Tuesday, July 01, 2014

Kegembiran adalah kunci kehidupan.

When I was 5 years old, my mother always told me that happiness was the key to life. When I went to school, they asked me what I wanted to be when I grew up. I wrote down ‘happy’. They told me I didn’t understand the assignment, and I told them they didn’t understand life ― John Lennon

Adam, pagi tadi kita tengok matahari terbit. Matahari yang terbit di sebalik Eiffel Tower. Adam mungkin tak akan ingat yang daddy suka tengok Adam lari-lari sambil gelak. Adam manusia kecil paling gembira.

Kadang-kadang Adam akan jatuh dan menangis. Adam akan tunjukan luka – luka yang Adam dapat bila Adam jatuh. Manusia akan jatuh beberapa kali dalam hidup. Daddy tak dapatkan yakinkan Adam yang hidup kita adalah sesuatu yang mudah. Hidup kita sukar. Ada beberapa kali kita terpaksa melalui proses membuat keputusan – proses memilih yang terbaik untuk mendapat kehidupan yang lebih sempurna.

Adam akan melalui proses memilih - sekolah, universiti, kursus, kerja, teman hidup dan bermacam lagi. Kita ada pelbagai pilihan di depan mata. Yang membezakan ialah apa yang kita pilih dan kenapa kita memilihnya. Hidup zaman kanak-kanak memang seroknok. Kanak-kanak seusia Adam tak ada masalah dan tak perlu membuat pilihan. Sama seperti daddy, daddy gembira di usia kanak-kanak.

Adam perlu tahu yang hidup memerlukan kita menjadi kuat. Bukan bermaksud yang kuat akan menang dan yang lemah akan kalah. Kita perlu menjadi kuat sebab kita perlu menghadapi banyak caraban. Bila dewasa, luka di jari, lutut berdarah bukan suatu yang besar pada kita. Bila dewasa, luka yang kita alami selalunya tak nampak. Kita akan terluka di dalam hati.

Daddy tak nak Adam buat kesilapan yang daddy pernah buat. Apa saja keputusan yang kita ambil saat itu, itulah keputusan yang terbaik untuk kita walaupun akhirnya kita terpaksa menanggung akibat yang bukan sedikit. Dalam hidup, kita tak boleh menyesal. Penyesalan akan buat kita lebih sengsara. Kehidupan kadang-kadang suatu yang menyedihkan.

Proses kehidupan selalunya buat kita jadi lebih matang. Kita jatuh 7 kali, kita bangun 8 kali. Kadang-kadang diri kita akan hanyut. Kita akan hanyut sebab kita ada perasaan. Perasaan kita lebih selalu menguasai akal kita. Sepandai mana pun kita, kita akan selalu kalah dengan perasaan. Akal kita jarang menang bila berlawan dengan hati.

Adam kena jadi lelaki budiman yang sempurna akal dan budi. Daddy bukan lelaki budiman yang sempurna akal dan budi. Kadang-kadang bila kita terlalu mencuba kita akan lebih terluka. Bukan bermaksud kita mudah putus asa. Kita harus berusaha tapi bila sampai masanya kita tak mampu lagi, kita boleh undurkan diri. Kita tak boleh paksa diri. Terlalu memaksa membuat kita lebih terluka.

Nota-nota daddy pada Adam akan banyak berkisar tentang kelukaan dan kesedihan. Itu yang daddy alami dan daddy tak mahu Adam turut mengalaminya suatu hari nanti. Daddy tak mahu Adam ulang kesilapan yang pernah daddy buat. Daddy tak mahu Adam tersalah buat pilihan. Bila Adam dewasa, Adam pasti akan terluka dengan banyak perkara. Daddy tak janjikan dunia Adam begitu tenang dan mendamaikan. Luka dalam kehidupan adalah perkara biasa.

Daddy tak akan ada selalu dengan Adam. Daddy tak akan selalu dapat pujuk rajuk di hati Adam. Tapi daddy janji selagi daddy masih ada, daddy akan ada selalu dengan Adam. Adam kena selalu ingat, sampai bila-bila pun daddy adalah daddy Adam. Tak kira apa pun yang terjadi, daddy akan sentiasa melindungi Adam. Di mata orang, daddy tak dapat jadi lelaki yang hebat tapi daddy akan cuba jadi daddy terbaik untuk Adam.

Daddy cuma mahu Adam hidup dengan gembira, sama seperti yang John Lennon katakan - kegembiran adalah kunci kehidupan.

Daddy

 Paris,
01072014