Wednesday, December 26, 2012

Love


I have fallen in love many times…always with you…

Tuesday, December 18, 2012

Alpa

Ini cara saya menipu diri. Dengan membuat kerja, saya jadi alpa pada sakit, kononnya. Sebernarnya, lebih kuat terasa sakit di kepala dan seluruh badan - lebih kuat saya bekerja. 

Itu cara saya menipu minda. 

Monday, December 10, 2012

Pengajaran


1.

Seperti hari Ahad yang lain, hari ini saya berkongsi seorang lagi tokoh kebanggaan ramai dengan anak-anak. Tokoh hari ini ialah Che Guvera. Subjek tentang ketokohan ini telah lama saya ajarkan. Bermula dengan latar belakang, persekitaran pendidikan, sumbangan serta jatuh bangun mereka dalam perjuangan.

Pernah sekali, ketika Umar masih kecil dia menegur saya. Katanya, saya hanya kenalkan dia dengan tokoh-tokoh bukan Islam. Bagaimana dengan tokoh-tokoh Islam yang berjuang menentang kezaliman, ketidakadilan pemerintah, hak asasi yang terabai dan sebagainya.

Saya jadi terpukul dan baru sedar bahawa saya berat sebelah dalam menyampaikan ilmu. Saya lupa bahawa orang-orang Islam mempunyai banyak tokoh yang di kagumi ramai seperti Salehuddin al-Ayubi, Muhammad al-Fatih, Saidina Ali dan ramai lagi. Dengan perasaan malu, saya katakan bahawa saya tidak begitu mengenai tokoh-tokoh ini – sekadar mengetahui nama-nama mereka tetapi tidak lancar mengetahui perjalanan perjuangan yang mereka kibarkan.

Saya jadi malu amat. Langsung, dari situ saya kembali membuka buku, mencari maklumat mengenai beberapa tokoh yang telah tercatat sebagai pejuang agung – tidak kiralah dari zaman mana sekalipun. Kemudian, saya susun mengikut rentetan.

Itu pelajaran pertama dari Umar. Teguran yang membuat saya banyak berfikir tentang ketidakpedulian saya terhadap para pejuang Islam dan di mana saya letakan para pejuang ini dalam hati dan sanubari saya.


2.

Saya akan tidurkan Umar setiap malam. Umar mempunyai masalah tidur tidak lama dulu. Saya bacakan kisah-kisah dongeng tetapi dia seakan-akan tidak suka hinggalah saya bacakan kisah-kisah nabi. Sampai sekarang, dia sangat akrab dengan kisah para rasul. Dia masih mengulang baca hinggalah buku tersebut jadi teramat lusuh.

Pada suatu malam, dia bertanya saya satu soalan yang tak mungkin saya lupakan sampai bila-bila. Dalam keadaan yang masih pekat pelatnya, dia cuba menyampaikan makna untuk saya fahami. Serba sedikit, inilah yang dia katakan pada saya.

Umar: Daddy, macam mana olang boleh tidur lena bila dia tahu ada olang lain tak ada makan, tak ada lumah, tak ada luit. Macam mana olang boleh jalan jauh-jauh, ada olang susuh dia tak tolong? Macam mana ada olang makan banyak-banyak tapi dia tak tetian tekat tucing lapar? Tenapa kita cakap kita tetian tapi kita tak tolong? Tenapa kita kena halap olang lain tolong olang shusah? Adik tak boleh tidur lama-lama (lena). Adik tetian tucing tak makan, adik tetian olang mati tak ada makanan masa pelang, adik tetian lamai orang shusah.

Saat itu, mata saya basah. Saya tepukul amat. Bagaimana anak kecil ini amat fikirkan orang lain hinggakan tak boleh tidur.  

Saya membesar sebagai seorang yang prihatin tetapi sifat itu hilang bila saya sibuk dengan kuliah dan tesis. Sifat itu bertambah pudar bila saya tubuhkan perniagaan seawal usia 21 tahun. Saya sibuk dengan mesyuarat sana sini, penyelidikan yang pelbagai, menyelia projek pelajar, merancang pelbagai rancangan untuk meningkatkan jualan dan sebagainya.

Lama-lama sifat kepedulian itu hilang hinggalah Umar mengingatkan saya tentang hal ini. Sebagai seorang ayah, saya rasa malu. Saya tak dapat menjadi ikon dan contoh kepada anak-anak. Saya cuba menyemai mereka dengan nilai murni sedangkan saya sendiri tak cuba lakukan secara praktik.


3.

Atas rasa itu, saya tak pernah menghalang anak-anak dari berniaga walaupun hati saya amat berat izinkan mereka buat kerja-kerja sebegini. Saya rasa mereka terlalu mentah hingga saya sendiri sedar saya tak boleh perkecilkan semangat mereka.

Saya harus jadi pendorong bukan melemahkan. Saya mahu mereka membesar dan jadi insan lebih baik dari saya. Lebih bersikap peduli, prihatin, saling menolong dan mempunyai sifat tanggungjawab yang tinggi.


4.

Jika Umar tidak mampu tidur lena memikirkan tentang orang lain, bagaimana kita orang dewasa mampu tidur lena dan habiskan banyak masa dengan membuat perkara yang tidak memberi faedah kepada nusa dan bangsa?


5.

Daddy bangga punya anak seperti Umar, Huda & Adam. Tentu sekali daddy bangga. 

Sunday, December 09, 2012

[17]


1.

Umar dan Huda sudah balik dari kembara pancuan empat roda meredah laluan sukar. Mereka ke Pahang bersama Don (dan kawan-kawannya). Umar paling teruja! Dia bawa banyak barang. Umar juga sempat menjual sandwich dan Maggie.

Umar bawa  dua beg besar di penuhi katil dan buaian askar, pelita, kasut dua pasang, sandal dua pasang, baju, seluar, topi, masing-masing tiga style yang berbeza.

Macam nak pergi makan angin!


2.

Umar juga bawa kicap, sos (tomato dan cili), gula, susu, garam, kunyit, lada hitam dan macam-macam lagi. Umar letakkan dalam bekas yang kecil. Bila sampai rumah semalam, baru Huda bagitahu yang Umar berniaga sandwich dan Maggie. Patutlah Makcik Siti beritahu Maggie, roti dan tuna ‘hilang’.

Huda: Daddy nak tau tak...adik jual sandwich. RM 1.50 satu.
Daddy: Daddy dah agak dah. Umar tak senonohlah.
Umar: Adik cali luit. Kakak tengki.
Huda: Adik jual air panas tau daddy.
Daddy: Air panas pun jual juga. Kenapa tak sedekah je. 
Huda: Untuk masak Maggie. Kalau tak ada air panas RM 1.50. Ada air panas tambah RM 0.60.
Daddy: Umar jual apa lagi? Isk! Tak baik jual mahal-mahal.
Umar: Adik jual mulah je. Halge berpatutan.
Daddy: Air panas pun Umar caj mahal je.
Umar: Tebab dalam hutan tak ada air panas. Adik jual mahal tikit.
Huda: Abang Jo pinjam pisau pun kena bayar RM 0.20 tau daddy.
Daddy: Pisau pun kena bayar? Umar ni... isk!
Umar: Heee adik cali luit.


3.

Memang dahsyatlah Umar menjual sampai nak pinjam pisau pun kena bayar sewa. Hasil kerja gigih Umar menjual ketika konvoi dapatlah sekitar RM 300. Pagi tadi sudah depositkan pada beberapa badan amal termasuk hasil-hasil jualan sebelum ini di beberapa tempat.

Kemungkinan Isnin akan bawa anak-anak ke Big Bad Wolf. Khabarnya, seawal jam 7 pagi keadaan sudah sesak di tempat letak kereta.


4.

Huda & Umar sedang merancang membuat jualan untuk bantu mangsa taufan di Filipina. Saya tidak pasti sama ada Malaysia sudah melancarkan apa-apa tabung bantuan untuk mereka.

Friday, November 30, 2012

:)


Hari ini hari Jumaat. 

Harap-harap malam nanti hujan lebat.

[16]


1.

Minggu ini setiap malam hujan jadi tak boleh berniaga di Gerbang Malam. Mujurlah hari Rabu hujan turun awal dan berhenti sekitar jam 8 malam. Umar menjual durian, cempedak, nangka, anak kucing dan anak hamster. Huda menjual sayur.

Ada seorang pakcik sedekahkan durian, cempedak & nangka dengan banyaknya. Jadi, Umar ambil kesempatan untuk menjual buah-buahan ini bagi mencari dana (dengan keizinan pakcik tersebut). Jualan majalah, buku dan komik pada Jumaat lepas tidak begitu lumayan.

Minggu ini hanya nangka yang tidak habis.

Umar jual durian tapi yang tolong bungkuskan durian ialah Don. Umar takut tangannya kasar kalau terkena kulit durian.

Huda: Adik selalu mengada.
Umar: Adik jaga imej. Nanti tangan adik kasar.
Huda: Orang tak nampaklah tangan adik yang kecil tu.
Umar: Adik tecik. Mana lalat nak angkat dulian.
Huda: Mengada tau adik ni.


2.

Kira-kira (dua) minggu lepas (?), Adam terjumpa seekor ular sawa di luar rumah. Semua orang cuak cuma Adam yang suka. Adam siap tepuk-tepuk kepala ular sawa. Haih...punyalah risau takut Adam kena belit. Panggil bomba dan bomba dapat tangkap ular tersebut. Adam menangis teruk. Mungkin menangis sebab ‘kawan’ dia dah di tangkap.

Hari ini, ada seekor ular sawa masuk ke rumah lagi. Corak batiknya seperti sama. Adam juga yang jumpa. Adam guling-guling atas ular sawa sampai terlena. Tidur atas badan ular siap peluk lagi. Ular sawa tersebut taklah nampak ganas. Tak juga nampak merbahaya tapi risau juga – dah namanya ular!

Ada orang cakap ular ada dua jenis. Satu ular yang betul dan satu lagi jelmaan jin. Tak tahulah betul atau tidak. Cuma yang pasti tak boleh bunuh ular sebab ular ada badi yang kuat. Bunuh seekor nanti banyak lagi yang datang. Lepas ular sawa yang pertama di tangkap, sudah taburkan belerang keliling rumah. Agaknya sebab hujan, belerang entah ke mana.

Harap-harap ular balik ke tempat asalnya. Umar nak jual ular sawa ini. Umar memang, otak dia kira nak jual semua benda.


3.

Umar: Tenape olang tak nak pergi sulau, daddy?
Daddy: Daddy pun tak pasti. Diorang solat dekat rumah kot.
Umar: Tetian sulau tak ada olang.
Daddy: Takpun ada orang pergi waktu-waktu tertentu je.
Umar: Adik nak buat tajian tenape olang tak nak pergi sulau.
Daddy: Nanti daddy tolong Umar eh.
Huda: (suara dari dapur) Bukan tajianlah. Kajian. Hahaha.
Umar: Teboklah kakak ni. Nanti hangush temua cempedak goleng.
Huda: Hanguslah. Cempedak goreng. R tau adik bukan L.
Umar: Kakak tuke buli adik yang comel ni. Tetian adik kan daddy.
Daddy: Heeeeee entah. Daddy tak campur.
Umar: (merajuk) Kakak tuke buli adik. Daddy pun tama.
Huda&Daddy: Samalah. Bukan T tapi S. Hahaha
Umar: Eeeeeeeeeeeeeeeeeeee!

Atas rasa ingin tahu dan keprihatinan yang tinggi, Umar ingin melakukan kajian (kerja lapangan) berhubungan jemaah yang semakin berkurangan di masjid/surau. Saya tahu dia terlalu muda untuk melakukan kajian seumpama ini. Saya tidak mahu menegah dengan mematikan rasa ingin tahunya yang mendalam. Jadi saya turutkan saja dan membantu setakat yang mampu.

Saya sedang menyediakan borang soal selidik. Kajian ini  hanya kajian tidak formal untuk mengetahui sebab-sebab orang ramai tidak berminat ke surau/ masjid untuk berjemaah atau turut serta dalam aktiviti yang di anjurkan masjid/surau.

Kajian ini di bahagikan kepada tiga kategori:

Kanak-kanak: 7-12 tahun
Remaja: 13 -27 tahun
Dewasa: 28 tahun dan ke atas

Selain menggunakan borang kaji selidik, kaedah temu bual akan di gunakan terutama untuk kategori kanak-kanak. Umar bercadang untuk menjalankan kajian ke atas 50 orang bagi setiap kategori.

Moga-moga Umar mendapat jawapan bagi persoalan yang bermain di fikirannya. 

Sunday, November 25, 2012

[15]


1.

Saya kenal banyak perempuan. Tapi hati saya tak terpikat. Hati saya terpikat pada awak. Entah, saya tak ada jawapan konkrit. Hati saya terus terpikat dengan kedegilan awak. Saya tak pernah simpan rasa benci bila awak tolak cinta saya. Saya tak rasa tercabar. Saya tak perlu rasa tercabar.

Saya cuba alihkan perhatian pada perempuan lain tapi perempuan lain tak macam awak. Pakej yang awak ada biasa-biasa saja tapi kerana yang biasa-biasalah buat saya terpikat. Saya betul-betul jatuh cinta dan sejak itu hati saya bagai gila menahan rasa.


2.

Rasa cinta saya pada awak tak pernah berubah. Saya masih dan akan sayangi awak sampai bila-bila. Awak cinta hati saya. Cinta yang buat saya gila.

Saya harap saya tak mati. Saya harap saya dapat hidup dengan awak sampai kita tua, sampai gigi tinggal dua. Saya harap saya dapat lihat awak yang tua dengan wajah berkedut. Saya tetap akan sayang awak walaupun awak kereput.

Tapi saya sakit. Saya mungkin tak dapat hidup lama. Saya mungkin tak akan bersama bila awak tua. Saya nak hidup dengan awak banyak tahun lagi tapi saya sedar bila-bila saya akan pergi. Pergi tinggalkan awak, sendiri...


3.

Saya akan teruskan rawatan, rawatan yang menyakitkan. Saya nak sihat supaya saya dapat hidup lama dengan awak. Saya nak jaga awak sepanjang usia saya. Saya nak temankan awak tidur, peluk awak bila guruh dan pujuk awak bila awak hilang mood. Saya suka menyanyi untuk awak.

Saya sayang awak. Saya sangat sayang awak.

xoxo


Saturday, November 24, 2012

[14]


Umar: Tenape daddy tuke lumah beshar?
Daddy: Sebab daddy rasa kita ramai.
Umar: Tapi kita tikit  je.
Daddy: Daddy nak bagi Umar lagi 7 adik kecil!
Umar: Selam adik dengar. Tak naklah lamai adik-adik-adik-adik tecik.
Daddy: Barulah best. Umar ada banyak adik! Haa
Umar: Tape nak jaga tume adik-adik-adik tecik?
Daddy: Kakak jaga Umar, Umar jaga Adam, Adam jaga adik kecil, adik kecil jaga adik lagi kecil.
Umar: Adik tak belape dengarlah daddy cakap apa. Adik dengar kakak panggil adik.
Daddy: Alah...Umar memang. 

Rindu yang menggebu...

1.

Alhamdulllah. Palestin selamat dari di bedil berterusan. Kempen boikot nampak berkesan di Ipoh. Banyak McD, Pizza Hut, KFC nampak lenggang. Kalau memikirkan tentang boikot mungkin kita sebenarnya bersifat hipokrit. Kita akan boikot perkara/benda yang kita mampu hidup tanpanya. Secara logiknya, kita tak mampu boikot banyak perkara kerana hampir 85% barangan datangnya dari Israel.

Saya tak menentang boikot tapi saya lebih selesa mencari dana untuk beri bantuan pada Palestin. Mungkin sekali sekala berdemostrasi adalah baik untuk menunjukan solidariti namun itu bukan bentuk tindakan yang terbaik yang mampu kita lakukan. Negara yang berada dalam kancah perang perlukan bantuan kewangan/perubatan/makanan dan sebagainya.

Tidak juga di sangkal bahawa jika kita terus memboikot sedikit sebanyak ekonomi Israel akan turut terjejas tapi bukan dalam jangka masa yang pendek kerana ekonomi mereka cukup ampuh untuk di runtuhkan dalam sekelip mata. Boikot perlu berterusan. Kita juga perlu menghasilkan produk alternatif kepada produk yang kita boikot. 

Saya tak menjalankan kempen boikot McD dan segala jenis francais. Semua itu tidak penting kerana budaya makan makanan pantas tidak pernah saya amalkan, begitu juga dengan anak-anak. Saya mengajar mereka  untuk mengurangkan kebergantungan kepada produk makanan berbentuk francais. Saya tak makanan produk francais kerana banyak isu mengenainya terutama isu halal.

Jadi, saya ambil tindakan untuk tidak menyentuh sesuatu yang saya ragui. Tambahan pula makanan ini tidak begitu baik untuk kesihatan badan.


2.

Jumaat baru-baru ini berniaga di perkarangan masjid selepas solat Jumaat dan bersambung ke malam. Umar berniaga buku, majalah, dan komik. Huda menjual makanan – nasi Arab, ayam percik, dan kek lapis Sarawak. Hasil memberangsangkan. Terubat kekecewaan mereka berniaga tanpa pelanggan beberapa hari lepas.

Untung dari hasil jualan Umar cuma RM 70 dan Huda pula RM 500. Nampak anak-anak penat sangat. Jadi, hari Sabtu & Ahad tak bercadang untuk berniaga di Gerbang Malam di Jalan Mustafa Bakri walaupun pengunjung pastinya ramai kerana malam minggu. Anak-anak perlu berehat. Sepanjang Palestin di serang, Umar kelihatan resah kerana tak dapat beri bantuan. Umar sangat prihatin.

Hari ini dia kembali ceria seperti biasa selepas mendengar berita gencatan senjata. Kadang-kadang saya rasa saya “tersalah” mendidik anak kerana anak-anak saya lebih matang dari kanak-kanak seusia. Anak-anak saya tak berminat membeli mainan seperti kanak-kanak lain. Mereka lebih berminat mendengar berita dari luar negara dan amat prihatin dengan setiap peristiwa yang berlaku. Paling penting mereka merasakan mereka perlu lakukan sesuatu untuk membantu.


3.

Saya bercadang meraikan sikap keprihatinan mereka dengan membeli buku di Pekan Sari Buku & Festival Buku Kanak-Kanak yang akan berlangsung pada 1-2 Disember 2012 di Perpustakaan Negara Malaysia. Sebelum ini saya membawa mereka ke Festival Kesusasteraan Kanak-Kanak di UM. Mereka tidak melibatkan diri dengan aktiviti yang di anjurkan sebaliknya tekun memilih buku.

Rugi juga tidak ke Temasik baru-baru ini kerana ada program buku untuk kanak-kanak. Di Indonesia pula ada pesta buku. Kedua-duanya tidak dapat saya hadiri kerana masalah kesihatan. Pesta Buku Indonesia agak meriah menurut seorang kawan yang berkesempatan ke sana. Kalau tak silap saya penerbit Malaysia seperti PTS dan ITBM turut membuat jualan di pesta tersebut.

Tidak ramai penulis buku kanak-kanak di Malaysia. Seperti kata Yusof Gajah "Bayi dilahirkan pada setiap hari, tetapi buku kanak-kanak tidak dihasilkan sepantas itu."


4.

Kerjaya awak benar-benar merampas seluruh hidup awak. Nampaknya saya perlu jadi si pemberita. Kalau tidak, awak akan tertinggal dalam banyak perkara.

Rindu yang menggebu...

xoxo

Wednesday, November 21, 2012

Palestin


1.

Ahad lepas ke Taman Rekreasi Gunung Lang. Umar nak tengok seladang. Huda nak melukis. Adam nak bermain. Taman Rekreasi Gunung Lang mempunyai sebuah tasik kecil. Tasik semula jadi. Kawasannya tidaklah begitu besar. Biasanya ramai ke sini untuk mengabadikan gambar perkahwinan atat untuk menikmati keindahan tasik.

Selalunya ramai orang datang ke sini untuk berkelah dan berehat atau seperti kata Umar – mencaril ilham. Seladang di biarkan berkeliaran dan haiwan ini tidak menganggu pelancong. Seladang seekor haiwan yang pemalu. Ada pondok kecil di sediakan untuk keluarga yang mahu berkelah. Terdapat juga sebuah padang yang luas. Setiap hujung minggu, terdapat burung unta di sini.

Untuk berkelah di kawasan pondok, bayaran tidak di kenakan. Untuk menikmati kawasan tasik, perlu bayar. Bot juga di sediakan.


2.

Kawasan Gunung Lang tidak begitu panas. Nyaman dan selesa untuk duduk-duduk lama. Kawasan Meru amat panas. Terdapat beberapa perumahan mewah di sini  antaranya Desa Lang Damai. Kira-kira 20 buah rumah terdapat di sini. Terdapat juga Lang Valley di kawasan Gunung Lang.

Pekan Ipoh masih sibuk seperti biasa (hanya di kawasan tertentu). Banyak kawasan yang kedai-kedainya sudah di tutup sama ada untuk di jual atau di sewa. Sebenarnya, terlalu banyak kedai yang di tutup di beberapa kawasan. Kawasan ini menjadi begitu sunyi. Terasa sedih melihat kedai-kedai ini tutup.

Kawasan yang giat di majukan sekarang ialah Jelapang.


3.

Orang seperti saya tidak suka kawasan Meru di majukan. Kawasan ini menjadi semakin panas kerana semua pokok dan gunung telah di jarah. Banyak bangunan baru di bina entah untuk siapa. Bermula dengan Pasar Raya Mydin, Jabatan Audit dan Terminal Aman Jaya – kawasan ini tiba-tiba akan menjadi kawasan penting di Ipoh kerana pusat pentadbiran sedikit sebanyak akan berpindah ke sini.

Saya rasa Terminal Bas Aman Jaya tak sesuai di tempatkan di Jelapang kerana terlalu jauh dari pusat bandar. Untuk pelajar sekolah misalnya, keadaan ini agak menyusahkan kerana Jelapang terletak di penghujung Ipoh. Agak sukar untuk pelajar di kawasan Tambun atau Bercham mendapatkan bas untuk ke rumah mereka.

Kenapa tidak di baiki yang sedia ada? Bukan stesen bas yang di perlukan oleh penduduk Ipoh tetapi bas. Bas di Ipoh terlalu uzur. Kalau sesiapa ada menonton Goodbye Boy, itulah wajah perkhidmatan bas di Ipoh.


4.

Hari ini masuk hari kedua Umar dan Huda berniaga komik, buku dan majalah untuk kumpul dana dan dermakan pada Palestin. Hampir sehari suntuk mereka berniaga belum ada seorang pun yang membeli. Bila balik rumah, Umar menangis kerana tak dapat jual walau satu barang pun.

Saya tak bersama-sama dengan mereka berniaga kerana keadaan tidak begitu mengizinkan. Rasanya, saya perlu jumpa peniaga Gerbang Malam di Ipoh untuk mohon bantuan menyewa tapak buat sementara waktu.

Harap-harap Don ada kawan yang berniaga di situ. Gerbang Malam merupakan tempat yang paling popular di Ipoh untuk mencari apa saja barangan yang di jual dengan harga yang murah. Setiap malam pasti ramai orang ke sana sama ada untuk menjamu selera, membeli-belah atau melepak.

Agaknya Huda perlu buat kek/muffin untuk lariskan jualan. Jualan berbentuk makanan lebih mudah (jika ingin berniaga di Malaysia).


5.

Umar membebel kerana belum ada sebuah masjid pun di Ipoh yang lakukan solat hajat untuk Palestin. Masyarakat kita masih banyak yang bersikap kurang peduli/prihatin. Kempen boikot juga kedengaran kembali. Entah untuk berapa lama mampu bertahan. Jika asuh diri dan keluarga untuk tidak makan makanan McD tentu lebih baik. Saya dan anak-anak tidak begitu gemar makan di kedai makanan berbentu francais.

Oleh sebab Umar membebel, saya mintalah pada imam rangkakan satu program untuk beri bantuan pada Palestin. Menurut kata imam, lusa solat hajat akan di lakukan dan sedikit jualan amal akan di jalankan selepas bacaan Yaasin. Umar akan turut berniaga. Dengarnya juga kawan-kawan Don akan berniaga t-shirt bebaskan Palestin (mesti Umar yang ajak).

Lusa juga nampaknya perlulah memasak untuk menjual. Mungkin nasi ayam. Tapi Huda kata nak jual nasi Arab.

Anak-anak amat sibuk minggu ini. Begitu juga Mama mereka.


6.

I miss you, love.

xoxo

Friday, November 16, 2012

Si Pemakan Buku


Tak ada banyak perkara yang berlaku kecuali sibuk melayan anak-anak terutama Adam yang semakin membesar dan bertambah nakal. Adam di beri gelaran Si Pemakan Buku. Entah kenapa, Adam mempunyai tabiat/kelakuan baru iaitu memakan buku.

Buku yang menjadi mangsa kali ini ialah Kucing The Cat yang di beli di Conteng2. Umar memang suka  karya Fadhli Hamdan.

Daddy: Kenapa Umar nangis ni?
Umar: Adam makan buku adik. Habis Tucing The Cat adik.
Daddy: Daddy beli lain eh? Lain kali jangan bagi Adam pegang buku Umar dah.
Umar: Kalau adik tak bagi nanti Adam nangis. Kalau adik bagi nanti adik yang nangis.

Bukan buku Umar saja menjadi mangsa. Majalah Wanita Mak Cik Siti, Majalah Newsweek Don pun pernah jadi mangsa. Kertas kerja pun dia makan! Tapi....Adam tak makan buku dia sendiri. Dia makan buku orang lain.

Menurut Dorothy Butler dalam buku Babies Need Books (1980), apabila kanak-kanak mengoyakkan buku atau memasukkan cebisan-cebisan kertas daripada buku ke dalam mulut, sebenarnya kanak-kanak tersebut sedang berinteraksi dengan penemuan-penemuan baru.

Adam juga suka tidur di atas buku atau di tempat-tempat yang di penuhi buku. Kadang-kadang dia tidur berhampiran rak buku. Kalau saya cuba alihkan buku-buku tersebut, dia akan terjaga.

Saya tak akan jauhkan buku dari Adam semata-mata kerana dia makan buku. Pada saya, itu perkembangan yang sihat walaupun dari aspek ekonominya saya perlu keluarkan lebih belanja untuk mengganti beberapa buku yang telah rosak akibat di makan Adam. 

Thursday, November 08, 2012

Kalau Tuhan masih ada secebis rasa belas...


1.

Sejak sakit ada banyak perkara yang berubah.  Dari fizikal hingga minda. Doktor tak benarkan makan makanan pejal walaupun dalam cebisan yang agak kecil sebab usus tak boleh hadam makanan. Dalam perkataan ringkas, usus gagal berfungsi. Doktor suruh makan bubur atau makan makanan yang mudah hadam. Sejak dulu lagi doktor tak begitu galakkan makan makanan pejal. Akhirnya, kena mengalah.

Kelmarin beli supplement dalam bentuk cecair. Satu kotak berharga RM 361.90 dan mengandungi 14 paket kecil di dalamnya. Satu hari minum sekurang-kurangnya dua kali. Ada tiga perisa. Semua perisa yang saya tak suka – coklat, strawberry, dan susu. Tak ada pilihan. Kalau tak minum tak ada tenaga. Tak boleh nak makan banyak sebab makin kerap muntah. Sekali makan dalam empat suap – lebih 7 kali muntah. Badan jadi letih.


2.

Semalam tak makan juga bubur. Cuba makan nasi tapi nasi lembiklah. Tapi sekurang-kurangnya bentuknya tak macam bubur. Makan nasi dengan kari ayam dan ikan masin. Ikan masin betul-betul buka selesa. Makan dua pinggan (kecil). Lepas dua jam muntah tak henti-henti kemudian pengsan. Makin kerap pengsan sekurang-kurangnya 4 kali sehari, kadang-kadang lebih.

Sakit kepala tak ada perubahan. Kalau dulu selalunya sakit kepala datang waktu tengah malam. Sekarang tak lagi. Hampir 24/7 sakit kepala. Tak boleh nak layan sangat. Tak nak mengadu dengan sesiapa. Sekarang, kena jadi lagi kuat. Kalau sakit kepala waktu siang kena tahan (sungguh-sungguh) supaya anak-anak tak nampak. Bila sakit kepala, mata jadi pedih. Tak dapat buat apa-apa.


3.

Kanser otak boleh menyebabkan strok tetapi simptomnya berbeza dengan strok biasa. Kebiasaannya, pesakit kanser akan mengalami hemorrhagic stroke. Hemorrhagic stroke berlaku akibat pendarahan.

Antara simptom-simptomnya adalah seperti sukar membaca, menulis, bercakap dan memahami pertuturan orang lain. Sakit kepala apabila berbaring secara mendatar, berubah posisi ketika berbaring atau bangun dari tidur. Sakit kepala menjadi bertambah teruk apabila batuk dan sakit kepala ini terjadi secara tiba-tiba.

Hilang keseimbangan, pergerakan semakin sukar pada anggota badan tertentu dan kebiasaanya sebelah badan (one side body) tidak mampu bergerak/pergerakan terbatas, anggota badan menjadi lemah,  selalu muntah, hilang kebanyakan deria, hilang hampir/separuh kemampuan untuk melihat sama ada mengalami  kekaburan, titik buta dan lain-lain.

Hampir keseluruhan simptom itu saya ada.


4.

Pagi tadi di masukkan ke wad. Tak dapat pergi forum anjuran Akademi Pak Sako tentang “Kebebasan Beragama atau Murtad”.

Kalau Tuhan masih ada secebis rasa belas...harap-harap sebelah mata saya masih dapat terus melihat dalam kekaburan supaya saya masih boleh terus membaca, sebelah tangan masih boleh di gerak-gerak jarinya supaya saya dapat terus menulis dan telinga saya masih mampu mendengar supaya saya masih dapat hadiri forum dan wacana ilmu. Itu saja. Kalau tak dapat makan makanan yang sedap pun tak apa asalkan jiwa saya masih bernyawa dengan ilmu dan wacana -supaya saya dapat terus mengajar anak-anak tentang alam pembelajaran dan kehidupan.


5.

Selamat malam sayang.

xoxo

Monday, November 05, 2012

Adam

Cuba bangun
Jatuh
Cuba bangun
Terhantuk
Menangis

Cuba bangun
Jatuh
Cuba bangun
Jatuh

.
..
...
....
......

He is Adam. Greatest of all time.

Adam cuba berdiri untuk belajar berjalan. Jatuh dan menangis, tetap terus mencuba.

#Umar tukang gelak adik. Seronok tengok adik dia jatuh bila cuba berdiri.

Sunday, November 04, 2012

[13]


1.

Mujurlah tak jadi singgah di Hawaii. Walaupun amaran tsunami di tarik balik tapi keadaan masih perlu berjaga-jaga. Mujur juga tidak duduk lama di New York. Kalau tidak pasti tersangkut dalam bah akibat Taufan Sandy.

Umar: Kalau kita dekat New York mesti tetian tekat Adam kan Daddy?
Daddy: Kenapa pula?
Umar: Adam mesti tak boleh jalan. Air banjir tinggi.
Daddy: Macamlah Umar boleh berjalan. Umar bukan tinggi sangat.
Umar: Daddy tuke tate adik. (merajuk)


2.

Mujur juga awak kemalangan tak teruk sangat. Kerja dari jam 6 petang sampai 8 pagi memang memenatkan. Jadi, mulai esok, saya akan call untuk temankan awak masa awak drive supaya tak tertidur lagi.

Umar: Adik lase (rasa) Mama kena guna tereta Felalilah Daddy.
Daddy: Mama mana reti nak bawa kereta laju tu.
Umar: Kalau Mama guna Felali tak payah belenti lampu isyalat.
Daddy: Eh? Nanti excident juga sebab tak berhenti masa lampu isyarat.
Umar: Tak sempat excident. Teleta Felali laju.


3.

Umar nak buka kedai buku dekat kawasan Meru. Umar cadang nak buka Book Cafe. Di kawasan Meru tak ada kedai buku.

Umar: Adik rasa adik nak buka tedai jual buku.
Daddy: Haaa! Bagus tu. Tapi siapa nak jaga?
Umar: Adik jadi bos, kakak buat makanan, Adam jadi penyambut tetamu.
Daddy: Macam mana Adam nak sambut tetamu? Adam cakap pun tak pandai lagi.
Umar: Kita letak Adam dekat luar tedai. Olang tuke budak tecik-tecik macam Adam. Nanti olang nampak Adam mesti olang datang tekat. Adik suluhlah olang beli buku kita.
Daddy: Umar gunakan Adam eh? Tak baik tau. Sian Adam.
Umar: Adik sayang Adam. Adik kenalah gunakan Adam.
Daddy: Pandailah tu. 

Monday, October 29, 2012

Buenos Aires


 1.

Ibu negara Argentina ialah Buenos Aires. Sebenarnya bukan dua perkara sahaja yang menarik di Argentina. Perkara lain yang terkenal di negara ini ialah Pergunungan Agnes yang mahsyur dengan peristiwa pesawat terhempas dan terpaksa survive dengan menjadi karnibal. Selain itu, muzik tango amat terkenal di sini dan pastinya lagenda bola sepak terkemuka – Diego Maradona.

Argentina pernah di jajah oleh Sepanyol jadi bahasa rasminya ialah bahasa Sepanyol. Agama rasminya pula ialah Roman Katolik. Buenos Aires merupakan antara ibu kota terbesar di dunia. Kawasan ini terletak di muara Rio de la Plata yang kira-kira 240km dari Atlantik.

Di sini, terdapat sebuah tempat yang menyamai perencanaan jalan raya dan seni bina Paris yang menjadi tempat bagi kebanyakan kedutaan asing. Di Avenida Sante Fe, dengan  toko-tokonya yang banyak dan gallerias iaitu jalan beratap akan mengingatkan kita kepada salah satu kota di Itali. Umar suka ke Di La Boca kerana kebanyakan bangunan di cat dengan warna pelangi dan berhampiran pelabuhan. Banyak seniman tinggal di sini.


2.

Karya yang paling awal di hasilkan adalah La Argentina yang di karang oleh Ruy Diaz de Guzman. Selama penentangan untuk mendapatkan kemerdekaan, banyak syair telah di hasilkan untuk mewujudkan semangat patriotik melawan bangsa Sepanyol dan Inggeris. Di antara yang terkenal adalah Marcha patriotic dan El triunfo Argentino oleh Vicente Lopez y Planes.

Dua penulis terkemuka Argentina yang juga pernah menjawat jawatan Presiden ialah Domingo Faustino Sarmiento dan Bartolome Mitre. Mereka antara penulis yang di segani ramai. Mitre juga menerbitkan salah satu akhbar yang penting ketika itu yakni La Nacion.

Karya klasik bangsa Argentina di tulis oleh Jose Hernandez yang berjudul Martin Fierro. Karya ini menggunakan gaya bersajak yang terbahagi kepada dua bahagian; yang pertama di sebut La Partida (Keberangkatan) dan yang kedua La Vuelta de Martin Fierro (Kembalinya Martin Fierro).

Hasil sastera yang terhebat dari Argentina datangnya dari Jorge Luis Borges. Di antara karya Borges adalah Fervor de Buenos Aires yang merupakan antologi puisi, Ficciones, dan El librode los seres imaginarios (karya tentang makhluk khayalan).

Terdapat sebuah perpustakaan di Buenos Aires iaitu Biblioteca Nacional yang merupakan antara perpustakaan terbesar di Argentina dan antara yang terpenting di Amerika.


3.

Argentina juga mempunyai seniman/pelukis yang hebat antaranya Antonio Berni. Beliau melukis dalam corak eskpresionis dan telah mempengaruhi ramai pelukis muda di Argentina. Selain itu, Horacio Butler yang juga pernah menuntut di Paris sama seperti Berni merupakan pelukis yang hasil karyanya termasuk dalam koleksi tetap di kebanykan muzium seni dunia. Seorang pelukis yang tidak kurang hebatnya kerana banyak menggunakan teknik impresionis ialah Miguel Diomede.


4.
Malam tadi sempat menonton tango.

Saturday, October 27, 2012

Can I have a hug?


1.

Semalam sebelum pergi airport abang jatuh bilik air. Tangan tak kuat nak paut. Badan terhentak dekat mangkuk tandas. Abang tak boleh bangun. Abang cuba tapi tak boleh. Huda turun ke lobi minta tolong. Umar nampak risau sangat tapi dia tak menangis. Dia pegang tangan abang kuat-kuat.

Abang rasa sakit sangat tapi abang tak boleh menangis depan Umar. Nanti Umar risau. Lepas kemas, bertolak ke airport badan masih rasa sakit. Abang tahan diam-diam. Mujur Adam tak merengek. Huda uruskan semua dari timbang berat bagasi sampailah ambil boarding pass. Umar check semua beg. Dia tak banyak cakap.

Bila masuk dalam pesawat, badan makin rasa sakit. Abang sapu minyak. Tapi tak okey sangat. Abang nak tidur tapi tak boleh. Sakit mendenyut-denyut. Bila sampai Argentina ambil teksi ke motel. Anak-anak penat dan terus tidur.

Baru abang boleh menangis. Badan bengkak.


2.

Sepanjang malam abang tak boleh tidur. Abang tak dapat bergerak pun. Abang rasa dahaga tapi tak sampai hati nak kejutkan Huda. Abang tak boleh makan. Salur tiub ada masalah. Macam tersekat. Abang cuba minum macam orang normal. Tapi air tak masuk dalam tekak – bertakung dalam mulut. Abang tak ada kekuatan pun nak telan air.

Abang tak nak rasa sakit jadi abang cuba-cuba menaip. Huda letakkan laptop sebelah abang. Macam biasa, abang tak boleh taip laju. Guna satu tangan dan hanya satu jari untuk taip keseluruhan. Abang rasa makin sedih.

Pukul 3/4 pagi badan kram. Abang muntah darah, batuk, sesak nafas, gusi berdarah. Abang tak nak kejutkan Huda. Abang tak nak anak-anak susah hati.

Kemudian Adam bangun. Macam biasa nak susu. Susu sudah tersedia dalam botol. Adam teman abang sampai pagi.

Dia buat muka comel. Abang lupa sekejab yang abang sedang tahan sakit.


3.

Bila pagi, abang nak mandi. Umar panggilkan orang dekat lobi minta tolong angkat abang. Umar takut abang jatuh bilik air lagi. Abang bagilah sikit tips pada dua lelaki yang tolong abang. Mereka nampak gembira.

Abang lapar. Tiub masih belum okey. Mungkin tiub kena tukar. Tiub pernafasan okey cuma tiub makanan saja yang bermasalah. Esok abang kena cari tempat untuk dialisis. Abang rasa nak balik awal. Badan tak larat. 

Abang demam semula.

Masa dalam kapal terbang tiba-tiba abang rasa macam ada sesuatu kena mata. Sampai sekarang pedih. Mata kabur. Kena tengok betul-betul baru nampak. Itupun masih blur. Kepala pun sakit. 


4.

Doktor hantar e-mel minta abang balik cepat. Dia suruh buat kemoterapi. Sebenarnya dia suruh buat pembedahan tapi abang tak berani. Risiko tinggi.

Sayang, doktor cakap abang mungkin akan kena strok. Simptom-simptom semakin jelas.

Keadaan tak menjadi semakin baik. Keadaan tak menjadi seperti yang kita harap-harapkan. Harapan semakin tipis...

Can I have a hug?

xoxo

Sentiasa dalam ingatan


1.

Saya sampai di bumi Argentina. Penerbangan hampir 11 jam dari John F. Kennedy International (JFK) New York ke Aeroparque Jorge Newbery (AEP). Tidak ada yang istimewa di bumi Argentina kecuali dua perkara. Pertama tentang Jorge Luis Borges dan kedua tentang hak LGBT di iktiraf. Argentina mengiktiraf perkahwinan sejenis.

Borges seorang sasterawan yang di kagumi ramai. Saya tidak terkecuali. Karya-karya fiksyen yang menyegarkan.

Sampai sekitar jam 12 malam. Daftar masuk ke motel dan tidur.


2.

Kali ini tak terkejar-kejar. Sepatutnya saya ambil pesawat dari Sydney ke New York atau lebih mudah dari Kuala Lumpur transit di Narita kemudian ke New York. Setelah ke Sydney, saya ke Melbourne. Dari Melbourne terbang ke Los Angeles (transit) kemudian ke New York. Tiada penerbangan terus ke New York dari Melbourne. Masa penerbangan lebih kurang 24 jam dan kadang-kadang lebih bergantung kepada cuaca. Amat meletihkan.

Masa transit di LA untuk ke NY hanya 1 jam 30 minit. Kelam kabut untuk pelbagai proses sebelum perlepasan. Nyaris tak terlepas pesawat.

Pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy   (JFK). Antara lapangan terbang tersibuk. Lapangan terbang LaGuardia biasanya di gunakan untuk penerbangan domestik.


3.

New York sesuai untuk manusia berjiwa urban. Kota ini tidak begitu sesuai untuk saya. Kota yang amat sibuk – lebih sibuk dari Sydney. Banyak bangunan daripada manusia. Bulan October antara bulan terbaik untuk melawat New York kerana cuacanya yang nyaman. Selepas Thanksgiving, musim sejuk akan bermula hingga Febuari/Mac.

Ada tiga/empat tempat yang wajib di lawati bila ke New York iaitu Empire State Building, Statue of Liberty, Ellis Island Immigration Museum dan New York Skyride.

Tentunya ke kedai buku yang membuatkan saya dan anak-anak lebih teruja. Kami singgah di beberapa buah kedai buku antaranya Strand Books, Books of Wonder, Mysterious Bookshop dan Stmarks Bookshop. St.Mark's Bookshop di tubuhkan pada tahun 1977 antara kedai tertua di New York. 

Sempat juga memborong di sini terutama apabila ke Mysterious Bookshop. Jumpa banyak buku-buku buruan (baca jarang jumpa/rare) di Books of Wonder tapi harganya agak mahal untuk di miliki. 

Beli juga senaskah novel erotik-porno karya D.H Lawrence berjudul Lady Chatterley’s Lover yang di terbitkan pada tahun 1928. Saya beli edisi tanpa pindaan terbitan 1959.


4.

Setiap masa, di mana saja – awak dalam ingatan saya.

xoxo

Friday, October 26, 2012

Kesempurnaan


1.

Pet Pet sah bercerai dengan isteri dia. Abang tak tahu nak beri respon. Abang tak pernah salahkan isteri Pet Pet. Mungkin setakat itu sahaja dia boleh bersabar atau mungkin dia tak dapat lagi  bersabar. Pet Pet sangat cerewet. Cerewet yang bukan-bukan.

Kalau sidai tuala salah tempat dia bising, lipat baju salah cara pun dia bising. Itu belum lagi ambil barang dan salah letak mengikut posisi asal. Bayangkan, kalau posisi minyak wangi condong 90 darjah (pada kedudukan asal) bila ambil dan mahu letakkan semula juga pada posisi 90 darjah tepat.

Pet Pet terlalu mencari kesempurnaan. Tak mungkin dia akan berjumpa dengan perempuan yang sama perangai (dalam menyusun barang, susun atur perabot dll) yang sama citarasa dengan dia. Kalau ada pun mungkin satu dalam sejuta. Itu pun – mungkin.

Pet Pet ajak pergi rumah dia tapi abang macam tak nak pergi. Bukan sebab abang tak suka dia tapi abang tak nak nanti anak-anak rasa macam “melawat penjara”. Memang tak ada adik-beradik lain yang nak pergi/tinggal di rumah dia.

Rumah sangat bersih & kemas cuma hilang seri. Dan Pet Pet lakukan kesilapan yang besar bila ceraikan isteri dia.


2.

Takeshi merajuk dengan Kak Ain. Semua pun salah Kak Ain. Kak Ain tak hargai Takeshi betul-betul. Macam-macam Takeshi buat untuk Kak Ain tapi Kak Ain layan Takeshi lebih kurang. Takeshi khabarnya ambil cuti ke Kyoto.

Kak Ain tak bolehlah anggap Takeshi macam bekas suami dia yang dulu. Takeshi jauh lebih baik walaupun dia kurang romantik dan nampak kurang peduli. Sekurang-kurangnya dia jaga Kak Ain dengan baik. Paling penting dia tak pukul Kak Ain dan dera seksual macam bekas suami Kak Ain yang dulu.

Kadang-kadang kita kena belajar menerima sesuatu seadanya. Kita tak boleh mengharapkan kesempurnaan dalam semua aspek sebab kesempurnaan tak pernah wujud dalam sesebuah hubungan.

Kalaupun Kak Ain tak bersedia nak timbang anak, dia kena terima juga sebab kandungan dia dah melebihi 4 bulan. Kak Ain perlu jadi lebih sensitif dan prihatin dengan Takeshi. Takeshi lelaki yang baik. Perempuan tak memerlukan lelaki yang romantik – mereka perlukan lelaki yang boleh memimpin dan bertanggung jawab serta prihatin dengan kehendak mereka.


3.

Ary dan isteri sudah tinggal sebilik walaupun berlainan rumah. Tapi sekurang-kurangnya isteri Ary boleh bebas lepas dalam rumah Ary dan Ary tak lagi rasa ada “alien” dalam rumah dia. Mungkin Ary boleh terima dia sudah berkahwin dan mempunyai isteri. Harap-harap Ary boleh sesuaikan diri dan menerima bahawa dia sudah ada isteri. Ary sudah kahwin hampir setahun tapi masih belum mampu sesuaikan diri.

Ary tak cakap apa-apa tentang anak. Dia perlukan masa untuk sesuaikan diri untuk jadi seorang ayah agaknya. Kalau Ary masih tunggu dan cuba sesuaikan diri, sampai bila-bila keadaan tidak akan berubah.  Ary perlu lebih cepat adaptasikan kehidupan baru dia walaupun usia rumah tangganya sudah mencapai usia setahun.

Ary semakin kurus. 


4.

Alex cakap Ocio masih di Syria dan tak ada tanda-tanda nak mengikat hati dengan Zara. Tak tahulah apa masalahnya. Dari air muka Zara semua orang tahu Zara sayangkan Ocio. Ocio memang tak akan cakap tentang hati dan perasaan.

Harap-harap Ocio tidak di belenggu kenangan. Ocio patut ingat dan ambil pengajaran tentang peristiwa lepas. Ocio sepatutnya lebih peka dan terbuka. Semoga Ocio tak menyesal di kemudian hari.

Kalau Ocio dapat terima Zara tentu baik.


5.

Semua yang terjadi ada hikmah.

Thursday, October 25, 2012

Awak, perempuan hebat yang saya cintai sepenuh hati


1.

Saya tak pernah menyukai seorang wanita bekerja sebagai doktor. Saya tak pernah menyenanginya. Mungkin kerana Ummi terlalu sibuk dengan kerjayanya hingga tak banyak masa di luangkan untuk saya. Saya faham Ummi punya tugas yang berat untuk di pikul.

Saya memang berazam untuk menghindari wanita yang bekerja sebagai doktor. Tapi, sejauh mana saya cuba menghindari akhirnya belahan hati saya seorang doktor. Kalaulah saya mengenali  awak lebih awal lagi, saya mungkin akan pengaruhi awak untuk ambil bidang lain.

Tapi saya tak akan buat begitu sebenarnya. Saya tak akan pengaruhi awak kerana saya percaya awak punya hak untuk memilih impian yang awak inginkan. Saya akan berikan awak peluang untuk membuat pilihan. Tidak sesekali saya akan cuba aturkan hidup awak.


2.

Saya percaya setiap wanita berhak menentukan arah hidupnya. Saya percaya lelaki tidak harus menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang wanita dari meneruskan impian mereka. Saya percaya lelaki dan wanita harus di berikan hak yang sama rata untuk menyinarkan diri.

Saya percaya ini aturan Tuhan untuk buat saya lebih memahami. Bila awak sudah bergelar doktor, baru saya sedar bahawa tugas ini tidaklah mudah malah menuntut komitmen yang tinggi. Saya rasa bersalah terhadap Ummi.

Saya tahu Ummi sayangkan saya. Cuma Ummi tidak banyak meluangkan masa untuk melayan kerenah saya. Saya jadi walang dan kecil hati tika itu. Saya katakan pada Ummi bahawa Ummi lebih pentingkan hospital dari rumah sendiri. Saya terlalu cabul saat itu. Saya tak memahami...


3.

Saya banyak memberontak dalam senyap. Ketika itu, saya tak fikirkan yang Ummi penat selepas seharian berada di hospital tambah-tambah bila on call. Saya tak fikirkan bahawa Ummi perlukan rehat yang cukup untuk mengembalikan tenaga. Saya tak pernah fikirkan bahawa Ummi punya tanggungjawab yang besar.

Hari ini, dengan takdir Tuhan saya dapat merasa semua ini. Barulah saya tahu kenapa Daddy tak pernah merungut bila Ummi keluar untuk bekerja. Waktu itu tidak banyak doktor pakar jadi kepakaran Ummi amat diperlukan.

Waktu itu juga saya katakan bahawa Daddy tak memahami hati saya yang inginkan seorang ibu di rumah. Saya begitu daif ketika itu. Ummi tidak pernah cuba memahamkan saya dengan kerjayanya kerana katanya suatu hari nanti saya akan faham.

Hari ini Im mengerti, Ummi. Maafkan Im...


4.

Ini di namakan perencanaan Tuhan. Seorang wanita bekerjaya doktor amat saya hindarkan walhal dalam perencanaan Tuhan dialah untuk saya. Saya kurang menyukai wanita bekerja sebagai doktor walhal wanita itu sebaik-baiknya untuk saya.

Tuhan membuat saya faham dengan mentakdirkan awak hadir dalam hidup saya.

Terima kasih kerana masih menjadi nafas untuk lelaki berkerusi roda ini yang hidup dengan satu mata dan menggunakan hanya sebelah tangan bagi meneruskan sisa kehidupan.

Awak, perempuan hebat yang saya cintai sepenuh hati. 

Sunday, October 21, 2012

Manusia mesti berjuang


1.

Setiap manusia di lahirkan dengan pelbagai impian. Impian kita selalunya tinggi. Dalam hidup, setiap tahun kita menulis impian di awan. Kita mengira seberapa banyak impian yang berjaya kita kecapi. Kita membilang impian yang gagal kita pegang.

Sesetengah manusia melalui laluan untuk mengapai impian dengan mudah. Terdapat manusia melaluinya dengan penuh kesulitan. Hidup manusia memang tidak mudah. Manusia tidak boleh rebah dan mudah mengaku kalah. Manusia mesti berjuang.


2.

Saya tumpang gembira (dan bersyukur) bila lihat awak dapat genggam apa yang awak impikan. Saya tahu laluannya sukar tetapi kemudiannya dipermudah. Saya tahu awak akan menikmati hasil yang manis setelah melalui masa-masa sukar.

Saya teruja bila lihat awak konvo. Mungkin rasa teruja kita tak sama. Saya teringat masa-masa getir ketika saya bergelut menyiapkan tesis. Susah dan getirnya hanya di fahami oleh manusia yang melaluinya. Memang perit dan terasa amat payah pada mulanya. Tidak ada perkara bermula dengan kesenangan dan keselesaan.


3.

Awak habis belajar dan tidak lama kemudian di panggil bekerja. Don habis belajar 3 tahun lepas dari universiti prestij tapi masih menganggur. Dalam erti kata sebenar, dia mempunyai kerja tapi bukan kerja yang setaraf dengan tahap pendidikannya. Tidak pula saya katakan tujuan universiti di tubuhkan untuk memberi persediaan pekerjaan buat siswa. Itu satu topik yang lain.

Saya melihat banyak graduan yang menganggur. Sampai sekarang masih bergelut mencari kerja. Mereka tertekan kerana hutang PTPTN perlu di bayar. Tekanan paling hebat adalah memikul harapan orang tua yang ingin melihat anak mereka berjaya dalam hidup (dengan mendapat pekerjaan yang terbaik) setelah tamat pengajian.

Awak wajib bersyukur kerana di berikan rezeki secepat ini. Ada antara kita masih tercari-cari pekerjaan. Masih berharap akan memegang jawatan tetap. Bersyukurlah awak dipercepatkan rezeki.


4.

Awak perlu tahu saya bangga dengan awak. Saya nak cakap masa telefon tadi tapi entah kenapa seperti biasa saya gagal. Selamat memasuki alam pekerjaan penuh cabaran yang menuntut kesabaran yang tinggi. Selamat mengutip pengalaman dan menghargai kehidupan.

Saya tahu selepas ini masa kita akan jadi lebih terbatas. Berikan saya masa dan saya cuba sesuaikan diri. Saya tahu awak sedih tapi kita tak punya pilihan. Kerjaya ini pilihan awak. Semoga awak berbahagia bila bergelut dengannya nanti.

Seronok bukan bila impian jadi kenyataan?


xoxo

Thursday, October 18, 2012

Rindu awak yang sentiasa hangat



1.

Mula-mula abang cadang nak terus ke New York tapi tak jadi bila Mr. Smith cakap nak jumpa abang dekat Sydney. Dia ajak tengok hartanah dekat sana. Abang terus tempah tiket ke Sydney. Penerbangan lewat sejam. Jam 1 tengah hari baru berlepas.

Umar & Huda macam biasa – tak banyak buat hal. Adam banyak kali merengek. Dia nak berjalan. Bagi dia permainan pun dia tak layan. Bila bagi dia tengok awan bukan main suka. Dia paut bahu abang. Cuba berdiri. Pandai. Berdiri lama pula tu.

Sebab penat berdiri, dia cepat tidur.


2.

Tujuh jam penerbangan. Bila sampai hari dah gelap. Apit ambil dari lapangan terbang. Beli kebab untuk anak-anak. Kakak nak nasi tapi mana nak cari nasi. Banyak kedai dah tutup. Umar boleh nak pantun lagi masa tu.

Dua darab empat lapan,
Kakak tak nak adik makan.

Kakak makan juga kebab. Umar nakal betul. Lepas salin pampers Adam, bagi dia susu, lap-lap sikit badan dia - dia pun tidur lena. Umar tak tidur. Dia tengok peta. Cari maklumat tempat-tempat menarik. Dekat Sydney apalah yang ada sangat kecuali Opera House.

Esoknya, masa abang jumpa Mr. Smith, Apit bawa anak-anak pergi Opera House


3.

Habis meeting kena cepat pergi airport. Ambil flight ke Melbourne. Abang di Melbourne sekarang. Abang suka Melbourne. Sydney sangat sibuk (macam KL). Orang-orang Melbourne tak suka orang-orang Sydney. Flight lebih kurang sejam setengah. Nasib tak delay. Flight Qantas  selalu bermasalah.

Sampai Melbourne pun dah lewat petang. Sempat jalan-jalan dekat kompleks. Huda sangat teruja tengok banyak kedai buku. Harga buku di Melbourne pun murah. Mana taknya, banyak kegiatan kesasteraan di sini. Lagipun, pada Ogos 2008, UNESCO telah menobatkan Melbourne sebagai City of Literature.

Sebuah buku terpakai yang kualitinya seakan-akan buku baru hanya sekitar AUD 3. Abang tak dapat tahan diri dari membeli. Abang borong 5 buku. Huda beli 6. Umar borong  10 buku!  Abang balut kemas terus pos. Kalau bawa naik kapal terbang nanti mesti ada masalah lebihan berat. Lagipun banyak tempat nak pergi.

Makan nasi goreng di Yarra River. Umar terkejut sebungkus nasi goreng berharga AUD 18. Dia nyaris tak nak makan sebab mahal sangat katanya. Tapi makan juga sebab lapar. Adam makan nestum. Lepas makan abang ajak anak-anak solat dekat taman. Alahai...sayu hati tengok muka Huda. Anak-anak tak biasa solat merata tempat. Dekat Melbourne tak ada masjid. Dekat Sydney ada sebuah masjid. Azan pun tak ada di sini.

Dengan susah payah tengok anak-anak ambil wuduk. Pengalaman baru untuk Huda dan Umar. Lepas solat, jalan-jalan lagi. Kemudian ambil tram terus balik hotel. Perkhidmatan tram paling popular di Melbourne. Jadual waktu di patuhi – perjalanan jarang terlewat.


4.

Kursus induksi bosan? Kesian awak. Bosan pun kena dengar juga.


5.

Saya harap awak sudah bersedia untuk menempuh alam pekerjaan. Harap-harap awak dapat tukar ke Hospital Putrajaya / HUKM. Kawasan Klang agak berbahaya. Banyak samseng. Tak sesuai untuk orang yang akan memandu lewat malam macam awak.

Kalau awak tak sedia nak kerja, kena sediakan diri juga. Kena bayar duit Mara RM 360,000. Lepas dua tahun kalau awak masih bosan – sambung Master. Okey?


6.

Esok tak sempat dialisis. Flight awal. Sampai New York nanti jadual padat. Susah hatilah....


7.

Hari ini hari Khamis malam Jumaat. Rindu awak yang sentiasa hangat.

xoxo