1.
Seperti hari
Ahad yang lain, hari ini saya berkongsi seorang lagi tokoh kebanggaan ramai
dengan anak-anak. Tokoh hari ini ialah Che Guvera. Subjek tentang ketokohan ini
telah lama saya ajarkan. Bermula dengan latar belakang, persekitaran
pendidikan, sumbangan serta jatuh bangun mereka dalam perjuangan.
Pernah sekali,
ketika Umar masih kecil dia menegur saya. Katanya, saya hanya kenalkan dia
dengan tokoh-tokoh bukan Islam. Bagaimana dengan tokoh-tokoh Islam yang
berjuang menentang kezaliman, ketidakadilan pemerintah, hak asasi yang terabai
dan sebagainya.
Saya jadi
terpukul dan baru sedar bahawa saya berat sebelah dalam menyampaikan ilmu. Saya
lupa bahawa orang-orang Islam mempunyai banyak tokoh yang di kagumi ramai
seperti Salehuddin al-Ayubi, Muhammad al-Fatih, Saidina Ali dan ramai lagi.
Dengan perasaan malu, saya katakan bahawa saya tidak begitu mengenai
tokoh-tokoh ini – sekadar mengetahui nama-nama mereka tetapi tidak
lancar mengetahui perjalanan perjuangan yang mereka kibarkan.
Saya jadi malu
amat. Langsung, dari situ saya kembali membuka buku, mencari maklumat mengenai
beberapa tokoh yang telah tercatat sebagai pejuang agung – tidak kiralah
dari zaman mana sekalipun. Kemudian, saya susun mengikut rentetan.
Itu pelajaran
pertama dari Umar. Teguran yang membuat saya banyak berfikir tentang
ketidakpedulian saya terhadap para pejuang Islam dan di mana saya letakan para
pejuang ini dalam hati dan sanubari saya.
2.
Saya akan
tidurkan Umar setiap malam. Umar mempunyai masalah tidur tidak lama dulu.
Saya bacakan kisah-kisah dongeng tetapi dia seakan-akan tidak suka hinggalah
saya bacakan kisah-kisah nabi. Sampai sekarang, dia sangat akrab dengan kisah
para rasul. Dia masih mengulang baca hinggalah buku tersebut jadi teramat
lusuh.
Pada suatu malam,
dia bertanya saya satu soalan yang tak mungkin saya lupakan sampai bila-bila. Dalam keadaan yang masih pekat pelatnya, dia cuba menyampaikan makna untuk saya fahami. Serba sedikit, inilah yang dia katakan pada saya.
Umar: Daddy,
macam mana olang boleh tidur lena
bila dia tahu ada olang lain tak ada makan,
tak ada lumah, tak ada luit. Macam mana olang boleh jalan jauh-jauh, ada olang susuh dia tak tolong? Macam mana ada olang makan banyak-banyak tapi dia tak tetian tekat tucing lapar? Tenapa
kita cakap kita tetian tapi kita tak
tolong? Tenapa kita kena halap olang lain tolong olang shusah? Adik tak boleh tidur
lama-lama (lena). Adik tetian tucing tak
makan, adik tetian olang mati tak ada makanan masa pelang, adik tetian lamai orang shusah.
Saat itu, mata
saya basah. Saya tepukul amat. Bagaimana anak kecil ini amat fikirkan orang
lain hinggakan tak boleh tidur.
Saya
membesar sebagai seorang yang prihatin tetapi sifat itu hilang bila saya sibuk
dengan kuliah dan tesis. Sifat itu bertambah pudar bila saya tubuhkan
perniagaan seawal usia 21 tahun. Saya sibuk dengan mesyuarat sana sini,
penyelidikan yang pelbagai, menyelia projek pelajar, merancang pelbagai rancangan untuk
meningkatkan jualan dan sebagainya.
Lama-lama sifat
kepedulian itu hilang hinggalah Umar mengingatkan saya tentang hal ini. Sebagai
seorang ayah, saya rasa malu. Saya tak dapat menjadi ikon dan contoh kepada
anak-anak. Saya cuba menyemai mereka dengan nilai murni sedangkan saya sendiri
tak cuba lakukan secara praktik.
3.
Atas rasa itu,
saya tak pernah menghalang anak-anak dari berniaga walaupun hati saya amat
berat izinkan mereka buat kerja-kerja sebegini. Saya rasa mereka terlalu mentah
hingga saya sendiri sedar saya tak boleh perkecilkan semangat mereka.
Saya harus jadi
pendorong bukan melemahkan. Saya mahu mereka membesar dan jadi insan lebih baik
dari saya. Lebih bersikap peduli, prihatin, saling menolong dan mempunyai sifat
tanggungjawab yang tinggi.
4.
Jika Umar tidak
mampu tidur lena memikirkan tentang orang lain, bagaimana kita orang dewasa
mampu tidur lena dan habiskan banyak masa dengan membuat perkara yang tidak
memberi faedah kepada nusa dan bangsa?
5.
Daddy bangga
punya anak seperti Umar, Huda & Adam. Tentu sekali daddy bangga.