Sunday, September 30, 2012

3.53 pagi


1.

Entah kenapa saya gagahkan diri untuk bangun. Mungkin sebab mata degil tak mahu tidur dan kepala rasa sakit. Saat ini semua orang enak lelapkan mata. Jam masih awal kecuali untuk sesetengah orang yang perlu bangun seawal begini untuk mencari nafkah seperti nelayan dan penoreh getah.

Tiga hari berturut-turut saya membuat refleksi diri. Saya dapati diri saya masih ragu-ragu dengan kebolehan diri. Tahap keyakinan diri makin rendah – saya hampir tak keluar rumah jika tidak mempunyai urusan. Saya ke masjid hanya untuk solat Subuh. Dengan alasan waktu itu tidak ramai jemaah maka saya hadirkan diri ke masjid.

Saya masih berfikir banyak perkara. Saya sudah melalui banyak perkara tetapi kenapa saya masih lemah dan cepat berputus asa bila di turunkan ujian yang berat sedikit dari ujian-ujian sebelumnya. Kenapa saya masih gagal membina imej positif dalam diri saya? Kenapa saya masih tak percaya dengan setiap perkara yang saya usahakan?

Paling penting saya selalu seolah-olah berputus asa dengan Tuhan. Saya tahu sikap saya amat berdosa bila saya putuskan untuk tidak mahu berdoa lagi. Saya tak mahu berdoa untuk apa-apa. Saya tak mahu meminta kerana saya sudah cukup terluka dengan kekecewaan. Saya putus harap dengan Tuhan.

Benar, manusia akan menjadi kufur bila di timpa bencana/musibah dan saya salah seorang darinya. Dalam saya berputus harap dengan Tuhan sebenarnya saya masih diam-diam berharap agar Tuhan dengar bisik hati saya, dengar doa-doa saya. Saya berharap dalam diam-diam.


2.

“Sekurang-kurangnya abang masih boleh makan”

Betul. Saya terlupa dengan nikmat yang Tuhan pinjamkan. Saya masih mampu makan sekurang-kurangnya melalui tiub. Saya terlupa nikmat itu. Tuhan masih berikan. Terima kasih sayang atas ingatan yang ikhlas.

Saya menjadi sebegini kesal kerana banyak doa/harapan yang tidak menjadi kenyataan. Banyak perkara yang saya harap/idam-idamkan tak mampu saya genggam. Salah saya. Saya terlalu melihat benda/perkara yang tak mampu saya miliki. Saya tidak pun  menoleh perkara-perkara yang saya tak minta tapi di beri.

Saya gagal melihat perkara-perkara yang saya miliki. Saya terlampau sibuk memikirkan perkara-perkara yang tak dapat saya genggam. Mungkin sifat manusia yang tamak haloba dan tak pernah puas buatkan saya jadi begini. Saya seharusnya belajar bersyukur dengan apa yang saya miliki. Lupakan perkara-perkara yang tak mampu saya gapai. Saya harus mendidik diri agar memandang dengan rasa bersyukur dengan setiap perkara yang saya ada.

Saya ada rumah sempurna untuk di diami, saya ada kenderaan, saya ada anak-anak yang comel lagi bijak. Kenapa saya buta dan sibuk memikirkan untuk mencapai sesuatu yang Tuhan telah tetapkan bukan untuk saya? Walau sehabis daya saya cuba, saya tak akan mampu memilikinya. Saya masih manusia bongkak yang tak pernah cuba bersyukur, menerima seadanya takdir yang di tulis.

Menerima takdir sesuatu yang amat pedih. Kita tak boleh memilih takdir hidup kita walaupun kita sentiasa ada dua pilihan. Takdir tidak selalu menyebelahi kita. Selalunya, perkara yang kita paling benci kita akan dapat. Perkara yang paling kita idam-idamkan tak di berikan Tuhan. Tuhan punya agenda untuk kita. DIA mencorak warnakan hidup kita dengan penuh misteri dan makna tersembunyi.


3.

Takdir tak pernah menjadi mudah untuk kita. Kegembiraan/kebahagiaan orang lain sering membuat kita terhiris. Kita mudah patah semangat. Kita mudah tertekan dengan persekitaran. Tekanan yang tidak terkawal boleh membuat kita jadi gila. Saya pernah cuba membunuh diri kerana tertekan. Saat itu saya tak langsung memikirkan bahawa orang yang bunuh diri tiada tempat di sisi Tuhan. Saya hanya fikirkan saya bebas dari kesakitan dunia, bebas dari segala masalah.

“Masalah tak akan selesai selepas kita mati. Lepas mati kita adalah masalah lain”. Saya catat dalam buku nota. Saya baca berulang-ulang kali bila saya rasa tertekan. Saya cuba kuatkan diri, tabahkan hati. Saya terlalu mencuba hingga saya hampir membunuh diri. Terima kasih atas ingatan itu, sayang. Saya ingat sampai hari ini.

Bunuh diri antara 10 penyebab kematian di kebanyakan negara. Di Malaysia, menurut National Suicidal Registry Malaysia (NSRM) sebanyak 425 kes bunuh diri di laporkan dari Januari hingga Ogos 2010. Secara puratanya 60 kes sebulan. Kaum Cina adalah antara golongan paling tinggi iaitu 48% di ikuti India 21% dan Melayu 18%. Nampaknya orang Melayu (yang saya andaikan Islam) sudah menampakan trend bunuh diri (perbuatan yang paling di cegah agama).

Data NSRM juga mendapati bahawa kaum lelaki merupakan golongan paling banyak bunuh diri. Jika di nisbahkan, 3 lelaki 1 perempuan.

Kebiasaannya, anda akan di syorkan berjumpa psikoterapi untuk menjadi terapi yang di panggil ECT atau electroconvulsive therapy atau mengambil ubat anti-depresi. Tekanan bukan suatu perkara yang boleh di pandang remeh. Sokongan keluarga, menjalani terapi, mengubah persekitaran, pengambilan ubat dan belajar menyelesaikan masalah dengan cara yang betul antara cara terbaik untuk mengatasi tekanan.

Mujurlah saya tak termasuk dalam statistik bunuh diri. 


4.

Saya simpulkan refleksi diri kali ini ialah saya gagal menerima takdir dengan penuh redha. Saya masih belum redha dengan keadaan sekarang. Saya perlu lupakan kehidupan yang lepas kerana saya tak mungkin mendapatkannya kembali. Saya perlu hidup dengan cara hari ini. Saya juga perlu luaskan pandangan dan banyak bersyukur atas setiap nikmat/rahmat yang Tuhan pinjamkan.

Saya perlu berusaha untuk bekerja dan mengumpul duit. Dadah yang saya ambil untuk mengawal pembiakan sel kanser berjumlah RM 8 ribu sebulan. Semalam, saya di beritahu kos telah meningkat ke RM 12 ribu. Kos dialisis sekitar RM 3000 sebulan atau RM 750 seminggu. Ini belum termasuk kos untuk makanan tambahan, ubat-ubat untuk rawatan psikiatri, kos radioterapi, kimoterapi dan lain-lain.

Walau apa pun ubat yang saya ambil, kanser sememangnya tidak boleh di rawat hingga sembuh walau pun menjalani kimoterapi.

*Mengikut:

Clinical Oncology (2004) 16:549-506: Overall, chemotherapy contributes just over 2% to improved survival in cancer patients in Australia and the US, eight years later, the conclusion has not been refuted.
Journal of the National Cancer Institute of NIH (USA), Sept 1993: Chemotherapy helped only 7% of patients in terms of “durable response” and prolonging survival.
Lancer, 1991, Vol. 337, p. 901: “Many oncologists recommed chemotherapy for almost any type of cancer, with a faith that is unshaken by the almost constant failures” – Dr. Albert Braverman, Medical Oncology in the 90’s



**Sumber: Dr. Amir Farid




Jaga kesihatan dan syukuri nikmat Tuhan.