Sunday, July 06, 2014

Surat untuk Pari-Pari Kecilku

Daddy rasa daddy bersikap tidak adil dengan Huda. Daddy minta maaf kalau Huda rasa tersisih. Mungkin waktu daddy dapat seorang anak perempuan, daddy tidak begitu bersedia. Daddy minta maaf sekali lagi kerana menggunakan perkataan tidak bersedia – daddy tak tahu perkataan lain yang sesuai. Huda tak salah apa-apa cuma daddy-tak-tahu-cara-yang-sesuai-melayan-anak-perempuan.

Daddy tak sedar yang Huda sudah pun berumur 9 tahun. Daddy tak sedar yang anak perempuan daddy sudah besar. Daddy harap Huda tak marahkan daddy. Daddy sayang Huda sama seperti daddy sayang Umar dan Adam. Daddy harap daddy masih ada masa untuk di isikan bersama Huda. Daddy harap bila daddy tak ada nanti – ada sesuatu yang Huda dapat ingat tentang daddy.

Daddy suka tengok Huda melukis. Huda pandai melukis. Daddy tak pandai melukis. Daddy tak faham bahasa lukisan. Daddy suka tengok Huda bermain dengan warna. Huda banyak habiskan masa di studio. Daddy selalu fikir “Tak boleh kacau Huda melukis. Nanti konsentrasi Huda terganggu”. Mungkin daddy betul. Boleh jadi daddy silap.

Kita habiskan banyak masa di Paris. Kita tengok matahari terbenam, kita tengok matahari terbit, kita daki (daddy tak daki sebab Abang Don angkat daddy naik ke atas) Notre Dame de la Garde. Huda daki sebanyak 387 anak tangga sebelum kita dapat tengok pemandangan yang sangat cantik. Huda gayat dengan ketinggian, Huda mula menangis dan daddy pegang tangan Huda. Daddy yakinkan Huda yang Huda tak akan jatuh. Huda selamat selagi daddy ada. Huda pegang kuat tangan daddy dan kita tengok pemandangan – Notre Dame dalam percikan Sungai Seine.

Esoknya kita menyeberangi jambatan Pont de Arts atau di kenali sebagai Passerelle des Arts yang melintasi Sungai Seine. Di tepi kanan Sungai Seine terdapat Institut de France dan Palais du Louvre.  Tempat ini wartakan sebagai tempat bersejarah pada tahun 1966. Beberapa bahagian tepi jambatan ini runtuh kerana tak dapat menampung  cadenas d'amour (love padlocks) yang terlalu berat.

Untuk pengetahuan Huda, pasangan kekasih meletak love locks sebagai simbol undying love. Daddy nampak ada kertas bertulis “No Love Locks”. Dua wanita warga Amerika yang tinggal di Paris merupakan antara yang menjalankan kempen “Free Your Love. Save Our Bridges” dengan mengutip tanda tangan untuk membuat petition “Ban ‘Love Locks” in Paris Now! Save Our Historic Sites”. Hampir 700,000 cadenas d'amour telah di buang dari Pont de Arts setakat ini.

Kemudian kita ke Musee du Louvre atau sebelum ini di kenali sebagai Palais du Louvre. Palais du Louvre merupakan sebuah istana raja. Sekarang tempat ini di jadikan muzium yang merupakan muzium terbesar di dunia yang menghimpunkan  hampir 35 ribu khazanah seni dari abad prasejarah hingga abad ke 19.

Kita melihat khazanah seni terutama seni lukis yang antara lain ialah lukisan Venus de Milo dan Winged Victory karya Yunani Kuno, lukisan Monalisa karya Leonardo da Vinci dan Arrangement in Gray and Black karya James McNeill Whistler. Di sini juga terdapat sebuah piramid yang sangat cantik iaitu Pyramide du Louvre yang di bina oleh Ieoh Ming Pei  atau lebih di kenali sebagai I.M. Pei. Sempat juga kita singgah di The Louvre Bookstore. Kita mencium bau buku, membeli beberapa novel dan seperti biasa Adam tertidur di kelilingi buku.

Seterusnya ke La librairie du jardin des Tuileries. Kita melihat, mencium, membelek buku-buku yang ada di sini. Selepas itu kita ke Tuileries Park. Daddy tengok Huda, Umar dan terutama Adam sangat gembira bermain di sini. Kalau bukan bulan puasa tentu kita boleh berkelah. Hari kita pergi ramai sangat orang. Daddy selalu takut anak-anak daddy hilang. Jujurnya, zaman muda, daddy tak suka budak-budak tapi selepas jadi seorang daddy, daddy rasa jadi seorang ayah adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan.

Dari Tuileries Park kita ke Place de la Concorde. Hubungan Perancis dan Mesir terpahat di sini. Tempat yang nyaman dengan air pancut dan patung-patung sekitarnya. Patung-patung yang terdapat di sini mengambarkan 8 kota di Perancis. Tempat ini merupakan salah satu tempat terindah di dunia. Daddy tengok Huda ketawa, tersenyum dan hati daddy rasa senang.

Place de la Concorde mengadap  Avenue des Champs-Élysées. Sepanjang The Avenue des Champs-Élysées terdapat banyak deretan kedai menuju Place Charles de Gaulle dengan monumen Arc de Triomphe di tengahnya. Arc de Triomphe merupakan tugu peringatan terbesar yang di bina pada 1806 bagi memperingati kemenangan Napolean. Setiap tahun pada 14 Julai di raikan Bastille Day di sini.

Bastille Day merupakan hari bendara tiga warna berkibar sepanjang Champs-Elysees. Setiap 14 Julai adalah cuti umum di Perancis. Huda tahu 14 Julai itu tarikh apa? 14 Julai (1789) merupakan permulaan Revolusi Perancis. Revolusi Perancis menandakan jatuhnya era (sistem) istana di Perancis. Rakyat marah kerana raja mereka pemboros dan zalim lalu terjadi suatu gerakan melawan pihak raja, istana dan gereja. Itulah Revolusi Perancis secara umumnya.

Kita juga melihat keindahan simetri Place Vendome yang anggun dengan tiangnya diperbuat dari meriam rampasan dari kemenangan Napolean ke atas Austerlitz (1805). Tidak jauh dari Place Vendome kelihatan Opéra national de Paris yang menjadi tempat-yang-mesti-di-lawati oleh penggemar muzik seluruh dunia.

Di sebelah selatan Grand Boulevards terdapatnya Comédie-Française yang merupakan pusat teater nasional. Banyak karya-karya klasik lahir di sini. Sejarah lain yang terdapat di tempat ini ialah berkaitan Jeanne d’Arc (kita ada tonton filem ini di Astro, Huda ingat lagi tak?) yang pernah terluka di tempat ini pada tahun 1429 dalam Perang Seratus Tahun.

Kemudian kita melatari sebelah timur Grand Boulevards. Kita jalan-jalan sambil melihat gelagat manusia di Place de la Bastille. Kemudian kita ke Forum des Halles dan seterusnya ke Le Centre Pompidou atau di kenali sebagai The Centre Pompidou. Pusat ini di bina oleh Richard Rogers and Renzo Piano yang menempatkan hampir 50,000 koleksi seni kotemporari. Kita habiskan banyak masa di sini sebelum balik ke cottage.

Daddy tak boleh lupa keterujaan Huda sewaktu melihat lukisan Monalisa. Daddy taklah seteruja Huda. Lamanya Huda tenung Monalisa. Daddy tak tahu kenapa orang kata Monalisa cantik. Daddy rasa dia biasa saja. Daddy harap Huda dapat mengutip sedikit ilmu dan pengalaman di sini. Daddy harap Huda gembira habiskan masa dengan daddy.

Daddy akan cuba jadi yang baik untuk Huda. Daddy nak lihat Huda membesar dan jadi seorang pelukis yang lebih baik dari pelukis yang sedia ada. Setiap kali Huda jatuh, ketakutan atau apa saja yang berlaku dalam hidup Huda – daddy nak Huda tahu yang daddy ada selalu ada dengan Huda. Huda tak akan keseorangan. Daddy akan selalu ada.

Daddy
04072014
Boulevards de la Capucines