Saturday, March 30, 2013

Malam Indah


1.

Terima kasih kerana menemani saya melihat bintang, langit dan bulan walaupun pada hakikatnya saya hanya merenung panjang tanpa dapat melihat apa-apa.

Saya: Abang tak nampak bintang pun.
Awak: Sayang tolong jadi mata untuk abang eh.

Manis.


2.

Awak, jangan pergi mana-mana. 
Saya tak akan minta awak pergi jauh dari saya.
Saya janji.


3.

Saya akan sentiasa lindungi awak dari di buli di tempat kerja.


4.

Sayang, terima kasih untuk malam-malam yang indah.


Cerita


Daddy: Monyok je Umar?
Umar: Budak tecik-tecik nak tengok celite cinta je.
Daddy: Dia tengok kejab je. Beralah eh?
Umar: Asyik adik  kena beralah.
Daddy: Adam nak tengok cerita cinta lagi ye?
Adam: (angguk)
Daddy: Kita tengok cerita CSI nak tak? Nanti kita tengok cerita cinta Adam suka tu. Sian Abang Umar
Adam: (geleng)
Umar: Adik tak kira. Adik nak tengok jugak.
Adam: Bo...Bo...Bo...(sambil lari-lari anak pergi jumpa Bob)
Umar: Dia tukeeeeeeeee ugut adik guna Abang Bob. Mana aci.
Adam: (senyum, gelak-gelak, tepuk-tepuk tangan)
Daddy: Hahaha Daddy tak masuk campur.

Tuesday, March 26, 2013

Lebih Kuat


1.

Ketika sedang makan tengah hari tiba-tiba pandangan saya gelap. Langsung tak nampak apa-apa. Kali ini mengambil masa kira-kira sejam untuk pulih. Itu pun sekadar kabur. Bila di bawa ke pembaringan, anak-anak tak mahu tinggalkan saya sendiri. Adam baring rapat dengan saya. Dia hanya diam dan peluk saya dengan erat.

Mata masih pedih, silau dan kadang-kadang kabur.


2.

Saya perlu jumpa psikiatri semula. Perlu menjalani rawatan dan menghadiri sesi-sesi seperti sebelum ini kerana PTSD datang semula. Mungkin akibat tekanan yang semakin hari semakin sukar di atasi. Agak sedih dengan berita ini.

Sesi bermula April ini minggu ketiga. Segala kelakuan, tingkahlaku, pemikiran, pandangan akan di awasi seperti dahulu.


3.

Doktor masih bertanya jika saya ingin menjalani pembedahan membuang tumor. Jika tidak berjaya dalam pembedahan ini, saya akan mati. Jika berjaya – saya akan mengalami strok.

Pilihan yang paling sukar di buat.


4.

Umar botakkan kepala. Ocio, Zack, Boboy dan Don pun sama. Paling comel, Adam pun botak juga. Lily sudah ke pulang ke Qatar. Hanya sehari bermalam di Ipoh, esoknya ke UM menghadiri seminar dan lusa terbang ke semula Qatar.

Tak sempat nak soal siasat Lily.


5.

Saya tahu saya perlu jadi lebih kuat dari sebelum ini dengan pelbagai kemungkinan yang mendatang. 

Monday, March 25, 2013

Mungkin sudah sampai masanya untuk awak lepaskan saya pergi...


1.

Hari ini bangun dengan perasaan paling gemuruh. Bila bangun tak nampak apa-apa. Ambil masa setengah jam untuk pulihkan mata. Nampaknya mata semakin kritikal. Peristiwa yang paling di takuti akan berlaku. Mungkin akan jadi seperti Keumala...

Doktor kata sampai satu masa nanti bertutur pun tak mampu. Jadi kena bersedia dengan sebarang kemungkinan di luar jangkaan. Hanya dengar dalam renungan panjang. Enggan melayan perasaan.

Mungkin tak sempat melayan Adam bila dia pandai bercakap kelak.


2.

Terima kasih sayang atas semangat dan dorongan. Saya tak pandai berkongsi rasa. Saya lebih suka menangis sendiri-sendiri. Bukan untuk tunjukkan yang saya kuat tapi sememangnya saya tak mampu berkongsi rasa ini.

Rasa sedih lebih elok di simpan dalam hati.


3.

Bagaimana nanti bila saya tak mampu melihat dan bertutur? Bagaimana agaknya hidup kita nanti? Bagaimana agaknya anak-anak akan melihat saya nanti? Dengan perasaan kasih sayang atau simpati.

Saya penat menanti keajaiban. Saya perlu berpijak di bumi yang nyata. Berpijak di bumi yang saya enggan terima kenyataan.


4.

Saya tahu awak tak akan tinggalkan saya. Maaf, sekiranya hidup kita tak seperti yang awak  impikan. Yang tinggal cuma harapan yang tak bertepian.

Semuanya kelihatan mudah pada orang lain tetapi tidak pada kita.

Saya rasa saya tak kuat lagi untuk hadapi semua ini. Mungkin sudah sampai masanya untuk awak lepaskan saya pergi...

Awak, wanita cerdik yang saya senangi sejak dulu lagi.


1.

Saya selalu tertanya-tanya lelaki yang bagaimanakah yang menjadi pilihan wanita. Ummi kata anak-anak lelakinya perlu jadi lelaki budiman. Saat itu saya baru sahaja berumur 11 tahun. Saya selalu di syarah, di nasihat dan diperingat untuk menjadi lelaki budiman. Selalunya, nasihat di berikan selepas solat Subuh secara berjemaah.

Kalau Ummi bercakap tentang hal-hal lain pasti anak-anaknya akan mengantuk. Jadi, dia akan bercakap tentang lelaki budiman. Jarang sekali saya mendengar perkataan budiman pada zaman ini. Lelaki budiman seperti kata Ummi adalah lelaki yang menghormati wanita, bertanggungjawab, matang, boleh bertoleransi, lembut dalam pertuturan, pandai mengambil hati dan cerdik.

Ciri-ciri lelaki budiman ini saya kutip ketika menelinga di suatu petang ketika Ummi bercakap-cakap dengan kakak-kakak saya mengenai lelaki. Ummi juga pesan pada kakak-kakak saya supaya menjaga lelaki budiman sebaiknya – jika bertemu, jangan lepaskan takut nanti menyesal sepanjang zaman.


2.

Saya terlatih sejak kecil untuk menghormati wanita dan pandangan mereka (walaupun susah sebenarnya). Ummi kata, wanita sememangnya lembut tetapi jiwa mereka tak selembut yang di sangka. Mereka punya jiwa kental dan keras. Saya mudah jatuh cinta dengan perempuan sebegini dan telah memilikinya hingga saat ini. Saya menyukai wanita yang mempunyai pemikiran yang cerdas, cerdik dalam menilai dan pandai menjaga adab.

Dan, saya telah menjumpainya.


3.

Hari ini, sesetengah perempuan kelihatan murah sekali di mata lelaki. Mudah untuk memikatnya. Dulu, kebanyakan perempuan jinak-jinak burang merpati. Makin di hampiri makin sukar di dampingi. Perempuan hari ini tak begitu menjaga martabat serta maruah diri. Saya tak pasti kenapa sesetengah perempuan menganggap diri mereka berharga apabila di miliki lelaki. Perempuan hari ini tak pandai menjaga diri.

Perempuan hari ini sanggup melakukan apa sahaja untuk seorang lelaki. Saya pernah bertemu dengan seorang wanita yang sehari-hari di pukul. Demi cinta, si gadis sanggup diperlakukan sedemikian rupa. Belum tinggal sebumbung tulang rusuk pernah patah. Kalau tinggal sebumbung tentulah lebih parah.

Cinta tak mengajar manusia menjadi bodoh. Manusia yang membodohkan diri demi cinta. Janganlah harap pasangan kita yang mempunyai kelakuan buruk akan berubah selepas kahwin. Andaiannya, ada yang berubah tetapi peratusnya amat kecil sekali. Lelaki sukar membuang tabiat buruk mereka, kata adik saya.


4.

Saya tak suka perempuan seksi. Saya rasa mereka seperti menjual maruah diri. Pakaian yang baik mencerminkan diri. Sekurang-kurangnya janganlah gunakan fesyen untuk bergaya sesuka hati. Bergaya pada tempatnya. Saya tak tahu kenapa perempuan suka memakai pakaian seksi. Kalau untuk menarik perhatian sudah tentulah menjadi – menjadi bahan umpatan lelaki.

Tak semua lelaki suka perempuan seksi. Cuma segelintir berbangga mempunyai wanita seksi di sisi. Untuk menjadi bahan tayangan/kebanggan kepada kawan-kawan. Kalau perempuan tak pandai menjaga diri mereka akan menjadi begitu murah sekali. Apabila perempuan menjadi murah di mata lelaki – itu tandanya mereka tidak lagi berharga apatah lagi bermaruah.

Semuanya terletak di tangan perempuan. Jika pandai menjaga diri maka terpeliharalah maruah. Jangan benarkan lelaki berbuat sesuka hati. Jika dia bukan lelaki budiman, angkat kaki dan cabut lari. Ada berpuluh ribu lelaki lain dalam dunia ini. Buka mata dan beri peluang pada diri. Wanita yang benarkan lelaki berbuat sesuka hati adalah perempuan yang tak tahu menjaga maruah diri.

Perempuan bukan sampah untuk diperlakukan sebegitu rupa. Perempuan sebenarnya sangat berharga.


5.

Dari dulu hingga kini saya selalu percaya perempuan cantik selalu akalnya cetek. Lihat saja perempuan cantik di angkut oleh mat-mat rempit. Mereka cantik tapi malangnya tak cerdik. Suka berfesyen, berhibur dan mengimpikan dunia rumah tangga seperti dalam cerita pelipur lara. Perempuan cantik akal cetek memang banyak hari ini.

Tidak semua perempuan cantik akalnya cetek. Tapi majoritinya semacam itu. Ukuran cantik berbeza-beza di mata manusia. Bersifat kualitatif. Perempuan cantik selalunya tak punya idealisma dalam diri. Biarkan diri diperlaku lelaki sesuka hati.


6.

Awak, wanita cerdik yang saya senangi sejak dulu lagi. 

Sunday, March 24, 2013

Tidur

Seperti malam-malam sebelumnya
awak tidur dengan lena
bila berbantalkan lengan saya.

:)

Saturday, March 23, 2013

Sebarkan cinta pada segenap manusia.


1.

Ada jiran berikan kepada Umar banyak barang. Setelah berbincang dan mencapai kata sepakat akhirnya saya mengambil keputusan untuk menjual barang tersebut. Kali ini bukan untuk Palestin tetapi untuk Syria. Agak lama juga tidak berniaga sejak Umar berjaya menjual 50 ekor kucing jalanan yang di jumpai di merata tempat.

Hasil jualan kucing di tambah dengan hasil jualan lukisan Huda ketika pameran di Paris dulu di gunakan untuk membeli mesin basuh untuk Makcik Zaidah. Makcik Zaidah ingin bayar secara ansuran wang pembelian mesin basuh (yang Umar dan Huda dahulukan) tapi Umar tak mahu terima. Umar minta makcik dermakan wang ansuran tersebut pada badan-badan amal yang lebih memerlukan.

Sebarkan cinta pada segenap manusia.


2.

Semalam hujan. Jadi tak ramai pengunjung. Sebenarnya tak biasa meniaga di pasar malam. Umar pening kepala bila kena sambungkan wayar dan hidupkan lampu. Zaman sekarang tak pakai generator lagi untuk hidupkan lampu. Kalau dahulu ramai peniaga guna payung untuk berteduh dari panas dan hujan, zaman sekarang kebanyakanya menggunakan khemah. Jauh lebih selesa dan harganya juga murah.

Sejak mula berniaga terpaksalah beli khemah, meja, papan plywood, wayar uptown, lampu, dan sebagainya. Dari tak tahu apa-apa – kena juga ambil tahu. Hari ini barangan habis di jual. Pulang ke rumah sekitar jam 11.30 malam.

Kalau hendak jadi peniaga pasar malam, Umar kata kena berniaga sampai pukul 3.00 pagi. Masih berniaga di Gerbang Malam – berkongsi tapak dengan kawan Don.


3.

Hari Sabtu biasanya orang ramai. Suasana Ipoh kembali 'hidup'. Ipoh Padang, Taman D.R. dan Taman Rekreasi Sultan Abdul Jalil (Padang Polo) tentunya  di penuhi manusia yang mahu beristirehat bersama keluarga.

Adam main bola sepak. Dia pakai jersi Harimau Malaya hari ini. Umar tak ikut. Umar tak suka dengan Boboy. Boboy rapat dengan Adam. Adam langsung tak mahu berkawan dengan Umar. Masih merajuk agaknya sejak peristiwa kena buli tempoh hari.

Ocio nak makan char kuey teow Greentown – antara tempat lepak/makan yang sibuk di Ipoh. Di Ipoh ada dua tempat menarik yang mesti di lawati iaitu Gerbang Malam (tempat beli barang) dan Greentown (tempat makan). Kedua-duanya di buka dari 6.00 petang hingga 3.00 pagi.


4.

Terlepas forum di Penang hari ini. 

Thursday, March 21, 2013

Geram

Umar memang suka buli Adam. Buli sampai Adam menangis. Bila Adam menangis, Umar pun hilang. Lepas setengah jam Umar muncul dan tanya:

Umar: Daddy, adik dengar Adam nangis. Tenapa Adam nagis?
Daddy: Haih...takkan Umar tak tau. Bukan Umar ke yang sakat Adam tadi?
Umar: Mana adik tahu. Adik baca buku dalam bilik.
Daddy: Hmmm... (geram)

Suspen

Umar: Tadi ada orang tanya adik anak Imlan ke tak.
Huda: Mesti orang tu nak rompak adik.
Umar: Adik bawa luit.
Huda: Berapa?
Umar: Lima pu (tak sempat habiskan ayat)
Huda: 50 ringgit? Banyaknya adik bawak.
Umar: Bukan. Lima pu sen je kakak.
Huda: Eeee! Cakaplah awal-awal.
Umar: Kakak potong adik cakap tape suluh.

Wednesday, March 20, 2013

Mungkin sahaja saya perlukan kawan untuk berbual.


1.

Bosan. Mungkin saja sunyi bila semua kerja telah di siapkan. Masa untuk berehat sebenarnya tapi badan tak mampu berehat sepanjang hari tanpa buat apa-apa kerja. Mood untuk membaca langsung tak ada. Mungkin kerana mata tak mampu lagi lihat font kecil pada buku. Kaca mata sudah tidak banyak membantu. Mata bukan sahaja pedih dan kabur tetapi semakin blur.

Ada banyak buku yang hendak di hadam. Tapi tak mungkin dapat habiskan bacaan dengan cepat. Bila banyak masa senggang, tak banyak pula forum di adakan. Minggu lepas  tak berpeluang menghadiri beberapa forum menarik antaranya GE 13 and Future of Malaysian Universities yang bertempat di UM pada 15 Mac lepas. Saya amat kecewa kerana tak berpeluang menghadiri forum menarik anjuran IRF bertajuk Islam without Sectarianism pada 10 Mac lepas di Hotel Renaissance.

Saya terlupa ada public talk bertajuk Religion and Secularization in United States oleh Prof. Dr. Jeffrey T. Kenney pada 19 Mac bertempat di Bilik Senat UKM. Harapnya nanti dapat hadirkan diri di Penang untuk mendengar forum bertajuk After GE 13, No Matter Who Wins, Where to Malaysia? pada 23 Mac ini. Lewat minggu-minggu sebelum ini amat sibuk. Menghabiskan banyak masa di Sarawak dan Brunei.


2.

Hidup tak lagi mengujakan. Sejak pulang dari Brunei, langsung tak keluar rumah selain ke hospital untuk pemeriksaan dan dialisis dan sekali dua ke padang permainan untuk lebih kurang 35 minit. Tak lagi merasa selesa untuk bertemu dengan manusia lain. Mungkin kerana terlalu menjadi perhatian. Mungkin juga tidak selesa dengan perasaan simpati orang ramai.

Mungkin juga semakin tidak selesa apabila sudah tidak mampu bertutur dengan baik. Di kesani ada beberapa perkataan dan struktur ayat gagal di ucapkan. Kadangkala perlu ucapkan hampir 4 kali sebelum mampu bertutur dalam ayat yang lengkap. Dengan fizikal sebegini, pertuturan yang semakin buruk serta mata yang kabur tidak memungkinkan untuk keluar dan bertemu dengan orang ramai.


3.

Mungkin juga saya sunyi. Dan saya tak menyalahkan kerjaya yang awak pilih. Itu cinta pertama awak. Kesibukan selalunya menghilangkan kesunyian. Saya pasti penat jika bekerja seperti orang gila yang normal tapi saya suka dengan apa yang saya buat. Kesibukan akan mengurangkan sedikit rindu.

Sejak awak bekerja, saya rasa kita hanya berpeluang untuk bercakap kurang dari sejam. Kadang-kadang hanya setengah jam, ada juga hanya 15 minit. Saya tak teruja untuk bercerita kerana saya tahu awak penat. Awak bukan tak mahu melayan saya tapi badan awak perlukan rehat. Mungkin saja saya pernah beberapa kali kecil hati – awak menguap ketika saya baru mula berkongsi cerita.

Tapi saya faham bukan itu yang awak mahukan. Saya tak pernah salahkan awak dan kerjaya yang awak pilih. Jadi sekarang tentulah awak tahu kenapa saya suka paksakan diri untuk laksanakan apa-apa kerja. Saya tak mahu merasa kesunyian. Kesunyian membunuh jiwa saya. Dan saya akan mula fikir tentang banyak perkara dan seterusnya saya akan mula stress.


4.

Sehingga habis minggu ini saya memang tak ada apa-apa kerja. Saya mulai sibuk pada minggu depan dan minggu-minggu seterusnya. Bulan April nanti saya perlu ke Vietnam selama 3 hari seterusnya ke Zurich, New York, dan Sweden. Jadual kerja saya agak padat. Saya masih belum lihat jadual sepenuhnya. Sekadar melihat sepintas lalu.

Doktor tak benarkan saya  paksa tubuh untuk bekerja.


5.

Sekarang baru pukul 2.50 pagi. Beberapa hari  kebelakangan ini saya tak tidur langsung. Ketika awak tidur saya habiskan masa di bilik kerja, kadang-kadang mengintai langit dan temankan Adam bila dia terjaga dari lena. Mungkin hari Jumaat ini bila awak bercuti awak boleh teman saya lihat langit malam. Saya suka langit waktu sebegini. Tapi saya tahu, tentunya awak tak mampu menahan kantuk. Awak biasanya tidur awal. Lagipun awak perlukan rehat yang cukup setelah seharian di hospital.

Semalam dan hari ini saya tak makan ubat. Saya cuma makan sekali sehari dan bila malam perut saya berkeroncong. Saya tak mahu makan ubat. Saya perlu makan sebelum makan ubat. Bila makan, pastilah muntah. Hari ini saya kurang muntah cuma batuk berdarah. Macam biasa, 4 kali pengsan. Sekali di waktu pagi, sekali pada tengah hari dan dua kali di waktu petang.


6.

Mungkin sahaja saya perlukan kawan untuk berbual.

Tuesday, March 19, 2013

2.32am

Sunyi.

Ketiak Benggali


Kakak: Adik, jom tengok hoki petang ni nak tak?
Umar: Tak nak.
Kakak: Ala...jomlah. Ajak Adam sekali. Malaysia masuk final tau.
Umar: Tak nak. Nanti ada bau tetiak Benggali macam tahun lepash.
Kakak: Eeeee! Kakak tengah makan ni. Adik jahat!
Umar: Tape tuluh Kakak ajak adik. Adik telush ingat tetiak Benggali. 
Kakak: (lari pergi sinki - muntah)
Umar: Dahsyat bau tetiak Benggali kan Kakak?

Doktor

Di kedai Cik Kiah Janda


Atuk: Doktor sekarang banyak makan gaji buta.
Umar: Daddy, makan gaji buta tu apa? Adik tak faham.
Daddy: Maksudnya, orang tak buat kerja yang di amanahkan.
Umar: Adik telase (muka sedih)
Atuk: Terasakan apa kamu ni? Aku bercakap benda yang betul.
Umar: Mestilah adik telase. Mama adik doktor. Cubit peha kili, peha kanan telase tugak.
Daddy: (senyum) 

Pampers

Ocio sedang tukar pampers.


Umar: Adam tanganlah tecik hati. Pak Long tak leti  agah-agah Adam. Pak Long tak leti berkawan.
Daddy: Umar, tak baik mengata Pak Long.
Umar: Olang tukar pampesh kena tacau-tacau budak tecik-tecik. Pak Long tenyap je.
Daddy: Pak Long reti jugak tukar pampers. Jadi la tu.
Umar: Pak Long, kita bukan tekat kubur. Tekat kubur bolehlah tenyap je.
Daddy: (muka garang tengok Umar)
Umar: Daddy janganlah malah adik. Adik takap jujur. 

Cili Potong

Lama dulu di  restoran.


Pelayan: Okey ni nasi ayam pedas dengan cili potong untuk encik.
Umar: Ini adik punya nasi tayam.
Pelayan: Eh tak. Adik punya nasi ayam tak pedas. Yang pedas ni untuk ayah adik.
Umar: Kakak, adik punya nasi tayam pedash tengan tili potong tecik-tecik. Daddy adik tak makan pedash.
Daddy:  Nasi yang tak ada satu cabai pun saya punya. Anak saya makan pedas.
Pelayan: (tengok Umar muka tak percaya)
Umar: Kan adik dah takap. Kakak tak percaya.
Pelayan: Sorry. Kakak tak tahu. 

Masa Untuk Berubah



Saya menonton video ini bersama anak-anak. Saya hampir mengalirkan air mata. Orang miskin di anggap seperti anjing, mengemis di bumi sendiri, di ketawakan ibarat tiada maruah. Golongan kaya akan terus mencuri hak rakyat. Harapnya, rakyat akan sedar dan bangkit dari lena.

Malaysia perlukan perubahan dalam segenap lapangan.


Monday, March 18, 2013

3.59am


1.

Ocio baru sampai petang tadi. Macam biasa, mesti bawa orang dan tentunya perempuan. Nama kawan Ocio, Lily. Tak pastilah Ocio ada hubungan yang rapat atau tidak dengan Lily. Nampak macam biasa-biasa saja. Lily tidur di hotel. Lusa dia akan ke KL. Ada seminar di UM (kalau tak salah).

Tak ada apa-apa berita tentang Zara. Khabarnya (tak pasti) Zara telah bertunang dan Ocio seperti biasa tak terasa apa-apa pun bila dapat berita Zara sudah pun bertunang. Mungkin esok boleh tanya tentang Zara tapi kalau Lily ada macam tak sesuai nak tanya apa-apa.

Nampak gayanya Ocio akan jadi bujang sampai bila-bila.


2.

Agaknya sekarang musim orang mengandung. Dekat taman jumpa banyak perempuan mengandung.  Pasangan wartawan yang saya sudah lupa namanya (sedih pula tak ingat nama ahli keluarga sendiri) bakal dapat anak.

Isteri Arygen akhirnya mengandung juga. Tahniah Ary! Agaknya Ary sudah habis sesi perkenalan dengan isteri dia (kahwin mengejut lagi). Pet Pet masih cuba pujuk bekas isterinya tapi macam tak ada harapan untuk  bersatu semula.

Kak Ain jemput (sebenarnya paksa) ke Jepun untuk jumpa Daud Yamaha.


3.

Esok Boboy akan sampai bersama Zack. Punyalah ramai anak saudara tapi yang ingat dan kenal cuma 2 orang saja – Boboy dan Qistina. Kenal Qistina sebab Qistina errr girlfriend Boboy. Boboy tak pergi sekolah, tak mengikuti sistem pembelajaran macam kanak-kanak lain, belajar di rumah pun tidak. Boboy habiskan usia kanak-kanak di negara Afrika – membantu orang-orang di sana. Kadang-kadang ke Palestin dan baru-baru ini ke Syria.

Boboy juga bakal dapat adik setelah menunggu lebih dari 5 tahun.


4.

Moga-moga sakit perut awak reda esok hari. Tidur lena, sayang.

Kadang-kadang kita terpaksa lepaskan perkara silam untuk bergerak ke hadapan.


1.

Secara terus terangnya, Im tak menyenangi beberapa perkara tentang Kak Ain. Im tak suka masuk campur hal orang tambah-tambah kalau hal melibatkan rumah tangga tapi Im fikir Im patut tegur tapi Im takut nanti Kak Ain kecil hati. Mungkin marah.

Tapi Im perlu katakan.


2.

Im akui Im tak merasai apa yang Kak Ain rasa. Hidup bersama lelaki gila seks selama lebih 6 tahun memang sesuatu yang gila. Tentu saja Kak Ain mengalami trauma, mungkin juga dendam dengan lelaki. Im tak pasti sebab kita jarang berbual mengenai hal ini. Mungkin juga sebab Im sendiri tak selesa untuk bercakap tentang hal ini.

Im tak salahkan Kak Ain kalau Kak Ain masih trauma dan menaruh prasangka pada lelaki. Pengalaman yang pahit memang sukar di buang. Kalau mudah tentulah Im sendiri tak perlukan rawatan dengan pakar psikiatri.


3.

Im rasa Kak Ain patut bagi Takeshi peluang. Tak adil jatuhkan hukuman pada Takeshi. Bukan dia yang buat Kak Ain merana dulu. Sebenarnya, dia yang menyelamatkan Kak Ain. Kak Ain tak patut ‘balas dendam’ pada Takeshi. Dia tak bersalah. Kak Ain tak adil pada dia.

Im tak suka bila Kak Ain layan dia dengan teruk. Im tak suka bila tengok Takeshi sedih. Kak Ain banyak kali buat dia terluka dan Kak Ain sedar Takeshi terluka. Bukan sesuatu yang baik bila kita lukakan hati orang yang kita sayang dalam keadaan kita menyedari hal itu.


4.

Im tak mahu ingatkan Kak Ain tentang hukum. Tentu Kak Ain lebih arif lagi. Im cuma harap Kak Ain bagi Takeshi peluang untuk jaga dan sayang Kak Ain. Im rasa Kak Ain patut bagi diri sendiri peluang untuk rasa di hargai. Takeshi lelaki yang baik. Banyak bersabar. Jangan di sebabkan hal yang lepas, Takeshi yang merana dan Kak Ain akan kehilangan dia pula.

Setiap lelaki ada tahap kesabarannya. Jangan duga yang bukan-bukan. Im tak nak nanti Kak Ain di tinggalkan. Daud perlukan ayah dia. Daud perlukan keluarga. Kak Ain kena bagi peluang pada diri sendiri. Buka ruang untuk diri sendiri.


5.

Dulu, Kak Ain bukan lemah cuma kurang arif dalam mempertahankan hak. Sekarang, Kak Ain ada seorang lelaki yang boleh di harap untuk melindungi dan mengasihi. Tentu saja dia lelaki yang baik. Hadiah Tuhan untuk perempuan yang baik. Kenapa tidak di hargai? Tolonglah hormati dia sebagai suami. Dia layak mendapat penghargaan itu.

Kadang-kadang kita terpaksa lepaskan perkara silam untuk bergerak ke hadapan walaupun selalunya kita enggan melepaskan masa silam kita.

Salam untuk Muhammad Yusuff Kiyoshi. 

Sunday, March 17, 2013

2.02 am


Selamat bertemu dalam mimpi, sayang. 

Thursday, March 14, 2013

04.27am


1.

Abang pergi dialisis pagi tadi. Abang pergi juga medical check up. Nanti ada lanjutan pemeriksaan. Doktor tanya lagi tentang mata abang – sebenarnya doktor sedang pujuk supaya abang lakukan pembedahan. Memang abang tak nampak sangat sekarang. Abang taip SMS pun lambat.

Ada seorang kenalan abang meninggal minggu lepas. Dia mengidap kanser juga. Nampaknya, dia sudah bertarung sehabis daya. Abang kenal dia tak lama, lebih kurang 4 bulan. Abang jumpa dia di wad.

Bila balik rumah abang tak tahu nak fikir apa...


2.

Nampaknya Adam semakin cerdik. Adam sudah pandai kenal warna, boleh sebut beberapa perkataan baru hari ini. Adam kecil lagi. Umar dan Huda pun masih kecil pada pandangan mata abang. Entah...tiba-tiba abang rasa sebak dan sedih.

Pagi tadi abang bangun lambat. Abang tak boleh gerakan badan. Lama juga. Abang rasa cuak sebab doktor pernah cakap kemungkinan besar akan akan lumpuh seluruh badan. Walaupun sekarang cuma tangan yang boleh bergerak – abang tetap rasa bersyukur. Abang tak pernah bagitahu sayang pun. Abang tak nak sayang risau.

Abang susah hati...


3.

Boleh tak kalau abang minta Tuhan panjangkan umur abang lagi. Abang nak tengok Huda jadi pelukis. Abang nak tengok Adam membesar. Abang masih nak layan soalan-soalan Umar yang banyak berlegar di minda dia.

...dan tentunya untuk hidup lebih lama dengan orang yang abang sayang.

Doktor tak bagi abang kerja lagi. Doktor suruh abang rehat. Tapi kalau abang rehat, tentu abang akan fikirkan tentang keadaan abang sekarang. Tentu abang makin sedih macam sekarang. Tentu banyak lagi perkara yang abang fikirkan.

Batuk berdarah makin teruk. Sebelum ini taklah terus sangat. Sekurang-kurangnya masih terkawal. Berat badan abang susut mendadak. Turun lagi 2 kg. Abang asyik muntah jadi abang jadi benci nak makan. Abang cuma makan ubat.


4.

Eloklah sayang tidur. Sakit kepala abang  menjadi-jadi. Abang rasa nak nak hentuk kepala ke dinding. Sakit sangat sayang...

Dari sebelum sayang balik lagi abang layan perasaan. Abang rasa nak menangis tapi abang tahu kalau abang menangis pun keadaan tak akan berubah. Keadaan akan tetap jadi lebih teruk. Keadaan akan tetap jadi lebih tidak terkawal 

Wednesday, March 13, 2013

Aiskrim


Umar: Daddy adik ada kemushkilan.
Daddy: Umar fikir apa? Meh cakap dengan Daddy.
Umar: Daddy, nanti Adam ada adik tecik-tecik-tecik tak?
Daddy: Kenapa Umar tanya?
Umar: Adik mushkilah Daddy.
Daddy: Heeeee entah. Daddy pun tak pasti. Ada kot.
Umar: Adik sedih....
Daddy: Kenapa pulak? Okey apa. Best tau.
Umar: Nanti luit adik habish beli esktelim untuk adik tecik-tecik-tecik.
Kakak: Berkira tau adik ni. Adam makan 2 aiskrim je.
Umar: Sehali 2 esktelim. Ketua Negale pun boleh bengkerap (mengeluh)
Kakak: Tak apa. Adik kan sayang Adam.
Umar: Adik tayaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaang tangat Adam.
Daddy: Macam tak ikhlas je sayang tu.
Umar: Daddy cakap kalau kita ikhlash kita tak payah cakap. Adik terpakshe ikhlash .


Konshipilashi


Umar: Daddy nampak CD lagu Maher Zain adik?
Daddy: Tak. Umar salah letak ke?
Umar: Meshti ada konshipilashi nak solok CD adik.
Kakak: Adik ni kelakar la. Banyak sangat kawan dengan atuk.
Umar: Kakak tukeeeeee ngata adik. Adik melajuk (muka masam)
Kakak: Kakak ambil simpan. Adam pinjam semalam.
Umar: Adik cakap Daddy tak percaya. Konshipilashi Kakak tengan Adam.
Daddy: Hahahaha mana Daddy tahu. 

Tuesday, March 12, 2013

Masuk Neraka


Umar: Daddy, Daddy, Daddy. Tawan adik nagish.
Daddy: Laa...kenapa pulak dia nangis tu. Umar buat apa?
Umar: Adik good boy. Adik tak buat apa-apa.
Daddy: Habis tu kenapa kawan Umar tu menangis?
Umar: Adik takap tekat dia tangan pakai baju sekshi. Ushtaz takap kalau pakai sekshi nanti masuk nelake.
Daddy: Adeh Umar ni. Tak baik la. Tu macam mana nak pujuk dia?
Umar: Adik tak nak thubahat. Ushtaz takap sampaikan walau 1 ayat.
Daddy: Ye la...tapi tak bolehlah cakap macam tu. Dia takut tu. Ish Umar ni.
Umar: Adik cakap tenyataan Daddy.
Daddy: Kenyataan pun...Kena cakap baik-baik.
Umar: Dia nangish tebab dia tak nak telima tenyataan dia masuk nelake.
Daddy: Umar, tak baik cakap macam tu. Ish! Pandai pulak jaga pintu neraka orang.
Umar: Daddy, adik nak balik lumah. Adik nak mandi.
Daddy: Tu nak lari la tu. Pandai buat kawan nangis. Bukan nak pujuk.
Umar: Tanggungtawab adik bagi nashihat bukan pujuk olang nagish Daddy.
Daddy: Pandai je mulut tu nak bagi jawapan kan. 
Umar: Adik anak Daddy yang celedik



Nelake Tecil


Umar: Adik tak tukeeeee datang Penang.
Daddy: Kenapa? Best apa. Ada laut.
Umar: Panash. Nanti muka adik jadi telap.
Daddy: Over la Umar ni.
Umar: Penang panashlah Daddy. Macam nelake tecil.
Daddy: Mana Umar tau macam neraka kecil?
Umar: Adik lase-laselah.
Daddy: Ish!

Labah-Labah


Umar: Daddy, tengok. Labah-labah gaduh.
Daddy: Mestilah gaduh. Labah-labah kecik mengada.
Umar: Labah-labah buat apa Daddy?
Daddy: Dia lawan-lawan. Jadi dia kena marah dengan labah-labah besar.
Umar: Temua Daddy tahu. (gelak)
Daddy: Umar ngata Daddy eh.
Umar: Hehehehehe


Lelaki, jangan bermimpi akan tenang tanpa wanita di sisi.


1.

Saya kira seorang lelaki inginkan seorang wanita yang sempurna dalam pelbagai segi. Kadang-kadang lelaki terlalu demand atau mungkin sahaja terlalu mahukan kesempurnaan. Kesempurnaan tidak pernah wujud sama sekali kerana kita cuma manusia biasa yang sememangnya tidak sempurna.

Manusia bernilai kerana maruah. Setiap manusia mempunyai maruah. Selalunya maruah sukar untuk di jual beli. Saya tak pasti kenapa tiba-tiba sahaja saya menyentuh tentang maruah. Mungkin sahaja kerana saya marah, kecewa, dan geram. Perasaan yang bercampur.


2.

Jika lelaki menuntut dirinya di hormati, saya kira perempuan juga menuntut hak yang sama – hak untuk di hormati. Jarang sekali wanita membela maruahnya bila di pijak. Wanita lebih suka akur, tunduk dan menyerah – seperti tiada maruah dan harga diri – seperti tidak bernilai.

Saya tak pasti bagaimana kawan saya mampu menerimanya kembali setelah dia menghilangkan diri hampir 2 tahun dalam suatu ikatan bernama pertunangan. Saya tak pasti bagaimana kawan saya mampu menerimanya kembali setelah menyepi selama itu – tanpa tanya khabar berita, entah hidup entah mati, tiada pesanan. Apa pun tiada.

Tiba-tiba dia di hubungi semula dan mereka bakal berkahwin bulan Ogos ini.


3.

Setiap wanita mempunyai harga diri dan maruah. Setiap wanita mahu di hormati, di kasihi dan di teladani dengan baik. Tanda seorang lelaki yang baik tiada dalam dirinya. Di biarkan terkapai-kapai selama dua tahun, hidup dengan pelbagai soalan, tiba-tiba menghilangkan diri tanpa sebab dan alasan, kemudian muncul semula dan melamar untuk satu ikatan.

Sesuatu yang amat gila.

Di mana letaknya maruah si wanita? Apakah wanita ini langsung tiada maruah dan harga diri? Apakah langsung tidak bernilai di mata lelaki? Tentu sahaja saya beremosi kerana saya mempunyai kakak, adik perempuan dan anak gadis kecil yang sedang membesar. Tentu sahaja saya tidak mahu mereka yang mempunyai ikatan dengan saya diperlaku sedemikian.


4.

Saya tak mungkin bersuara kerana saya hanya kenalan dan orang luar. Jika sebelum mempunyai ikatan sudah pun menunjukkan tanda yang kurang positif, apakah boleh di harapkan bila mempunyai ikatan nanti  segalanya akan berubah? Pastinya tidak.

Harapnya, maruah kawan saya lebih tinggi dari itu. Usah biarkan diri diperkotak-katik. Bila mahu- di hubungi, bila bosan di cari, bila tak suka – pergi jauh dari sisi.


5.

Saya tak pasti kenapa tiba-tiba sahaja saya menulis tentang maruah wanita. Mungkin kerana pesanan Ummi masih melekat dalam diri, masih sayup-sayup terdengar. 


"Sayangi dia, kasihi dia, hormati dia dan letakan dia di tempat yang tinggi kerana dia adalah cerminan diri kamu".

Saya seorang lelaki yang tak malu-malu mengaku bahawa saya meletakan taraf tinggi pada seorang wanita. Pada saya mereka wajar di hormati, di kasihi dan di teladani. Lelaki, jangan bermimpi akan tenang tanpa wanita di sisi.

Daud Yamaha


Kak Ain selamat melahirkan bayi lelaki beberapa minggu lepas. Di beri nama Muhammad Yusuff Kiyoshi tetapi hanya di panggil Daud Yamaha (tak tahulah kenapa).

Umar cakap nama anak Kak Ain klasik sangat. 

Sunday, March 10, 2013

Malam ini saya cuma mahu baring diam-diam dengan awak.

1.

Badan masih penat. Penat yang melampau. Baru sampai dari Brunei. Sebelumnya ke Sarawak. Bila penat melampau badan makin sakit dan susut kerana kurang rehat, makan tidak menentu dan tidur ala kadar. Mungkin sahaja kerana menafikan diri sakit – masih teruskan hidup seperti manusia normal walaupun hakikatnya tidak.

Tuntutan hidup makin mendesak. Perlu kerja untuk mendapatkan sesuap nasi walaupun kesihatan seringkali tak beri peluang untuk jalani hidup seadanya. Kerja selalu menjadikan manusia bukan dirinya yang sebenar. Tapi manusia perlu bekerja kerana pada zaman ini - ringgit merupakan nilai utama.


2.

Sayang, saya kira kita tak punya banyak masa bersama kerana tiba-tiba saya menjadi semakin sibuk. Awak tentulah lebih sibuk lagi. Keluar rumah jam 6.30 pagi dan pulang kira-kira 12.00 malam. Kemudian mandi kadangkala tidak dan seterusnya tidur. Selepas itu bangun semula, pergi kerja dan rutin yang sama berputar.

Saya memahami kenapa awak sangat stress dengan kerja yang berat, mengambil banyak masa dan kudrat. Kadangkala saya tak sampai hati lihat awak menangis akibat penat (dan stres). Dan saya tak cuba tenangkan awak supaya berhenti menangis. Saya lebih suka awak menangis supaya awak tak pendamkan segalanya.

Kerjaya awak tak langsung menjarakkan kira seperti yang saya jangka cuma kita kurang masa untuk di nikmati bersama. Hakikatnya, kita semakin erat dan menghargai masa lapang.


3.

Minggu ini saya tidak akan ke mana-mana. Saya perlu berehat. Esok, seperti biasa saya akan ke hospital untuk pemeriksaan. Sudah 2 minggu saya tangguhkan. Berat badan saya turun lagi. Agaknya nanti badan saya cuma ada tulang dan kulit...

Saya juga perlu pergi dialisis. Kalau saya larat, esok nak bawa anak-anak ke Perpustakaan Negeri. Lama tak ke sana.


4.

Malam ini saya cuma mahu baring diam-diam dengan awak.