Tuesday, July 08, 2014

00:56

One of the hardest decisions you’ll ever face in life is choosing whether to walk away or try harder.

1.

Dalam keadaan sekarang, aku rasa kita tak mungkin kembali seperti dulu. Semuanya telah berubah. Perasaan aku pada kau tak sama seperti dulu. Sejauh mana aku cuba nafikan – itu yang aku rasa. Sedaya upaya aku cuba kembalikan rasa cinta yang sama seperti dulu tapi rasa itu seakan-akan beku.

Aku merindui kau. Tapi yang lebih aku rindukan adalah perasaan ketika aku bersama kau. Itu yang aku rindukan. Mungkin aku tidak beri diri sendiri secukup masa – masa untuk mengembalikan rasa cinta yang sama. Mungkin aku terlalu tergesa-gesa atau tidak sabar. Aku bertahan dan tak mahu putus asa atas rasa cinta ini. Namun, kalau rasa cinta yang ada tidak lagi seperti dulu – untuk apa aku tunggu?

2.

Aku harap semua ini boleh berlalu dengan cepat. Tapi tak – semuanya tidak begitu mudah. Perasaan yang kita rasa tak boleh di paksa-paksa. Mungkin aku terlalu kuat mencuba, terlalu kuat berusaha untuk mendapatkan perasaan yang sama dan bila aku gagal – aku kecewa. Aku tak mahu berusaha lagi kerana kau seakan-akan tidak mahu berusaha. It takes two to tango.

Mencintai kau membuat aku rasa bahagia. Di cintai seorang perempuan seperti kau buat aku rasa sangat bertuah. Cinta kita sudah berada di satu takah yang baru yang kita sendiri tak pernah bayangkan. Kita tak pernah bayangkan keadaan seperti ini akan berlaku. Kita tak pernah jangka. Selepas apa yang terjadi, banyak yang aku pelajari.

3.

Kalau rasa yang kita ada tak lagi sama, aku tak fikir kita harus bersama. Rasa yang sama menyatukan hati kita. Rasa yang sama membuat kita bahagia. Kalau rasa itu telah hilang dan tak mungkin dapat semula – kita tak harus derita. Derita dalam usaha mengembalikan apa yang kita ada dulu. Aku bersedia untuk memulakan semuanya semula.

Aku percaya kita boleh bercinta semula kerana cinta sesuatu yang sangat luas. Tapi kalau aku seorang yang berusaha – aku tak mampu  – sebab cinta memerlukan dua individu bergalas bahu. Aku tak mampu lakukannya seorang. Kau boleh saja jujur dengan aku kalau kau tak mahu aku lagi atau rasa cinta antara kita telah hilang atau kau tak mahu cinta aku lagi atau apa saja.

4.

Aku tak berharap kau akan halang aku pergi. Aku tak nak berharap apa-apa lagi. Agaknya aku sudah penat dan masanya sudah sampai untuk aku berhenti dan pergi. Dan aku berhenti di sini. Segala cinta, kasih sayang dan memori yang ada – aku akan simpan selama-lamanya.

Aku minta maaf. Aku tak mampu lagi.



TKE