Friday, January 31, 2014

10:49

1.
  • 7.30 pagi – 10.00 malam
  • 7.30 pagi – 3. 00 petang, (masuk semula) 9.00 malam – 3.00 petang (keesokannya)
  • Sekali seminggu off

Posting baru dengan jadual kerja baru. Saya faham awak kepenatan yang amat. Posting lama dapat dua hari off. Posting baru cuma dapat sehari off. Saya harap awak tabahkan hati, banyakkan bersabar, kurangkan merungut dan jangan fikir untuk berhenti kerja tahun depan bila “sudah-dapat-kelayakan-doktor”.

Hari ini kita tak dapat habiskan banyak masa bersama. Mata saya pedih, muntah dan pengsan sepanjang hari. Saya harap bila awak off nanti kita dapat “duduk-tanpa-buat-sebarang-perkara”. Saya rindu nak dengar cerita. Awak sudah lama tak bercerita apa-apa dengan saya.


2.

Saya rindu awak. Kalau di ikutkan rasa rindu saya tak mahu awak tidur awal. Tapi kalau awak tidur lewat, nanti tentu penat, esok kena kerja. Dan kerja memerlukan tenaga. Kita masing-masing kena berkorban waktu. Walaupun saya kisah, saya kena bertolak-ansur.

Saya tak mahu pergi hospital untuk dua minggu ini. Saya belum bersedia untuk sesi kimoterapi. Saya tak mahu kimoterapi. Kalau tak buat kimoterapi, sakit akan bertambah tenat. Hidup tak ada banyak pilihan.

Saya risau kalau suatu hari nanti saya tak ingat awak. Ingatan saya tidak begitu baik. Semakin hari banyak perkara yang saya lupa. Ada beberapa waktu saya terlupa nama anak kita. Dan saya menangis teresak-esak seorang diri di dalam bilik ketika awak tak ada.


3.

Cinta suatu yang sangat indah. Saya tak pasti keindahan yang saya rasa sama seperti awak atau tidak. Setiap hari saya cuba menulis serangkap puisi – sejak 5 bulan lalu. Tapi saya gagal hasilkan sebarang puisi. Saya tak mampu menulis puisi agaknya. Kata - kata telah mati.

Saya akan mati suatu hari nanti. Tapi cinta saya untuk awak akan terus hidup. Terima kasih kerana hadir dalam hidup saya, membalas rasa cinta saya dan lebih penting menemani saya sehari-hari. Kasih dan cinta awak pada saya amat bermakna.

Semoga sampai bila-bila awak hanya untuk saya.

Thursday, January 30, 2014

Aikido

Daddy: Umar, sini kejab. Daddy nak tanya sikit.
Umar: Daddy nak tanya apa?
Daddy: Kenapa Umar karate Zul. Tadi Mama dia datang mengadu dekat daddy. Dia cakap Umar karate anak dia.
Umar: Mana ada adik kalate Zul. Mama Zul tipulah daddy.
Daddy: Kalau tipu takkanlah dia datang mengadu dekat daddy.
Umar: Adik aikido Zul. Adik mana leti kalate. Daddy suluh adik belajar aikido bukan kalate.
Daddy: Dalam kes ni karate dengan aikido tu samalah.
Umar: Mana sama daddy. Aikido lain. Kalate lain. Adik tak kalate Zul. Adik aikido Zul.
Daddy: Pandai je jawab, kan?
Umar: Adik takap jujur. Adik aikido Zul. Tampai hati daddy tak percaya adik (sedih).
Daddy: Eee sabar je la dengan Umar ni. 

1.36am

Degup jantung semakin lemah. 

Tuesday, January 28, 2014

#Umar

Umar: Apalah tawan adik papa dia panggil Bobby.
Daddy: Okey apa Bobby. Cute je daddy rasa.
Umar: Dah besar telanjang mana boleh panggil Bobby. Telilah.
Daddy: Besar apa tadi, Umar?
Umar: Besar telanjang.
Daddy: Eeee! Besar panjang la. Ish!
Umar: Hehehehe 

Monday, January 27, 2014

2.53am

1.

Pemimpin tak kisah dengan kesengsaraan rakyat. Rakyat di mandulkan fikirannya. Masih ada kawasan yang tidak ada sekolah, masih ada kawasan yang tidak mempunyai jalan raya dan bekalan air yang bersih. Melawat tapak Pusat Komuniti di Sarawak tempoh hari – hari yang sama berlaku kejadian bot karam. Bot merupakan pengangkutan utama di sana. Terasa gayat bila berada di dalam bot terutama bila bot terolang-aleng. Menaiki bot dengan penuh penumpang tidak sama dengan pengalaman menaiki cruise.

Pusat Komuniti akan di bina di Sarawak. Di salah satu daerah kecil di Sarawak. Terlalu pendalaman. Tiada apa-apa di sana. Sekolah tidak di bina dengan alasan tidak cukup murid. Ibu bapa hanya minta di dirikan pondok – beratap daun dan berlantai tanah. Terasa sebak bila memikirkan penduduk di sini terbiar tanpa pendidikan. Di sini akan di bina sebuah perpustakaan. Sudah ada sukarelawan yang sudi mengajar di kawasan terpencil ini. Negeri yang kaya dengan sumber alam tapi rakyat di biar tidak berpelajaran.

Ada satu impian besar di sini. Impian untuk melihat kanak-kanak di sini boleh menulis, membaca dan mengira. Impian yang lebih besar – membina Pusat Komuniti di setiap daerah di Sarawak. Satu Pusat Komuniti untuk setiap tempat.

Minggu hadapan akan ke Sabah. Melihat tempat untuk membuka sebuah Pusat Komuniti di sana.


2.

Minggu ini tidak mengajar. Rasanya sudah sampai ke titik penamat. Sejak awal Januari mata tidak henti-henti berasa pedih dan sakit. Tulisan tidak boleh di baca. Semuanya nampak blur. Cuba untuk menghabiskan senaskah novel tapi masih belum berjaya. Kelas braille berjalan seperti biasa. Sudah mula kenal huruf tapi masih belum pandai membaca. Sudah pandai mengeja perkataan yang pendek-pendek.

Kalau mata masih boleh melihat walaupun samar-samar bolehlah terus mengajar kanak-kanak. Ada beberapa aktiviti pada bulan Febuari akan datang. Sedang merangka aktiviti hingga bulan Mei merangkumi wacana, diskusi, pameran dan kegiatan sukarelawan. Sedang memikirkan diskusi buku tapi belum jumpa buku yang sesuai. Bukan merendah-rendahkan remaja tapi kena pilih buku yang sesuai dengan tahap pemikiran dan subjek yang menarik untuk perbincangan.

Umar tak mahu ke Sudan. Akan hantar dua orang remaja ke sana. Lebih tepat dua remaja kaki rempit. Untuk dua minggu mereka akan bantu apa yang patut  di sana. Ramai yang kata ini idea gila – menghantar mat rempit ke Sudan tidak dapat mengubah apa-apa. Harapnya mereka dapat mengutip sesuatu. Manusia harus di beri peluang.

Umar cakap jangan berharap sangat. 

Tuesday, January 14, 2014

2:29am

1.

Hari Isnin lepas ke IJN buat pertama kalinya. IJN sesak dengan ramai manusia. Berdepan dengan IJN ada sebuah perpustakaan. Umar mengambil kesempatan menghabiskan masa di sana. Tak sampai sejam, Umar kembali ke IJN dengan muka masam. Umar tak suka perpustakaan yang ada berhadapan IJN atas beberapa sebab:-
  1. Buku tidak di susun dengan kemas. Ada yang berterabur di atas lantai.
  2. Meja & kerusi tidak teratur.
  3. Tiada suasana seperti sebuah perpustakaan.

Umar membandingkan PNM dengan beberapa buah perpustakaan yang di kunjunginya semasa dia mengembara di beberapa buah negara tahun lepas. Bila Umar tak selesa dengan sesebuah perpustakaan, dia tak mahu membaca. Seperti biasa, Umar akan mengisi borang aduan & maklum balas sebagai tanda seorang rakyat Malaysia yang prihatin.

2.

Umar telah menempah 5000 helai t-shirt untuk di dermakan kepada rakyat Sudan. Tak dapat harga yang begitu murah walaupun membeli di gudang. Rasanya, lebih baik beli kain dan jahit sendiri. Tapi kaedah ini agak tidak fleksibel:-
  1. Raya Cina semakin dekat. Kedai tak mahu ambil tempahan.
  2. Perlu dengan kadar segera.
  3. Sukar mencari kain untuk di buat t-shirt.

Tak ada pilihan lain kecuali beli t-shirt di gudang. Sekarang sedang cari gudang untuk beli slippers. Umar mahukan 5000 pasang slippers. Umar akan ke Sudan untuk misi kemanusiaan awal Febuari ini. Dalam masa terdekat, Umar sedang baca dan cuba memahami pemikiran al-Ghazali dengan bantuan ustaznya.

Dan, esok Umar akan ke spa untuk sesi rehat, urut & mandi susu. 

Monday, January 13, 2014

12:26am

1.

Saya minta maaf buat awak menangis dua kali minggu lepas. Saya tak begitu sensitif. Mungkin kerana saya beranggapan “Ini hanya soalan”, “Tak ada apa-apa yang serius mengenainya”, “Kalau tak jawab pun tak apa”. Dan ternyata saya silap. Jawapan acuh tak acuh buat awak kecil hati. Saya minta maaf. Saya tahu saya tak pandai bergurau. Gurauan saya (masih) kasar atau sebenarnya saya tersalah tempat untuk bergurau.

Mungkin kerana saya selalu beranggapan awak seperti saya – tak perlu di ucap selalu “Saya sayang awak” sebab ya – masing-masing sudah tahu. Sekali lagi saya silap. Awak perlukan ucapan “Saya sayang awak” itu selalu. Dan itu kelemahan saya. Saya masih malu atau menganggap perkara itu (ucapan) tidak penting. Saya tahu saya tidak sensitif.


2.

Saya nak awak tahu saya selalu ada dengan awak. Saya akan selalu ada untuk awak. Saya mungkin kayu dan tak pandai tunjuk “Saya sayang awak” tapi saya yakin awak tahu yang saya sayang awak. Saya sayang awak tanpa syarat. Agak lama kita tak ada isu “tidur awal”. Saya cuba biasakan diri dan saya rasa saya agak berjaya. Rasanya agak lama juga kita tak ada drama gaduh-buat tak tahu-pujuk-jual mahal-okey seperti biasa.

Saya nak awak tahu yang saya sayang awak dengan segala kudrat yang saya ada. Saya tahu saya banyak berahsia dengan awak. Saya tak pernah terfikir untuk berkongsi. Saya tahu saya bersifat memendam. Dengan setiap kekurangan yang saya miliki, awak masih setia dengan saya. Awak seorang pemain cinta yang hebat.


3.

Untuk menjawab soalan awak; tak, cinta saya tak pernah berkurang untuk awak sungguhpun kita sibuk dan jarang habiskan masa bersama. Dalam setiap detik, awak selalu ada  dalam ingatan saya.

Saturday, January 11, 2014

Zaki, tabahlah menghadapi kehidupan ini.

1.

Ary sudah jadi ayah! Ary dapat anak kembar; lelaki & perempuan. Ary cakap dia tak nak anak lagi (eleh). Sepatutnya Makcik Siti ke US untuk jaga isteri Ary berpantang tapi cuaca dekat US belum reda. Jadi Ary bawa isteri dan anak-anak dia ke sini.

Ary belum pandai dukung anak. Nampak macam pelik cara Ary dukung anak. Dan Ary tak boleh bagi alasan yang dia belum bersedia untuk menjadi ayah sebab dia sudah ada anak. Ary belum pandai nak mandikan anak dia, pakaikan pampers dan boleh di katakan segalanya dia tak pandai.

Secara rasminya Kelab Gay Arygen telah di tutup dan Ary tak boleh perasan dia gay. Dan yeay! Ary tak ada sebab nak kutip yuran tahunan untuk kelab dia(selamat duit). Sejak berkahwin, kelab Ary tak berfungsi. Ary sangat sarkastik apabila menggunakan Kelab Gay Arygen untuk membuat kegiatan amal.

Malam tadi anak Ary menangis. Tak boleh tidur sampai pagi sebab bunyi tangisan. Pagi ini, nampak Ary macam zombi – tak terurus, nampak penat sebab kurang tidur. Kak Anis ada anak kembar 4 pun steady lagi. Apalah Ary ni.

Ary, selamat menjadi ayah!


2.

Umar akan ke Sudan mengikuti misi kemasnusiaan. Tapi Umar masih fikir-fikirkan.

Daddy: Umar jadi tak pergi Sudan ni?  
Umar: Adik takut adik jadi keling. Sudan tak ada makanan,daddy.
Daddy: Umar fikir dahsyat je. Taklah sampai macam tu sekali.
Umar: Nanti bila adik nak tencing mesti adik tak boleh tencing.
Daddy: Laa kenapa pulak?
Umar: Dekat Sudan tak air belsih. Tak ada air, tak boleh minum. Tak boleh minum tak boleh tencing.

Umar bercadang hendak beli 200 pasang selipar untuk di sumbangkan kepada warga Sudan. Sekarang sedang merangka program bantuan mencari pakaian terpakai. Ada beberapa individu ingin berikan bantuan.


3.

Ada seorang kanak-kanak lelaki datang ke Pusat Komuniti. Tak ada sesiapa yang ingin berkawan dengannya. Bila di siasat, dapat tahu kanak-kanak ini anak tak sah taraf dan semua orang di sini memanggilnya anak haram – dari kanak-kanak hinggalah orang tua. Ibunya bekerja di salah satu pasar raya di Ipoh.

Nama kanak-kanak ini Zaki. Berumur 7 tahun. Dalam surat beranak, tidak tertera nama ayahnya. Hanya tertulis “Zaki” sahaja. Dengarnya Jabatan Pendaftaran/Jabatan Agama (tidak pasti) tidak lagi membenarkan anak tidak sah taraf berbin/bintikan Abdullah. Sebelum ini, anak tak sah taraf berbin/bintikan ibu mereka.

Zaki: Zaki ada ibu. Ibu tak panggil Zaki anak haram. Ibu kata semua salah ibu. Zaki sayang ibu.

Saya: Zaki kena hormat ibu. Jangan lawan cakap ibu. Zaki kena bagi ibu peluang. Ibu mesti sayangkan Zaki. Kalau ibu tak sayangkan Zaki, tentu ibu tak jaga Zaki macam sekarang. Ada ramai lagi orang macam Zaki tapi ibu mereka tak jaga mereka. Jadi, Zaki kena bersyukur sebab ada ibu.

Zaki: Semua orang panggil Zaki anak haram, pakcik. Zaki malu. Tak ada orang nak kawan dengan Zaki. Makcik sana tu selalu panggil Zaki anak haram. Dia selalu pukul Zaki dengan penyapu. Dia kata Zaki sial.

Saya: Nanti pakcik pergi cakap dengan makcik tu. Zaki jangan sedih. Zaki kena belajar sungguh-sungguh sampai berjaya. Bila dah berjaya, Zaki boleh tolong ibu. Pakcik tahu Zaki anak yang baik. Apa yang berlaku bukan salah Zaki. Masyarakat kita masih buta, tak pandai menilai. Zaki tak salah apa-apa pun.


Beribu-ribu lagi kanak-kanak seperti Zaki berada di sekeliling kita. Masyarakat masih tidak dapat menerima mereka kerana mereka di katakan membawa malang. Padahal kesalahan yang berlaku bukan salah mereka tetapi salah ibu bapa mereka. Kenapakah kanak-kanak seperti Zaki yang harus menerima tekanan dari masyarakat sedangkan mereka masih kecil dan tak tahu apa-apa?

Kanak-kanak seperti Zaki di maki, di caci setiap hari. Kadang-kadang mereka di jadikan tempat melepas geram. Mereka suci sesuci kain putih. Beban kesalahan tidak sepatutnya di letakkan di atas bahu mereka. Apabila ada pihak membuka pusat untuk membela wanita seperti ibu Zaki, ada pihak lain memandang usaha itu dengan penuh prejudis.

Haruskah kita membiarkan mereka terus begitu tanpa ada usaha untuk membawa mereka ke pangkal jalan? Lebih penting lagi bagaimanakah nasib kanak-kanak seperti Zaki? Masyarakat tidak dapat menerima mereka. Mereka hanya tidak lebih dari jenaka dan tempat melepas geram. Kita masih terpaku dan tak mampu lakukan apa-apa.

Zaki, tabahlah menghadapi kehidupan ini. Pakcik tahu, hidup ini memang sukar.

Thursday, January 09, 2014

Semoga Mak baik-baik saja di sana.

1.

Harap Mak suka bila tengok rumah kita. Huda tanam bunga sekitar rumah. Pokok-pokok bunga yang sudah mati di gantikan dengan pokok bunga baru. Im minta Uncle Manipan jagakan rumah kita. Dia akan bersihkan rumah, sapu daun, siram pokok bunga dan hidupkan enjin kereta. Kalau ada orang jaga, rumah akan terurus.

Tahlil di masjid tempoh hari ramai juga yang datang. Bulan Febuari nanti Im cadang nak buat doa selamat dan bacaan Yasin di rumah kita. Im suka tinggal di rumah kita tapi Im kena balik Ipoh. Pusat Komuniti akan mulakan aktiviti mengajar mulai minggu depan. Ada beberapa perkara yang belum di selesaikan.

Ada yang minta Pusat Komuniti terima kanak-kanak 4-6 tahun secara khusus untuk mengajar membaca dan menulis. Di sebabkan Pusat Komuniti bukan bersifat pusat asuhan, jadi Im tak terima. Kebanyakan kanak-kanak yang datang ke Pusat Komuniti adalah anak-anak yatim, kanak-kanak tercicir dari persekolahan dan kanak-kanak yang tidak mampu ke sekolah.


2.

Im belum susun buku-buku Mak lagi. Mak ada banyak buku-buku Al-Attas. Im sendiri pun tak tahu yang Mak pernah mengikuti kelasnya sewaktu beliau masih di ISTAC. Im bercadang hendak mengikuti kelasn Al-Attas di CASIS tapi masih belum berkesempatan. Agaknya belum ada rezeki. Terima kasih Mak sebab tinggalkan khazanah yang berharga.

Walid juga meminati buku nampaknya. Masih belum sempat belek buku-buku Walid. Bergerak dari rumah sekitar jam 8.00 pagi. Sampai di Ipoh jam 10.00 malam. Beberapa sebelumnya van Umar berasap dan di hantar ke mekanik untuk di baiki. Dalam perjalanan pulang Umar tak bagi bawa van dia dengan laju. Selepas ini tak boleh bawa van Umar. Boleh buat rekod perjalanan paling lama dari Johor ke Ipoh.

Sabtu ini ada temu janji dengan psikiatri. Isnin depan ada temu janji dengan IJN. Rabu kena pergi Hospital Pantai untuk rawatan susulan. Selasa & Khamis akan ajar kanak-kanak membaca. Jumaat hingga Ahad akan berada di Sarawak. Sebuah Pusat Komuniti akan di buka di sana.


3.

Selamat malam, Mak. Semoga Mak baik-baik saja di sana. 

Saturday, January 04, 2014

Mak, sampai kita berjumpa lagi…

1.

Lama Im tak datang ziarah Mak. Pokok kemboja yang Im tanam dulu masih subur. Im sudah bersihkan kubur Mak dan letakkan batu nisan baru. Im selalu ingat Mak, Walid dan adik-adik. Agaknya, Im masih canggung dengan Mak. Mak tak pernah panggil ‘Im’. Mak kata itu bukan nama yang Mak berikan pada Im dulu. Ummi tak pernah ubah apa-apa yang ada pada Im. Ummi panggil Im sebab Ummi cakap nama Im panjang sangat dan dia susah nak sebut. Ummi juga kadang-kadang lupa nama Im. Ummi ada lebih dari 30 orang anak.

Im marah pada Mak. Im marah sebab Im fikir Mak yang buang Im. Tapi Im salah. Mak & Walid tak pernah buang Im. Im tak pernah terfikir yang Pak Ngah sanggup buang Im dekat rumah anak yatim Dan Ummi ambil Im sebagai anak angkat. Ummi jaga Im dengan baik. Selepas hampir 23 tahun, Im dapat jumpa Mak semula. Im rasa canggung dengan keluarga baru. Mak & Walid tak pernah sekalipun panggil Im sebagai Imran. Nama Imran jadi begitu asing pada Mak & Walid. Im rasa canggung bila adik-adik panggil Im – Along/Abang.


2.

Kita dapat jadi sekeluarga tak lama. Im cuma sempat merasa sekali tidur atas riba Mak. Cuma sekali Mak cium ubun Im sebelum Im balik US. Salah Im, kan mak? Sebab Im jarang balik rumah ziarah Mak, Walid dan adik-adik. Dan kemudian Mak, Walid dan adik-adik pergi buat selama-lamanya. Sampai sekarang Im masih termimpi-mimpi melihat Mak dan Walid berlumuran darah. Im masih tak dapat lupa melihat mayat adik-adik di bakar hidup-hidup selepas di rogol. Im baru nak kenal Mak. Mak tinggalkan Im buat selama-lamanya. Ia trauma yang panjang. Trauma yang datang bertimpa-timpa.

Im tak jual rumah kita. Im cuma bersihkan rumah dan baiki bahagian yang rosak. Im tak cat pun rumah kita. Semua perabot Mak masih ada termasuklah kereta Walid. Setiap kali Im masuk rumah, Im rasa sayu. Kalaupun orang nak kata rumah kita berhantu, biarlah. Semalam, Im sudah susun semua buku-buku Mak. Im akan bawa balik ke Ipoh. Buku-buku Mak ada yang sudah rosak. Kertas-kertas penyelidikan, jurnal dan makalah akan di bawa bersama. Im akan cuba baiki buku-buku yang rosak. Im tahu Mak sayang buku-buku Mak.


3.

Mak, sampai kita berjumpa lagi…