Friday, October 26, 2012

Kesempurnaan


1.

Pet Pet sah bercerai dengan isteri dia. Abang tak tahu nak beri respon. Abang tak pernah salahkan isteri Pet Pet. Mungkin setakat itu sahaja dia boleh bersabar atau mungkin dia tak dapat lagi  bersabar. Pet Pet sangat cerewet. Cerewet yang bukan-bukan.

Kalau sidai tuala salah tempat dia bising, lipat baju salah cara pun dia bising. Itu belum lagi ambil barang dan salah letak mengikut posisi asal. Bayangkan, kalau posisi minyak wangi condong 90 darjah (pada kedudukan asal) bila ambil dan mahu letakkan semula juga pada posisi 90 darjah tepat.

Pet Pet terlalu mencari kesempurnaan. Tak mungkin dia akan berjumpa dengan perempuan yang sama perangai (dalam menyusun barang, susun atur perabot dll) yang sama citarasa dengan dia. Kalau ada pun mungkin satu dalam sejuta. Itu pun – mungkin.

Pet Pet ajak pergi rumah dia tapi abang macam tak nak pergi. Bukan sebab abang tak suka dia tapi abang tak nak nanti anak-anak rasa macam “melawat penjara”. Memang tak ada adik-beradik lain yang nak pergi/tinggal di rumah dia.

Rumah sangat bersih & kemas cuma hilang seri. Dan Pet Pet lakukan kesilapan yang besar bila ceraikan isteri dia.


2.

Takeshi merajuk dengan Kak Ain. Semua pun salah Kak Ain. Kak Ain tak hargai Takeshi betul-betul. Macam-macam Takeshi buat untuk Kak Ain tapi Kak Ain layan Takeshi lebih kurang. Takeshi khabarnya ambil cuti ke Kyoto.

Kak Ain tak bolehlah anggap Takeshi macam bekas suami dia yang dulu. Takeshi jauh lebih baik walaupun dia kurang romantik dan nampak kurang peduli. Sekurang-kurangnya dia jaga Kak Ain dengan baik. Paling penting dia tak pukul Kak Ain dan dera seksual macam bekas suami Kak Ain yang dulu.

Kadang-kadang kita kena belajar menerima sesuatu seadanya. Kita tak boleh mengharapkan kesempurnaan dalam semua aspek sebab kesempurnaan tak pernah wujud dalam sesebuah hubungan.

Kalaupun Kak Ain tak bersedia nak timbang anak, dia kena terima juga sebab kandungan dia dah melebihi 4 bulan. Kak Ain perlu jadi lebih sensitif dan prihatin dengan Takeshi. Takeshi lelaki yang baik. Perempuan tak memerlukan lelaki yang romantik – mereka perlukan lelaki yang boleh memimpin dan bertanggung jawab serta prihatin dengan kehendak mereka.


3.

Ary dan isteri sudah tinggal sebilik walaupun berlainan rumah. Tapi sekurang-kurangnya isteri Ary boleh bebas lepas dalam rumah Ary dan Ary tak lagi rasa ada “alien” dalam rumah dia. Mungkin Ary boleh terima dia sudah berkahwin dan mempunyai isteri. Harap-harap Ary boleh sesuaikan diri dan menerima bahawa dia sudah ada isteri. Ary sudah kahwin hampir setahun tapi masih belum mampu sesuaikan diri.

Ary tak cakap apa-apa tentang anak. Dia perlukan masa untuk sesuaikan diri untuk jadi seorang ayah agaknya. Kalau Ary masih tunggu dan cuba sesuaikan diri, sampai bila-bila keadaan tidak akan berubah.  Ary perlu lebih cepat adaptasikan kehidupan baru dia walaupun usia rumah tangganya sudah mencapai usia setahun.

Ary semakin kurus. 


4.

Alex cakap Ocio masih di Syria dan tak ada tanda-tanda nak mengikat hati dengan Zara. Tak tahulah apa masalahnya. Dari air muka Zara semua orang tahu Zara sayangkan Ocio. Ocio memang tak akan cakap tentang hati dan perasaan.

Harap-harap Ocio tidak di belenggu kenangan. Ocio patut ingat dan ambil pengajaran tentang peristiwa lepas. Ocio sepatutnya lebih peka dan terbuka. Semoga Ocio tak menyesal di kemudian hari.

Kalau Ocio dapat terima Zara tentu baik.


5.

Semua yang terjadi ada hikmah.