Friday, June 22, 2012

Imad Munaya


Umar sememangnya peminat fanatik Maher Zain. Tak boleh nak cakap apa-apa. Dalam bilik, dekat dapur, dalam kereta - semuanya suara Maher Zain. Saya tak berapa suka Maher Zain. Saya lebih selesa mendengar punk, thrash, metal dan hard rock. Umar cakap muzik yang  saya dengar boleh buat telinga dia hilang pendengaran. 

Buah hati saya suka dengar klasik yang banyak di putarkan di Radio Bangsar Utama. Tak tahulah saya dia mahu dengar ke tidak sebab buah hati saya penyokong fanatik UMNO (jangan nafikan ye sayang). Jadi, mungkin halangan parti membuatkan dia tak mahu dengar RBU. Saya mula suka dengar muzik klasik sejak kenal-kenal rapat dengan dia (sebab banyak sangat lagu dia tujukan untuk saya - hampir semuanya klasik!)

Saya dengar RBU bukan sebab ideologi politik sungguhpun saya penyokong parti yang di wakili RBU. Ya, saya dan si dia mempunyai citarasa yang amat berbeza dan sangat bertentangan. Hampir tak ada perkara yang kami kongsi bersama. Dari filem ke muzik ke makanan malah buku sekalipun - semuanya berbeza! Bayangkan, bayangkan. Saya suka tempoyak. Dia paling benci tempoyak (sampai hati tau awak benci benda paling saya suka hahaha)

Setelah lama mencari lagu-lagu nyanyian Imad akhirnya hari ini saya menjumpainya di You Tube. Saya membesar dengan lagu-lagu Imad. Hanya lagu-lagu nyanyian Imad satu-satunya yang mendapat tempat di hati saya. Tak ada penyanyi yang dapat 'pukul' suara lunak Imad. Antara lagu Imad yang popular ialah Berkat Ramadhan, Ya Rabb dan Tholama Asyku. Saya paling suka Tholama Asyku.

Waktu sedih mahupun gembira inilah antara lagu-lagu yang saya dengar. Sejak kaset Imad hilang saya tak dapat lagi dengar suara Imad. Ya, sejak era kaset. Agak lama - saya tahu.  Saya masih ingat setiap kali selepas solat Subuh Ummi pasti akan pasang lagu-lagu Imad di surau kecil kami. 

Selepas ini, saya akan perkenalkan lagu-lagu Imad kepada Umar dan lagu-lagu ini akan bergema pula di rumah kami. 

Buah hati saya tak kenal Imad. 

Wednesday, June 20, 2012

Sunday, June 17, 2012

Saturday, June 16, 2012

Kalaulah saya dapat peluk awak di atas bot ini, sambil melihat mentari menari-nari, di ufuk - senja sedang menanti.

1.
Minggu ini saya menerima dua lagi tawaran mengajar di institusi pengajian tinggi. Saya rasa minat saya untuk mengajar di universiti tidak seghairah dulu. Saya lebih senang mengajar anak-anak di rumah. Saya rasa saya tak mampu memberi komitmen yang di perlukan. Menjadi pensyarah tidak semudah yang di sangkakan. 

Tahun lepas saya mengajar pelajar SPM (secara kebetulan). Mereka mendapat keputusan yang memuaskan dan di luar jangkaan. Saya tidak mahu mengambil apa-apa kredit atas usaha orang lain. Tentunya usaha tanpa putus asa yang membuatkan mereka berjaya. Saya sekadar membantu. Tahun ini ada juga yang bertanya jika saya ingin mengajar lagi. Buat masa ini tidak.

Ada beberapa kali saya membawa Umar dan Huda ke taman dan mengajar mereka di sana. Kelas di luar rumah untuk tujuan ‘kerja lapangan’. Ada ibu bapa yang ingin mendaftar anak mereka. Mereka tersalah anggap – saya bukan cikgu tadika. Saya tak mahu anak-anak saya hanya belajar teori tanpa praktikal. Kedua-duanya sama penting. Setakat ini Umar sudah ada 3 buah ‘buku’ (lebih mirip buku skrap)  hasil kerja lapangannya.

2.
Saya ada beritahu si jantung hati bahawa saya ingin belajar lagi. Proses pembelajaran adalah proses sepanjang zaman. Ada beberapa bidang yang saya minat tapi tak berkesempatan mengikutinya semasa di kampus dulu. Antara bidang yang masih dalam perkiraan saya ialah Antropologi, Arkeologi, Astronomi dan Teologi. Saya tak pasti jika ada universiti di Malaysia menawarkan jurusan Teologi. Universiti di Malaysia banyak menawarkan jurusan yang pelik-pelik.

Sains Sosial, Sejarah, Linguistik dan Kesusasteraan tidak begitu di beri perhatian di Malaysia. Kerajaan banyak memberi insentif untuk memperkembangkan bidang sains. Jurusan Sains Sosial begitu terpinggir  kerana di katakan tiada nilai ekonomi (pekerjaan). Lalu nilai yang lebih penting iaitu ilmu tidak langsung di pandang. Adakah pengajian Perbandingan Agama ada di ajarkan di universiti tempatan? Mungkin hanya ada di UIA. 

Nampaknya universiti kita banyak mengeluarkan mesin berbanding manusia.

3.
Saya dan anak-anak ke Lenggong, Tapak Warisan Pra-Sejarah untuk melawat Gua Gunung Runtuh dan Muzium Arkeologi Lenggong. Di Gua Gunung Runtuh, Manusia Perak di jumpai. Manusia Perak ini seterusnya di letakkan di Muzium Arkeologi Lenggong untuk tatapan umum. Saya melawat tapak ekskavasi di gua tersebut. Umar dan Huda sangat teruja - semestinya kerana mereka perlu mengutip data. 

Lenggong merupakan antara tempat penting di Malaysia kerana di sinilah terdapatnya penemuan penempatan awal zaman pra-sejarah terawal iaitu Kota Tampan. Perkembangan zaman seterusnya bermula di sini. Lenggong juga telah di nobatkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. 

Saya membawa anak-anak ke sini untuk kerja lapangan mereka. Minggu lepas saya mengajar Umar dan Huda tentang zaman pra-sejarah di Malaysia. Hampir lima jam saya berada di Muzium Arkeologi Lenggong. Bandar Lenggong masih mundur walaupun di sinilah terletaknya tapak warisan dunia. Saya tidak berjumpa walau seorang pelancong di sini. Ada juga saya ringankan mulut bertanya jika tempat ini menjadi antara tempat pelancongan yang penting di Perak – jawabnya tidak.

Inilah masalahnya negara kita. Warisan yang ada kita jarang mahu bangunkan. Kita lebih suka bina bangunan tinggi dari popularkan tapak warisan sebegini. Jika tapak warisan ini di bangunkan, secara tak langsung ekonomi tempatan juga turut berkembang lantas memberikan taraf hidup yang lebih baik kepada warga penduduk di sini.

4.
Saya menginap di Resort Tasik Raban. Ada dua lagi tempat penginapan di sini iaitu Homestay Kampung Beng dan Rumah Rehat Lenggong. Saya menyewa sebuah bot untuk melihat kawasan tasik. Amat mendamaikan. Saya tak mahu berlama-lama di tasik – takut jatuh. Maklumlah saya lumpuh. Mujur ada Don yang banyak membantu. Mulanya saya memang tak mahu menaiki bot tapi setelah di pujuk Huda – akhirnya terpaksa juga mengalah. 

Saya bersama Huda dan Umar juga Don melihat matahari terbenam – cantik. Saat ini saya merindui si jantung hati yang sedang sibuk dengan persiapan akhirnya menjelang final exam. 

Kalaulah saya dapat peluk awak di atas bot ini, sambil melihat mentari menari-nari, di ufuk - senja sedang menanti.


Rindu awak, sangat :)

Wednesday, June 13, 2012

Monday, June 11, 2012

Nikmat

Untuk orang yang mengidap kanser, perkara yang paling di bencinya ialah menjalani kimoterapi. Kimoterapi tak sakit - yang membuatkan sakit ialah kesan sampingan selepas kimoterapi. Dan sakit itu tak boleh di layan. Kalau layan bertambah sakit.

Semalam teringin nak makan mee rebus tapi sebab gusi sakit dan berdarah tak henti-henti tak dapatlah makan. Makan merupakan salah satu nikmat sama macam tidur. Bila kita tak dapat lagi rasai nikmat barulah kita sedar sebenarnya kita lupa bersyukur atas nikmat-nikmat yang kelihatan kecil tetapi sebenarnya besar.

Dalam doa kita, kita jarang minta nikmat untuk makan dan tidur sebab kita anggap semua orang dapat makan dan tidur. Sebenarnya kita silap. Bukan semua orang dapat rasai nikmat itu. Biasanya bila kita sakit baru kita rasa nikmatnya kalau dapat makan makanan yang kita suka. Kalau dapat makan nasi pun sudah cukup baik. Kalau kena makan guna tiub macam saya, memang tak dapat nak merungut sangat sebab makanan yang sama juga yang kena makan setiap hari.

Mujur saja orang-orang yang masakkan untuk saya kreatif belaka.

Dalam doa seharian kita memang banyak minta dengan Tuhan. Nak jadi kaya-raya, sihat sampai ke tua, dan sebagainya. Apabila ada permintaan khusus yang kita minta dan Tuhan tak tunaikan, kita sedih. Kita lupa Tuhan berikan banyak perkara yang kita tak pernah minta. Kita tak minta udara percuma tapi kita dapat bernafas tanpa perlu membayar walaupun 1 sen.

Orang yang hidup seperti saya memerlukan alat bantuan pernafasan hampir setiap masa. Saya tak boleh bernafas sendiri lagi. Saya merindui saat-saat saya tak perlukan alat bantuan untuk bernafas. Dan bila hampir setiap malam saya sesak nafas, saya tahu nikmat menyedut udara sebenar telah lama hilang. Saya selalu sesak nafas. Tak boleh cakap sangat.

Saya belajar jadi pendengar. Setiap yang di beri ada hikmahnya.

Bercakap nikmat memang tak pernah habis. Cuma kita saja yang lupa dengan banyak nikmat yang kita ada. Sihat tubuh badan, boleh mendengar, bercakap, berjalan, bernafas, makan,  semua itu adalah nikmat yang paling besar. Bukan wang ringgit. Semua nikmat itu semakin di tarik dari diri saya. Bila menjalani kimoterapi, lidah tidak lagi berfungsi. Deria rasa saya mati. Semua makanan hampir sama rasanya.

Saya masih mampu melihat walaupun sebelah mata hampir tak mampu lagi. Saya perlu belajar melihat dengan sebelah mata. Membaca dengan satu mata. Di kebanyakkan masa, saya menutup buku kerana saya rasa saya baca terlalu lambat. Saya sedar, sekurang-kurangnya saya masih ada satu mata untuk melihat. Kalau kedua-duanya nanti tak boleh berfungsi lagi, pilihan yang  saya ada ialah saya perlu belajar braille. 

Saya harap tidak.

Setelah sebelah tangan saya gagal berfungsi dengan baik, saya kini hanya menggunakan satu tangan sahaja. Ya, saya menaip menggunakan satu tangan. Dengan mata yang tidak berfungsi dengan baik - kadang-kala kabur dan kadang-kala pedih - saya meraba mencari huruf. Walaupun menggunakan sistem Qwerty, tapi kerana ingatan semakin kurang baik dan tangan tidak cekap lagi - saya menaip dengan kelajuan yang sangat rendah.

Bila seseorang mengidap kanser otak dan selnya merebak ke bahagian sel lain. Kesannya adalah seperti saya. Bahagian yang paling penting dalam sistem tubuh badan manusia adalah otak. Bila bahagian ini 'rosak' seluruh sistem akan 'lumpuh'.

Kepada mereka yang masih boleh berjalan, memandu, makan, tidur, membaca dan sebagainya - anda masih belum terlewat mengucap syukur atas nikmat yang Tuhan beri. Bukankah itu tandanya dia sayangkan hamba-NYA?

Saturday, June 09, 2012

Curang

Semua orang berpotensi untuk curang tak kiralah lelaki atau perempuan. Tiada istilah lelaki lebih curang dari perempuan atau sebaliknya. Masing-masing ada kecenderungan untuk berlaku curang. Kecurangan bermula dari hati.

Mula-mula sekadar mahu memikat menjual ayat dan kemudiannya secara tak sedar sudah ‘melekat’. Hati sudah terpaut dan terasa sayang untuk memutuskan perhubungan yang baru di bina walaupun masih di fasa perkenalan.

Ada wanita yang curang kerana pasangan kurang mengambil berat. Ada lelaki yang curang secara sengaja kerana sememangnya dia suka menjual ayat. Mungkin baginya itu tidak curang, sekadar suka-suka. Tapi lama-lama jatuh cinta.

Untuk tidak berlaku curang mudah saja. Jangan cuba-cuba langkah pertama untuk berlaku curang. Misalnya rapat dengan kenalan berlainan jantina ketiba bersembang di FB. Jika kita sudah berstatus kepada seseorang – usahlah gatal tangan mahu test market.

Pasangan pula jika tahu suami/isteri/kekasih berlaku curang, tak usahlah ‘berbalas-balas’. Maksudnya, dia juga mencari orang lain untuk menunjukkan ‘Kalau kau boleh curang, aku pun boleh’. Kecurangan yang merebak.

Saya menonton My Neighbour’s Wife.  Cerita mengenai dua pasangan yang berkawan baik. Jasmine dan suaminya Bullet, Giselle dan suamnya Aaron. Kedua-duanya mempunyai masalah rumah tangga. Jasmine menuduh Bullet curang, Giselle dan Aaron pula mempunyai banyak masalah dalaman. Tambahan pula Aaron masih menanggur.

Pada suatu malam selepas kedua-dua pasangan ini bergaduh, mereka bertemu secara tak sengaja dan minum-minum sehingga mabuk dan terlanjur. Mereka ialah Bullet dan Giselle. Hal ini terbongkar ketika pihak hotel menelefon Bullet untuk memberitahunya bahawa subang ‘isterinya’ sudah di temui. Panggilan itu di angkat oleh Jasmine.

Itu cuma one night stand dan Giselle amat menyesali perbuatannya begitu juga Bullet. Mereka cuba menambat hati pasangan masing-masing tapi gagal dan sia-sia belaka. Giselle amat menderita kerana Aaron bersikap amat paranoid. Mengawal pergerakan serta segala tindak-tanduknya. Usaha Bullet tidak langsung memberi kesan kepada Jasmine malah Jasmine semakin  buat tak endah.

Giselle akan di naikkan pangkat. Untuk itu dia perlu ke luar daerah. Dalam masa yang sama Bullet mengajak Jasmine ke Cebu tapi Jasmine enggan. Aaron yang masih paranoid menelefon Jasmine bertanya tentang Bullet sama ada dia akan ke mana-mana pada minggu Giselle ke luar daerah. Mulanya hanya panggilan telefon seterusnya merebak ke pertemuan demi pertemuan secara sulit.

Aaron tidak lagi kisah akan Giselle. Dia memberikan Giselle sepenuhnya kebebasan, hal yang tidak di duga oleh Giselle sendiri. Jasmine semakin dingin terhadap Bullet.  Hampir setiap malam Jasmine akan ke kedainya dengan alasan untuk berjumpa rakan kongsi yang juga kawan baiknya. Padahal dia berjumpa Aaron dan memadu kasih. Ada juga beberapa ketika Jasmine ingin menghentikan hubungan sulit ini tapi Aaron enggan. Dia benar-benar angau.

Selepas Aaron dan Jasmine di tangkap oleh pasangan masing-masing, mereka mengakui telah berhubungan selama 8 bulan. Kecurangan yang akhirnya membawa kepada suatu perasaan yang di namakan cinta.

Semua orang berpotensi menjadi curang.

Thursday, June 07, 2012

For my other half,


Climb high; Climb far,
Your goal the sky; Your aim the star

-  Inscription at Williams College


Luar Biasa


Siang tadi saya menziarah seseorang di hospital. Anak jiran saya yang cuba bunuh diri akibat tekanan putus cinta. Dia seorang pelajar cemerlang. Beroleh 10A dalam SPM. Terbang ke negara jiran mengikuti Kejuruteraan Audio dan kini sudah bekerja. Hatinya terpaut pada seseorang di negara seberang. Negara Kota Singa. 

Entah apa yang menyebabkan mereka putus dan dia mengambil keputusan drastik dengan mengambil ganja. Hari ini dia seorang penagih tegar ganja. Cinta sememangnya membuatkan manusia gila dan hilang waras. Cinta itu sesuatu yang luar biasa. Saya tak begitu mengenalinya. Tiba di wad saya menyapa seperti kenalan lama.

Dan dia bercakap soal cintanya yang tidak kesampaian. Dia meluahkan tentang soal manusia di sekeliling yang cuba menghulur tangan membantu tetapi hakikatnya mereka tidak memahami, tidak merasai sakit yang dia rasai. Patah hati sememangnya sukar untuk di hadapi – perit, pedih dan amat sedih. Hanya orang yang merasainya saja yang faham.

Ramai yang menghulur tangan membantu tapi dia enggan beri peluang untuk dirinya di bantu. Pendek kata dia tak mahu di bantu. Dia merasakan satu dunia tidak faham kesakitan yang sekian lama di pendam. Cinta membuatkan kita gila dan kurang rasional. Kesakitan akibat cinta memang tiada tandingan. Sebab itulah kisah Laila Majnun malar hijau hingga hari ini. Di kenang-kenang bergenerasi lamanya. 

Apa sebenarnya cinta? Tiada siapa ada jawapannya. Malah Leo Tolstoy sendiri pernah berkata bahawa 

“Aku tidak tahu apa yang orang maksud dengan cinta. Jika cinta adalah hal-hal yang sudah kubaca dan kudengar, maka aku belum pernah mengalaminya”

Hidup kita banyak di pandu oleh hati dan bukannya minda. Kita lebih beremosi dari berakal. Kata Lord Chesterfield

 “ Men, as well as women, are much oftener led by their hearts than by their understanding”. 

Berita tentang gadis lari ke Lombok atau lelaki terjun dari bangunan tinggi kerana cinta bukan cerita asing. Cinta mengambil hampir sebahagian dari hidup kita. Patah hati membuat kita ibarat mati. Hati dan minda kita celaru. Otak kita beku. Selesai persoalan hati semuanya akan jadi seperti biasa, seperti tiada apa-apa. 

Nasihat saya pada si lelaki patah hati tadi mudah saja. Jika dia benar-benar sayangkan perempuan itu – rebutlah kembali hatinya. Sungguh-sungguh. Kesungguhan seorang lelaki menakluk hati perempuan mudah membuatkan perempuan lembut hati. Ini semua akan memakan masa yang panjang. Kesabaran dan kesungguhan amat diperlukan. Ia ibarat komitmen yang di ikat di tangkai hati. 

Kejar atau lepaskan dia pergi. Pilihan ada di hati.