Friday, June 21, 2013

Awak amat istimewa


1.

Saya harap semuanya akan berjalan lancar. Kalau dapat Finland lebih baik berbanding Qatar tapi kalau dapat Qatar juga pun perlu bersyukur sebab dapat lari dari HOD yang bermasalah. Saya suka awak lanjutkan cuti sampai minggu depan. Saya pun tak banyak kerja yang perlu di siapkan. 

Saya rasa macam esok atau bila-bila saja awak akan berangkat pergi. Tentu saya sedih. Saya risaukan awak sebenarnya. Tentu saya risau sebab awak seorang yang manja dan mudah merindu. Tapi saya tahu awak pandai jaga diri. Awak pandai berdikari.

Agaknya untuk dua tahun kita perlu merindu-rindu dari jauh. Awak kata kalau saya tak benarkan awak pergi, awak tak akan pergi. Saya rasa macam pentingkan diri. Awak juga ada cita-cita. Awak juga ada impian. Awak patut teruskan.

2.

Saya tak tahu kenapa saya emosi. Mungkin sebab fikirkan tentang awak yang akan pergi jauh dari saya. Mungkin nanti kita tak banyak masa untuk di luangkan bersama. Mungkin juga kesibukan awak (dan saya) membataskan masa kita. Mungkin juga komunikasi semakin terbatas. Memang ada banyak perkara yang saya fikirkan. Saya pasti akan sunyi bila awak tak ada nanti.

Kadang-kadang saya rasa lucu. Awak belum berangkat lagi mata saya sudah pun berkaca. Beberapa kali mata saya berkaca bila fikirkan tentang awak. Tapi saya tak nak awak risau. Saya rasa ini perasaan normal. Saya tetap nak awak pergi buat internship. Tengok negara orang, belajar ilmu  baru dan pengalaman. Awak ada sokongan saya, sokongan yang padu.

Saya tak pernah tahu sejauh mana saya cintakan awak. Saya tak pernah tahu hinggalah saat ini bila saya fikirkan yang awak akan pergi (untuk sementara waktu) jauh dari saya. Setiap kali saya memikirkannya, mata saya berkaca. Untuk beberapa lama saya akan berasa sunyi tapi saya akan cuba sesuaikan diri sebagaimana saya cuba sesuaikan diri dengan jadual kerja awak.

3.

Awak tahu, saya mula merindui awak. Saya mula merindui segalanya tentang awak. Kasih sayang awak buat saya jadi kuat. Saya nak awak buat internship sebab saya tak nak lihat awak stres dan bersedih. Saya tahu jaga diri. Awak jangan risau. Saya jaga diri baik-baik. Saya tak ponteng makan ubat, saya tak ponteng dialisis, saya tak ponteng jumpa psikiatri.

Awak kejarlah impian awak. Jangan berhenti. Jangan pernah berputus asa. Jangan mudah mengaku kalah. Saya pilih awak sebab saya tahu awak perempuan yang cerdik, yang ada cita-cita dan bersifat feminis. Sifat-sifat itu selalu membuat saya jatuh cinta dengan awak. Saya kagum dengan pencapaian awak dan setiap perkara yang awak lakukan. 

Saya percaya perempuan tempatnya bukan hanya di dapur, bukan hanya di katil, bukan semata-mata untuk berdandan. Perempuan juga memiliki cita-cita dan impian untuk di kejar, untuk di genggam. Kalau umur saya panjang tentu saya dapat lihat awak ambil MA pula. Perempuan  yang bercita-cita sayang sekali jika tempatnya hanya di dapur dan bersolek untuk suami.


4.

Awak amat istimewa di hati saya dan ia kekal selama-lamanya.