1.
Bercadang untuk
buka sebuah pusat komuniti di Ipoh. Terdapat beberapa kanak-kanak yang terbiar
dan tidak bersekolah. Bagi keluarga kanak-kanak ini, pendidikan membazirkan
wang mereka. Kanak-kanak ini bekerja dari jam 7 pagi hingga 5 petang. Mereka
membasuh kereta, mengutip barang-barang terpakai dan membuat apa sahaja kerja
yang mendatangkan duit.
Ada beberapa
kali mereka melihat saya dari jauh. Saya selalu ke Taman Dr. untuk mengajar
anak-anak belajar di sana. Anak-anak saya tidak berminat ke sekolah. Beberapa
kanak-kanak comot dengan baju lusuh menghampiri saya. Sangkaan saya mereka
ingin meminta sedekah atau menjual barang. Tetapi tidak. Mereka duduk dan
dengar saya bacakan sebuah kisah dari buku kegemaran Umar – Khalid al-Walid.
2.
Saya juga sedang
berkira-kira untuk mencari mahasiswa/pelajar/guru atau sesiapa sahaja yang
mempunyai minat yang mendalam untuk membantu kanak-kanak ini. Bilangan mereka
setakat ini ialah 15 orang. Saya juga berhasrat untuk mencari sukarelawan
untuk program ini. Jika gagal, saya akan mencari individu yang berminat dan akan di bayar gaji.
Pusat komuniti
ini pada dasarnya untuk kanak-kanak berumur 7-12 tahun yang ketinggalan dalam
pelajaran, tidak bersekolah, kanak-kanak tercicir dan mempunyai masalah dalam
pembelajaran. Sasaran saya, saya mahu kanak-kanak ini menguasai 3M. Saya turut
akan menyediakan segala kemudahan dan alat bantuan pembelajaran.
3.
Pusat komuniti
ini sepenuhnya di biayai oleh saya. Saya tidak mendapatkan dana dari mana-mana
pihak. Saya juga belum berhasrat untuk mendaftarkan penubuhan ini kerana tak
mahu terlibat dengan birokrasi. Dekorasi dalaman akan di usahakan oleh Huda.
Kelengkapan akan di usahakan oleh Umar. Ada juga jiran-jiran yang berminat
untuk menderma buku-buku, komputer terpakai dan sebagainya.
Saya harap pusat
komuniti ini dapat berjalan lancar sama seperti yang pernah saya usahakan di
sebuah surau dahulu. Surau tersebut semakin meriah dengan pelbagai program yang
telah saya rangkakan. Saya tidak lagi ke sana atas beberapa sebab. Mempunyai
sebuah pusat komuniti sendiri bukan sesuatu yang pernah saya impikan tapi
mungkin usaha kecil ini dapat membantu kanak-kanak yang masih gagal menguasai
3M. Masa depan mereka amat berharga untuk di sia-siakan.
4.
Pusat komuniti
ini nanti mempunyai dua bangunan. Sebuah lagi adalah pusat komuniti untuk
remaja berumur antara 13-19 tahun. Saya berminat untuk menjadikan pusat ini
sebagai pusat untuk mereka berkumpul sambil berdiskusi, menonton filem yang
berwacana, juga pusat interaksi setempat. Saya turut berminat untuk menyediakan
perkhidmatan komputer dan internet. Semuanya percuma tanpa perlu di sewa.
Selain itu saya juga akan menyediakan perpustakaan kecil. Buku amat penting dalam
kehidupan manusia. Kehadiran internet tidak dapat mengambil alih kepentingan
buku. Saya sudah mula membeli buku-buku yang sesuai melalui online. Jika
berkesempatan ke Selangor dan Singapura hujung minggu ini, saya turut akan
membeli buku-buku untuk di letakan di pusat komuniti ini nanti.
5.
Selain ada sudut
bacaan, ruang mengulang kaji serta sudut diskusi dan menonton filem, Umar
mencadangkan agar ada sudut makan-makan. Umar sudah fikirkan menu yang sesuai.
Betul, Umar ingin menjual kopi berserta roti bakar untuk menjana duit poketnya.
Tapi hal ini masih lagi dalam perbincangan.
Selain itu, saya
juga sedang usahakan beberapa program lain untuk remaja ini seperti program
kemasyarakatan. Harapnya, pusat komuniti ini dapat di lihat hasilnya sebelum
saya menutup mata. Semoga segalanya dipermudahkan.