Saturday, June 17, 2017

Pejuang cinta

Menghitung tibanya hari raya samalah seperti mengira baki hari-hari terakhir awak bakal di ijab kabulkan. Menunggu hari bahagia sangat menyenangkan. Abang harap semua persiapan berjalan dengan baik. Perkahwinan adalah hari yang paling di nantikan. Ia adalah permulaan detik baru dalam hidup seseorang. Perkahwinan mengikat dua insan menjadi satu. Berkongsi segala rasa dan rahsia. Perkahwinanlah yang menjadikan hidup seseorang lebih bermakna. Keterujaan hidup bersama insan yang kita sayangi menjadikan hidup kita lebih memberi erti. Cinta menjadikan hidup kita lebih dari sekadar hidup. Cinta sering menjadikan kita seorang pejuang, pejuang cinta.

Abang tak pernah menyesal mengenali, mencintai dan memberi seluruh jiwa dan raga abang pada awak. Nasihat Mark Twain,“Never regret something that once made you smile”. Hal yang lepas sangat memedihkan namun kepedihan dan kelukaan adalah sebahagian dari kasih sayang. Jika kita tak pernah berkasih, kita tak mungkin terluka. Bercinta menjadikan kita kaya dengan sifat kasih sayang, kelembutan dan kehalusan budi. Bercinta menjadikan kita insan yang lebih baik dari sebelumnya. Bercinta malah menjadikan kita seperti insan yang baru di lahirkan dengan sifat-sifat terpuji. Begitulah sifat cinta; menjadikan manusia bersifat halus. 

Perkahwinan bukanlah titik terakhir dalam percintaan. Perkahwinan adalah detik permulaan kepada sebuah percintaan. Perkahwinan yang kekal lama dan bahagia memerlukan percintaan yang berterusan. Tanpa cinta, kita tak mungkin kekal bahagia. Percintaanlah yang membuat kita mahu hidup seribu tahun lagi. Percintaanlah yang membuat kita mahu merentas lautan, meredah Sahara. Percintaan adalah segala-galanya buat kita. Insan yang bercinta adalah insan yang beroleh keuntungan dalam dunia ini. Dunia ini milik orang yang bercinta. Tak ada keraguan dalam bercinta, tak ada yang mustahil dalam percintaan seperti kata Anthony Liccione “Love makes everything possible”.

_

Doa abang, agar awak bahagia hingga hujung nyawa. Abang mahu awak bercinta sepenuh hati. Awak beruntung kerana menemukan seseorang untuk di cintai. Tuhan masih berikan awak rasa kasih dan sayang untuk di kongsi bersama insan lain. Dia yang menerima awak dengan penuh cacat-cela dan segala kelemahan yang ada pada awak, dia yang menyintai perca-perca terbaik yang ada pada diri awak, dia yang berikan seluruh hidupnya untuk hidup bersama awak. Terima dia sepenuh hati, terima seluruh kekurangan yang ada pada dirinya. Binalah mimpi, bercintalah sampai ke syurga. Jangan pernah berhenti bercinta.

Kerinduaan yang ada masih mendalam walau sekadar sisa. Kerinduan yang ada sukar di pendam malah tak mampu di zahirkan. Kerinduan ini tak terungkap, sungguh menyeksakan. Merindui seseorang selalunya menyenangkan walaupun batinnya hanya kita sahaja yang tahu. Kerinduan selalu membuat kita mengenang masa lepas yang penuh warna-warni seperti kata Dante Alighieri “There is no greater sorrow than to recall a happy time when miserable”. Kerinduan juga selalu membuat kita berhati-hati dengan masa hadapan. Kerinduaan membuat kita menaakul dengan lebih mendalam tentang kemahuan sebenar kita seperti pesan Saadi “You should know exactly what it is that you want”. 

Awak tahu apa yang lebih memedihkan? Hidup kita terhenti di masa lalu. Kita menyesal kerana tidak mengambil peluang, kita menyesal kerana tak begitu mengendahkan, kita menyesal kerana tidak berbincang dan kita menyesal kerana saling melepaskan. Abang selalu menyesal kerana jarang memuji kecantikan awak misalnya, memberi awak pengiktirafan. Abang hanya memuji awak di sini, di memo-memo dan kertas-kertas kosong. Abang tak pernah luahkan. Abang tak pernah luahkan secara berhadapan betapa abang pernah menjadi lelaki yang paling beruntung kerana memiliki perempuan seperti awak. Dan sekarang abang ralat kerana tidak pernah luahkannya.

Love really does make everything beautiful, from the inside out.

Jan Denise




The Banjaran Hotsprings Retreat, Perak
Sebelum maghrib