Saturday, January 04, 2014

Mak, sampai kita berjumpa lagi…

1.

Lama Im tak datang ziarah Mak. Pokok kemboja yang Im tanam dulu masih subur. Im sudah bersihkan kubur Mak dan letakkan batu nisan baru. Im selalu ingat Mak, Walid dan adik-adik. Agaknya, Im masih canggung dengan Mak. Mak tak pernah panggil ‘Im’. Mak kata itu bukan nama yang Mak berikan pada Im dulu. Ummi tak pernah ubah apa-apa yang ada pada Im. Ummi panggil Im sebab Ummi cakap nama Im panjang sangat dan dia susah nak sebut. Ummi juga kadang-kadang lupa nama Im. Ummi ada lebih dari 30 orang anak.

Im marah pada Mak. Im marah sebab Im fikir Mak yang buang Im. Tapi Im salah. Mak & Walid tak pernah buang Im. Im tak pernah terfikir yang Pak Ngah sanggup buang Im dekat rumah anak yatim Dan Ummi ambil Im sebagai anak angkat. Ummi jaga Im dengan baik. Selepas hampir 23 tahun, Im dapat jumpa Mak semula. Im rasa canggung dengan keluarga baru. Mak & Walid tak pernah sekalipun panggil Im sebagai Imran. Nama Imran jadi begitu asing pada Mak & Walid. Im rasa canggung bila adik-adik panggil Im – Along/Abang.


2.

Kita dapat jadi sekeluarga tak lama. Im cuma sempat merasa sekali tidur atas riba Mak. Cuma sekali Mak cium ubun Im sebelum Im balik US. Salah Im, kan mak? Sebab Im jarang balik rumah ziarah Mak, Walid dan adik-adik. Dan kemudian Mak, Walid dan adik-adik pergi buat selama-lamanya. Sampai sekarang Im masih termimpi-mimpi melihat Mak dan Walid berlumuran darah. Im masih tak dapat lupa melihat mayat adik-adik di bakar hidup-hidup selepas di rogol. Im baru nak kenal Mak. Mak tinggalkan Im buat selama-lamanya. Ia trauma yang panjang. Trauma yang datang bertimpa-timpa.

Im tak jual rumah kita. Im cuma bersihkan rumah dan baiki bahagian yang rosak. Im tak cat pun rumah kita. Semua perabot Mak masih ada termasuklah kereta Walid. Setiap kali Im masuk rumah, Im rasa sayu. Kalaupun orang nak kata rumah kita berhantu, biarlah. Semalam, Im sudah susun semua buku-buku Mak. Im akan bawa balik ke Ipoh. Buku-buku Mak ada yang sudah rosak. Kertas-kertas penyelidikan, jurnal dan makalah akan di bawa bersama. Im akan cuba baiki buku-buku yang rosak. Im tahu Mak sayang buku-buku Mak.


3.

Mak, sampai kita berjumpa lagi…