Wednesday, July 31, 2013

Dan, di sini ada cinta



1.

Melihat buku-buku di rak membuatkan hati sedih. Buku-buku di rak kecil di tepi katil masih belum habis di baca. Ada pelbagai genre yang belum terusik. Ada yang hanya baca beberapa halaman. Tahun ini sehingga bulan Julai hanya baca sebuah buku. Hanya sebuah. 

Agaknya mata tidak lagi dapat bertahan. Kadang-kadang tiba-tiba saja blur dan tak nampak apa-apa. Dua jam kemudian akan okey. Kadang-kadang ambil masa hingga 3 atau 4 hari. Mata semakin pedih. Sakit kepala menjadi-jadi juga sakit belakang. 

Melihat buku yang menimbun membahagiakan meskipun masih belum di baca. Huda rajin meletakan buku di riba. Menyentuh kertas buku halaman demi halaman walau tidak membaca. Ia semacam kedamaian.


2.

Hari ini ke KLCC untuk beli baju raya juga Kino dan membeli beberapa naskah novel. Meskipun tahu buku-buku ini entah bila dapat di baca, beli juga untuk kepuasan diri. Nikmat membaca bukan semua orang dapat merasainya. 

Bila kita tahu mata kita akan buta, kita akan lebih menghargai setiap  apa yang kita ada walaupun sebenarnya deria-deria lain juga kurang berfungsi. Untuk orang sakit, makan apa pun tidak akan mendatangkan hasil yang berbeza bila lidah tak mampu merasa masin, masam, pedas, manis. 

Masih dapat mendengar muzik. Masih dapat menghayati alunan indah biola gesekan Ocio atau sesekali mendengar Umar memetik gitar atau Huda bermain cello. Masih dapat mendengar rusuk kiri kadang-kadang menyayangi bila dia happy dan mendengar gelak ketawa Adam. Ini semua membahagiakan.


3.

Kembali ke TTDI setelah lama tidak datang ke sini. Tidak ada banyak yang berubah. Tempat membesar, tempat mendapat kasih sayang, tempat belajar tentang kehidupan. TTDI tak banyak membawa memori yang indah. Beberapa kali talkin di baca di sini untuk Am, Om, Iman, dan Karl. Kehilangan beberapa orang tersayang antaranya Poci, daddy & ummi yang semuanya pernah terpotret di sini.

Rumah ini tidak mesra lagi. Gema kesepian, kesunyian dan kehilangan masih terasa. Baik Kak Ain mahupun Ocio sendiri jarang ke sini. Masing-masing menafi realiti (mungkin) atau tidak mahu di lingkar kenangan lalu. Kenangan yang manis untuk di kenang-kenang. Rumah ini amat meriah suatu ketika dulu. Kini menjadi suram.


Kenangan lama memang manis dan nyaman. Dan, kadang-kadang bergelora juga dengan gelombang-gelombang. Tetapi hanya itulah sahaja yang wujud sekarang ini. Sebuah kenangan adalah sebuah rahmat yang sulit di buang. Ia memberi kesejahteraan di waktu-waktu seperti sekarang – Shahnon Ahmad (Tunggul-Tunggul Gerigis)


4.

Piano di hujung penjuru sudah berhabuk. Sudah lama tidak di gunakan. Dulu Karl selalu mainkan lagu ciptaannya di ruang itu. Karl antara yang mahir bermain piano. Mempunyai suara yang merdu ketika melontar setiap butir lirik ciptaannya. Sampai sekarang saya tak tahu main apa-apa alat muzik. Pernah juga cuba bermain seruling tetapi tidak begitu fasih. 

Di sini ada segala-galanya. Ada keluarga dan kasih sayang. Kasih sayang tak pernah tenggelam dalam peredaran zaman. Kasih sayang akan tetap di kenang-kenang selagi hayat di kandung badan. Ia sesuatu yang indah untuk di ingat sekali-sekala. Sama seperti kita cuba mengingat setiap detik umur kita berlalu. 

Dan, di sini ada cinta.




31072013