Thursday, January 09, 2014

Semoga Mak baik-baik saja di sana.

1.

Harap Mak suka bila tengok rumah kita. Huda tanam bunga sekitar rumah. Pokok-pokok bunga yang sudah mati di gantikan dengan pokok bunga baru. Im minta Uncle Manipan jagakan rumah kita. Dia akan bersihkan rumah, sapu daun, siram pokok bunga dan hidupkan enjin kereta. Kalau ada orang jaga, rumah akan terurus.

Tahlil di masjid tempoh hari ramai juga yang datang. Bulan Febuari nanti Im cadang nak buat doa selamat dan bacaan Yasin di rumah kita. Im suka tinggal di rumah kita tapi Im kena balik Ipoh. Pusat Komuniti akan mulakan aktiviti mengajar mulai minggu depan. Ada beberapa perkara yang belum di selesaikan.

Ada yang minta Pusat Komuniti terima kanak-kanak 4-6 tahun secara khusus untuk mengajar membaca dan menulis. Di sebabkan Pusat Komuniti bukan bersifat pusat asuhan, jadi Im tak terima. Kebanyakan kanak-kanak yang datang ke Pusat Komuniti adalah anak-anak yatim, kanak-kanak tercicir dari persekolahan dan kanak-kanak yang tidak mampu ke sekolah.


2.

Im belum susun buku-buku Mak lagi. Mak ada banyak buku-buku Al-Attas. Im sendiri pun tak tahu yang Mak pernah mengikuti kelasnya sewaktu beliau masih di ISTAC. Im bercadang hendak mengikuti kelasn Al-Attas di CASIS tapi masih belum berkesempatan. Agaknya belum ada rezeki. Terima kasih Mak sebab tinggalkan khazanah yang berharga.

Walid juga meminati buku nampaknya. Masih belum sempat belek buku-buku Walid. Bergerak dari rumah sekitar jam 8.00 pagi. Sampai di Ipoh jam 10.00 malam. Beberapa sebelumnya van Umar berasap dan di hantar ke mekanik untuk di baiki. Dalam perjalanan pulang Umar tak bagi bawa van dia dengan laju. Selepas ini tak boleh bawa van Umar. Boleh buat rekod perjalanan paling lama dari Johor ke Ipoh.

Sabtu ini ada temu janji dengan psikiatri. Isnin depan ada temu janji dengan IJN. Rabu kena pergi Hospital Pantai untuk rawatan susulan. Selasa & Khamis akan ajar kanak-kanak membaca. Jumaat hingga Ahad akan berada di Sarawak. Sebuah Pusat Komuniti akan di buka di sana.


3.

Selamat malam, Mak. Semoga Mak baik-baik saja di sana.