Sunday, October 21, 2012

Manusia mesti berjuang


1.

Setiap manusia di lahirkan dengan pelbagai impian. Impian kita selalunya tinggi. Dalam hidup, setiap tahun kita menulis impian di awan. Kita mengira seberapa banyak impian yang berjaya kita kecapi. Kita membilang impian yang gagal kita pegang.

Sesetengah manusia melalui laluan untuk mengapai impian dengan mudah. Terdapat manusia melaluinya dengan penuh kesulitan. Hidup manusia memang tidak mudah. Manusia tidak boleh rebah dan mudah mengaku kalah. Manusia mesti berjuang.


2.

Saya tumpang gembira (dan bersyukur) bila lihat awak dapat genggam apa yang awak impikan. Saya tahu laluannya sukar tetapi kemudiannya dipermudah. Saya tahu awak akan menikmati hasil yang manis setelah melalui masa-masa sukar.

Saya teruja bila lihat awak konvo. Mungkin rasa teruja kita tak sama. Saya teringat masa-masa getir ketika saya bergelut menyiapkan tesis. Susah dan getirnya hanya di fahami oleh manusia yang melaluinya. Memang perit dan terasa amat payah pada mulanya. Tidak ada perkara bermula dengan kesenangan dan keselesaan.


3.

Awak habis belajar dan tidak lama kemudian di panggil bekerja. Don habis belajar 3 tahun lepas dari universiti prestij tapi masih menganggur. Dalam erti kata sebenar, dia mempunyai kerja tapi bukan kerja yang setaraf dengan tahap pendidikannya. Tidak pula saya katakan tujuan universiti di tubuhkan untuk memberi persediaan pekerjaan buat siswa. Itu satu topik yang lain.

Saya melihat banyak graduan yang menganggur. Sampai sekarang masih bergelut mencari kerja. Mereka tertekan kerana hutang PTPTN perlu di bayar. Tekanan paling hebat adalah memikul harapan orang tua yang ingin melihat anak mereka berjaya dalam hidup (dengan mendapat pekerjaan yang terbaik) setelah tamat pengajian.

Awak wajib bersyukur kerana di berikan rezeki secepat ini. Ada antara kita masih tercari-cari pekerjaan. Masih berharap akan memegang jawatan tetap. Bersyukurlah awak dipercepatkan rezeki.


4.

Awak perlu tahu saya bangga dengan awak. Saya nak cakap masa telefon tadi tapi entah kenapa seperti biasa saya gagal. Selamat memasuki alam pekerjaan penuh cabaran yang menuntut kesabaran yang tinggi. Selamat mengutip pengalaman dan menghargai kehidupan.

Saya tahu selepas ini masa kita akan jadi lebih terbatas. Berikan saya masa dan saya cuba sesuaikan diri. Saya tahu awak sedih tapi kita tak punya pilihan. Kerjaya ini pilihan awak. Semoga awak berbahagia bila bergelut dengannya nanti.

Seronok bukan bila impian jadi kenyataan?


xoxo