Saturday, June 03, 2017

Pen

Ketika di bangku sekolah saya mempunyai sebatang pen berwarna hitam. Pen ini saya beli sebagai menggantikan pen lama yang telah kering dakwatnya. Pen yang baru saya beli ini merupakan pen jenama baru dan tak begitu di kenali. Ia selesa di gunakan dan mungkin kerana “keserasian”, saya membawanya ke mana sahaja. Saya jarang bergerak tanpa membawa buku. Jadi saya perlukan pen untuk mencatit, mengaris bait-bait atau key point semasa pembacaan sedang berlangsung. Setiap kali membuat pembacaan, pen ini mesti ada. 

Pen ini ada bersama saya sejak dari tingkatan satu lagi hinggalah menjejakkan kaki ke universiti. Kebiasaannya, ketika berhujah atau melontar pandangan atau membuat kritikan di dalam kelas, saya akan memegang pen ini seperti sedang menulis. Ia sebagai simbol keyakinan diri. Ketika di universiti, pen ini sudah begitu buruk dan lusuh tapi saya masih setia dengannya bukan kerana saya tidak mempunyai pen lain, tapi kerana saya selesa, gembira, dan seronok ketika menggunakannya. Pen ini saya kira merupakan sebahagian dari diri saya. Ia amat penting dalam hidup saya.

Pen kesayangan saya hilang ketika saya memasuki tahun dua di universiti. Ketika sedang tekun mendengar kuliah, pen ini terjatuh dan ghaib begitu sahaja. Selesai waktu kuliah saya mencarinya di seluruh bilik tapi masih tidak jumpa. Esoknya, ketika waktu lapang tanpa kuliah dan latihan di padang, saya masih ke bilik kuliah yang sama mencari pen kesayangan saya ini. Masih juga tidak bertemu. Saya mencarinya hingga ke tong sampah dengan harapan jika ada orang menjumpainya, mungkin akan mencampakkan pen ini ke bakul sampah kerana pen ini terlalu buruk dan hodoh.

Selama sebulan saya mencarinya, tidak juga jumpa. Akhirnya saya give up dan redha bahawa setakat itu sahajalah “jodoh” kami berdua. Saya redha dalam keterpaksaan. Saya ke kedai membeli pen yang lain. Terdapat banyak jenama tapi tak ada yang serupa atau hampir sama dengan pen kesayangan saya. Oleh sebab tiada pilihan, saya memilih untuk membeli Pen Parker. Pen ini cantik, halus buatannya tapi tak juga menarik hati saya. Setiap kali ke kedai, saya akan lawati ruangan pen dengan harapan saya akan bertemu jenama pen saya yang hilang itu. 

Secara tidak sengaja, pen yang saya beli hampir setiap minggu ini bertambah dan menjadi seperti sebuah koleksi. Semuanya saya simpan dan ada di antaranya yang tidak pernah di gunakan hingga hari ini. Tabiat saya membeli pen masih berlangsung hingga sekarang. Setiap kali melihat pen, saya akan teringatkan pen saya yang hilang. Saya “bersusah-payah” dengannya. “Mengharungi” semesta “bersama” dengan jadual padat dan soalan exam yang tak terbayang susahnya. Saya barangkali sedih kerana pen ini tidak ada dengan saya hingga saya tamat pengajian. 

Saya barangkali tak akan menemui jenama pen ini lagi. Pen saya yang hilang itu pun mustahil di temui (walaupun) saya masih berharap saya akan menemuinya. Sesuatu yang hilang dari diri kita tak kiralah apa pun akan membekas pada hati kita. Walaupun orang kata objek yang tak bernyawa tak mempunyai emosi tapi sebenarnya emosi kita berpaut kukuh padanya. Barang yang hilang mustahil di temui. Begitu jugalah dengan cinta walaupun Frank Kafka kata “Everything that you love, you will eventually lose, but in the end, love will return in a different form."