I have fallen in
love many times…always with you…
Wednesday, December 26, 2012
Tuesday, December 18, 2012
Alpa
Ini cara saya menipu diri. Dengan membuat kerja, saya jadi alpa pada sakit, kononnya. Sebernarnya, lebih kuat terasa sakit di kepala dan seluruh badan - lebih kuat saya bekerja.
Itu cara saya menipu minda.
Monday, December 10, 2012
Pengajaran
1.
Seperti hari
Ahad yang lain, hari ini saya berkongsi seorang lagi tokoh kebanggaan ramai
dengan anak-anak. Tokoh hari ini ialah Che Guvera. Subjek tentang ketokohan ini
telah lama saya ajarkan. Bermula dengan latar belakang, persekitaran
pendidikan, sumbangan serta jatuh bangun mereka dalam perjuangan.
Pernah sekali,
ketika Umar masih kecil dia menegur saya. Katanya, saya hanya kenalkan dia
dengan tokoh-tokoh bukan Islam. Bagaimana dengan tokoh-tokoh Islam yang
berjuang menentang kezaliman, ketidakadilan pemerintah, hak asasi yang terabai
dan sebagainya.
Saya jadi
terpukul dan baru sedar bahawa saya berat sebelah dalam menyampaikan ilmu. Saya
lupa bahawa orang-orang Islam mempunyai banyak tokoh yang di kagumi ramai
seperti Salehuddin al-Ayubi, Muhammad al-Fatih, Saidina Ali dan ramai lagi.
Dengan perasaan malu, saya katakan bahawa saya tidak begitu mengenai
tokoh-tokoh ini – sekadar mengetahui nama-nama mereka tetapi tidak
lancar mengetahui perjalanan perjuangan yang mereka kibarkan.
Saya jadi malu
amat. Langsung, dari situ saya kembali membuka buku, mencari maklumat mengenai
beberapa tokoh yang telah tercatat sebagai pejuang agung – tidak kiralah
dari zaman mana sekalipun. Kemudian, saya susun mengikut rentetan.
Itu pelajaran
pertama dari Umar. Teguran yang membuat saya banyak berfikir tentang
ketidakpedulian saya terhadap para pejuang Islam dan di mana saya letakan para
pejuang ini dalam hati dan sanubari saya.
2.
Saya akan
tidurkan Umar setiap malam. Umar mempunyai masalah tidur tidak lama dulu.
Saya bacakan kisah-kisah dongeng tetapi dia seakan-akan tidak suka hinggalah
saya bacakan kisah-kisah nabi. Sampai sekarang, dia sangat akrab dengan kisah
para rasul. Dia masih mengulang baca hinggalah buku tersebut jadi teramat
lusuh.
Pada suatu malam,
dia bertanya saya satu soalan yang tak mungkin saya lupakan sampai bila-bila. Dalam keadaan yang masih pekat pelatnya, dia cuba menyampaikan makna untuk saya fahami. Serba sedikit, inilah yang dia katakan pada saya.
Umar: Daddy,
macam mana olang boleh tidur lena
bila dia tahu ada olang lain tak ada makan,
tak ada lumah, tak ada luit. Macam mana olang boleh jalan jauh-jauh, ada olang susuh dia tak tolong? Macam mana ada olang makan banyak-banyak tapi dia tak tetian tekat tucing lapar? Tenapa
kita cakap kita tetian tapi kita tak
tolong? Tenapa kita kena halap olang lain tolong olang shusah? Adik tak boleh tidur
lama-lama (lena). Adik tetian tucing tak
makan, adik tetian olang mati tak ada makanan masa pelang, adik tetian lamai orang shusah.
Saat itu, mata
saya basah. Saya tepukul amat. Bagaimana anak kecil ini amat fikirkan orang
lain hinggakan tak boleh tidur.
Saya
membesar sebagai seorang yang prihatin tetapi sifat itu hilang bila saya sibuk
dengan kuliah dan tesis. Sifat itu bertambah pudar bila saya tubuhkan
perniagaan seawal usia 21 tahun. Saya sibuk dengan mesyuarat sana sini,
penyelidikan yang pelbagai, menyelia projek pelajar, merancang pelbagai rancangan untuk
meningkatkan jualan dan sebagainya.
Lama-lama sifat
kepedulian itu hilang hinggalah Umar mengingatkan saya tentang hal ini. Sebagai
seorang ayah, saya rasa malu. Saya tak dapat menjadi ikon dan contoh kepada
anak-anak. Saya cuba menyemai mereka dengan nilai murni sedangkan saya sendiri
tak cuba lakukan secara praktik.
3.
Atas rasa itu,
saya tak pernah menghalang anak-anak dari berniaga walaupun hati saya amat
berat izinkan mereka buat kerja-kerja sebegini. Saya rasa mereka terlalu mentah
hingga saya sendiri sedar saya tak boleh perkecilkan semangat mereka.
Saya harus jadi
pendorong bukan melemahkan. Saya mahu mereka membesar dan jadi insan lebih baik
dari saya. Lebih bersikap peduli, prihatin, saling menolong dan mempunyai sifat
tanggungjawab yang tinggi.
4.
Jika Umar tidak
mampu tidur lena memikirkan tentang orang lain, bagaimana kita orang dewasa
mampu tidur lena dan habiskan banyak masa dengan membuat perkara yang tidak
memberi faedah kepada nusa dan bangsa?
5.
Daddy bangga
punya anak seperti Umar, Huda & Adam. Tentu sekali daddy bangga.
Sunday, December 09, 2012
[17]
1.
Umar dan Huda
sudah balik dari kembara pancuan empat roda meredah laluan sukar. Mereka ke
Pahang bersama Don (dan kawan-kawannya). Umar paling teruja! Dia bawa banyak
barang. Umar juga sempat menjual sandwich dan Maggie.
Umar bawa dua beg besar di penuhi katil dan buaian
askar, pelita, kasut dua pasang, sandal dua pasang, baju, seluar, topi,
masing-masing tiga style yang berbeza.
Macam nak pergi
makan angin!
2.
Umar juga bawa
kicap, sos (tomato dan cili), gula, susu, garam, kunyit, lada hitam dan
macam-macam lagi. Umar letakkan dalam bekas yang kecil. Bila sampai rumah
semalam, baru Huda bagitahu yang Umar berniaga sandwich dan Maggie. Patutlah Makcik
Siti beritahu Maggie, roti dan tuna ‘hilang’.
Huda: Daddy nak
tau tak...adik jual sandwich. RM 1.50 satu.
Daddy: Daddy dah
agak dah. Umar tak senonohlah.
Umar: Adik cali
luit. Kakak tengki.
Huda: Adik jual
air panas tau daddy.
Daddy: Air panas pun jual juga. Kenapa tak sedekah je.
Huda: Untuk
masak Maggie. Kalau tak ada air panas RM 1.50. Ada air panas tambah RM 0.60.
Daddy: Umar jual
apa lagi? Isk! Tak baik jual mahal-mahal.
Umar: Adik jual mulah
je. Halge berpatutan.
Daddy: Air panas
pun Umar caj mahal je.
Umar: Tebab
dalam hutan tak ada air panas. Adik jual mahal tikit.
Huda: Abang Jo
pinjam pisau pun kena bayar RM 0.20 tau daddy.
Daddy: Pisau pun
kena bayar? Umar ni... isk!
Umar: Heee adik
cali luit.
3.
Memang
dahsyatlah Umar menjual sampai nak pinjam pisau pun kena bayar sewa. Hasil
kerja gigih Umar menjual ketika konvoi dapatlah sekitar RM 300. Pagi tadi sudah
depositkan pada beberapa badan amal termasuk hasil-hasil jualan sebelum ini di beberapa
tempat.
Kemungkinan
Isnin akan bawa anak-anak ke Big Bad Wolf. Khabarnya, seawal jam 7 pagi keadaan
sudah sesak di tempat letak kereta.
4.
Huda & Umar
sedang merancang membuat jualan untuk bantu mangsa taufan di Filipina. Saya tidak
pasti sama ada Malaysia sudah melancarkan apa-apa tabung bantuan untuk mereka.
Friday, November 30, 2012
[16]
1.
Minggu ini
setiap malam hujan jadi tak boleh berniaga di Gerbang Malam. Mujurlah hari Rabu
hujan turun awal dan berhenti sekitar jam 8 malam. Umar menjual durian, cempedak,
nangka, anak kucing dan anak hamster. Huda menjual sayur.
Ada seorang
pakcik sedekahkan durian, cempedak & nangka dengan banyaknya. Jadi, Umar ambil
kesempatan untuk menjual buah-buahan ini bagi mencari dana (dengan keizinan pakcik tersebut). Jualan majalah, buku dan komik pada Jumaat lepas
tidak begitu lumayan.
Minggu ini hanya
nangka yang tidak habis.
Umar jual durian
tapi yang tolong bungkuskan durian ialah Don. Umar takut tangannya kasar kalau
terkena kulit durian.
Huda: Adik
selalu mengada.
Umar: Adik jaga
imej. Nanti tangan adik kasar.
Huda: Orang tak
nampaklah tangan adik yang kecil tu.
Umar: Adik tecik. Mana lalat nak angkat dulian.
Huda: Mengada
tau adik ni.
2.
Kira-kira (dua)
minggu lepas (?), Adam terjumpa seekor ular sawa di luar rumah. Semua orang
cuak cuma Adam yang suka. Adam siap tepuk-tepuk kepala ular sawa.
Haih...punyalah risau takut Adam kena belit. Panggil bomba dan bomba dapat
tangkap ular tersebut. Adam menangis teruk. Mungkin menangis sebab ‘kawan’ dia
dah di tangkap.
Hari ini, ada
seekor ular sawa masuk ke rumah lagi. Corak batiknya seperti sama. Adam juga
yang jumpa. Adam guling-guling atas ular sawa sampai terlena. Tidur atas badan
ular siap peluk lagi. Ular sawa tersebut taklah nampak ganas. Tak juga nampak
merbahaya tapi risau juga – dah namanya ular!
Ada orang cakap
ular ada dua jenis. Satu ular yang betul dan satu lagi jelmaan jin. Tak tahulah
betul atau tidak. Cuma yang pasti tak boleh bunuh ular sebab ular ada badi yang kuat.
Bunuh seekor nanti banyak lagi yang datang. Lepas ular sawa yang pertama di
tangkap, sudah taburkan belerang keliling rumah. Agaknya sebab hujan, belerang
entah ke mana.
Harap-harap ular
balik ke tempat asalnya. Umar nak jual ular sawa ini. Umar memang, otak dia
kira nak jual semua benda.
3.
Umar: Tenape olang tak nak pergi sulau, daddy?
Daddy: Daddy pun
tak pasti. Diorang solat dekat rumah
kot.
Umar: Tetian sulau tak ada olang.
Daddy: Takpun
ada orang pergi waktu-waktu tertentu je.
Umar: Adik nak
buat tajian tenape olang tak nak
pergi sulau.
Daddy: Nanti
daddy tolong Umar eh.
Huda: (suara
dari dapur) Bukan tajianlah. Kajian. Hahaha.
Umar: Teboklah kakak ni. Nanti hangush temua cempedak goleng.
Huda: Hanguslah.
Cempedak goreng. R tau adik bukan L.
Umar: Kakak tuke buli adik yang comel ni. Tetian adik kan daddy.
Daddy: Heeeeee entah.
Daddy tak campur.
Umar: (merajuk)
Kakak tuke buli adik. Daddy pun tama.
Huda&Daddy:
Samalah. Bukan T tapi S. Hahaha
Umar:
Eeeeeeeeeeeeeeeeeeee!
Atas rasa ingin
tahu dan keprihatinan yang tinggi, Umar ingin melakukan kajian (kerja lapangan)
berhubungan jemaah yang semakin berkurangan di masjid/surau. Saya tahu dia
terlalu muda untuk melakukan kajian seumpama ini. Saya tidak mahu menegah dengan
mematikan rasa ingin tahunya yang mendalam. Jadi saya turutkan saja dan
membantu setakat yang mampu.
Saya sedang
menyediakan borang soal selidik. Kajian ini hanya kajian tidak formal untuk mengetahui
sebab-sebab orang ramai tidak berminat ke surau/ masjid untuk berjemaah atau
turut serta dalam aktiviti yang di anjurkan masjid/surau.
Kajian ini di
bahagikan kepada tiga kategori:
Kanak-kanak:
7-12 tahun
Remaja: 13 -27
tahun
Dewasa: 28 tahun
dan ke atas
Selain
menggunakan borang kaji selidik, kaedah temu bual akan di gunakan terutama
untuk kategori kanak-kanak. Umar bercadang untuk menjalankan kajian ke atas 50
orang bagi setiap kategori.
Moga-moga Umar mendapat
jawapan bagi persoalan yang bermain di fikirannya.
Sunday, November 25, 2012
[15]
1.
Saya kenal
banyak perempuan. Tapi hati saya tak terpikat. Hati saya terpikat pada awak.
Entah, saya tak ada jawapan konkrit. Hati saya terus terpikat dengan kedegilan
awak. Saya tak pernah simpan rasa benci bila awak tolak cinta saya. Saya tak
rasa tercabar. Saya tak perlu rasa tercabar.
Saya cuba
alihkan perhatian pada perempuan lain tapi perempuan lain tak macam awak. Pakej
yang awak ada biasa-biasa saja tapi kerana yang biasa-biasalah buat saya
terpikat. Saya betul-betul jatuh cinta dan sejak itu hati saya bagai gila
menahan rasa.
2.
Rasa cinta saya
pada awak tak pernah berubah. Saya masih dan akan sayangi awak sampai
bila-bila. Awak cinta hati saya. Cinta yang buat saya gila.
Saya harap saya
tak mati. Saya harap saya dapat hidup dengan awak sampai kita tua, sampai gigi
tinggal dua. Saya harap saya dapat lihat awak yang tua dengan wajah berkedut.
Saya tetap akan sayang awak walaupun awak kereput.
Tapi saya sakit.
Saya mungkin tak dapat hidup lama. Saya mungkin tak akan bersama bila awak tua.
Saya nak hidup dengan awak banyak tahun lagi tapi saya sedar bila-bila saya
akan pergi. Pergi tinggalkan awak, sendiri...
3.
Saya akan
teruskan rawatan, rawatan yang menyakitkan. Saya nak sihat supaya saya dapat
hidup lama dengan awak. Saya nak jaga awak sepanjang usia saya. Saya nak
temankan awak tidur, peluk awak bila guruh dan pujuk awak bila awak
hilang mood. Saya suka menyanyi untuk awak.
Saya sayang
awak. Saya sangat sayang awak.
xoxo
Saturday, November 24, 2012
[14]
Umar: Tenape daddy tuke lumah beshar?
Daddy: Sebab
daddy rasa kita ramai.
Umar: Tapi kita tikit je.
Daddy: Daddy nak
bagi Umar lagi 7 adik kecil!
Umar: Selam adik dengar. Tak naklah lamai adik-adik-adik-adik tecik.
Daddy: Barulah best. Umar ada banyak adik! Haa
Umar: Tape nak jaga tume adik-adik-adik tecik?
Daddy: Kakak
jaga Umar, Umar jaga Adam, Adam jaga adik kecil, adik kecil jaga adik lagi kecil.
Umar: Adik tak belape dengarlah daddy cakap apa. Adik
dengar kakak panggil adik.
Daddy:
Alah...Umar memang.
Rindu yang menggebu...
1.
Alhamdulllah.
Palestin selamat dari di bedil berterusan. Kempen boikot nampak berkesan di Ipoh. Banyak McD, Pizza Hut, KFC nampak lenggang. Kalau memikirkan
tentang boikot mungkin kita sebenarnya bersifat hipokrit. Kita akan boikot
perkara/benda yang kita mampu hidup tanpanya. Secara logiknya, kita tak mampu
boikot banyak perkara kerana hampir 85% barangan datangnya dari Israel.
Saya tak
menentang boikot tapi saya lebih selesa mencari dana untuk beri bantuan pada
Palestin. Mungkin sekali sekala berdemostrasi adalah baik untuk menunjukan
solidariti namun itu bukan bentuk tindakan yang terbaik yang mampu kita
lakukan. Negara yang berada dalam kancah perang perlukan bantuan
kewangan/perubatan/makanan dan sebagainya.
Tidak juga di
sangkal bahawa jika kita terus memboikot sedikit sebanyak ekonomi Israel akan
turut terjejas tapi bukan dalam jangka masa yang pendek kerana ekonomi mereka
cukup ampuh untuk di runtuhkan dalam sekelip mata. Boikot perlu berterusan.
Kita juga perlu menghasilkan produk alternatif kepada produk yang kita boikot.
Saya tak
menjalankan kempen boikot McD dan segala jenis francais. Semua itu tidak
penting kerana budaya makan makanan pantas tidak pernah saya amalkan, begitu juga dengan anak-anak. Saya mengajar mereka untuk mengurangkan kebergantungan kepada produk makanan berbentuk francais.
Saya tak makanan produk francais kerana banyak isu mengenainya terutama isu
halal.
Jadi, saya ambil
tindakan untuk tidak menyentuh sesuatu yang saya ragui. Tambahan pula makanan
ini tidak begitu baik untuk kesihatan badan.
2.
Jumaat baru-baru
ini berniaga di perkarangan masjid selepas solat Jumaat dan bersambung ke
malam. Umar berniaga buku, majalah, dan komik. Huda menjual makanan – nasi
Arab, ayam percik, dan kek lapis Sarawak. Hasil memberangsangkan. Terubat
kekecewaan mereka berniaga tanpa pelanggan beberapa hari lepas.
Untung dari
hasil jualan Umar cuma RM 70 dan Huda pula RM 500. Nampak anak-anak penat
sangat. Jadi, hari Sabtu & Ahad tak bercadang untuk berniaga di Gerbang
Malam di Jalan Mustafa Bakri walaupun pengunjung pastinya ramai kerana malam
minggu. Anak-anak perlu berehat. Sepanjang Palestin di serang, Umar kelihatan
resah kerana tak dapat beri bantuan. Umar sangat prihatin.
Hari ini dia
kembali ceria seperti biasa selepas mendengar berita gencatan senjata.
Kadang-kadang saya rasa saya “tersalah” mendidik anak kerana anak-anak saya lebih
matang dari kanak-kanak seusia. Anak-anak saya tak berminat membeli mainan
seperti kanak-kanak lain. Mereka lebih berminat mendengar berita dari luar negara dan
amat prihatin dengan setiap peristiwa yang berlaku. Paling penting mereka
merasakan mereka perlu lakukan sesuatu untuk membantu.
3.
Saya bercadang
meraikan sikap keprihatinan mereka dengan membeli buku di Pekan Sari Buku &
Festival Buku Kanak-Kanak yang akan berlangsung pada 1-2 Disember 2012 di
Perpustakaan Negara Malaysia. Sebelum ini saya membawa mereka ke Festival
Kesusasteraan Kanak-Kanak di UM. Mereka tidak melibatkan diri dengan aktiviti
yang di anjurkan sebaliknya tekun memilih buku.
Rugi juga tidak
ke Temasik baru-baru ini kerana ada program buku untuk kanak-kanak. Di
Indonesia pula ada pesta buku. Kedua-duanya tidak dapat saya hadiri kerana
masalah kesihatan. Pesta Buku Indonesia agak meriah menurut seorang kawan yang
berkesempatan ke sana. Kalau tak silap saya penerbit Malaysia seperti PTS dan
ITBM turut membuat jualan di pesta tersebut.
Tidak ramai
penulis buku kanak-kanak di Malaysia. Seperti kata Yusof Gajah "Bayi
dilahirkan pada setiap hari, tetapi buku kanak-kanak tidak dihasilkan sepantas
itu."
4.
Kerjaya awak
benar-benar merampas seluruh hidup awak. Nampaknya saya perlu jadi si
pemberita. Kalau tidak, awak akan tertinggal dalam banyak perkara.
Rindu yang menggebu...
xoxo
Wednesday, November 21, 2012
Palestin
1.
Ahad lepas ke
Taman Rekreasi Gunung Lang. Umar nak tengok seladang. Huda nak melukis. Adam
nak bermain. Taman Rekreasi Gunung Lang mempunyai sebuah tasik kecil. Tasik
semula jadi. Kawasannya tidaklah begitu besar. Biasanya ramai ke sini untuk mengabadikan
gambar perkahwinan atat untuk menikmati keindahan tasik.
Selalunya ramai
orang datang ke sini untuk berkelah dan berehat atau seperti kata Umar –
mencaril ilham. Seladang di biarkan berkeliaran dan haiwan ini tidak menganggu
pelancong. Seladang seekor haiwan yang pemalu. Ada pondok kecil di sediakan
untuk keluarga yang mahu berkelah. Terdapat juga sebuah padang yang luas.
Setiap hujung minggu, terdapat burung unta di sini.
Untuk berkelah
di kawasan pondok, bayaran tidak di kenakan. Untuk menikmati kawasan tasik,
perlu bayar. Bot juga di sediakan.
2.
Kawasan Gunung
Lang tidak begitu panas. Nyaman dan selesa untuk duduk-duduk lama. Kawasan Meru
amat panas. Terdapat beberapa perumahan mewah di sini antaranya Desa Lang Damai. Kira-kira 20 buah
rumah terdapat di sini. Terdapat juga Lang Valley di kawasan Gunung Lang.
Pekan Ipoh masih
sibuk seperti biasa (hanya di kawasan tertentu). Banyak kawasan yang
kedai-kedainya sudah di tutup sama ada untuk di jual atau di sewa. Sebenarnya,
terlalu banyak kedai yang di tutup di beberapa kawasan. Kawasan ini menjadi
begitu sunyi. Terasa sedih melihat kedai-kedai ini tutup.
Kawasan yang
giat di majukan sekarang ialah Jelapang.
3.
Orang seperti
saya tidak suka kawasan Meru di majukan. Kawasan ini menjadi semakin panas kerana
semua pokok dan gunung telah di jarah. Banyak bangunan baru di bina entah untuk
siapa. Bermula dengan Pasar Raya Mydin, Jabatan Audit dan Terminal Aman Jaya –
kawasan ini tiba-tiba akan menjadi kawasan penting di Ipoh kerana pusat
pentadbiran sedikit sebanyak akan berpindah ke sini.
Saya rasa
Terminal Bas Aman Jaya tak sesuai di tempatkan di Jelapang kerana terlalu jauh
dari pusat bandar. Untuk pelajar sekolah misalnya, keadaan ini agak
menyusahkan kerana Jelapang terletak di penghujung Ipoh. Agak sukar untuk
pelajar di kawasan Tambun atau Bercham mendapatkan bas untuk ke rumah mereka.
Kenapa tidak di
baiki yang sedia ada? Bukan stesen bas yang di perlukan oleh penduduk Ipoh
tetapi bas. Bas di Ipoh terlalu uzur. Kalau sesiapa ada menonton Goodbye Boy,
itulah wajah perkhidmatan bas di Ipoh.
4.
Hari ini masuk
hari kedua Umar dan Huda berniaga komik, buku dan majalah untuk kumpul dana dan
dermakan pada Palestin. Hampir sehari suntuk mereka berniaga belum ada seorang
pun yang membeli. Bila balik rumah, Umar menangis kerana tak dapat jual walau
satu barang pun.
Saya tak
bersama-sama dengan mereka berniaga kerana keadaan tidak begitu mengizinkan.
Rasanya, saya perlu jumpa peniaga Gerbang Malam di Ipoh untuk mohon bantuan
menyewa tapak buat sementara waktu.
Harap-harap Don
ada kawan yang berniaga di situ. Gerbang Malam merupakan tempat yang paling
popular di Ipoh untuk mencari apa saja barangan yang di jual dengan harga yang
murah. Setiap malam pasti ramai orang ke sana sama ada untuk menjamu selera,
membeli-belah atau melepak.
Agaknya Huda
perlu buat kek/muffin untuk lariskan jualan. Jualan berbentuk makanan lebih
mudah (jika ingin berniaga di Malaysia).
5.
Umar membebel
kerana belum ada sebuah masjid pun di Ipoh yang lakukan solat hajat untuk Palestin. Masyarakat kita masih banyak yang bersikap kurang peduli/prihatin. Kempen boikot juga kedengaran kembali. Entah untuk berapa lama mampu bertahan. Jika asuh diri dan keluarga untuk tidak makan makanan McD tentu lebih baik. Saya dan anak-anak tidak begitu gemar makan di kedai makanan berbentu francais.
Oleh sebab Umar
membebel, saya mintalah pada imam rangkakan satu program untuk beri bantuan
pada Palestin. Menurut kata imam, lusa solat hajat akan di lakukan dan sedikit
jualan amal akan di jalankan selepas bacaan Yaasin. Umar akan turut berniaga. Dengarnya juga kawan-kawan
Don akan berniaga t-shirt bebaskan Palestin (mesti Umar yang ajak).
Lusa juga
nampaknya perlulah memasak untuk menjual. Mungkin nasi ayam. Tapi Huda kata nak
jual nasi Arab.
Anak-anak amat
sibuk minggu ini. Begitu juga Mama mereka.
6.
I miss you,
love.
xoxo
Friday, November 16, 2012
Si Pemakan Buku
Tak ada banyak
perkara yang berlaku kecuali sibuk melayan anak-anak terutama Adam yang semakin
membesar dan bertambah nakal. Adam di beri gelaran Si Pemakan Buku. Entah
kenapa, Adam mempunyai tabiat/kelakuan baru iaitu memakan buku.
Buku yang menjadi mangsa kali ini ialah Kucing The Cat yang di beli di Conteng2.
Umar memang suka karya Fadhli Hamdan.
Daddy: Kenapa
Umar nangis ni?
Umar: Adam makan
buku adik. Habis Tucing The Cat adik.
Daddy: Daddy
beli lain eh? Lain kali jangan bagi Adam pegang buku Umar dah.
Umar: Kalau adik
tak bagi nanti Adam nangis. Kalau adik bagi nanti adik yang nangis.
Bukan buku Umar
saja menjadi mangsa. Majalah Wanita Mak Cik Siti, Majalah Newsweek Don pun pernah jadi mangsa. Kertas kerja pun dia makan! Tapi....Adam tak makan buku dia sendiri. Dia
makan buku orang lain.
Menurut Dorothy
Butler dalam buku Babies Need Books (1980), apabila kanak-kanak mengoyakkan
buku atau memasukkan cebisan-cebisan kertas daripada buku ke dalam mulut, sebenarnya
kanak-kanak tersebut sedang berinteraksi dengan penemuan-penemuan baru.
Adam juga suka
tidur di atas buku atau di tempat-tempat yang di penuhi buku. Kadang-kadang dia
tidur berhampiran rak buku. Kalau saya cuba alihkan buku-buku tersebut, dia akan
terjaga.
Saya tak akan
jauhkan buku dari Adam semata-mata kerana dia makan buku. Pada saya, itu
perkembangan yang sihat walaupun dari aspek ekonominya saya perlu keluarkan
lebih belanja untuk mengganti beberapa buku yang telah rosak akibat di makan
Adam.
Thursday, November 08, 2012
Kalau Tuhan masih ada secebis rasa belas...
1.
Sejak
sakit ada banyak perkara yang berubah.
Dari fizikal hingga minda. Doktor tak benarkan makan makanan pejal
walaupun dalam cebisan yang agak kecil sebab usus tak boleh hadam makanan.
Dalam perkataan ringkas, usus gagal berfungsi. Doktor suruh makan bubur atau
makan makanan yang mudah hadam. Sejak dulu lagi doktor tak begitu galakkan
makan makanan pejal. Akhirnya, kena mengalah.
Kelmarin
beli supplement dalam bentuk cecair.
Satu kotak berharga RM 361.90 dan mengandungi 14 paket kecil di dalamnya. Satu
hari minum sekurang-kurangnya dua kali. Ada tiga perisa. Semua perisa yang saya
tak suka – coklat, strawberry, dan
susu. Tak ada pilihan. Kalau tak minum tak ada tenaga. Tak boleh nak makan
banyak sebab makin kerap muntah. Sekali makan dalam empat suap – lebih 7 kali
muntah. Badan jadi letih.
2.
Semalam
tak makan juga bubur. Cuba makan nasi tapi nasi lembiklah. Tapi
sekurang-kurangnya bentuknya tak macam bubur. Makan nasi dengan kari ayam dan
ikan masin. Ikan masin betul-betul buka selesa. Makan dua pinggan (kecil).
Lepas dua jam muntah tak henti-henti kemudian pengsan. Makin kerap pengsan
sekurang-kurangnya 4 kali sehari, kadang-kadang lebih.
Sakit
kepala tak ada perubahan. Kalau dulu selalunya sakit kepala datang waktu tengah
malam. Sekarang tak lagi. Hampir 24/7 sakit kepala. Tak boleh nak layan sangat.
Tak nak mengadu dengan sesiapa. Sekarang, kena jadi lagi kuat. Kalau sakit kepala
waktu siang kena tahan (sungguh-sungguh) supaya anak-anak tak nampak. Bila
sakit kepala, mata jadi pedih. Tak dapat buat apa-apa.
3.
Kanser
otak boleh menyebabkan strok tetapi simptomnya berbeza dengan strok biasa. Kebiasaannya,
pesakit kanser akan mengalami hemorrhagic
stroke. Hemorrhagic stroke berlaku
akibat pendarahan.
Antara simptom-simptomnya
adalah seperti sukar membaca, menulis, bercakap dan memahami pertuturan orang
lain. Sakit kepala apabila berbaring secara mendatar, berubah posisi ketika berbaring
atau bangun dari tidur. Sakit kepala menjadi bertambah teruk apabila batuk dan
sakit kepala ini terjadi secara tiba-tiba.
Hilang
keseimbangan, pergerakan semakin sukar pada anggota badan tertentu dan
kebiasaanya sebelah badan (one side body) tidak mampu bergerak/pergerakan
terbatas, anggota badan menjadi lemah, selalu
muntah, hilang kebanyakan deria, hilang hampir/separuh kemampuan untuk melihat
sama ada mengalami kekaburan, titik buta
dan lain-lain.
Hampir
keseluruhan simptom itu saya ada.
4.
Pagi tadi
di masukkan ke wad. Tak dapat pergi forum anjuran Akademi Pak Sako tentang “Kebebasan
Beragama atau Murtad”.
Kalau
Tuhan masih ada secebis rasa belas...harap-harap sebelah mata saya masih dapat
terus melihat dalam kekaburan supaya saya masih boleh terus membaca, sebelah
tangan masih boleh di gerak-gerak jarinya supaya saya dapat terus menulis dan telinga saya masih mampu mendengar supaya saya masih dapat hadiri forum dan wacana ilmu. Itu
saja. Kalau tak dapat makan makanan yang sedap pun tak apa asalkan jiwa saya
masih bernyawa dengan ilmu dan wacana -supaya saya dapat terus mengajar anak-anak
tentang alam pembelajaran dan kehidupan.
5.
Selamat
malam sayang.
xoxo
Monday, November 05, 2012
Adam
Cuba bangun
Jatuh
Cuba bangun
Terhantuk
Menangis
Cuba bangun
Jatuh
Cuba bangun
Jatuh
.
..
...
....
......
He is Adam. Greatest of all time.
Adam cuba berdiri untuk belajar berjalan. Jatuh dan menangis, tetap terus mencuba.
#Umar tukang gelak adik. Seronok tengok adik dia jatuh bila cuba berdiri.
Sunday, November 04, 2012
[13]
1.
Mujurlah tak
jadi singgah di Hawaii. Walaupun amaran tsunami di tarik balik tapi keadaan
masih perlu berjaga-jaga. Mujur juga tidak duduk lama di New York. Kalau tidak
pasti tersangkut dalam bah akibat Taufan Sandy.
Umar: Kalau kita
dekat New York mesti tetian tekat
Adam kan Daddy?
Daddy: Kenapa
pula?
Umar: Adam mesti
tak boleh jalan. Air banjir tinggi.
Daddy: Macamlah
Umar boleh berjalan. Umar bukan tinggi sangat.
Umar: Daddy tuke tate adik. (merajuk)
2.
Mujur juga awak
kemalangan tak teruk sangat. Kerja dari jam 6 petang sampai 8 pagi memang
memenatkan. Jadi, mulai esok, saya akan call
untuk temankan awak masa awak drive
supaya tak tertidur lagi.
Umar: Adik lase (rasa) Mama kena guna tereta Felalilah Daddy.
Daddy: Mama mana
reti nak bawa kereta laju tu.
Umar: Kalau Mama
guna Felali tak payah belenti lampu isyalat.
Daddy: Eh? Nanti
excident juga sebab tak berhenti masa lampu isyarat.
Umar: Tak sempat
excident. Teleta Felali laju.
3.
Umar nak buka
kedai buku dekat kawasan Meru. Umar cadang nak buka Book Cafe. Di kawasan Meru
tak ada kedai buku.
Umar: Adik rasa
adik nak buka tedai jual buku.
Daddy: Haaa!
Bagus tu. Tapi siapa nak jaga?
Umar: Adik jadi
bos, kakak buat makanan, Adam jadi penyambut tetamu.
Daddy: Macam
mana Adam nak sambut tetamu? Adam cakap pun tak pandai lagi.
Umar: Kita letak
Adam dekat luar tedai. Olang tuke budak tecik-tecik macam Adam. Nanti olang
nampak Adam mesti olang datang tekat. Adik suluhlah olang beli buku kita.
Daddy: Umar
gunakan Adam eh? Tak baik tau. Sian Adam.
Umar: Adik sayang
Adam. Adik kenalah gunakan Adam.
Daddy: Pandailah
tu.
Monday, October 29, 2012
Buenos Aires
1.
Ibu negara
Argentina ialah Buenos Aires. Sebenarnya bukan dua perkara sahaja yang menarik
di Argentina. Perkara lain yang terkenal di Argentina ialah Pergunungan Agnes
yang terkenal dengan peristiwa pesawat terhempas dan terpaksa survive dengan menjadi karnibal. Selain
itu, muzik tango amat terkenal di Argentina dan pastinya lagenda bola sepak
terkemuka – Diego Maradona.
Argentina pernah
di jajah oleh Sepanyol jadi bahasa rasminya adalah bahasa Sepanyol. Agama
rasminya pula ialah Roman Katolik. Buenos Aires merupakan antara ibu kota
terbesar di dunia. Kawasan ini terletak di muara Rio de la Plata yang kira-kira
240km dari Atlantik.
Di sini, terdapat
sebuah tempat yang menyamai perencanaan jalan raya dan seni bina Paris yang
menjadi tempat bagi kebanyakan kedutaan asing. Di Avenida Sante Fe, dengan toko-tokonya yang banyak dan gallerias iaitu jalan beratap akan
mengingatkan kita kepada salah satu kota di Itali. Umar suka ke Di La Boca
kerana kebanyakan bangunan di cat dengan warna pelangi dan berhampiran
pelabuhan. Banyak seniman tinggal di sini.
2.
Karya yang
paling awal di hasilkan adalah La
Argentina yang di karang oleh Ruy Diaz de Guzman. Selama penentangan untuk
mendapatkan kemerdekaan, banyak syair telah di hasilkan untuk mewujudkan
semangat patriotik melawan bangsa Sepanyol dan Inggeris. Di antara yang
terkenal adalah Marcha patriotic dan El
triunfo Argentino oleh Vicente Lopez y Planes.
Dua penulis
terkemuka Argentina yang juga pernah menjawat jawatan Presiden ialah Domingo
Faustino Sarmiento dan Bartolome Mitre. Mereka antara penulis yang di segani
ramai. Mitre juga menerbitkan salah satu akhbar yang penting ketika itu yakni La Nacion.
Karya klasik
bangsa Argentina di tulis oleh Jose Hernandez yang berjudul Martin Fierro. Karya ini menggunakan
gaya bersajak yang terbahagi kepada dua bahagian; yang pertama di sebut La Partida (Keberangkatan)dan yang kedua
La Vuelta de Martin Fierro
(Kembalinya Martin Fierro).
Hasil sastera
yang terhebat dari Argentina datangnya dari Jorge Luis Borges. Di antara karya
Borges adalah Fervor de Buenos Aires
yang merupakan antologi puisi, Ficciones,
dan El librode los seres imaginarios
(karya tentang makhluk khayalan).
Terdapat sebuah
perpustakaan di Buenos Aires iaitu Biblioteca Nacional yang merupakan antara
perpustakaan terbesar di Argentina dan antara yang terpenting di Amerika.
3.
Argentina juga
mempunyai seniman/pelukis yang hebat antaranya Antonio Berni. Beliau melukis
dalam corak eskpresionis dan telah mempengaruhi ramai pelukis muda di
Argentina. Selain itu, Horacio Butler yang juga pernah menuntut di Paris sama seperti
Berni merupakan pelukis yang hasil karyanya termasuk dalam koleksi tetap di
kebanykan muzium seni dunia. Seorang pelukis yang tidak kurang hebatnya kerana
banyak menggunakan teknik impresionis ialah Miguel Diomede.
4.
Malam tadi
sempat menonton tango.
Saturday, October 27, 2012
Can I have a hug?
1.
Semalam sebelum
pergi airport abang jatuh bilik air. Tangan tak kuat nak paut. Badan terhentak
dekat mangkuk tandas. Abang tak boleh bangun. Abang cuba tapi tak boleh. Huda
turun ke lobi minta tolong. Umar nampak risau sangat tapi dia tak
menangis. Dia pegang tangan abang kuat-kuat.
Abang rasa sakit
sangat tapi abang tak boleh menangis depan Umar. Nanti Umar risau. Lepas kemas,
bertolak ke airport badan masih rasa sakit. Abang tahan diam-diam. Mujur Adam
tak merengek. Huda uruskan semua dari timbang berat bagasi sampailah ambil
boarding pass. Umar check semua beg. Dia tak banyak cakap.
Bila masuk dalam
pesawat, badan makin rasa sakit. Abang sapu minyak. Tapi tak okey sangat. Abang
nak tidur tapi tak boleh. Sakit mendenyut-denyut. Bila sampai Argentina ambil
teksi ke motel. Anak-anak penat dan terus tidur.
Baru abang boleh
menangis. Badan bengkak.
2.
Sepanjang malam
abang tak boleh tidur. Abang tak dapat bergerak pun. Abang rasa dahaga tapi tak
sampai hati nak kejutkan Huda. Abang tak boleh makan. Salur tiub ada masalah.
Macam tersekat. Abang cuba minum macam orang normal. Tapi air tak masuk dalam
tekak – bertakung dalam mulut. Abang tak ada kekuatan pun nak telan air.
Abang tak nak
rasa sakit jadi abang cuba-cuba menaip. Huda letakkan laptop sebelah abang.
Macam biasa, abang tak boleh taip laju. Guna satu tangan dan hanya satu jari
untuk taip keseluruhan. Abang rasa makin sedih.
Pukul 3/4 pagi
badan kram. Abang muntah darah, batuk, sesak nafas, gusi berdarah. Abang tak nak kejutkan
Huda. Abang tak nak anak-anak susah hati.
Kemudian Adam
bangun. Macam biasa nak susu. Susu sudah tersedia dalam botol. Adam teman abang
sampai pagi.
Dia buat muka
comel. Abang lupa sekejab yang abang sedang tahan sakit.
3.
Bila pagi, abang
nak mandi. Umar panggilkan orang dekat lobi minta tolong angkat abang. Umar
takut abang jatuh bilik air lagi. Abang bagilah sikit tips pada dua lelaki yang
tolong abang. Mereka nampak gembira.
Abang lapar.
Tiub masih belum okey. Mungkin tiub kena tukar. Tiub pernafasan okey cuma tiub
makanan saja yang bermasalah. Esok abang kena cari tempat untuk dialisis. Abang rasa
nak balik awal. Badan tak larat.
Abang demam semula.
Masa dalam kapal
terbang tiba-tiba abang rasa macam ada sesuatu kena mata. Sampai sekarang
pedih. Mata kabur. Kena tengok betul-betul baru nampak. Itupun masih blur.
Kepala pun sakit.
4.
Doktor hantar
e-mel minta abang balik cepat. Dia suruh buat kemoterapi. Sebenarnya dia suruh
buat pembedahan tapi abang tak berani. Risiko tinggi.
Sayang, doktor
cakap abang mungkin akan kena strok. Simptom-simptom semakin jelas.
Keadaan tak
menjadi semakin baik. Keadaan tak menjadi seperti yang kita harap-harapkan.
Harapan semakin tipis...
Can I have a
hug?
xoxo
Sentiasa dalam ingatan
1.
Saya sampai di
bumi Argentina. Penerbangan hampir 11 jam dari John F. Kennedy International (JFK) New York ke Aeroparque Jorge Newbery (AEP). Tidak ada yang
istimewa di bumi Argentina kecuali dua perkara. Pertama tentang Jorge Luis
Borges dan kedua tentang hak LGBT di iktiraf. Argentina mengiktiraf perkahwinan
sejenis.
Borges seorang
sasterawan yang di kagumi ramai. Saya tidak terkecuali. Karya-karya fiksyen
yang menyegarkan.
Sampai sekitar
jam 12 malam. Daftar masuk ke motel dan tidur.
2.
Kali ini tak
terkejar-kejar. Sepatutnya saya ambil pesawat dari Sydney ke New York atau
lebih mudah dari Kuala Lumpur transit di Narita kemudian ke New York. Setelah
ke Sydney, saya ke Melbourne. Dari Melbourne terbang ke Los Angeles (transit) kemudian ke
New York. Tiada penerbangan terus ke New York dari Melbourne. Masa penerbangan lebih
kurang 24 jam dan kadang-kadang lebih bergantung kepada cuaca. Amat meletihkan.
Masa transit
di LA untuk ke NY hanya 1 jam 30 minit. Kelam kabut untuk pelbagai proses sebelum
perlepasan. Nyaris tak terlepas pesawat.
Pesawat mendarat
di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy (JFK).
Antara lapangan terbang tersibuk. Lapangan terbang LaGuardia biasanya di gunakan untuk
penerbangan domestik.
3.
New York sesuai
untuk manusia berjiwa urban. Kota ini tidak begitu sesuai untuk saya. Kota yang amat
sibuk – lebih sibuk dari Sydney. Banyak bangunan daripada manusia. Bulan
October antara bulan terbaik untuk melawat New York kerana cuacanya yang
nyaman. Selepas Thanksgiving, musim sejuk akan bermula hingga Febuari/Mac.
Ada tiga/empat
tempat yang wajib di lawati bila ke New York iaitu Empire State Building, Statue
of Liberty, Ellis Island Immigration Museum dan New York Skyride.
Tentunya ke
kedai buku yang membuatkan saya dan anak-anak lebih teruja. Kami singgah di
beberapa buah kedai buku antaranya Strand Books, Books of Wonder, Mysterious Bookshop
dan Stmarks Bookshop. St.Mark's Bookshop di tubuhkan pada tahun 1977 antara kedai tertua di New York.
Sempat juga
memborong di sini terutama apabila ke Mysterious Bookshop. Jumpa banyak
buku-buku buruan (baca jarang jumpa/rare) di Books of Wonder tapi harganya agak mahal untuk di miliki.
Beli juga
senaskah novel erotik-porno karya D.H Lawrence berjudul Lady Chatterley’s Lover
yang di terbitkan pada tahun 1928. Saya beli edisi tanpa pindaan terbitan 1959.
4.
Setiap masa, di
mana saja – awak dalam ingatan saya.
xoxo
Friday, October 26, 2012
Kesempurnaan
1.
Pet Pet sah
bercerai dengan isteri dia. Abang tak tahu nak beri respon. Abang tak pernah
salahkan isteri Pet Pet. Mungkin setakat itu sahaja dia boleh bersabar atau
mungkin dia tak dapat lagi bersabar. Pet Pet sangat cerewet. Cerewet yang
bukan-bukan.
Kalau sidai
tuala salah tempat dia bising, lipat baju salah cara pun dia bising. Itu belum
lagi ambil barang dan salah letak mengikut posisi asal. Bayangkan, kalau posisi
minyak wangi condong 90 darjah (pada kedudukan asal) bila ambil dan mahu
letakkan semula juga pada posisi 90 darjah tepat.
Pet Pet terlalu
mencari kesempurnaan. Tak mungkin dia akan berjumpa dengan perempuan yang sama
perangai (dalam menyusun barang, susun atur perabot dll) yang sama citarasa
dengan dia. Kalau ada pun mungkin satu dalam sejuta. Itu pun – mungkin.
Pet Pet ajak
pergi rumah dia tapi abang macam tak nak pergi. Bukan sebab abang tak suka dia
tapi abang tak nak nanti anak-anak rasa macam “melawat penjara”. Memang tak ada
adik-beradik lain yang nak pergi/tinggal di rumah dia.
Rumah sangat
bersih & kemas cuma hilang seri. Dan Pet Pet lakukan kesilapan yang besar
bila ceraikan isteri dia.
2.
Takeshi merajuk
dengan Kak Ain. Semua pun salah Kak Ain. Kak Ain tak hargai Takeshi
betul-betul. Macam-macam Takeshi buat untuk Kak Ain tapi Kak Ain layan Takeshi
lebih kurang. Takeshi khabarnya ambil cuti ke Kyoto.
Kak Ain tak
bolehlah anggap Takeshi macam bekas suami dia yang dulu. Takeshi jauh lebih
baik walaupun dia kurang romantik dan nampak kurang peduli. Sekurang-kurangnya
dia jaga Kak Ain dengan baik. Paling penting dia tak pukul Kak Ain dan dera
seksual macam bekas suami Kak Ain yang dulu.
Kadang-kadang
kita kena belajar menerima sesuatu seadanya. Kita tak boleh mengharapkan
kesempurnaan dalam semua aspek sebab kesempurnaan tak pernah wujud dalam
sesebuah hubungan.
Kalaupun Kak Ain
tak bersedia nak timbang anak, dia kena terima juga sebab kandungan dia dah
melebihi 4 bulan. Kak Ain perlu jadi lebih sensitif dan prihatin dengan
Takeshi. Takeshi lelaki yang baik. Perempuan tak memerlukan lelaki yang
romantik – mereka perlukan lelaki yang boleh memimpin dan bertanggung jawab
serta prihatin dengan kehendak mereka.
3.
Ary dan isteri
sudah tinggal sebilik walaupun berlainan rumah. Tapi sekurang-kurangnya isteri
Ary boleh bebas lepas dalam rumah Ary dan Ary tak lagi rasa ada “alien” dalam
rumah dia. Mungkin Ary boleh terima dia sudah berkahwin dan mempunyai isteri.
Harap-harap Ary boleh sesuaikan diri dan menerima bahawa dia sudah ada isteri.
Ary sudah kahwin hampir setahun tapi masih belum mampu sesuaikan diri.
Ary tak cakap
apa-apa tentang anak. Dia perlukan masa untuk sesuaikan diri untuk jadi seorang
ayah agaknya. Kalau Ary masih tunggu dan cuba sesuaikan diri, sampai bila-bila
keadaan tidak akan berubah. Ary perlu
lebih cepat adaptasikan kehidupan baru dia walaupun usia rumah tangganya sudah
mencapai usia setahun.
Ary semakin
kurus.
4.
Alex cakap Ocio
masih di Syria dan tak ada tanda-tanda nak mengikat hati dengan Zara. Tak
tahulah apa masalahnya. Dari air muka Zara semua orang tahu Zara sayangkan
Ocio. Ocio memang tak akan cakap tentang hati dan perasaan.
Harap-harap Ocio
tidak di belenggu kenangan. Ocio patut ingat dan ambil pengajaran tentang
peristiwa lepas. Ocio sepatutnya lebih peka dan terbuka. Semoga Ocio tak
menyesal di kemudian hari.
Kalau Ocio dapat
terima Zara tentu baik.
5.
Semua yang
terjadi ada hikmah.
Thursday, October 25, 2012
Awak, perempuan hebat yang saya cintai sepenuh hati
1.
Saya tak pernah
menyukai seorang wanita bekerja sebagai doktor. Saya tak pernah menyenanginya.
Mungkin kerana Ummi terlalu sibuk dengan kerjayanya hingga tak banyak masa di
luangkan untuk saya. Saya faham Ummi punya tugas yang berat untuk di pikul.
Saya memang
berazam untuk menghindari wanita yang bekerja sebagai doktor. Tapi, sejauh mana saya cuba
menghindari akhirnya belahan hati saya seorang doktor. Kalaulah saya mengenali awak lebih awal lagi, saya mungkin akan pengaruhi awak untuk ambil bidang lain.
Tapi saya tak
akan buat begitu sebenarnya. Saya tak akan pengaruhi awak kerana saya percaya
awak punya hak untuk memilih impian yang awak inginkan. Saya akan berikan awak
peluang untuk membuat pilihan. Tidak sesekali saya akan cuba aturkan hidup
awak.
2.
Saya percaya
setiap wanita berhak menentukan arah hidupnya. Saya percaya lelaki tidak harus
menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang wanita dari meneruskan impian
mereka. Saya percaya lelaki dan wanita harus di berikan hak yang sama rata
untuk menyinarkan diri.
Saya percaya ini
aturan Tuhan untuk buat saya lebih memahami. Bila awak sudah bergelar doktor,
baru saya sedar bahawa tugas ini tidaklah mudah malah menuntut komitmen yang
tinggi. Saya rasa bersalah terhadap Ummi.
Saya tahu Ummi
sayangkan saya. Cuma Ummi tidak banyak meluangkan masa untuk melayan kerenah saya. Saya
jadi walang dan kecil hati tika itu. Saya katakan pada Ummi bahawa Ummi lebih
pentingkan hospital dari rumah sendiri. Saya terlalu cabul saat itu. Saya tak
memahami...
3.
Saya banyak
memberontak dalam senyap. Ketika itu, saya tak fikirkan yang Ummi penat selepas
seharian berada di hospital tambah-tambah bila on call. Saya tak fikirkan bahawa Ummi
perlukan rehat yang cukup untuk mengembalikan tenaga. Saya tak pernah fikirkan
bahawa Ummi punya tanggungjawab yang besar.
Hari ini, dengan
takdir Tuhan saya dapat merasa semua ini. Barulah saya tahu kenapa Daddy tak pernah
merungut bila Ummi keluar untuk bekerja. Waktu itu tidak banyak doktor pakar
jadi kepakaran Ummi amat diperlukan.
Waktu itu juga saya
katakan bahawa Daddy tak memahami hati saya yang inginkan seorang ibu di rumah.
Saya begitu daif ketika itu. Ummi tidak pernah cuba memahamkan saya dengan
kerjayanya kerana katanya suatu hari nanti saya akan faham.
Hari ini Im
mengerti, Ummi. Maafkan Im...
4.
Ini di namakan perencanaan
Tuhan. Seorang wanita bekerjaya doktor amat saya hindarkan walhal dalam perencanaan
Tuhan dialah untuk saya. Saya kurang menyukai wanita bekerja sebagai doktor walhal wanita itu sebaik-baiknya
untuk saya.
Tuhan membuat
saya faham dengan mentakdirkan awak hadir dalam hidup saya.
Terima kasih
kerana masih menjadi nafas untuk lelaki berkerusi roda ini yang hidup dengan
satu mata dan menggunakan hanya sebelah tangan bagi meneruskan sisa kehidupan.
Awak, perempuan
hebat yang saya cintai sepenuh hati.
Sunday, October 21, 2012
Manusia mesti berjuang
1.
Setiap manusia
di lahirkan dengan pelbagai impian. Impian kita selalunya tinggi. Dalam hidup,
setiap tahun kita menulis impian di awan. Kita mengira seberapa banyak impian
yang berjaya kita kecapi. Kita membilang impian yang gagal kita pegang.
Sesetengah manusia
melalui laluan untuk mengapai impian dengan mudah. Terdapat manusia melaluinya
dengan penuh kesulitan. Hidup manusia memang tidak mudah. Manusia
tidak boleh rebah dan mudah mengaku kalah. Manusia mesti berjuang.
2.
Saya tumpang
gembira (dan bersyukur) bila lihat awak dapat genggam apa yang awak impikan.
Saya tahu laluannya sukar tetapi kemudiannya dipermudah. Saya tahu awak akan
menikmati hasil yang manis setelah melalui masa-masa sukar.
Saya teruja bila
lihat awak konvo. Mungkin rasa teruja kita tak sama. Saya teringat masa-masa
getir ketika saya bergelut menyiapkan tesis. Susah dan getirnya hanya di fahami
oleh manusia yang melaluinya. Memang perit dan terasa amat payah pada mulanya.
Tidak ada perkara bermula dengan kesenangan dan keselesaan.
3.
Awak habis
belajar dan tidak lama kemudian di panggil bekerja. Don habis belajar 3 tahun
lepas dari universiti prestij tapi masih menganggur. Dalam erti kata sebenar,
dia mempunyai kerja tapi bukan kerja yang setaraf dengan tahap pendidikannya.
Tidak pula saya katakan tujuan universiti di tubuhkan untuk memberi persediaan
pekerjaan buat siswa. Itu satu topik yang lain.
Saya melihat
banyak graduan yang menganggur. Sampai sekarang masih bergelut mencari kerja.
Mereka tertekan kerana hutang PTPTN perlu di bayar. Tekanan paling hebat
adalah memikul harapan orang tua yang ingin melihat anak mereka berjaya dalam
hidup (dengan mendapat pekerjaan yang terbaik) setelah tamat pengajian.
Awak wajib
bersyukur kerana di berikan rezeki secepat ini. Ada antara kita masih
tercari-cari pekerjaan. Masih berharap akan memegang jawatan tetap.
Bersyukurlah awak dipercepatkan rezeki.
4.
Awak perlu tahu
saya bangga dengan awak. Saya nak cakap masa telefon tadi tapi entah kenapa
seperti biasa saya gagal. Selamat memasuki alam pekerjaan penuh cabaran yang
menuntut kesabaran yang tinggi. Selamat mengutip pengalaman dan menghargai
kehidupan.
Saya tahu
selepas ini masa kita akan jadi lebih terbatas. Berikan saya masa dan saya cuba
sesuaikan diri. Saya tahu awak sedih tapi kita tak punya pilihan. Kerjaya ini
pilihan awak. Semoga awak berbahagia bila bergelut dengannya nanti.
Seronok bukan
bila impian jadi kenyataan?
xoxo
Thursday, October 18, 2012
Rindu awak yang sentiasa hangat
1.
Mula-mula abang
cadang nak terus ke New York tapi tak jadi bila Mr. Smith cakap nak jumpa abang
dekat Sydney. Dia ajak tengok hartanah dekat sana. Abang terus tempah tiket ke
Sydney. Penerbangan lewat sejam. Jam 1 tengah hari baru berlepas.
Umar & Huda
macam biasa – tak banyak buat hal. Adam banyak kali merengek. Dia nak berjalan.
Bagi dia permainan pun dia tak layan. Bila bagi dia tengok awan bukan main suka.
Dia paut bahu abang. Cuba berdiri. Pandai. Berdiri lama pula tu.
Sebab penat
berdiri, dia cepat tidur.
2.
Tujuh jam
penerbangan. Bila sampai hari dah gelap. Apit ambil dari lapangan terbang. Beli
kebab untuk anak-anak. Kakak nak nasi tapi mana nak cari nasi. Banyak kedai dah
tutup. Umar boleh nak pantun lagi masa tu.
Dua darab empat lapan,Kakak tak nak adik makan.
Kakak makan
juga kebab. Umar nakal betul. Lepas salin pampers Adam, bagi dia susu, lap-lap
sikit badan dia - dia pun tidur lena. Umar tak tidur. Dia tengok peta. Cari
maklumat tempat-tempat menarik. Dekat Sydney apalah yang ada sangat kecuali
Opera House.
Esoknya, masa
abang jumpa Mr. Smith, Apit bawa anak-anak pergi Opera House
3.
Habis meeting
kena cepat pergi airport. Ambil flight ke Melbourne. Abang di Melbourne sekarang. Abang
suka Melbourne. Sydney sangat sibuk (macam KL). Orang-orang Melbourne tak suka
orang-orang Sydney. Flight lebih kurang sejam setengah. Nasib tak delay. Flight Qantas selalu bermasalah.
Sampai
Melbourne pun dah lewat petang. Sempat jalan-jalan dekat kompleks. Huda sangat
teruja tengok banyak kedai buku. Harga buku di Melbourne pun murah. Mana taknya, banyak kegiatan kesasteraan di sini. Lagipun, pada Ogos
2008, UNESCO telah menobatkan Melbourne sebagai City of Literature.
Sebuah buku
terpakai yang kualitinya seakan-akan buku baru hanya sekitar AUD 3. Abang tak
dapat tahan diri dari membeli. Abang borong 5 buku. Huda beli 6. Umar
borong 10 buku! Abang balut kemas terus pos. Kalau bawa naik
kapal terbang nanti mesti ada masalah lebihan berat. Lagipun banyak tempat nak pergi.
Makan nasi
goreng di Yarra River. Umar terkejut sebungkus nasi goreng berharga AUD 18. Dia
nyaris tak nak makan sebab mahal sangat katanya. Tapi makan juga sebab lapar.
Adam makan nestum. Lepas makan abang ajak anak-anak solat dekat taman.
Alahai...sayu hati tengok muka Huda. Anak-anak tak biasa solat merata tempat.
Dekat Melbourne tak ada masjid. Dekat Sydney ada sebuah masjid. Azan pun tak
ada di sini.
Dengan susah
payah tengok anak-anak ambil wuduk. Pengalaman baru untuk Huda dan Umar. Lepas
solat, jalan-jalan lagi. Kemudian ambil tram terus balik hotel. Perkhidmatan
tram paling popular di Melbourne. Jadual waktu di patuhi – perjalanan jarang
terlewat.
4.
Kursus
induksi bosan? Kesian awak. Bosan pun kena dengar juga.
5.
Saya harap
awak sudah bersedia untuk menempuh alam pekerjaan. Harap-harap awak dapat tukar
ke Hospital Putrajaya / HUKM. Kawasan Klang agak berbahaya. Banyak samseng. Tak
sesuai untuk orang yang akan memandu lewat malam macam awak.
Kalau awak
tak sedia nak kerja, kena sediakan diri juga. Kena bayar duit Mara RM 360,000.
Lepas dua tahun kalau awak masih bosan – sambung Master. Okey?
6.
Esok tak
sempat dialisis. Flight awal. Sampai New York nanti jadual padat. Susah
hatilah....
7.
Hari ini hari
Khamis malam Jumaat. Rindu awak yang sentiasa hangat.
xoxo
Subscribe to:
Posts (Atom)