan di jumpai
• Penyakit sembuh
11
• Hajat akan sampai
• Mendapat laba / untung
• Jangan jumpa orang besar
12
• Berkat dan berjaya segala pekerjaan
13
• Jangan buat apa-apa. Ada nahas
14
• Berjaya
• Selamat membuat apa-apa pekerjaan
• Mendapat pujian
15
• Segala-gala baik lagi terpuji
16
• Tidak baik buat apa-apa pekerjaan
• Tangguhkan pekerjaan
17
• Baik membuat jamuan nikah kahwin
• Membina ikatan-ikatan
• Bercucuk tanam
18
• Menang dengan jaya
• Beruntung lagi berkat
19
• Baik segala-galanya
20
• Baik memulakan pekerjaan. Akhirnya mendapat selamat
21
• Sia-sia, rugi, malas, nahas
22
• Baik bersedekah
• Beroleh laba
23
• Hanya bagi pekerjaan kahwin yang selamat dan nikah
24
• Malang, nahas dan takut menyesal
25
• Beringat-ingat dari keburukan dan nahas
26
• Boleh menuntut hajat
• Baik bersedekah
• Jangan berkahwin
27
• Sangat baik lagi terpilih
28
• Celaka besar
29
• Mendapat harta
• Penyakit sembuh
• Musafir kembali
• Menyampaikan hajat
30
• Berkat, terpilih, berjaya dalam segalanya