Thursday, October 25, 2012

Awak, perempuan hebat yang saya cintai sepenuh hati


1.

Saya tak pernah menyukai seorang wanita bekerja sebagai doktor. Saya tak pernah menyenanginya. Mungkin kerana Ummi terlalu sibuk dengan kerjayanya hingga tak banyak masa di luangkan untuk saya. Saya faham Ummi punya tugas yang berat untuk di pikul.

Saya memang berazam untuk menghindari wanita yang bekerja sebagai doktor. Tapi, sejauh mana saya cuba menghindari akhirnya belahan hati saya seorang doktor. Kalaulah saya mengenali  awak lebih awal lagi, saya mungkin akan pengaruhi awak untuk ambil bidang lain.

Tapi saya tak akan buat begitu sebenarnya. Saya tak akan pengaruhi awak kerana saya percaya awak punya hak untuk memilih impian yang awak inginkan. Saya akan berikan awak peluang untuk membuat pilihan. Tidak sesekali saya akan cuba aturkan hidup awak.


2.

Saya percaya setiap wanita berhak menentukan arah hidupnya. Saya percaya lelaki tidak harus menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang wanita dari meneruskan impian mereka. Saya percaya lelaki dan wanita harus di berikan hak yang sama rata untuk menyinarkan diri.

Saya percaya ini aturan Tuhan untuk buat saya lebih memahami. Bila awak sudah bergelar doktor, baru saya sedar bahawa tugas ini tidaklah mudah malah menuntut komitmen yang tinggi. Saya rasa bersalah terhadap Ummi.

Saya tahu Ummi sayangkan saya. Cuma Ummi tidak banyak meluangkan masa untuk melayan kerenah saya. Saya jadi walang dan kecil hati tika itu. Saya katakan pada Ummi bahawa Ummi lebih pentingkan hospital dari rumah sendiri. Saya terlalu cabul saat itu. Saya tak memahami...


3.

Saya banyak memberontak dalam senyap. Ketika itu, saya tak fikirkan yang Ummi penat selepas seharian berada di hospital tambah-tambah bila on call. Saya tak fikirkan bahawa Ummi perlukan rehat yang cukup untuk mengembalikan tenaga. Saya tak pernah fikirkan bahawa Ummi punya tanggungjawab yang besar.

Hari ini, dengan takdir Tuhan saya dapat merasa semua ini. Barulah saya tahu kenapa Daddy tak pernah merungut bila Ummi keluar untuk bekerja. Waktu itu tidak banyak doktor pakar jadi kepakaran Ummi amat diperlukan.

Waktu itu juga saya katakan bahawa Daddy tak memahami hati saya yang inginkan seorang ibu di rumah. Saya begitu daif ketika itu. Ummi tidak pernah cuba memahamkan saya dengan kerjayanya kerana katanya suatu hari nanti saya akan faham.

Hari ini Im mengerti, Ummi. Maafkan Im...


4.

Ini di namakan perencanaan Tuhan. Seorang wanita bekerjaya doktor amat saya hindarkan walhal dalam perencanaan Tuhan dialah untuk saya. Saya kurang menyukai wanita bekerja sebagai doktor walhal wanita itu sebaik-baiknya untuk saya.

Tuhan membuat saya faham dengan mentakdirkan awak hadir dalam hidup saya.

Terima kasih kerana masih menjadi nafas untuk lelaki berkerusi roda ini yang hidup dengan satu mata dan menggunakan hanya sebelah tangan bagi meneruskan sisa kehidupan.

Awak, perempuan hebat yang saya cintai sepenuh hati.